Utusan Online - Pemotoran
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pemotoran |
Posted: 11 May 2014 12:25 PM PDT Oleh Fauzi Jaafar Lambang revolusi kejuruteraan Korea Kia Cerato dengan saiz yang lebih besar, rendah dan lebar menghasilkan pemanduan yang selesa dan stabil. SATU ketika dahulu, jenama Kia merupakan kereta yang berharga murah dan mendapat tempat dalam kalangan pembeli di Malaysia. Tahun berganti tahun, kereta jenama Kia mengalami evolusi yang drastik daripada kereta yang boleh disifatkan mengejar kuantiti, kini lebih kepada kualiti. Kini, Kia yang boleh berbangga dengan kedudukan kelapan pengeluar kereta dunia telah menampilkan beberapa model yang piawaiannya boleh mengatasi model-model kereta premium Eropah dan Jepun pada harga yang lebih rendah. Sebagai contoh, Kia Cerato yang dilancarkan pada tahun lalu telah menampilkan ciri-ciri premium yang adakalanya tidak terdapat pada model segmen C. Berpeluang menguji Kia Cerato 2.0 liter boleh penulis sifatkan sebagai model terbaik dalam kelasnya. Mengulas mengenai reka bentuknya, mungkin kelihatan sedikit pelik kerana model itu lebih panjang, lebar dan rendah daripada modelnya terdahulu. Sepanjang 4.56 meter, model ini menawarkan ruang yang lebih besar dan selesa sama ada untuk pemandu dan penumpang serta ruang kargo yang luas. Ciri-ciri premiumnya terserlah terutamanya apabila waktu malam apabila pemandu akan disambut dengan cahaya lampu dari cermin sisi dan tombol pintu ketika menghampiri model tersebut. Bukan itu sahaja, ketika duduk pada kerusi pemandu telah menunjukkan kemewahannya apabila mahu menekan butang penghidup enjin, stereng dilaraskan ke bawah dan kerusi bergerak ke hadapan secara elektronik. Pada kerusi pemandu juga terdapat butang yang boleh menyelaraskan suhu pemanas atau penyejuk yang memberi lebih keselesaan kepada pemandu. Malangnya kemudahan suhu sejuk itu tidak terdapat pada kerusi penumpang hadapan. Satu ciri premium yang berguna kepada pemandu di negara ini yang cepat panas ketika memandu di jalan raya ditambah dengan iklim tropika negara ini yang sememangnya panas. Ruang dalaman yang kemas dan luas memberi keselesaan kepada penumpang. Tatarias papan pemukanya juga menarik dan segar dengan butang-butang kawalan menghala kepada pemandu. Terdapat juga skrin LCD 4.3 inci yang boleh dijadikan panduan pemandu untuk mengundur dengan lebih mudah. Cerato 2.0 liter ini didatangkan dengan transmisi automatik enam kelajuan yang boleh dikendali juga melalui kendalian tiptronik dan paddle shift. Saiz roda aloi adalah 17 inci dengan saiz tayar 215/45R17. Model ini mampu memberi banyak peningkatan menerusi NU 1,999 cc MPI D-CVVT 118kW dan 194Nm. Pemanduan di jalan raya dan juga lebuhraya menggambarkan Kia Cerato ini amat selesa dikendalikan. Disifatkan sebagai kereta keluarga, ia model yang selamat dengan rangkuman teknologi yang setaraf dengan kereta dari Eropah. Terdapat enam beg udara berserta ESP, kawalan kestabilan dengan cengkaman (VMS), imbangan dakian bukit, ABS, ISOFIX untuk kanak-kanak serta edaran elektronik cengkaman dengan pengaktifan isyarat kecemasan ketika brek mengejut. Pemandu boleh memilih pemanduan sport, normal atau comfort yang terdapat di butang stereng, dan akan memberi perbezaan kepada stereng dan kawalan pemanduan. Pemanduan comfort akan menjadikan kawalan stereng lebih ringan manakala sport akan menjadikan kawalan lebih berat. Dengan kata lain, model ini memberi pilihan keseronokan kepada pemandu dan penumpang. bagi penulis, Kia Cerato secara keseluruhan tidak menghampakan kerana menekankan kepada keselasaan dan keselamatan. Untuk model ini, penulis lebih tenang dan yakin kerana ia sememangnya sebuah kereta keluarga yang tidak mementingkan aspek kelajuan, tetapi memberatkan keselamatan. Tahniah kepada jurutera Kia yang menghasilkan sebuah kereta sedan bercirikan premium yang mengatasi model-model sekelasnya dari Eropah mahupun Jepun. Cerato ini tidak akan menghampakan pemandu dan penumpang. Syabas Kia. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pemotoran To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |