{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Perginya Sultan yang bijaksana

Posted:

Perginya Sultan yang bijaksana

Perginya Sultan yang bijaksana

Oleh SOPI SAMAILE, SHAHRUL NOOR ISHAK,
MUHAMMAD AYMAN GHAFFA dan
DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

NAUNGAN diraja di bumi Darul Ridzuan dan harapan rakyat nyata terlihat kesinambungannya apabila Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Yussuff Izzuddin Shah diputerakan pada 19 April 1928 di Batu Gajah, Perak.

Putera kedua Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Nasruddin Muhtaram Shah dan Yang Teramat Mulia Toh Puan Besar Hatijah Datuk Setia Wangsa Ahmad itu digambarkan sebagai seorang kanak-kanak yang manja dengan sanak saudaranya.

Almarhum Sultan Azlan Shah dibesarkan di Batu Gajah dan menerima pendidikan awal di Sekolah Inggeris Kerajaan Batu Gajah yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yussuff.

Sewaktu kecil, bondanya memanggil Almarhum baginda dengan nama manja, Lan. Saudara terdekat pula memanggil Almarhum dengan nama Raja Lan atau Ku Cik.

Almarhum gemar berlumba basikal selepas waktu persekolahan. Usai penat bermain hoki bersama kawan-kawan pada waktu petang, Almarhum akan pergi ke rumah sepupu atau ibu saudaranya untuk makan makanan kegemarannya iaitu kue tiau goreng.

Walaupun berketurunan raja, Almarhum dibesarkan dalam persekitaran masyarakat orang kebanyakan. Persekitaran itu memberi peluang kepada Almarhum untuk mematangkan diri melalui kehidupan di luar sangkar emas.

Almarhum Sultan Azlan Shah merupakan seorang pelajar yang aktif dan cergas sewaktu zaman persekolahan. Almarhum merupakan seorang pelari pecut acara 100 ela (91 meter), 200 ela (183 meter) dan lari berganti-ganti.

Pada tahun 1948 hingga 1950, Almarhum terpilih mewakili Pasukan Melayu Perak dan negeri Perak dalam permainan hoki. Dengan bentuk tubuh yang kecil, Almarhum bermain di posisi penyerang tengah kerana kemampuannya berlari pantas.


ALMARHUM Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri, Tuanku Bainun semasa pertabalan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada tahun 28 April 1989.


Selain cemerlang dalam arena sukan, Almarhum juga diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua pengawas untuk memimpin pelajar di Sekolah Inggeris Kerajaan Batu Gajah pada tahun 1948.

Almarhum mengambil peperiksaan Senior Cambridge untuk melanjutkan pelajaran ke Maktab Melayu Kuala Kangsar selama setahun untuk melayakkan diri ke peringkat universiti. Ketika itu, ayahanda Almarhum telah ditabalkan sebagai Sultan Perak yang ke-32 pada 31 Mac 1948.

Sewaktu menuntut di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Almarhum mengikuti kursus khas dalam dua mata pelajaran iaitu sastera Inggeris dan bahasa Latin. Kedua-dua mata pelajaran itu merupakan persediaan awal untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di England.

Sejurus tamat pengajian di Maktab Melayu Kuala Kangsar, Almarhum meninggalkan tanah air pada 31 Disember 1950 untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang di University of Nottingham, England.

Sewaktu pengajian, Almarhum dan sukan hoki bagai tidak dapat dipisahkan. Sultan Azlan Shah bermain hoki untuk pasukan universiti dan daerah Nottingham. Almarhum merupakan satu-satunya pemain hoki yang bukan berkulit putih menerima pingat emas ketika peringkat universiti.

Tamat pengajian

Tiga tahun bertungkus lumus, Almarhum akhirnya berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang ketika berusia 25 tahun. Pada bulan November 1954, Almarhum diterima masuk ke Badan Peguam Inggeris The Honourable Society of Lincoln's Inn, London setelah melalui satu ujian.

Selama empat tahun Almarhum Sultan Azlan Shah berada di luar negara, pelbagai perkara yang dipelajarinya. Melalui pergaulan dengan masyarakat Inggeris, Almarhum turut mempelajari nilai-nilai positif dalam kehidupan mereka seperti mementingkan kebersihan, menghargai masa dan ketepatan waktu.


ALMARHUM Sultan Azlan Shah bergambar bersama keluarga semasa istiadat mengangkat sumpah sebagai Paduka Seri Sultan Perak yang ke-34 pada 31 Januari 1984.


Selepas menamatkan pengajian di University of Notthingham, Almarhum Sultan Azlan Shah kembali ke tanah air dan memulakan kerjayanya dengan Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Ipoh pada tahun 1954.

Tidak sampai setahun berkhidmat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Almarhum memilih untuk memasuki bidang perkhidmatan yang menepati kelulusan akademiknya iaitu bidang perundangan dan kehakiman.

Bermula saat itu, Almarhum telah bertukar ke Kuala Lumpur lalu dilantik sebagai majistret kelas pertama bermula tahun 1955 hingga 1956.

Rekod cemerlang

Kematangan dan kecekapan Almarhum Sultan Azlan Shah dalam kerjaya semakin menyerlah. Almarhum dilantik memegang jawatan penting iaitu sebagai Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur antara tahun 1962 hingga 1963.

Pada tahun 1963, Almarhum Sultan Azlan Shah dinaikkan pangkat dan bertukar jawatan sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan sehingga tahun 1965 dan ketika itu, Ketua Hakim Negara yang pertama ialah Tun Sir James Thomson.

Thomson melahirkan rasa kagum dengan rekod cemerlang, kebolehan dan kearifan Almarhum Sultan Azlan Shah serta yakin baginda mempunyai potensi dan peluang untuk menduduki tangga yang paling tinggi dalam institusi kehakiman.

Dengan keyakinan itulah, Thomson mencadangkan supaya Almarhum Sultan Azlan Shah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Tanah Melayu pada tahun 1965 ketika usia baginda 37 tahun.

Almarhum Sultan Azlan Shah terus mendaki tangga kerjaya apabila dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1979 sebelum dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang kelima pada tahun 1982.

Setahun kemudian iaitu pada Julai 1983, Almarhum Sultan Azlan Shah telah dilantik sebagai Raja Muda Perak.

Dua tahun kemudian, selepas Sultan Idris Iskandar Shah mangkat pada 31 Januari 1984, Dewan Negara telah bersetuju melantik Almarhum yang ketika itu Raja Muda Azlan Shah sebagai Sultan Perak ke-34.

ALMARHUM Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun berangkat meninggalkan Istana Iskandariah selepas Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir pada 6 Februari 2009.


Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu di Istana Negara, Kuala Lumpur telah berkenan melantik baginda sebagai Duli Yang Maha Mulia Timbalan Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa 26 April 1984.

Pada 26 April 1989 pula, Almarhum Sultan Azlan Shah dilantik sebagai Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang kesembilan.

Dalam pada itu, Almarhum Sultan Azlan Shah mempunyai perawakan yang peramah dan disenangi ramai, ditambah pula dengan minatnya dalam bidang sukan menjadikan Almarhum seorang yang popular serta mempunyai ramai kenalan.

Semasa menjadi hakim, Almarhum Sultan Azlan seorang yang serius dan begitu teliti mendengar hujah-hujah yang disampaikan, manakala dalam keadaan biasa, Almarhum suka berjenaka dan mendengar cerita kawan-kawannya.

Bagi yang pernah menghadap Almarhum, mereka berasa selesa dan tenang apabila berhadapan dengan Almarhum.

Sebagai Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah merupakan ketua hal-ehwal agama Islam bagi negeri itu dan Almarhum menolak sebarang gerakan pelampau agama yang memecahbelahkan perpaduan ummah.

Almarhum mahu melihat perkembangan Islam yang sederhana, penuh toleransi dan umat Islam menjadi ikutan kepada orang bukan Islam.

Khidmat Pir Ali dukun Pakistan

Posted:

Khidmat Pir Ali dukun Pakistan

Khidmat Pir Ali dukun Pakistan

DUA lelaki berdoa di kawasan khas selepas mendapat khidmat bomoh.


SAMA ada untuk menawan cinta seseorang atau mendapatkan kenaikan pangkat, para pengamal ilmu hitam di Pakistan mendakwa mereka boleh melakukan semua perkara sekiranya dibayar dengan hati yang ikhlas.

Walaupun ada orang mengatakan, ia merupakan satu jenis penipuan, para pengamal ilmu hitam berkenaan masih berterusan menjalankan kegiatan mereka yang bertentangan dengan ajaran Islam.

"Hubungi kami segera untuk memastikan semua urusan anda diselesaikan ketika anda sedang duduk berehat di rumah," demikian petikan iklan muka penuh yang banyak disiarkan di beberapa akhbar di Pakistan.

Seorang pengamal ilmu itu, Pir Ali Hussain Shah, 55, mendakwa, dukun-dukun boleh membantu orang yang mempunyai masalah dalam percintaan, menundukkan majikan serta memenangi loteri.

Ujar Pir Ali, perkara tersebut berhasil dilakukan dengan menggunakan beberapa jampi mengikut cara tertentu berdasarkan petikan ayat al-Quran.

Lelaki tersebut turut mendakwa, dia melakukan pekerjaan tersebut untuk tujuan kemanusiaan dan menyediakan khidmat melalui sumbangan ikhlas daripada pelanggan.

"Orang yang gembira dengan kerja saya dan mendapat ketenangan akan kembali kepada saya dengan memberi duit. Duit itu pula saya beli makanan untuk disedekahkan kepada orang yang memerlukan," kata Pir Ali.

Ikhlas

Dia menambah, iklan disiarkan dalam akhbar mingguan di Pakistan itu juga merupakan sumbangan daripada pelanggan yang berpuas hati selepas mendapat khidmatnya.

Menurut Pir Ali, pelanggan berkenaan meminta bantuannya selepas dipaksa berkahwin dengan lelaki pilihan keluarga sedangkan wanita itu bercadang mengahwini kekasihnya, seorang jejaka kacukan Inggeris-Pakistan.

"Wanita itu datang berjumpa saya dan memberitahu tujuannya. Selepas seminggu membaca jampi untuk tujuan itu, dia akhirnya dibenar oleh keluarga untuk berkahwin dengan lelaki pilihannya," dakwa Pir Ali.

Bagi melakukan jampi, Pir Ali menggunakan beberapa kaedah tradisional iaitu menulis ayat al-Quran di atas kertas dan membuat lipatan tertentu sebelum diikat di leher pelanggannya seperti tangkal.

Bagi kaedah lain pula melibatkan bacaan al-Quran dan kemudian meniup ke arah air untuk diminum oleh pelanggannya.

Bagi keadaan tertentu, jampi tersebut boleh dilarutkan di dalam air untuk diberikan kepada musuh. Sebilangan pengamal ilmu hitam lain pula mensyaratkan korban ayam atau kambing hitam.


SEORANG bomoh (kiri) memberi khidmat kepada pelanggannya dari atas katil.


Amalan memberi sedekah kepada golongan memerlukan menggunakan hasil upah membuat jampi dikatakan membantu mereka mendapatkan doa yang lebih mustajab.

Bagi suri rumah, Razia Bibi, 45, dia percaya keluarganya akan mendapat kehidupan dan kesihatan yang baik sekiranya melakukan ritual ziarah terhadap lelaki yang dianggap suci, Syed Izhar Bokhari di Rawalpindi.

Beliau mendakwa telah melakukan ritual itu sejak 25 tahun lalu dan berjaya keluar daripada segala masalah.

Bertentangan

Bagaimanapun, Mufti Masjid Merah Islamabad, Tehsinullah berkata, hukum mengamalkan ilmu hitam jelas dinyatakan di dalam hadis Nabi Muhammad SAW sebagai haram.

Katanya, mengamalkan ilmu hitam dan menjadikan ia sebagai jalan mendapatkan wang adalah bertentangan dengan syariah. Malah, terdapat kes-kes pengamal ilmu hitam menganiaya gadis-gadis muda.

Dalam satu kejadian pada tahun 2011, seorang pengamal ilmu hitam, Mohammad Saleem ditahan polis kerana mengadakan hubungan seks bersama pelanggan wanita berstatus isteri orang disebabkan ingin melahirkan bayi lelaki.

Akibat perbuatan itu, dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan didenda AS$100 (RM340). Namun, dia dibebaskan dua tahun kemudian selepas wanita berkenaan menarik balik kenyataannya kepada mahkamah.

Selain itu, terdapat juga beberapa kes pelanggan yang enggan membuat laporan kepada pihak berkuasa selepas berasa tertipu.

Pemandu teksi, Irfan Ahmed, 26, pernah meminta bantuan pengamal ilmu hitam kerana jatuh cinta terhadap seorang wanita dan berhabis wang, namun wanita itu akhirnya berkahwin dengan lelaki lain.

Dia pula enggan membuat laporan polis kerana malu manakala pihak polis pula menganggap dakwaan sedemikian sebagai remeh. - AFP

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat