{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Ustaz Don, Ustaz Pahrol terkenang didikan ibu

Posted:

Ustaz Don, Ustaz Pahrol terkenang didikan ibu

Ustaz Don, Ustaz Pahrol terkenang didikan ibu

ISLAM mengangkat tinggi darjat seorang ibu sehinggakan hadis Rasulullah pernah menyebut supaya mentaati ibu selepas Allah dan Rasul. Seseorang yang mendapat reda ibu dan bapa akan mendapat keredaan Allah.

Bercerita tentang ibu, nada suara penceramah muda terkenal, Ustaz Don Daniyal Biyajid agak bergetar, kedengaran agak sebak.

Kata anak kelahiran Bukit Mertajam Pulau Pinang ini, beliau berasal daripada keluarga yang susah. Ibu dan bapanya sama-sama bekerja untuk menyara kehidupan mereka empat beradik.

Anak kedua daripada empat adik- beradik ini memberitahu bahawa ibunya, Che Mariyam Abd. Kader, 63 hanya bersekolah sehingga tamat tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdullah Munshi, Pulau Pinang sebelum bekerja sebagai guru di sebuah sekolah khas, di George Town.

"Ibu juga pernah menjadi pembantu tadbir sebelum berhenti kerja sepenuhnya pada tahun 1997 untuk menjaga kami adik-beradik," ujar penceramah berusia 30 tahun ini yang lebih dikenali dengan nama Ustaz Don.

Bapa kepada seorang anak ini tidak boleh melupakan cara didikan ibu dan bapanya sehingga menjadi seperti sekarang. Che Mariyam merupakan seorang ibu yang penyayang tetapi tegas.

Don Daniyal pernah dikurung di dalam bilik oleh ibunya kerana kenakalannya ketika kanak-kanak selain pernah dirotan ibunya ekoran malas mengulangkaji pelajaran.

Apabila kawan-kawannya mengajak untuk keluar dan bermain, Don Biyajid hanya mampu menjawab dan menolak ajakan mereka daripada jendela rumahnya.

"Saya bersyukur kerana didikan ibu saya yang tegas, saya menjadi seperti sekarang. Ibu banyak menerapkan nilai moral dalam hidup kami adik-beradik.

"Walaupun ibu tidak berpelajaran tinggi, itu tidak menjadi penghalang untuk beliau mendidik kami supaya menjadi manusia yang berguna untuk keluarga dan bangsa," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa ketegasan ibunya banyak membantu beliau dalam mencapai kejayaan dalam pertandingan syarahan yang disertai olehnya di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan.


RANCANGAN 30 Minit Ustaz Don banyak mengangkat namanya sebagai pendakwah muda di negara ini.


Ibunya memainkan peranan sebagai pembuat skrip ucapan manakala ayahnya, Don Biyajid Mustafa menjadi jurutaip teks tersebut. Kedua-duanya setia menemani beliau dalam setiap pertandingan disertainya.

Mohon kemaafan

"Sewaktu sesi latihan bersama, ibu memastikan bahawa saya akan menyebut setiap patah perkataan di dalam teks dengan jelas.

"Ibu adalah guru saya yang hebat. Begitu juga ayah," ujar Don Daniyal.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, dalam kenakalannya ada ketikanya ibunya terguris dengan kelakuannya.

"Saya pernah naik ke atas pentas untuk pertandingan syarahan, mulut saya seakan terkunci dan penyampaian saya menjadi sangat teruk walhal sebelum ini saya pernah menyertai banyak pertandingan.

"Sebelum naik ke pentas, saya sudah dapat rasakan yang saya tidak dapat buat dengan baik kerana sebelum itu saya pernah terkasar bahasa dengan ibu saya," ujarnya penuh sesal.

Pesan penceramah muda ini, sebagai manusia, kita tidak pernah lepas daripada melakukan kesilapan.

Tambahnya, sebagai seorang anak, kita perlu sentiasa memohon keampunan daripada ibu dan mendoakan mereka.Ini adalah salah satu cara menghargai ibu kita. Sentiasa doakan kebaikan untuk untuk kebahagiaan mereka di dunia dan akhirat.

"Bagi mereka yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang-orang tua yang mungkin disebabkan masalah ekonomi atau lain-lain, tanamlah satu tekad bahawa suatu hari nanti anda akan mengambil kembali ibu bapa anda daripada rumah berkenaan. Jagalah mereka," katanya.

Hak

Bagi penceramah dan penulis buku terkemuka, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, ibu merupakan seorang yang paling menyayangi diri seseorang dan sebagai anak, kita wajib menyayangi ibu.

Selain menyatakan dengan ucapan, seorang anak juga boleh menzahirkan perasaan sayang kepada ibunya melalui tindakan seperti patuh, menyediakan apa yang diperlukan serta memahami emosinya.


PAHROL membawa ibu dan keluarganya bercuti sebagai tanda menghargai mereka.


Seorang ibu mempunyai hak untuk diberi perhatian dan hak untuk didengar seperti ibu yang sentiasa ada ketika kita memerlukannya.

Cerita Pahrol, ibunya, Khadijah Wok yang kini berusia 72 tahun sentiasa menjadi orang tengah ketika ayahnya, Mohamad Juoi Mohd. Sukri menghukum mereka kerana nakal.

"Ibu seorang yang sangat penyabar dan pendiam. Dia pernah menjadikan tubuhnya sebagai alas apabila ayah hendak memukul kami ekoran nakal menyebabkan pukulan tersebut terkena kepadanya," jelas Pahrol.

Pahrol juga tidak boleh melupakan kenangan mengganggu ibunya ketika bersolat seperti memanjat di belakang wanita itu ketika sedang sujud.

Kemiskinan

Ibunya hanya senyum sebaik usai solat tanpa melakukan sebarang tindakan keras. Senyuman ibunya banyak memberi makna dan membuatkan penulis ini berfikir.

Khadijah yang merupakan suri rumah sepenuh masa tabah membesarkan anak-anaknya seramai 12 orang ketika bapanya, bekerja sebagai buruh kasar.

Adik-beradik Pahrol berjaya dalam bidang masing-masing hasil didikan ibu bapanya walaupun mereka bukan daripada golongan berpendidikan tinggi.

Ibunya merupakan seorang pelajar yang cemerlang di sekolah namun tidak dapat meneruskan pengajian ekoran kemiskinan dan berkahwin dengan bapanya ketika berumur 15 tahun.

Apa yang paling menyentuh hati Pahrol, ibunya pernah menulis sepucuk surat kepadanya ketika beliau sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya pada tahun 1982.

"Surat yang ibu hantar ditulis dengan pensel. Ketika menerima surat tersebut, saya hanya membacanya tanpa sebarang perasaan yang mendalam.

"Saya juga tidak membalas surat yang ditulis ibu. Namun, setelah lama perkara tersebut berlaku, barulah saya sedar betapa bernilainya surat tersebut," ujarnya yang berasa ralat kerana tidak membalas surat ibunya.

Kandungan surat ibunya mengandungi peringatan dan nasihat kepada dirinya supaya pandai menjaga diri di samping menjaga kelakuan.

Menurut Pahrol, ibunya pandai menyembunyikan perasaannya sama ada sedang marah atau bersedih. Ibunya tidak akan menzahirkan perasaannya di hadapan anak-anaknya.

Ujar Pahrol, sejak arwah bapanya meninggal dunia pada 1 Ramadan lalu, ibunya nampak sunyi dan merindui bapanya namun cuba disorokkan kerinduan tersebut.

Ketika ditanya tentang cara-cara beliau menghadapi situasi tersebut, Pahrol memberitahu, selain menjaga ibu, beliau sentiasa mendoakan kebahagiaan ibunya.

"Hati manusia berada dalam genggaman Allah. Saat ibu berasa sunyi, saya mendoakan supaya perasaan tersebut hilang daripada hati ibu. Saya doakan supaya ibu reda dengan ketentuanNya," ujar Pahrol.

Kesuraman legasi Game Boy

Posted:

Kesuraman legasi Game Boy

Kesuraman legasi Game Boy


NINTENDO yang pernah menjual hampir 119 juta Game Boy asli kini semakin merosot penjualannya di seluruh dunia.


SETELAH tentera Soviet berundur dari Afghanistan, Tembok Berlin kemudiannya runtuh. Sejarah pada tahun 1989 juga menyaksikan tragedi Dataran Tiananmen di China.

Namun ada memori yang manis untuk dikenang pada tahun tersebut. Antaranya, pada 21 April merupakan tarikh keluaran pertama permainan video mudah alih Game Boy 8-bit di Jepun.

Syarikat pengeluarnya, Nintendo yang berpangkalan di Kyoto akhirnya menjadi gergasi dalam arena permainan video di peringkat global, meskipun Nintendo hanya bertindak selaku pengeluar kad-kad permainan pada awalnya.

Harga diskaun yang dikenakan pada awal kemunculannya juga mengetepikan saingan rapat permainan video sedia ada. Dalam tempoh singkat, Game Boy berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Fenomena Game Boy meresap pantas. Ia kejutan yang tidak dijangka daripada industri berasaskan konsol. Game Boy mengawali konsep permainan video tangan mudah alih di dunia. Pengaruhnya mirip kejayaan bersejarah Sony Walkman terhadap peralihan industri muzik mudah alih.

"Sampai satu tahap, bila menyebut permainan mudah alih, orang kaitkan terus dengan Game Boy.

"Secara amnya, ia telah membuka laluan kepada permainan mudah alih hari ini yang merangkumi permainan konsol dan telefon pintar.

"Konsep asasnya masih sama dan semuanya bermula daripada legasi Game Boy," jelas konsultan industri permainan yang berpangkalan di Tokyo, Serkan Toto.


KARAKTER Super Mario turut meraih populariti hasil perkembangan Game Boy.


Game Boy merupakan alat permainan atau konsol yang dibangunkan oleh Nintendo Entertainment System (NES).

Permainan popular seperti Super Mario dan Donkey Kong turut menjalani peralihan ke peringkat francais global hasil populariti Game Boy.

Mobiliti yang diterapkan Game Boy menggembirakan hati ramai kanak-kanak dan remaja. Seorang lelaki yang ditemui di Super Potato, sebuah kedai yang didedikasikan untuk gajet-gajet permainan retro di Tokyo mengimbas betapa Game Boy membantunya daripada dimarahi ibu bapa.

Sebelum adanya Game Boy, permainan konsol berdiri hanya boleh dimainkan di ruang tamu. Ia mengganggu masa ibu bapanya menonton televisyen.

Peranti itu juga membenarkan pengguna berhubung dengan pengguna lain menerusi kabel sambungan. Secara tidak langsung, ia menjadi permulaan kepada jaringan permainan dalam talian yang kini digunakan jutaan individu di seluruh dunia.

"Ia memudahkan pengaksesan kepada permainan tetapi yang menjadikan ia hebat ialah konsep jaringan yang dibangunkan," ujar pengarah urusan di firma penyelidikan permainan dan penerbitan majalah, Kadokawa Corp. di Tokyo, Hirokazu Hamamura.

Merosot

Di sebalik sumbangan besar Game Boy kepada pembangunan industri permainan video mudah alih global, selepas melewati fasa gemilang berpuluh tahun, kestabilan kewangan syarikat Nintendo diuji teruk.

Akibatnya, pengeluaran Game Boy dihentikan beberapa tahun lalu. Malah, Nintendo langsung tidak merancang sebarang sambutan ulang tahun ke-25 peranti berpengaruh itu pada bulan lalu.


LELAKI ini memilih konsol untuk permainan Game Boy Color di sebuah kedai permainan video di Tokyo.


Ketika era kemasyhurannya, Nintendo menjual hampir 119 juta konsol Game Boy asli. Sebanyak 81.5 juta unit turut dijual menerusi siri Game Boy Advance yang dilancarkan pada tahun 2001.

Meskipun tidak lagi dikeluarkan, sejarah telah membuktikan betapa hebat penangan Game Boy dalam memberi saingan sengit kepada konsol-konsol seperti Nintendo Wii, Sony PlayStation dan Microsoft Xbox.

Bekas penggunanya juga masih menghargai jasa permainan video mudah alih yang dilengkapi butang merah dan pad arah berbentuk silang itu. Spaniard Jesus Mera, 26, merupakan pengguna Game Boy Color seawal usia 12 tahun.

Nostalgia Game Boy masih berbekas dalam ingatan lelaki dari Sepanyol itu dan melihat peranti itu sebagai satu revolusi kerana pengguna bebas bermain di mana-mana sahaja.

Tambahnya, meskipun kini pengguna dilambakkan dengan pelbagai pilihan permainan video canggih, skrin kecil dan permainan terhad Game Boy tetap menghiburkan.

Perkembangan pantas permainan video mudah alih termasuk ciri tiga dimensi (3D) bagaimanapun, tidaklah digemari semua. Pelajar berusia 21 tahun, Lun Yuki termasuk dalam anak muda yang sukar mengikuti perubahan mengagumkan dalam industri permainan.

"Permainan baharu semakin rumit sehingga anda keliru dengan tujuan asalnya," ujarnya yang mengakui adakalanya dia berasa selesa bersama permainan ringkas dengan dot-dot hitam dan tatal-tatal horizontal. - AFP

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat