Utusan Online - Jenayah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Jenayah |
PDNKK Kelantan gagalkan cubaan seleweng diesel bersubsidi Posted: 20 May 2014 07:59 PM PDT KUALA KRAI 21 Mei - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) Kelantan mematahkan cubaan menyeleweng minyak diesel bersubsidi apabila menahan sebuah treler di sini malam tadi. Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Abdul Ghani Harun berkata, dalam serbuan di sebuah stesen minyak melalui 'Ops Titik' pada kira-kira 10 malam, pihaknya menahan sebuah treler yang baru sahaja mengisi minyak ke dalam tangki yang diubah suai di Guchil Jaya di sini. "Kita tahan treler itu sebaik saja pemandu dan kelindannya mengisi beberapa ratus liter diesel di sebuah stesen minyak. Ia mampu mengisi minyak sehingga 30,000 liter melalui tangki yang diubah suai," katanya kepada pemberita di sini. Katanya penahanan treler itu adalah hasil intipan pihaknya sejak seminggu lalu dan beliau percaya beberapa treler lagi digunakan untuk tujuan itu. Katanya, modus operandi sindiket berkenaan ialah mengisi minyak diesel di beberapa stesen minyak di jajahan itu sebelum dijual kepada pihak kilang dan industri. - BERNAMA |
Empat lagu terbaru Wings dicetak rompak Posted: 20 May 2014 09:19 AM PDT Oleh MASZUREEN HADZMAN Awie bersama anggota kumpulan Wings menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya berhubung album baru kumpulan itu yang dicetak rompak, di Balai Polis Malawati, di sini malam tadi. - Foto Utusan/Kamal Basir Wahab KUALA LUMPUR 21 Mei - Kumpulan rock popular Wings melahirkan rasa kesal apabila tiga lagu dalam album terbaru mereka berjudul `Menakluk Kosmos' yang akan berada di pasaran pada Khamis ini dan satu lagu untuk runut bunyi filem terbaru KRU yang bakal di tayang tidak lama lagi telah dicetak rompak. Berikutan itu, vokalisnya, Ahmad Azhar Othman atau dikenali sebagai Awie telah membuat satu laporan polis berhubung tindakan tidak bertanggungjawab itu. Beliau berkata, tiga lagu yang dicetak rompak itu bertajuk 'Bisa Yang Tertunda', 'Ingatkan Dia', 'Peti Pandora Mu' telah dipasarkan lebih awal oleh lanun cetak rompak dalam bentuk video cakera padat (VCD). "Saya amat kesal sebab lagu terbaru yang sepatutnya mula berada di pasaran Khamis ini tetapi telah keluar lebih awal daripada tarikh tersebut. Ternyata penjual tidak takut kepada undang-undang. "Malah, sekiranya perbuatan itu tidak disekat dengan segera, pasti mereka akan bermaharajalela," katanya terkilan. Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas membuat laporan polis di Balai Polis Taman Malawati, Hulu Kelang, Selangor di sini malam tadi. Menurut Awie, beliau berharap supaya pihak berkuasa akan lebih bertegas dalam memantau dan membanteras kegiatan haram tersebut. "Sebagai penggiat seni, saya akan terus bersuara untuk mendapat keadilan dan pembelaan kerana perkara ini bukan perkara baharu dalam kalangan kami. Kesannya sudah kelihatan sejak beberapa tahun dahulu lagi. "Apa yang kami perlukan adalah dengan mengharapkan pihak berkuasa mengambil perkara ini lebih serius, kerana masalah cetak rompak terus berleluasa. Kini jenayah itu sudah sampai suatu tahap yang membimbangkan," katanya. - UTUSAN ONLINE |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |