Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Remaja antara 6 suspek diberkas
- 66 PATI ditahan dalam bot pancung
- Youth Collective 2014: Peluang belia berniaga, tunjuk kreativiti
Remaja antara 6 suspek diberkas Posted: 14 May 2014 12:14 PM PDT Oleh AZIZI MAJID Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff (kiri) menunjukkan sebahagian daripada barang rampasan pada sidang akhbar di IPK Johor di Johor Bahru, Johor, semalam. -UTUSAN/ Baazlan Ibrahim JOHOR BAHRU 14 Mei - Polis menahan enam lelaki Ahad lalu disyaki terlibat dalam kes pecah rumah seorang pegawai kanan kerajaan di Taman Sri Penggaram, Batu Pahat pada Mac lalu. Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kesemua suspek berusia antara 15 hingga 26 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7 malam di sekitar daerah Batu Pahat. Mangsa telah membuat laporan polis pada 22 Mac lalu tentang kehilangan sejumlah wang tunai dan sebuah telefon bimbit setelah rumahnya dipecah masuk ketika mangsa sedang tidur. Susulan penahanan kesemua suspek, kita menemui semula sebuah telefon bimbit milik mangsa," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini. Mohd. Mokhtar berkata, ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan direman hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. Dalam kes berasingan, Mohd. Mokhtar berkata, pihaknya menahan lapan termasuk tiga wanita kerana disyaki terlibat dalam 12 kes pecah rumah dan melarikan kenderaan di sekitar daerah ini, Kulaijaya dan Lumut, Perak. Menurutnya, dalam tangkapan pertama pukul 1 pagi pada 2 Mei lalu, sebuah kereta peronda polis cuba menahan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di Lebuh Raya Skudai-Ayer Hitam sebelum suspek memecut melarikan diri, namun terbabas di hentian bas Rumah Awam Kelapa Sawit, Kulaijaya. Kita menahan dua lelaki dan seorang wanita manakala seorang lagi suspek berjaya melarikan diri. Susulan itu kita telah melancarkan beberapa siri serbuan di sekitar daerah ini dan Batu Pahat dan berjaya menahan empat lelaki dan dua wanita. Berikutan penahanan kesemua suspek, kita berjaya menemui semula lima buah kereta dipercayai dicuri, 18 telefon bimbit, sejumlah wang tunai, sebilah pedang samurai, empat komputer riba dan sebuah beg mengandungi peralatan untuk melakukan jenayah," katanya. Katanya, ujian air kencing mendapati kesemua suspek berusia antara 17 hingga 48 tahun positif dadah jenis methamphetamine dan kini ditahan reman hingga esok bagi membantu siasatan. |
66 PATI ditahan dalam bot pancung Posted: 14 May 2014 12:14 PM PDT Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI SEBAHAGIAN daripada 66 PATI yang ditahan Maritim Malaysia di perairan Pengerang, Kota Tinggi, Johor, kelmarin. JOHOR BAHRU 14 Mei - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tanjung Sedili menahan 66 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di perairan Pengerang, Kota Tinggi semalam. Ketua Penguatkuasanya, Kapten Maritim Amran Daud berkata, bot peronda pihaknya mengesan sebuah bot pancung yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan perairan itu kira-kira 10.30 malam. Bot pancung itu dikesan berada di kawasan 3.6 batu nautika Tenggara Tanjung Punggai. Hasil pemeriksaan mendapati seramai 67 penumpang berusia antara tujuh bulan dan 56 tahun berada di dalam bot termasuk tujuh wanita dan dua kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Berdasarkan siasatan, kesemua PATI dan seorang lelaki tempatan berasal dari Sarawak itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah. Kesemua mereka dipercayai dalam perjalanan dari Tanjung Punggai, Kota Tinggi menuju perairan Indonesia. Maritim Malaysia merampas bot pancung itu berserta tiga enjin jenis Yamaha, manakala kesemua PATI disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang 2007. Maritim Malaysia Tanjung Sedili akan meneruskan rondaan dan pemantauan bagi menyekat kegiatan PATI daripada terus berleluasa bagi memastikan perairan negara selamat dan terkawal," katanya. |
Youth Collective 2014: Peluang belia berniaga, tunjuk kreativiti Posted: 14 May 2014 12:14 PM PDT Abd. Aziz Abd. Rahman (tengah) menunjukkan banting Youth Collective 2014 di Johor Bahru, Johor, baru-baru ini. JOHOR BAHRU 14 Mei - Usahawan belia di negeri ini berpeluang memasarkan produk dan hasil kreativiti masing-masing dalam program Youth Collective 2014 yang dijadual berlangsung di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mulai Jumaat ini. Johor merupakan negeri pertama yang menganjurkan program anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tersebut. Youth Collective 2014 merupakan program berbentuk bazar berkonsepkan elemen perniagaan, persembahan, demonstrasi atau pertunjukan oleh golongan belia. Pengarah Belia dan Sukan negeri, Abd. Aziz Abd. Rahman berkata, program tiga hari berkenaan merupakan salah satu platform bagi golongan belia menyerlahkan potensi diri dan kreativiti dalam pelbagai bidang yang diceburi seperti perniagaan barangan, seni dan sukan. Bagaimanapun, produk yang dihasilkan atau dijual mestilah asli dan ciptaan mereka sendiri kerana kami tidak akan menerima barangan yang sudah berjenama dari dalam serta luar negara. Mereka boleh memasarkan produk seperti pakaian jenama sendiri, pelbagai jenis kek cawan atau memasarkan kreativiti atau kualiti barangan mereka," katanya di sini baru-baru ini. Pada program itu, sebanyak 50 vendor akan menjual produk pakaian dan aksesori, 14 menjual makanan dan minuman, 15 produk kecantikan, lima produk seni, empat vendor jenama sukan dan 13 syarikat korporat. Abd. Aziz berkata, program yang bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam itu akan turut diserikan dengan kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. Selain itu, pelbagai acara sampingan yang menarik turut disajikan kepada para pengunjung seperti cabutan bertuah tiket perlawanan Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Pahang, persembahan buskers, program Sembang Sempoi oleh Ustaz Abdul Halim dan persembahan teater Si Bongkok Tanjung Puteri. Kami menyasarkan kehadiran 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari program ini dan kami juga dalam perancangan mengadakannya di setiap daerah di negeri ini sekiranya mendapat sambutan yang menggalakkan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |