Utusan Online - Mahkamah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Mahkamah |
Ibu bapa Ming You direman bantu siasatan Posted: 16 May 2014 11:46 AM PDT Oleh ROSMAWATI SALIHIN Low Ming You KOTA KINABALU 16 Mei - Polis menahan ibu bapa kepada Low Ming You, 3, yang dipercayai diculik sejak 9 Mei lalu, bagi membantu siasatan kes penculikan kanak-kanak itu. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, pasangan itu ditahan ketika diminta datang ke ibu pejabat polis daerah di sini Rabu lalu. "Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini. Jauteh bagaimanapun menafikan khabar angin yang mengaitkan bapa kepada Ming You menjadi dalang kejadian tersebut yang kononnya dirancang bagi mendapat wang tebusan daripada bapa mertuanya. Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai agar tidak terpengaruh dengan khabar angin tersebut yang dimuat naik di laman sosial, sebaliknya menantikan kenyataan sahih daripada polis berhubung insiden penculikan tersebut. "Saya juga meminta orang yang bertanggungjawab menyebar maklumat seperti itu untuk tidak berbuat andaian sesuka hati kerana tindakan undang-undang boleh dikenakan sekiranya ia mampu menimbulkan keadaan kucar kacir dalam kalangan masyarakat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Menurut Jauteh lagi, kenyataan yang tidak mempunyai kesahihan dan sengaja dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab itu mampu menimbulkan persepsi negatif, malah boleh mengganggu siasatan kes. "Setakat ini, polis masih giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti segala kemungkinan berkaitan kes penculikan kanak-kanak terbabit dan operasi mengesan lokasi mangsa. "Kita meminta kerjasama orang ramai untuk tidak menyebarkan atau mempercayai sebarang maklumat palsu kerana ia akan mengganggu siasatan polis," katanya. |
Mahkamah tolak permohonan Chegubard Posted: 16 May 2014 11:46 AM PDT PETALING JAYA 16 Mei - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard untuk membebaskannya daripada pertuduhan menganjurkan program penghargaan kepada pengundi negeri Selangor pada 25 Mei tahun lalu. Hakim Yasmin Abdul Razak membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim bagi pihak pendakwaan dan peguam Eric Paulsen yang mewakili Badrul Hisham. Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan kes itu sementara menunggu rayuan pendakwa raya di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan pertuduhan terhadap Ahli Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang didakwa berhubung penganjuran perhimpunan di Stadium Kelana Jaya pada 8 Mei tahun lalu. Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes itu pada 5 Jun ini. Badrul Hisham membuat permohonan itu atas alasan pertuduhan tersebut adalah tidak berasas berikutan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Badrul Hisham, 36, dituduh gagal memberitahu Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, 10 hari sebelum Program Penghargaan kepada Pengundi Negeri Selangor diadakan di Padang Timur, Dataran Petaling Jaya, Jalan Timur di sini antara pukul 5 petang dan 12 tengah malam, 25 Mei tahun lalu. Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 jika sabit kesalahan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |