Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Rahsia pulau berbentuk nangkaRIMBUNAN pohon yang tumbuh menghijau kelihatan melambai-lambai tatkala desiran angin pantai menghembus perlahan ke arah Pulau Nangka di perairan Selat Melaka. Pulau berbatu yang terletak kira-kira 4 kilometer dari Pulau Besar, Melaka itu dikenali dalam kalangan orang awam disebabkan keindahan semula jadi yang dimilikinya. Selain air laut yang jernih, pasir-pasir halus berwarna putih turut menyelimuti seluruh pesisiran pantainya. Namun begitu, sejak beberapa bulan lalu, pulau yang tidak berpenghuni itu mula menjadi tumpuan berikutan dakwaan ia menyimpan harta karun bernilai berbilion ringgit, milik sultan terakhir Kesultanan Melayu Melaka, Sultan Mahmud Shah. Dokumentasi Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Universiti Malaysia Perlis, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, dokumentasi yang terdapat dalam sejarah Malaysia menunjukkan Sultan Mahmud Shah telah melarikan diri selepas dikejar oleh Portugis. "Saya rasa ada benarnya dakwaan sesetengah pihak bahawa wujud harta karun di pulau tersebut memandangkan pada waktu itu, Sultan Mahmud melarikan diri ke beberapa kawasan seperti Bertam, Batu Hampar dan Pagoh. "Dalam usaha untuk menyelamatkan hartanya daripada dirampas oleh pihak Portugis, tidak mustahil Sultan Mahmud ada menyimpan sebahagian daripada harta-hartanya di beberapa tempat dan salah satu daripada longgokan harta tersebut berkemungkinan ada di pulau tersebut," ujarnya kepada Jurnal. GAMBAR sebahagian pekerja yang menjalankan operasi memburu harta karun yang dirakam baru-baru ini. Namun begitu, ujar Ramlah, peristiwa yang berlaku pada tahun 1511 itu telah berlalu kira-kira 800 tahun. Jika benar harta karun wujud di pulau tersebut, usaha untuk mencari galinya mungkin mengambil masa yang agak lama kerana ia telah tertimbun jauh ke dasar pulau. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek Negeri Melaka, Datuk Abdul Ghafaar Atan berkata, kewujudan harta karun tersebut tidak dapat disangkal lagi selepas pihaknya melihat beberapa keping foto daripada pihak tertentu yang pernah memasuki gua yang ada di pulau tersebut. "Setelah meneliti rakaman foto individu yang pernah masuk ke kawasan tersebut, dan mengkaji sejarah Kesultanan Melayu Melaka, saya percaya harta karun itu benar-benar wujud. "Tetapi, harta tersebut amat sukar untuk diperoleh walaupun pelbagai usaha mencari dijalankan sejak 30 tahun lalu," katanya. Ujarnya, hal tersebut berkemungkinan disebabkan kekangan perkakasan yang digunakan memandangkan operasi pencarian di kawasan berbatu itu memerlukan peralatan moden yang berteknologi tinggi. Operasi mencari harta karun Sultan Mahmud diperluaskan sejak empat bulan lalu dengan pelantikan syarikat Smart Partnership International (M) Sdn. Bhd., yang dipertanggungjawabkan untuk mencari gali harta tersebut. Menurut Pengarah Urusannya, Mohammad Foad Khushairy Mohd. Said, pihaknya mula menjejakkan kaki ke pulau tersebut pada bulan Julai 2012 setelah diberi kepercayaan oleh pihak kerajaan untuk menjalankan misi tersebut. "Pada waktu itu, kami hanya menjalankan penyelidikan mengenai harta karun seperti yang digembar-gemburkan umum. "Namun, selepas menemui beberapa petanda yang menunjukkan kewujudan harta karun di pulau itu seperti ukiran batu berbentuk bulan sabit, kami yakin dakwaan tersebut benar," ujarnya. BATU di permukaan pulau diimbas menggunakan mesin pengimbas sebelum ditebuk dengan mesin penggerudi. Pulau batu Bukan itu sahaja, tambah Foad, di permukaan batu tersebut, turut tertera perkataan seperti nama manusia, iaitu Muhammad bin Abdullah dan Almahdi selain penemuan lakaran orang Islam menunaikan solat dan batu berbentuk buah nangka. Penelitian awal mendapati, kesemua batu tersebut diperbuat daripada batu kuarza sebelum dicantum pada batu laut. Jelasnya, keseluruhan operasi yang dijalankan sejak awal tahun lalu itu menelan belanja kira-kira RM1 juta yang meliputi penyediaan peralatan, tenaga kerja dan logistik. "Dalam usaha mengesan harta karun tersebut, kami menggunakan alat pengimbas bumi berteknologi tinggi. Hasil imbasan tersebut, kami yakin wujud harta karun dan artifak di pulau ini. "Jadi, untuk mendapatkan barangan tersebut, kami terpaksa membuat pintu baharu bagi menembusi ruang bawah kawasan ini dan membolehkan kami masuk ke dalam bilik-bilik yang terdapat di sini," ujarnya. Tambah Foad, hasil daripada imbasan awal yang dijalankan, pulau tersebut didapati mempunyai 20 buah bilik. Kesemua bilik tersebut dipercayai dibina pada zaman kemuncak Kesultanan Melayu Melaka. Disebabkan dinding batu jenis berlian kuari itu mempunyai ketebalan sehingga 5 meter, selain berketinggian 8 meter dari puncak bukit, syarikat tersebut terpaksa mengambil masa selama hampir dua tahun bagi menjalankan kerja-kerja penebukan lubang. Sebelum ditebuk, kesemua dinding diimbas menggunakan mesin pengimbas khas bagi mengenal pasti lorong-lorong yang boleh ditembus masuk. "Pada mulanya kami hanya menggunakan seramai 23 tenaga kerja yang pakar dalam melakukan kerja-kerja menebuk bongkah konkrit. "Namun, disebabkan struktur batu yang dibina terlalu kukuh dan padat, kami mengalami kesukaran untuk menebuk dinding tersebut sehingga terpaksa menambah bilangan tenaga kerja seramai 17 orang lagi pada Isnin lalu," ujarnya. LUBANG gua yang menjadi laluan utama ke ruang yang menempatkan harta karun. Artifak Usaha keras yang dilakukan selama hampir empat bulan itu membuahkan hasil sekali gus membuktikan kewujudan harta karun di pulau tersebut apabila dua keping syiling berjaya ditemui pada malam Khamis lalu. Kedua-dua artifak itu ditemui dengan diameter 6 sentimeter berbentuk bulat dan berwarna kuning. "Salah satu daripada artifak tersebut dipercayai daripada zaman kerajaan Majapahit berdasarkan lima barisan huruf yang tertera di permukaannya manakala artifak kedua bertulis kalimah Allah dalam tulisan jawi. "Artifak tersebut ditemui dalam keadaan berpasir di dalam tiub penggerudi ketika salah seorang pekerja kami menggerudi dinding batu," ujarnya. Dalam pada itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, syiling tersebut akan dihantar ke makmal dan Jabatan Wasiran Negara bagi memastikan keasliannya. "Prosedur tersebut dilaksanakan bagi memastikan sama ada medal tersebut diperbuat daripada emas atau tembaga selain mengetahui usianya. "Selain itu, ujian itu perlu bagi memastikan artifak tersebut memang benar berasal dari zaman Kesultanan Melayu Melaka," katanya. Tambah Idris, jika kesemua harta di Pulau Nangka berjaya ditemui dan dibawa keluar, ia akan diserahkan mengikut Akta Warisan Negara. Namun jika harta tersebut ditemui, tetapi gagal dibawa keluar, pihaknya akan menjadikan pulau tersebut sebagai produk pelancongan baharu negeri Melaka. | |
Posted: Audri gemar melancongOleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR WANITA ini lebih gemar membelanjakan wang untuk melancong berbanding membeli-belah. TUBUH kecil dan langsing seakan-akan menyembunyikan umur sebenar wanita kelahiran Johor Bahru yang juga tulang belakang kepada produk kosmetik berasaskan mineral asli 100 peratus, Ronasutra. Pengarah Produk dan Pembangunan Jenama syarikat itu, Audri Zin, 38, mempunyai cara tersendiri untuk mengelakkan diri daripada dimamah usia. "Rajin bersenam dan mengambil makanan tambahan merupakan rahsia saya kelihatan seperti awet muda. "Kalau diikutkan, saya suka makan. Boleh dikatakan kesemua jenis masakan akan saya cuba. Untuk itu saya perlu rajin bersenam bagi membakar kalori yang berlebihan. "Saya juga tidak pernah lupa untuk mengambil makanan tambahan supaya tubuh mendapat kesemua nutrisi yang diperlukan," ujarnya yang ditemani suami, Firdaus Mohamed, 38. Bercerita mengenai hobi, ibu kepada dua orang anak ini memberitahu, dia gemar melancong dan menonton wayang bersama keluarga."Melancong banyak memberikan pengalaman baharu khususnya selepas melihat budaya dan cara hidup masyarakat di sesebuah tempat. "Setakat ini, hampir kesemua negara Eropah sudah saya jejaki. Kini, saya bercita-cita untuk melawat negara-negara di benua Afrika pula," jelasnya yang menyifatkan dirinya sebagai workaholic atau seorang yang gila bekerja. Jika kebanyakan wanita suka menghabiskan lebihan perbelanjaan dengan membeli-belah tetapi tidak bagi Audri. "Saya lebih gemar membelanjakan wang tersebut dengan pergi melancong.
"Saya berpendapat melancong untuk melihat tempat orang lebih penting daripada membeli-belah. "Secara purata, setiap tiga bulan sekali saya akan melancong ke luar negara. Rakan-rakan juga sudah faham akan hobi mengembara saya," kata lulusan undang-undang daripada Universiti Manchester, United Kingdom (UK) ini. Beritahu Audri, dia bercita-cita untuk memenuhi masa terluang dengan melancong apabila perniagaannya berada pada tahap yang memuaskan kelak. Gila bekerja "Saya seorang yang gila bekerja. Malah, saya sanggup bekerja selama 24 jam sehari kalau ada produk baharu yang hendak dihasilkan. "Ini kerana saya terlibat dalam projek penyelidikan dan pembangunan produk selain mahu menjaga kualiti produk berkenaan," jelasnya. Ujar Audri, dia dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan bahasa Inggeris. "Ayah dahulu seorang pengetua sekolah dan sangat tegas mendidik kami dengan menggalakkan kami membaca dan bercakap dalam bahasa Inggeris di rumah. "Malah, kami akan didenda dan tidak mendapat duit poket sekiranya kami tidak bertutur dalam bahasa antarabangsa itu," tambahnya sambil memberitahu, ibunya juga pernah dimarahi ayahnya sekiranya tidak bercakap dalam bahasa itu dengan anak-anak. Beritahu Audri, ketegasan ayahnya yang mementingkan mereka bertutur dalam bahasa Inggeris sememangnya banyak kebaikannya. "Sebenarnya apabila kita fasih berbahasa Inggeris, ia sangat membantu dalam bidang pekerjaan. "Kita juga akan berasa lebih yakin untuk bercakap dan berurusan dengan orang lain," katanya yang turut menjadikan bahasa itu sebagai medium komunikasi bersama suami dan anak-anaknya di rumah. PRODUK kosmetik Ronasutra menggunakan 100 peratus mineral asli dan diformulakan untuk merawat semua jenis kulit wajah bermasalah. Bercerita mengenai perniagaannya, Audri berkata, idea untuk menghasilkan bedak muka mineral dan bebas bahan kimia jenama Ronasutra itu timbul selepas melihat kulit wajah adiknya yang sedang belajar di UK pulih daripada masalah jerawat hasil pemakaian produk kosmetik mineral. "Melihatkan kulit wajahnya yang berubah menjadi cantik itu saya mendapat ilham untuk memasarkan produk kosmetik mineral ini. "Saya mencipta formula sendiri untuk Ronasutra iaitu dengan mengadunnya dengan lebih banyak bahan mineral bagi merawat kulit wajah bermasalah," ujarnya. Katanya, sejak tahun 2007 hingga 2010, dia mencari, mencuba dan memperbaik formula bedak muka Ronasutra untuk mendapatkan hasil terbaik, termasuk mengujinya pada wajahnya sendiri. Produk keluaran tempatan yang dijual pada harga bermula dari RM38 hingga RM58 itu mengambil kira keperluan pengguna beragama Islam apabila ia dijamin halal. "Sejak zaman universiti lagi, saya sangat meminati barangan kosmetik terutama bedak muka dan bedak asas hinggakan banyak duit poket saya habis digunakan untuk membeli bermacam-macam jenama bedak muka. "Saya juga pernah mendapat latihan profesional dalam bidang formulasi kosmetik di beberapa negara seperti India, Belanda, Itali dan Jepun," jelasnya yang merancang untuk menembusi pasaran antarabangsa pada masa depan. | |
Pertanian bidang beri pulangan lumayan Posted: Pertanian bidang beri pulangan lumayanOleh HAFIZ ABBAS MUHYIDDIN (dua dari kanan) melawat gerai pameran pada program Pemerkasaan Ekonomi Melayu dan Bumiputera Menerusi Keusahawanan di Pusat Bimbingan Usahawan Pagoh, Pagoh, Johor semalam. Turut kelihatan Ismail Sabri (tiga dari kiri). RAKYAT di negara ini perlu melihat bidang pertanian bukan sebagai sektor tradisi sahaja, sebaliknya dalam skop yang lebih besar. Pertanian merupakan satu bidang perniagaan yang amat luas dan mampu memberi pulangan lumayan jika dilakukan dengan penuh komited serta bersungguh-sungguh. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jika diperhatikan kini, hasil pertanian yang dikeluarkan di dalam negara bukan sahaja boleh dipasarkan secara domestik, malah sehingga ke pasaran antarabangsa. Menurutnya, kerajaan telah berusaha sedaya upaya dalam membantu rakyat menceburi bidang pertanian dengan mengambil pelbagai langkah signifikan. "Antara langkah yang diambil ialah memudahkan pinjaman dibuat oleh usahawan tani menerusi beberapa institusi kewangan dan pembangunan usahawan. "Salah satu institusi yang dilihat efektif ialah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional yang mana peminjam boleh membuat pinjaman maksimum RM100,000 tanpa cagaran dan penjamin untuk mengembangkan lagi perniagaan termasuk pertanian," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Pemerkasaan Ekonomi Melayu dan Bumiputera menerusi Keusahawanan di pekarangan Pusat Bimbingan Usahawan Pagoh di Pagoh, Johor semalam. Pada program tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh hadir bagi merasmikannya. Ismail Sabri memberitahu, sejak tahun 1998, TEKUN telah memberi pinjaman kepada 287,375 peniaga dengan jumlah wang mencecah RM3 bilion dan ia menunjukkan keprihatinan kerajaan untuk merealisasikan hasrat melahirkan ramai usahawan termasuk dalam sektor pertanian. Katanya, kerajaan turut mengambil langkah proaktif dengan menyediakan tapak perniagaan agrobazar di luar negara bagi memastikan hasil pertanian Malaysia dapat dipasarkan dengan lebih meluas. "Sebelum ini, hasil pertanian kita hanya berada di pasar raya besar orang lain, namun sekarang, kita akan memiliki outlet sendiri di luar negara iaitu agrobazar yang pertama kita bakal dibuka di Singapura pada awal Jun ini. "Outlet kedua pula dijangka dibuka di Acheh dalam bulan Jun sebelum mengembangkan sayap ke Guang Zhou, China dan Hong Kong," ujarnya. Dalam pada itu, beliau meminta usahawan tani menjadi lebih kreatif dalam memasarkan produk mereka bagi mengurangkan persaingan sesama sendiri. "Kita perlu menghasilkan sesuatu produk yang lebih kreatif dan cuba mengelak daripada menghasilkan produk yang sama. Sebagai contoh, kita hanya membuat cili sos dan tidak buat produk lain. "Akhirnya, kita terpaksa bersaing sesama sendiri dan situasi ini amat merugikan kita," katanya. Dari segi pengeluaran pula, beliau meminta usahawan tani berupaya untuk memenuhi permintaan dengan menghasilkan produk berkualiti serta bermutu selain cara pembungkusan yang menarik. Sementara itu, Muhyiddin pula berkata, usaha untuk melahirkan usahawan bumiputera termasuk dalam bidang pertanian amat dititikberatkan oleh kerajaan bagi mencapai sasaran 30 peratus golongan itu menjelang tahun 2020. "Sehingga kini, difahamkan kita sudah mencapai sasaran hampir 24 peratus. "Dalam tempoh enam tahun akan datang, kita percaya ia boleh dicapai dengan menyediakan latihan yang tepat kepada golongan ini," ujar beliau. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |