Utusan Online - Luar Negara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Luar Negara |
Lombong arang batu meletup, 20 maut Posted: 13 May 2014 12:48 PM PDT ISTANBUL 14 Mei - Sekurang-kurangnya 20 orang pekerja lombong terkorban, selepas sebuah lombong arang batu terbakar dan meletup di barat negara ini, semalam. Pegawai kesihatan Soma, Muzaffer Yurttas berkata, kesemua mereka terkorban selepas mengalami kesukaran untuk bernafas ekoran asap tebal ketika berada di dalam lombong berkenaan. "Antara 200 ke 300 orang pekerja masih terperangkap. Usaha mencari kini sedang giat dijalankan," jelas Pentadbir tempatan, Mehmet Bahattin Atci. Sebanyak 30 orang lagi mengalami kecederaan, ujar Muzaffer. Beliau berkata, kejadian berlaku di bandar Soma, wilayah Manisa, kira-kira 250 kilometer dari Istanbul. Mehmet berkata, letupan dipercayai berpunca daripada gangguan yang berlaku terhadap sistem pengagihan tenaga di lombong berkenaan. Agensi berita BBC melaporkan, letupan berlaku kira-kira dua kilometer di bawah tanah menyebabkan kebanyakan pekerja yang berada di dalam lombong itu terperangkap sejauh 4 kilometer dari pintu keluar. Menteri Tenaga Turki, Taner Yildiz mengesahkan letupan itu disebabkan kerosakan elektrik, namun beliau enggan mengesahkan jumlah yang terkorban. - REUTERS/AGENSI |
Krisis Thailand tidak terkawal Posted: 13 May 2014 11:56 AM PDT Speaker baharu Dewan Senat Thailand, Surachai Liengboonlertchai (kanan) mengadakan pertemuan dengan Suthep Thaugsuban di bangunan Parlimen di Bangkok pada 12 Mei lalu. - REUTERS BANGKOK 13 Mei - Pemangku Speaker Dewan Senat Thailand, Surachai Liengboonlertchai memberi amaran konflik politik di negara ini semakin buruk ketika anggota Senator mengadakan pertemuan tidak rasmi bagi mencari penyelesaian kepada krisis itu. Liengboonlertchai yang mempengerusikan mesyuarat itu semalam berkata, konflik yang berlanjutan selama berbulan-bulan di negara ini semakin meruncing dan tidak terkawal. Menurut beliau, perbincangan di peringkat Senat, semalam tidak mampu mencari jalan penyelesaian selepas tarikh yang ditetapkan oleh ketua penunjuk perasaan antikerajaan, Suthep Thaugsuban yang mengugut akan meneruskan tunjuk perasaan jika tiada Perdana Menteri baharu dilantik oleh Senat, berakhir pada hari yang sama. Portal berita The Nation melaporkan, Thaugsuban sebelum ini mengugut akan meneruskan tunjuk perasaan jika tiada Perdana Menteri baharu dilantik oleh Senat. Krisis politik di Thailand telah berlarutan lebih 10 tahun lalu dan Dewan Senat tidak akan berjaya menyelesaikannya dalam masa sehari. Kami akan cuba mencari jalan terbaik demi kebaikan rakyat dan negara ini," kata Liengboonlertchai yang dilantik sebagai Speaker Senat yang baharu pada Jumaat lalu. Bagaimanapun Liengboonlertchai enggan menjawab pertanyaan media berhubung pelantikan Perdana Menteri baharu jika beliau diberi kuasa seperti yang disarankan oleh Thaugsuban, ketua Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat (PDRC). Saya tidak mempunyai jalan penyelesaian bagi menamatkan krisis politik di negara ini buat masa ini, tetapi saya akan berbincang dengan institusi lain berhubung perkara tersebut," katanya. Dalam perkembangan lain, pihak tentera Thailand bersiap sedia untuk menghalang pertempuran antara kumpulan penunjuk perasaan penyokong kerajaan dan antikerajaan yang boleh tercetus pada bila-bila masa. Timbalan Jurucakap Tentera, Kolonel Winthai Suvari berkata, tiada sebarang petanda keganasan akan tercetus antara penyokong kerajaan yang dikenali sebagai kumpulan Baju Merah dan kumpulan PDRC, tetapi langkah berjaga-jaga tetap diambil. Beliau turut menolak khabar angin yang tersebar dalam rangkaian media sosial yang mendakwa pihak tentera akan melancarkan rampasan kuasa. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Luar Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |