Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
- Teluk Chempedak dijadi Buskers Corner
- Pertahankan kedudukan bahasa Melayu
- UMNO dekati generasi muda menerusi aktiviti sukan, pendidikan
Teluk Chempedak dijadi Buskers Corner Posted: 04 May 2014 11:24 AM PDT Oleh ZAMZURINA AHMAD Arpah Abdul Razak (dua kiri) menyatakan sesuatu kepada sebuah kumpulan yang membuat persembahan pada Festival Buskers Corner di Pantai Teluk Chempedak, Kuantan, kelmarin. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN KUANTAN 4 Mei - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan memilih pusat peranginan terkenal, Teluk Chempedak di sini untuk dijadikan Buskers Corner atau mengadakan persembahan di tempat awam yang merupakan lokasi ketiga selepas Pantai Batu 4, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Dataran Sungai Melaka, Melaka. Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Seri Arpah Abdul Razak berkata, pemilihan lokasi berkenaan berikutan Teluk Chempedak merupakan destinasi percutian pantai terkemuka, kemudahan mencukupi dan infrastruktur bandar yang baik. Pihak kementerian percaya kedudukan Kuantan sebagai destinasi percutian hujung minggu pastinya akan menarik lebih ramai pelancong dengan wujudnya Buskers Corner ini. Melalui perbincangan dengan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) telah bersetuju mewujudkan satu lokasi Buskers Corner di Teluk Chempedak atau mana-mana lokasi di bandar ini bagi meningkatkan kedudukan Kuantan sebagai sebuah bandar sejahtera dan terus menjadi pilihan percutian pantai serta tumpuan pelancong," katanya berucap merasmikan Majlis Pelancaran Malaysia Buskers Corner, di sini semalam. Menurut Arpah, aktiviti jalanan seperti bermain muzik, menyanyi, bersajak dan menari tanpa sebarang tempahan, kontrak atau bayaran yang dipanggil popular semakin menjadi tempat di kalangan masyarakat. Persembahan yang dilakukan itu sebaliknya mendapat sokongan daripada orang ramai dengan rata-ratanya menerima sumbangan berbentuk wang sebagai saguhati. Ketika ini, saya difahamkan terdapat kira-kira 10,000 orang terlibat dalam aktiviti tersebut dan seramai 4,000 buskers telah berdaftar sebagai ahli kelab," jelasnya. Tambahnya, kementerian merumuskan bahawa aktiviti busking boleh memberi nafas baharu dalam kehidupan bandar melalui penglibatan semua peringkat warga bandar, penyediaan ruang interaksi dan menginterpretasikan bakat-bakat yang dimiliki. Kewujudan Buskers Corner sekali gus menjadi platform kepada warga tempatan khususnya golongan belia untuk mengembangkan bakat seni yang dimiliki secara langsung kepada umum," ujarnya. |
Pertahankan kedudukan bahasa Melayu Posted: 04 May 2014 11:24 AM PDT Ahmad Munawar Abdul Jalil (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Muhd. Mansur Abdullah pada forum Bahasa Melayu Dalam Peradapan dan Nilai Budaya Malaysia Maju 2020 di Maran, baru-baru ini. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD MARAN 4 Mei - Generasi baharu perlu komited, beriltizam dan bersatu untuk memperkukuh serta mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda terulung di negara ini. Ketua 1 Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Prof. Datuk Dr. Muhd. Mansur Abdullah berkata, ini kerana cabaran besar terpaksa dihadapi pejuang bahasa Melayu terdahulu semata-mata untuk meletakkan bahasa ibunda pada kedudukan sekarang. Berdasarkan pengalaman sendiri sebagai pelajar pertama Sekolah Darjah Menengah Melayu (DMM) di sekolah aliran Inggeris sekitar 1960-an sungguh memeritkan dan rasa terhina kerana dianggap pelajar kelas kedua. Walaupun ada Dasar Pelajaran yang digubal seperti Laporan Razak dan Laporan Abdul Talib selepas negara baru mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, tetapi proses pelaksanaan sedang bermula sekali gus banyak cabaran yang perlu dihadapi," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam forum Bahasa Melayu Dalam Peradapan dan Nilai Budaya Malaysia Maju 2020 di Pejabat Pendidikan Daerah Maran, di sini baru-baru ini. Program anjuran bersama DPMP, Pejabat Pendidikan Daerah Maran, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dirasmikan Pegawai Pendidikan Daerah Maran, Asiah Hamzah. Turut hadir, Ketua Pengarah DBP, Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan; Ketua Dua Gapena, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan dan Pengerusi DPMP Maran, Datuk Ahmad Munawar Abdul Jalil. Muhd. Mansur berkata, laporan pelajaran tersebut menjadi pemangkin ke arah memartabatkan bahasa Melayu berikutan antara saranan yang dikemukakan iaitu mencadangkan supaya bahasa tersebut dijadikan mata pelajaran wajib selain bahasa Inggeris. Selain itu, bahasa Melayu mesti diajar dari darjah satu di semua jenis sekolah rendah dan syarat lulus dalam bahasa tersebut bagi calon-calon ke sekolah menengah," katanya. |
UMNO dekati generasi muda menerusi aktiviti sukan, pendidikan Posted: 04 May 2014 11:24 AM PDT Abdul Rahman Mohamad (duduk tengah, lima dari kiri) bersama pemain futsal, sepak takraw dan bola jaring yang menyertai Karnival Sukan UMNO Bahagian Lipis, di Kuala Lipis, baru-baru ini. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD KUALA LIPIS 4 Mei - Pendekatan UMNO dalam menghampiri generasi muda tidak terhad daripada sudut politik semata-mata malahan perlu mencakupi perspektif kemasyarakatan serta ekonomi yang lebih luas. Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, UMNO memainkan peranan untuk menyatupadukan golongan muda dan keyakinan mereka sehaluan untuk memperjuang parti itu. Menurutnya, halangan untuk menarik penyertaan generasi muda dalam UMNO timbul apabila ramai dalam kalangan usia berkenaan tidak memahami aspirasi perjuangan politik malahan gemar terikut dengan asakan pihak tertentu serta media baharu. Ini kerana segelintir golongan berkenaan yang terpengaruh dengan asakan dakyah media baharu serta hanyut dengan janji pihak terentu khususnya pembangkang menyebabkan mereka tersisih dengan idealisme perjuangan UMNO. Menerusi program turun padang secara proaktif serta mempelbagaikan kegiatan sukan serta pendidikan, golongan ini dapatlah kita libatkan bersama supaya mereka kembali yakin terhadap perjuangan UMNO dan juga sebagai penggiat yang aktif menerusi transformasi pembangunan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan UMNO Bahagian Lipis di Dataran Lipis, di sini kelmarin. Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Mohd. Farid Mohd. Noor. Menurut Abdul Rahman, kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pemimpin setempat melaksanakan pelbagai usaha mendekati golongan muda khususnya menyediakan kemudahan asas untuk kebajikan dan sosial di semua tempat. Kerajaan negeri menyediakan peruntukan kemudahan gelanggang pelbagai guna (GPG) untuk sukan futsal, bola jaring serta permainan lain, manakala UMNO dan pemimpin setempat menjadi penggerak penyelenggaraan setiap kali kejohanan di daerah atau kampung," katanya. Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, penganjuran karnival itu dapat mendekati generasi muda untuk memastikan kelangsungan perjuangan parti membela masyarakat Melayu di samping mengeratkan perpaduan dengan kaum lain. Sementara itu Mustapa berkata, program berkenaan berjaya menarik penyertaan ramai golongan muda di semua tempat untuk terlibat sama dalam acara sukan yang dipertandingkan di beberapa venue. Katanya, penganjuran itu sekali gus mendidik golongan muda dalam memenuhi aspirasi gaya hidup sihat bagi kalangan mereka dan penduduk daerah ini amnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |