Utusan Online - Pendidikan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pendidikan |
Sekolah terbakar, sambutan ditangguh Posted: 16 May 2014 11:46 AM PDT Oleh HISYAMUDDIN AYUB KEBAKARAN yang memusnahkan dua blok bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Penimbawan di Tuaran, Sabah, kelmarin. TUARAN 16 Mei - Kemeriahan sambutan Hari Guru di seluruh negara pada hari ini bagaimanapun tidak dapat diraikan oleh warga Sekolah Kebangsaan (SK) Penimbawan, Tuaran dekat sini ekoran kejadian kebakaran yang berlaku petang semalam. Guru Besarnya, Rahman Awang berkata, kebakaran yang memusnahkan dua blok di SK Penimbawan itu memaksa pihaknya membatalkan sambutan Hari Guru di peringkat sekolah tersebut hari ini. Katanya, pihak sekolah bercadang meraikan sambutan Hari Guru tersebut pada masa akan datang apabila kerja-kerja menyusun atur tempat pembelajaran di sebuah dewan orang ramai di kampung itu selesai. "Penduduk kampung dan pihak sekolah sedang menyusun atur tempat bagi sesi pembelajaran di dewan orang ramai ini. "Ekoran kemusnahan kerusi dan meja dalam kejadian kebakaran tersebut semalam, buat sementara waktu terdapat sebilangan murid yang akan belajar dalam keadaan bersila bagi memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan," katanya di sini hari ini. Mengulas lanjut, Rahman berkata, segala perancangan dan persiapan bagi menyambut Hari Guru di sekolah tersebut telah dilakukan sebelum ini. Namun begitu katanya, kejadian yang tidak diingini itu semalam telah memaksa pihak sekolah untuk menunda sambutan Hari Guru tersebut ke satu tarikh lain. Menurutnya, bukan sekadar bangunan bilik darjah musnah, bilik pentadbiran juga terbakar, sekali gus memusnahkan fail-fail penting dan peralatan sokongan lain seperti mesin faks dan telefon pejabat. "Saya juga agak trauma dengan kejadian yang berlaku semalam kerana terjadi di depan mata, tetapi tidak mampu untuk berbuat apa-apa kerana api merebak dengan cepat," katanya. Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah, Datuk Jame Alip berkata, pihaknya akan menghantar peralatan sekolah seperti kerusi dan meja serta keperluan lain yang diperlukan dalam masa terdekat. Katanya, dia juga memohon kerjasama daripada pihak sekolah tersebut dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk membuat laporan segera berhubung kejadian itu kepada pihak JPN Sabah. Jelasnya, laporan daripada pihak polis serta bomba terhadap kejadian kebakaran itu bertujuan memudahkan JPN Sabah memohon peruntukan segera daripada Kementerian Pendidikan di Putrajaya. |
Guru Sekolah Kebangsaan Si Rusa buat kejutan pakai seragam pelajar Posted: 16 May 2014 11:46 AM PDT KERIANGAN terpancar di raut wajah para guru yang memakai pakaian seragam di Sekolah Kebangsaan Si Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam. TELOK KEMANG 16 Mei - Guru Sekolah Kebangsaan Si Rusa, Port Dickson dekat sini mencipta kelainan apabila berpakaian seragam murid sekolah sempena sambutan Hari Guru hari ini. Kesemua 51 guru di sekolah itu yang berusia antara 23 dan 56 tahun itu sepakat untuk membuat kejutan kepada murid sempena sambutan tersebut. Pengerusi Kelab Guru sekolah tersebut, Nor Azlina Abdul Hamid berkata, idea berpakaian uniform sekolah tercetus selepas satu pertemuan diadakan demi memberikan kelainan semasa sambutan Hari Guru. "Ternyata sambutan yang diterima daripada para guru amat memberangsangkan dan ada di antara mereka sanggup membeli pakaian tersebut bagi sama-sama menjayakan sambutan berkenaan. "Ini secara tidak langsung membuatkan para guru di sekolah tersebut mengimbas kembali nostalgia silam kerana setiap guru juga pernah bergelar murid suatu masa dahulu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sekolah tersebut. Jelasnya, apa yang menarik, murid sekolah itu amat terkejut kerana sebelum para guru memakai pakaian itu, pihak sekolah mengadakan acara sukan antara guru dengan pelajar. "Sebaik selesai, guru-guru membuat persalinan sebelum bertemu dengan murid yang dikumpulkan di dalam dewan. "Ini memang satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan dan gelak ketawa serta keceriaan jelas terpancar buat semua warga sekolah tersebut," ujarnya. Tambahnya lagi, pihaknya merancang untuk mengisi program yang lebih menarik dalam mendekatkan lagi hubungan antara guru dengan pelajar untuk tahun hadapan, sekali gus menjadi kenangan tidak boleh dilupakan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pendidikan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |