Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Sentuhan hati Clothes 4 DawahDALAM kegelapan malam seorang lelaki tergapai-gapai mencari tempat berpaut untuk berdiri. Badannya yang longlai digagahkan untuk bergerak dan beratur demi untuk mendapatkan sesuap nasi. Bertemankan lampu jalan sebagai sumber cahaya, kakinya menghayun langkah longlai ke pasukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Mercy Mission, pasukan Clothes 4 Dawah (C4D). Seharian menahan lapar, lelaki yang berusia dalam lingkungan lewat 80 tahun yang hanya ingin dikenali sebagai Chin nyata bersyukur. Ketika perutnya kosong minta dialas organisasi Mercy Mission sudi menyediakan makanan. Kewujudan C4D melalui program Tsunami Baju yang dilancarkan setahun lalu turut menyediakan bantuan berupa pakaian selain makanan. Sudah tentu ia saat yang menggembirakan bagi gelandangan seperti Chin yang sering menyarung baju lusuh dan jarang menerima persalinan baharu. Bantuan tersebut umpama bulan jatuh ke riba. "Jarang NGO datang ke sini kemudian memberikan sumbangan selain makanan. Mereka ini (Clothes 4 Dawah) menyedari keperluan kami. "Sukar untuk menggambarkan perasaan saya ketika ini kecuali bersyukur," ujarnya ketika ditemui di sekitar Jalan Pudu, Kuala Lumpur. Selorohnya, nyamuk adalah rakannya yang paling akrab, kesejukan pula gagal menembusi kulitnya manakala kotak adalah tilam empuk tatkala mahu beradu. Bagaimanapun, suasana yang penuh mesra dan hilai tawa pantas suram tatkala lensa kamera cuba merakam gambarnya. Sepantas kilat dia memalingkan muka dan terus mengunci mulut, puas dipujuk barulah Chin sudi menyusun kembali bicaranya. "Usahlah gambar saya dirakam, malu..." luahnya sambil sepasang matanya melingas-lingas kerana khuatir ada yang merakam gambar wajahnya. "Siapa yang mahu hidup begini, tiada siapa yang mahu hidup merempat. Tetapi saya terpaksa kerana anak-anak tidak mampu menanggung saya. Mereka juga ada tanggungjawab dan saya tidak pernah menyalahkan mereka," luahnya. Tika pasukan sukarelawan Mercy Mission sedang rancak menyampaikan bantuan, guruh mula bergempita diikuti rintik hujan yang mula membasahi bumi. Kira-kira 40 sukarelawan Mercy Mission lari bertempiaran untuk berteduh dan lain kisahnya bagi gelandangan ibu kota, Mereka sedikitpun tidak berganjak apatah lagi berlari. Tiada tempat mahu dituju kerana khuatir dihalau pihak tertentu, cukup sekadar mengerekotkan kaki dan tubuh untuk mengelak daripada terkena tempias hujan. ZUHRI (kanan) melayan golongan gelandangan umpama keluarganya sendiri. Bersyukur Bagi Kalman Azman, 28, situasi itu sudah biasa dilihat namun perasaan sebak sering menebak hatinya. Setiap kali mahu pulang dan program tamat, kakinya berat melangkah. "Peluang bersua muka dan mendengar sendiri rintihan gelandangan ini membuatkan saya mengenal erti bersyukur. "Jika kita berasakan Allah sering menguji kita, golongan gelandangan di sini lagi teruk diuji. Hidup mereka sangat daif dan kesempitan. Ironinya senyuman, hilai tawa tetap menjadi pengubat duka mereka," katanya yang juga sukarelawan Mercy Mission. Meneruskan misi bersama Clothes 4 Dawah, Kalman berkata, badan kebajikan itu menjadi pilihannya berikutan tertarik dengan sumbangan yang disampaikan. Program Tsunami Baju memberi ruang kepada C4D menyampaikan bantuan selain daripada makanan. "Saya sering melihat golongan gelandangan memakai baju yang lusuh, tidur di atas lantai beralaskan kotak dan ada yang membiarkan saja hujan membasahi tubuh masing-masing," katanya. Hasil pemerhatian Kalman, dia mendapati golongan gelandangan juga memerlukan bantuan dari segi pakaian dan keperluan asas lain dalam memastikan kelangsungan hidup mereka. "Senyuman golongan gelandangan ini membuatkan kepenatan saya serta-merta hilang," cerita Fateen Atiqah Saifudin, 24, sambil tangannya bingkas menghulurkan bantuan. Graduan Universiti Teknologi Mara yang mula bersama dengan C4D dan Tsunami Baju sejak tahun lalu itu berharap program tersebut wajar diteruskan. "Bayangkan sehelai baju mampu membuatkan mereka mengukir senyuman malah riak wajah mereka terpancar kepuasan seperti menerima busana baharu daripada sukarelawan. "Disebabkan itu saya sentiasa teruja bersama C4D dan Tsunami Baju yang membuatkan hubungan kami semakin akrab," ujarnya. Pengurus Kempen C4D, Zuhri Yuhyi berkata, pusat pengurusan Mercy Mission di Kota Damansara sering ditimbuni sumbangan baju daripada orang awam. Ekoran jumlah baju yang menimbun, maka timbullah idea mewujudkan program Tsunami Baju sebagai perlambangan baju yang begitu banyak. Bagaimanapun, Zuhri menjelaskan bukan kesemua baju yang diterima akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan sebaliknya ia akan disaring terlebih dahulu. "Kami sering menerima sumbangan pakaian sama ada daripada organisasi yang menghantar baju ke pejabat atau program yang dianjurkan C4D. "Setiap baju yang diterima akan diagihkan kepada mereka yang memerlukan," katanya yang turun padang menyaksikan sendiri sukarelawan MM mengagihkan sumbangan. PASUKAN sukarelawan C4D mesra tatkala menyapa golongan gelandangan. Kehebatan sambutan Tsunami Baju amat memberangsangkan kerana C4D pernah menerima pakaian terpakai mencecah 2,000 kilogram dalam tempoh sebulan, dedah Zuhri. Selain mengagihkan sumbangan kepada gelandangan, baju berkenaan turut disalurkan kepada golongan fakir miskin dan mangsa bencana alam. Terdapat juga baju yang masih elok yang dijual semula bagi mengumpul dana dan menampung kos untuk program-program membantu golongan yang kurang bernasib baik. "Kami bukan organisasi berorientasikan keuntungan malah kami akan melakukan apa sahaja yang sepatutnya untuk meneruskan kesinambungan NGO ini," jelasnya. Agihan Menurut Zuhri, selain pakaian pihaknya juga turut menerima sumbangan selimut, buku-buku dan alatan permainan. "Asalkan setiap barangan itu berguna ia akan diagihkan. Kami mahu membantu golongan yang kurang bernasib baik supaya mereka memperoleh manfaat dalam jangka masa yang panjang," katanya. Menyentuh tentang program pembahagian sumbangan kepada gelandangan di Kuala Lumpur, ia melibatkan kawasan berdekatan Masjid India, Pasar Seni, Jalan Syed Putra dan Anjung Singgah di Bangsar, Kuala Lumpur. Program tersebut diadakan setiap hari Sabtu bermula pukul 6 petang dan berakhir kira-kira pukul 10 malam. Ia membabitkan kira-kira 70 sukarelawan Mercy Mission yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Sebanyak 500 pek makanan diedarkan sukarelawan termasuk beberapa kotak baju sepanjang hampir lima jam program itu berlangsung. | |
Gelandangan memerlukan sokongan Posted: Gelandangan memerlukan sokonganPROGRAM bantuan jangka panjang perlu dilakukan agar golongan gelandangan dapat mengubah keadaan hidup mereka. - Gambar hiasan GOLONGAN gelandangan mempunyai pelbagai latar belakang dan masalah sehingga menyebabkan punca sebenar masalah gelandangan gagal dikenal pasti. Ia diburukkan lagi apabila terdapat dalam kalangan gelandangan sukar untuk didekati, bersifat pasif dan enggan berkongsi masalah. Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Amaludin Ab. Rahman berkata, setiap data peribadi golongan gelandangan perlu direkodkan bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi setiap individu. "Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan golongan gelandangan ini lebih rela tidur di kaki lima dan hidup merempat. "Dalam kalangan gelandangan ini, ada yang tidak diterima keluarga, bekas penagih dadah dan bekerja tetapi memperoleh pendapatan minimum," jelas Amaludin yang mempunyai pengkhususan dalam Pengajian Dakwah dan Kepimpinan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sarannya, pelbagai pihak harus menumpukan perhatian dalam usaha membebaskan golongan gelandangan sama ada melalui bantuan keusahawanan atau pekerjaan selain sumber makanan dan tempat tinggal sementara semata-mata. "Penyusunan program jangan sekadar melibatkan pemberian berbentuk fizikal sebaliknya program yang memberi kesan positif dalam jangka masa panjang. "Kita yakin terdapat dalam kalangan gelandangan ini mahu bebas dari hidup merempat, tetapi tidak tahu saluran yang tepat untuk mengubah hidup mereka," katanya.
Ujar Amaluddin lagi, sekiranya terdapat dalam kalangan gelandangan beragama Islam, pengukuhan agama perlu dititikberatkan. Sementara itu, Pendakwah bebas, Ustaz Rosdi Long menerangkan bahawa Islam amat menggalakkan umatnya membantu insan yang lain dalam kesempitan. Bantuan Dalam konteks menghulurkan bantuan kepada gelandangan, Rosdi berkata, golongan tersebut termasuk dalam kelompok yang perlu dibantu kerana tidak berkemampuan. "Tindakan yang diambil badan bukan kerajaan (NGO), kerajaan dan pihak berkaitan menyediakan bantuan kepada golongan gelandangan adalah sangat wajar."Golongan gelandangan ini berada dalam kelompok yang wajib dibantu. Pusat khidmat masyarakat yang dibina khas untuk golongan gelandangan adalah menepati tuntutan syarak," katanya. Bagaimanapun tegasnya, ia tidak bermakna Islam membenarkan umatnya hidup meminta-minta dan meneruskan kehidupan dengan ihsan orang lain. "Hidup sebagai manusia menuntut kita berusaha untuk memperoleh kejayaan dan rezeki yang halal. Allah berfirman dalam surah al-Jumu'ah yang bermaksud, apabila selesai mendirikan solat maka, bertebaranlah kamu di muka bumi mencari rezeki. Ia jelas menunjukkan tuntutan berdikari dalam mencari rezeki. "Malah, Nabi Muhammad SAW meninggalkan pesanan, sesungguhnya para nabi itu makan daripada hasil usahanya sendiri," katanya. PIHAK berkuasa seperti JKM menyediakan lokasi penempatan sementara untuk golongan gelandangan. Usaha sendiri Mengulas lanjut, Rosdi berkata, Rasulullah SAW bersabda, mencari rezeki itu dapat menjauhkan seorang hamba Allah dari api neraka. "Sabda baginda, tangan yang kasar kerana bekerja mencari rezeki yang halal akan diharamkan dari api neraka. Dari hadis tersebut menunjukkan betapa besar nikmat dan pahala mencari rezeki atas usaha sendiri. "Maka, adalah lebih baik kita makan dan minum hasil daripada usaha sendiri berbanding bergantung harap dengan orang lain," ujarnya. Sementara itu sumber dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberitahu, gejala gelandangan di Kuala Lumpur adalah luar daripada bidang kawalan pihak berkuasa tempatan itu. Bagaimanapun, DBKL menyediakan pengurusan dari segi logistik seperti kenderaan untuk membantu Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) menjalankan kerja pemantauan. "Ramai orang menganggap kami mempunyai bidang kuasa dalam menguruskan golongan gelandangan ini walhal, bidang kuasa tersebut terletak pada JKM. "Hal ini berikutan, JKM menyediakan lokasi untuk penempatan sementara gelandangan termasuk merangka jenis bantuan untuk disalurkan sama ada meringankan beban golongan gelandangan atau mengurangkan masalah itu," ujar sumber tersebut. Namun katanya, DBKL memberikan kerjasama dengan JKM sekiranya organisasi kerajaan itu memerlukan bantuan daripada DBKL. - AHMAD ISYAFIQ MAD. DESA | |
Bangsal Kesenian hab seni di Asia Posted: Bangsal Kesenian hab seni di AsiaSELAIN lukisan dan arca, artis juga bijak menggunakan komponen kereta terpakai sebagai subjek utama dalam penghasilan produk seni. PUSAT Dagangan Antarabangsa Hong Kong menjadi tumpuan pelancong sejak berlangsungnya pameran seni bermula sejak bulan Mei ini. Ia merupakan kayu pengukur terbaik yang menunjukkan bahawa bandar itu sebagai hab kebudayaan dengan penganjuran pesta Bangsal Kesenian. Pertunjukan selama lima hari itu menarik pembeli golongan mewah, artis, pemilik galeri seni, orang kenamaan dan selebriti dari seluruh dunia. Setiap bahan pameran mempunyai elemen-elemen kesenian yang tinggi. Artis dari Jerman, Carsten Nicolai bersama seorang artis British, Tracey Emin ditugaskan oleh pihak Bangsal Kesenian untuk mengubah bangunan setinggi 118 tingkat yang terletak di Semenanjung Kowloon dengan warna-warna terang yang dipanggil Pulse. Warna terang itu juga menjadi tema kepada acara seni yang dijadualkan berlangsung semasa acara pembukaan pameran itu. Kebanyakan paparan yang diubah suai merupakan satu isyarat mewah di Hong Kong sebagai bandar ketiga terbesar di dunia yang mempunyai jualan lelong selepas New York dan London. Pelukis kebanggaan negara itu, Nadim Abbas yang telah menyertai pertunjukan di New York, Singapura dan London tampil dengan hasil karyanya bertajuk Apocalypse Postponed. PIHAK pempamer dan pekerja bertungkus lumus memasang lukisan di galeri Bangsal Kesenian sebagai persiapan akhir pameran. Seorang lagi pelukis tempatan ialah Lee Kit yang menggunakan lukisan, lakaran dan video. Karya seninya ini telah dipilih untuk mewakili negara itu dalam pertunjukan Venice Biennale di Itali tahun lalu. Bangsal Seni tersebut menarik sebanyak 245 penyertaan galeri seni dari seluruh dunia. Separuh daripada jumlah penyertaan itu datang dari Asia dan Asia Pasifik. Setiap galeri seni yang menyertai Bangsal Seni itu perlu membayar sewa untuk setiap tapak. Platform global Pengarah galeri, Nicole Schoeni memberitahu, pihaknya menjangkakan ramai muka baharu dalam arena seni yang hadir ke pameran itu. Jelasnya, walaupun pertunjukan itu memberi peluang kepada penggiat seni tempatan kepada platform global, namun tiada pertukaran idea galeri seni dan penggiat baharu. Bangsal Seni pertama dianjurkan pada tahun lalu yang menggantikan pameran Seni Hong Kong. Pameran tersebut dimulakan sejak tahun 2008 sebelum diambil alih oleh francais berprofil tinggi Bangsal Seni Swiss. Sementara itu, Pengarah Bangsal Seni untuk kontinjen dari Asia, Magnus Renfrew memberitahu, salah satu sumbangan terbesar dalam penglibatan pameran itu ialah untuk meningkatkan profil Hong Kong dan menjadikan negara itu sebagai pusat kewangan. Menurutnya, pameran seni itu akan dilihat oleh orang ternama yang terlibat dalam penganjuran 150 aktiviti kesenian. Ia merupakan satu pendedahan yang lebih besar kepada penggiat seni tempatan. KARYA lambakan pakaian dan barangan elektronik yang bertajuk Rem(a)inder dihasilkan oleh Michelangelo Psitolett dari Itali memukau pandangan pengunjung. "Kami terlibat dalam acara ini dan berharap dapat membantu menjana perbincangan mengenai seni di bandar ini. Saya juga melihat ia sebagai satu potensi pertumbuhan besar dalam arena seni di Asia. "Pasaran seni kini lebih cenderung untuk mengikuti kadar mata wang. Kini, negara Asia berjaya mengecap kejayaan penciptaan seni yang besar," ujarnya. Pameran seni itu turut menampilkan arca dengan menggunakan 8,000 kristal Swarovski daripada dua orang pengukir London iaitu Patrik Fredrikson dan Ian Stallard. Pertunjukan itu juga merupakan platform berbeza bagi artis tempatan untuk mempamerkan karya mereka. Gagosian, White Cube, Acquavella, Lehmann Maupin dan Pearl Lam merupakan antara galeri besar yang telah ditubuhkan di negara itu sejak dua tahun lalu. Arena seni tempatan juga semakin meriah. Bangunan-bangunan warisan mercu tanda di tengah-tengah bandar itu telah direka semula oleh artis dan pereka. Kerajaan Hong Kong juga sedang membangunkan aktiviti seni dan kebudayaan di kawasan pesisiran pantai di Kowloon dengan pembinaan Muzium Seni yang bertaraf dunia. Negara itu kini mempunyai pasaran seni yang mantap. Ia merupakan satu peringkat baharu dalam pembangunan yang akan mempengaruhi pemikiran dalam industri seninya. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |