Kosmo Online - Stailo
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Stailo |
Buang imej sebagai manusia sempurna Posted: Buang imej sebagai manusia sempurnaOleh ALIF ABU BAKAR SENYUMAN mengiringi butir-butir kata dari mulut lelaki itu. Dekahan kecil sesekali menyulami sela jenakanya. Penuh santun, sederhana dan ramah berbicara, karakter murni itu masih tersemat rapi dalam keperibadian Wilson Tan Siong Ping. 32 tahun usianya. Sepanjang itu juga, dia melayari peralihan hierarki hidup yang mengujakan. Diawali sebagai jurutera kimia di Petronas kemudiannya melompat drastik ke pentas peragaan. Sekarang dia berjinak-jinak pula dalam dunia lakonan. Muncul sebagai aktor jemputan untuk sebuah telemovie berjudul Peace In Love pada tahun lalu, Wilson menggunakan kesempatan itu semaksimum mungkin. Babak kecil daripada telemovie Taiwan itu berhasil mengunci tawaran buatnya tampil di layar perak. Filem My Mr. Right bakal memperlihatkan bakat lakonan kepunyaan lelaki dari Gerik, Perak itu. Menggabungkan produksi dan pelakon dari Taiwan, Malaysia dan China, karya yang telah tamat penggambaran itu dijadualkan memasuki pawagam menjelang bulan Julai atau Ogos depan. Seperti debaran mengepalai model-model di atas pentas peragaan, begitu jua gementar Wilson menantikan komentar para penonton. Dia mengakui, peragaan dan lakonan adalah dua cabang seni yang berlainan. Kemahiran memancar pelbagai ekspresi wajah dan menzahirkan bahasa badan menerusi cara berjalan dan penggunaan postur yang betul selama bergelar model sukar diadaptasi ke dalam kancah lakonan. Ideologi yang mengaitkan model sebagai manusia 'sempurna' menjadi cabaran terbesar Wilson. Beberapa kali dia ditegur pengarah agar tidak terlalu menjaga postur badan dan lebih natural ketika berjalan. "Model tidak perlu berdialog tetapi apabila berlakon saya kena belajar memadankan intonasi suara, ekspresi muka dan pergerakan tubuh membentuk satu karakter berbeza," penuh semangat Wilson memula cerita.
Lempang orang Memegang salah satu peranan utama, watak Wilson pada luaran menepati fizikal asalnya - tinggi lampai dan kacak. Begitupun, sifat dalaman karakter bawaan Wilson sangat kontra dengan dirinya yang sebenar. Sebagai lelaki baran dan bengis, watak Wilson dalam filem itu juga menuntutnya memaki dan melempang orang. Itu babak paling sukar untuk dipersembahkan Wilson di hadapan kamera. Ditambah pula keterpaksaan menjadi perokok tegar, sedangkan dia bukan seorang perokok. Menukar kepekatan bahasa Mandarin orang Cina Malaysia kepada slanga Taiwan juga antara pelajaran unik yang diperoleh Wilson sepanjang penggambaran. Pengalaman seperti itulah yang menyatu kepuasan Wilson sebagai aktor baharu. Bagi meraih gelaran pelakon, dia rela mendaki dari bawah, mempelajari perkara-perkara asas dan mengambil setiap teguran sebagai nasihat. "Sesudah melepasi fasa awal ini, saya pun tidak menyangka yang saya mampu melakukannya," teruja mengisi luahan Wilson ketika ditemui Kosmo! di Studio Utusan Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini. Kendatipun hasilnya belum dinilai umum, lelaki setinggi 190 sentimeter itu telah pun dilamar produksi dari China untuk tiga buah filem. Enggan tergesa-gesa mengiyakan persetujuan, dedah Wilson, skrip menjadi pertimbangan utama. Antara skrip dan watak idamannya adalah untuk filem bergenre seram dan aksi. Sementelah ligat mengasah karier lakonan, anak kedua daripada tiga adik-beradik itu masih belum bersedia mengambil tawaran filem berbahasa Melayu kerana kurang yakin dengan kefasihannya bertutur penuh dalam bahasa kebangsaan itu. Berbual panjang bersama penyandang gelaran Model Lelaki Terbaik 2012 pada pertunjukan fesyen tahunan Mercedes-Benz Stylo Fashion Grand Prix itu turut mendedahkan sisi sederhana yang banyak membentuk dirinya. Mungkin ada yang tidak mengetahui, pada tahun 2011, Wilson pernah mengasingkan diri selama sebulan untuk menjadi sami di Bangkok, Thailand. Niat itu pada awalnya ditentang ibunya yang bimbang Wilson akan memilih kehidupan sebagai sami seumur hidup, sekali gus menutup peluang untuk mendirikan rumah tangga.
Meditasi Namun keikhlasan untuk mengenal kembali diri yang asal akhirnya direstui ibu Wilson. Selama tempoh singkat itu, rutin hariannya bermula seawal pukul 4.30 pagi. Dia hanya boleh makan sebelum 12 tengah hari dan berpuasa sehingga keesokan hari. Satu jam pula diperuntukkan untuk bermeditasi. "Waktu itu, saya menerima banyak anugerah dan pengiktirafan. Dalam diam sikap saya berubah menjadi orang yang bangga diri. Menjadi sami adalah cara bagi saya mematahkan nilai-nilai negatif yang mula menjalar dalam diri. "Hasilnya sangat memuaskan. Saya belajar untuk menghargai apa yang ada di sekeliling kita, elakkan merungut dan menerima setiap ketentuan dengan hati terbuka serta fokus kepada masa depan. "Ia menyedarkan saya betapa tidak pentingnya paras rupa dan kekayaan kerana ia tidak boleh dibawa bila kita mati. Tujuan kita hidup adalah mencari kebahagiaan dan persediaan kehidupan selepas kematian," indah prinsip pegangan Wilson. Kerendahan hati Wilson itu jugalah yang membuatkan dia selesa bersederhana dalam setiap perkara. Malah dia tidak ralat meninggalkan dunia glamor yang sedang memuncak namanya demi kehidupan biasa di kampung halaman. Lima tahun adalah baki jangka masa baginya untuk aktif dalam bidang peragaan. Selepas itu, Wilson mahu pulang ke Gerik dan meneruskan perusahaan hotel dan pasar raya ibu bapanya. Perniagaan keluarga yang bermula daripada sebuah kedai runcit itu memerlukan penyambung. Dia berasa bertanggungjawab untuk melunaskan hasrat ibu bapanya dan Wilson tidak keberatan. Kakaknya yang bertugas sebagai guru kini sibuk menguruskan keluarga sendiri manakala adiknya selesa dengan kerjaya sebagai seorang doktor pakar. | ||
Posted: Estetika feminin JLuxe
PEREKA fesyen tempatan, Jovian Mandagie baru-baru ini melancarkan koleksi JLuxe untuk butik dalam talian, Zalora Malaysia (Zalora). JLuxe merupakan rekaan baharu kepada koleksi sedia pakai pereka itu yang menampilkan nilai elegan dan eksklusif. Setiap helaian JLuxe diintegrasi menawan bersama kombinasi warna kontra dan terang. Cetakan harimau bintang juga kelihatan pada beberapa rekaan sebagai cerminan gaya remaja dan segar buat si pemakai. Tahun ini, Jovian menghasilkan 13 rekaan menerusi JLuxe. Antaranya, baju kurung moden, kurung peplum dan dres labuh. Urban sederhana Menepati cita rasa gaya wanita moden, JLuxe menghimpunkan elemen yang mewakili tenaga, elegan dan stail sopan tetapi masih memiliki kemewahan fesyen. Ia mendukung estetika feminin, sesuai untuk kelompok wanita yang dahagakan penampilan urban sederhana. Penggunaan material seperti poli krep, Jacquard dan renda bersama perincian sulaman renda, manik kaca dan perhiasan halus menambah keanggunan dan seri kepada koleksi tersebut. "Kami berbesar hati dapat menawarkan koleksi terkini daripada Jovian. Zalora sentiasa berusaha menyediakan fesyen high street secara langsung ke pintu rumah setiap rakyat Malaysia. "Setakat ini, Jovian telah menjadi rakan kerjasama yang memberangsangkan bagi mencapai objektif ini," ujar Pengarah Urusan Zalora, Giulio Xiloyannis. Fesyen high street boleh didefinisikan sebagai gaya yang tercipta hasil adunan jenama fesyen mewah dan fesyen jalanan. Ia kebiasaannya dijual pada harga sederhana. Sebagai rekaan dalam kumpulan high street, JLuxe dipasarkan bermula pada harga RM420 sehingga RM480 sepasang. Ia boleh didapati semua pencinta fesyen Malaysia dan Brunei menerusi www.zalora.com.my. | ||
Posted: Lima variasi pisau cukurPISAU cukur pakai buang hanya boleh bertahan sehingga lima kali penggunaan. SEBELUM anda membuat keputusan membeli pisau cukur, kenal pasti perbezaan setiap jenis dan adakah ia bersesuaian dengan anda. Kanta Rias minggu ini membawakan lima jenis pisau cukur yang sesuai digunakan kaum Adam. 1) Pisau cukur pakai buang Boleh dibeli dalam kuantiti banyak pada harga yang murah. Pisau cukur jenis ini boleh bertahan sehingga lima kali penggunaan atau apabila bilahnya mula berkarat. 2) Pisau cukur bilah berjalur (multi-blade) Bilah pencukur ini kebiasaannya boleh ditukar ganti kerana dilengkapi katrij pakai buang. Terdapat juga pisau cukur jenis ini yang dibuang terus secara keseluruhan selepas beberapa kali digunakan. Ketika melakukan pilihan, selain jenama, bandingkan ciri-ciri kebolehgunaan, ketahanan dan efisiensi. Bilangan bilah yang lebih daripada bilah tunggal berjalur tiga (multiple single-blade) mempercepatkan kerja mencukur. Ketahanannya dikatakan mampu mencecah sebulan setengah. Namun realitinya, ia hanya sesuai digunakan untuk tempoh maksimum dua minggu. Harganya juga agak mahal berbanding pencukur pakai buang. Bagi jenis bilah boleh diganti, anda perlu melaburkan wang ekstra bagi membeli pek isi semula pisau cukur ini. Pencukur yang tidak mempunyai fungsi katrij pakai buang juga dijual pada harga tinggi disebabkan rekaan pemegang yang selesa dan sofistikated. 3) Pisau cukur bilah bermata dua Pilihan ini kembali digemari kaum Adam. Walaupun secara teknikalnya pencukur bilah berjalur paling selamat, tetapi ramai meletakkan status itu terhadap pisau cukur jenis ini. Pemegang pencukur ini dijual secara berasingan. Ia boleh diperoleh dari harga serendah RM30 sehingga RM3,000, bergantung kepada jenama dan rekaannya. Individu yang memilih pencukur ini lazimnya sanggup membeli pemegang eksklusif kerana bilahnya agak murah. Bilah bermata dua sebaik-baiknya dibeli dalam kuantiti yang banyak. Dengan cara tersebut, anda akan memperoleh setiap bilah yang kurang daripada RM3. Disebabkan harganya yang murah, ia hanya bertahan sehingga lima penggunaan dan anda disarankan menukar bilahnya setiap minggu jika anda bercukur setiap hari. Begitupun, pencukur bilah bermata dua agak tajam berbanding pencukur lain dan sering meninggalkan luka kecil kepada pengguna kurang mahir. PENCUKUR elektrik sesuai digunakan pada kulit kering dan cukuran segera. 4) Pisau cukur elektrik Sesuai digunakan untuk cukuran kering. Majoriti pencukur elektrik direka khusus untuk digunakan pada kulit kering. Bagaimanapun, kekemasan dan ketajaman cukurannya tidak begitu sempurna. Pencukur elektrik berharga murah selalunya memiliki kelajuan rendah. Justeru, tidak semua cukuran dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan efektif. Namun, pencukur elektrik yang mahal sangat berguna kepada mereka yang sering bergerak pantas dan mahukan cukuran segera. Terdapat pencukur jenis ini misalnya, pencukur elektrik tanpa wayar, boleh diguna bersama air atau buih. 5) Pisau cukur straight Selain klasik, ia juga lambang elegan dan maskulin. Pisau cukur ini kian dilupakan sejak pencukur pakai buang dan pencukur elektrik diperkenalkan. Lelaki hari ini juga menganggap ia sebagai pencukur yang melecehkan kerana perlu menguasai skil-skil tertentu sebelum boleh digunakan. Pisau cukur straight berkemungkinan tinggi merupakan pisau cukur tertajam antara semua. Justeru, penggunaan pencukur ini bakal meninggalkan banyak luka kecil jika anda tidak mahir mengawalnya. Kini pencukur straight digunakan kebanyakan salon rambut bagi mencukur sideburn, jambang dan misai pelanggan lelaki. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Stailo To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |