Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Masyarakat malas bersenam
- 17 nelayan terima jaring tangkap udang
- Hab pelancongan Ledang sasar peningkatan pelancong
Posted: 12 May 2014 12:42 PM PDT Oleh Mohamed Saari S. Subramaniam (belakang, tujuh dari kiri) bersama pasukan futsal yang bertanding dalam Karnival Sukan JPMM DUN Jementah di Jementah, Segamat, kelmarin. - UTUSAN/MOHAMED SAARI SEGAMAT 12 Mei - Perkembangan pesat teknologi dan proses urbanisasi antara faktor yang menyebabkan masyarakat tidak lagi berminat melakukan aktiviti fizikal atau senaman di luar. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, rakyat harus sedar bahawa aktiviti fizikal memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan dan kesejahteraan diri tanpa mengira peringkat umur. Bersenam memberi manfaat besar dari segi fizikal, psikologi, sosial dan kesihatan kepada semua orang. Justeru, melakukan aktiviti fizikal secara kerap sangat penting untuk gaya hidup sihat. Jika anda tidak pasti bagaimana untuk menjadi aktif dan sihat, mulakan dengan perlahan-lahan. Meningkatkan tahap aktiviti fizikal secara beransur-ansur adalah penting supaya kita tidak terdedah kepada risiko kecederaan," katanya semasa menutup Karnival Sukan Jawatankuasa Penyelaras Mukim-Mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Jakas, Jementah, di sini semalam. Beliau yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata, bagi golongan yang menghidap penyakit kronik seperti artritis, diabetes dan jantung tetapi berhasrat untuk mengamalkan gaya hidup aktif, mereka perlu mendapatkan nasihat doktor supaya mengetahui keupayaan dan kemampuan sebenar diri. Apa yang penting adalah melakukan aktiviti sesuai mengikut keupayaan diri walaupun hanya melakukan senaman aerobik selama 30 minit seminggu dan jangan menjadikan penyakit yang dihidap sebagai alasan untuk tidak aktif," katanya. Subramaniam berkata, bersenam dan melakukan aktiviti fizikal juga dapat membantu pencegahan osteoporosis dan penyakit kronik lain seperti diabetes, penyakit kardiovaskular, sindrom metabolik dan kanser. Golongan yang melakukan tahap aktiviti fizikal dan kecergasan tinggi mengalami pengurangan risiko kematian sebanyak 20 hingga 35 peratus kerana peningkatan dalam kecergasan fizikal mengurangkan risiko kematian pramatang. Mereka yang aktif menunjukkan 30 hingga 40 peratus pengurangan risiko menghidap kanser kolon, manakala wanita aktif mengalami 20 hingga 30 peratus pengurangan risiko menghidap kanser payudara berbanding wanita yang tidak aktif," katanya. |
17 nelayan terima jaring tangkap udang Posted: 12 May 2014 12:43 PM PDT Azalina Othman Said bersama nelayan selepas menyampaikan jaring menangkap udang di Kampung Pasir Gogok, Kota Tinggi, baru-baru ini. - UTUSAN/FARIK SALLEH KOTA TINGGI 12 Mei - Seramai 17 nelayan pantai menerima jaring menangkap udang bernilai RM400 setiap seorang di pekarangan Balai Raya Kampung Pasir Gogok di sini baru-baru ini. Bantuan yang diharap dapat meningkatkan hasil tangkapan mereka itu disampaikan oleh Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said. Azalina berkata, bantuan itu adalah salah satu usaha dan janji yang ditunaikan kerajaan untuk membantu penduduk di kawasan luar bandar bagi meningkatkan pendapatan mereka. Setiap tahun kerajaan akan mengeluarkan peruntukan bagi membantu golongan yang memerlukan ini," katanya. Yang turut hadir Pengurus Besar Persatuan Nelayan Pengerang, Abdul Fatah Alkhairi Mustapa dan Pengerusi Persatuan Nelayan Pengerang, Abu Bakar Mohamad. Azalina yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengerang turut meminta golongan nelayan supaya bersedia menerima perubahan, pembangunan dan landskap ekonomi berikutan projek mega yang kini giat dibangunkan di kawasan Pengerang. Kalau masyarakat bertindak lari atau keluar dari kawasan semata-mata tidak mahu menerima perubahan yang berlaku, maka diri sendiri yang akan menanggung rugi. Siapa yang tidak takutkan perubahan. Kita semua takut untuk berdepan dengan situasi tersebut namun dalam kehidupan ini kita kena sentiasa bersedia," katanya. Sementara itu, Azalina meminta ibu bapa mengutamakan pendidikan anak-anak manakala generasi muda perlu diberi latihan dalam bidang minyak dan gas supaya tidak tertumpu untuk terus menjadi nelayan. Sementara itu, seorang penerima bantuan, Azan Sarom, 46, bersyukur dengan bantuan yang diberikan selain berjanji akan berusaha meningkatkan pendapatan keluarganya. Bagi anak muda, dinasihatkan tidak sesekali ikut jejak langkah kami orang lama kerana masa depan mereka lebih cerah lebih-lebih lagi dengan adanya pembangunan di kawasan ini. Kami yang telah sebati menjadi nelayan biarlah kami teruskan, namun golongan muda perlu merebut peluang yang tersedia," katanya yang mempunyai tiga orang anak. Rakannya, Abd. Rahim Ibrahim, 57, pula sentiasa berusaha menyesuaikan diri dan kehidupan keluarganya dengan perubahan dan pembangunan di kawasan itu supaya tidak terus terpinggir. Saya berterima kasih kepada kerajaan yang tidak putus-putus membantu nelayan seperti kami. Bantuan tersebut sedikit sebanyak meringankan bebanan bagi menggantikan jaring yang rosak akibat dilanggar kapal yang membawa pasir dan minyak," katanya. |
Hab pelancongan Ledang sasar peningkatan pelancong Posted: 12 May 2014 12:43 PM PDT LEDANG 12 Mei - Kerajaan negeri menyasar pertambahan 20 peratus kedatangan pelancong atau 262,671 orang dalam tahun ini bersesuaian dengan hala tuju baharunya sebagai Hab Pelancongan Warisan dan Budaya serta Hab Eko-pelancongan dan Tekstil. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan kedatangan pelancong meningkat saban tahun misalnya 218,893 pada 2013 dan 213,456 (2012). Kita percaya kedatangan pelancong bertambah selepas ini kerana hab sedia ada akan disokong dengan hab sokongan seperti agropelancongan selain tarikan makanan dan produk industri kecil dan sederhana (IKS). Kita akan mengeksploitasi segala keistimewaan lain di Ledang termasuk produk sokongan lain yang sebelum ini terkenal sebagai pusat beli-belah kain dan keunikan Gunung Ledang," katanya dalam sidang akhbar sempena lawatan kerjanya ke daerah ini di Bilik Mesyuarat Majlis Daerah Tangkak (MDT) di sini semalam. Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir, M. Asojan. Siew Kiong berkata, daerah ini mempunyai segala infrastruktur dan kemudahan yang diperlukan untuk menampung pelancong dengan lebih 300 bilik dari lapan buah hotel sekitar pekan Tangkak dan 16 inap desa di Sagil. Katanya, pelbagai produk pelancongan baharu akan diperkenal antaranya kawasan sawah padi seluas kira-kira 270 hektar di Sawah Ring dan Pulau Penarek yang merupakan kawasan sawah terbesar di negeri ini. Jelasnya, begitu juga dengan Jeti Kesang Laut yang terkenal dengan kawasan hutan paya bakau yang terpelihara serta makanan lautnya selain pekan Grisek yang menjadi tumpuan pemancing udang galah serta ikan air tawar. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |