Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Bantah hudud: Hadi tetap sokong kempen Dyana Posted: 26 May 2014 11:17 AM PDT Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA TELUK INTAN 27 Mei - Di sebalik tentangan Dyana Sofya Mohd. Daud terhadap perlaksanaan hukum hudud dan bantahan Pas terhadap pendirian Dyana Sofya itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetap turun menyokong kempen calon DAP berkenaan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, semalam. Abdul Hadi yang tiba pada pukul 5.30 petang di Markas Pas di Taman Cecily di sini bagi majlis minum petang bersama penduduk bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga sejam ketibaan Dyana Sofya yang kemudian memberi alasan menghadiri program kempen yang lain. Dalam ucapan yang disampaikan sebelum ketibaan calon DAP itu, Abdul Hadi berkata, bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu ternyata melebihi keberanian beliau apabila mengambil keputusan menjadi calon DAP. "Kita menganggap Sofya ini berani. Sanggup jadi calon DAP pula. Saya tak sanggup jadi calon DAP," kata Abdul Hadi sambil disambut gelak ketawa oleh hadirin. Dalam ucapannya, Abdul Hadi juga berkata, penyertaan Dyana Sofya dalam DAP juga mempunyai 'peranan' yang tersendiri. "Dia jadi calon DAP, berani dia. Dyana Sofya ada 'peranan' dia dalam DAP," kata Abdul Hadi. Justeru, walaupun Dyana Sofya telah menyatakan dengan jelas akan menolak hudud, Abdul Hadi tetap menyeru orang Melayu memilih calon DAP itu "Di Teluk Intan ini, kita mahu orang Melayu menangkan DAP. Calon DAP Melayu. Calon BN Cina. Saya tidak mahu sebut pasal bangsa ini. "Kalau dia menang di Parlimen dia bercakap bagi pihak kita. Saya percaya dia berani bercakap bagi pihak kita," kata Abdul Hadi. - UTUSAN ONLINE |
BN janji transformasi Teluk Intan Posted: 26 May 2014 12:08 PM PDT Oleh ROKIAH ABDULLAH MAH Siew Keong (duduk, tengah) bersama ahli-ahli parti Gerakan dan parti komponen Barisan Nasional dalam Majlis Pelancaran Manifesto Calon Barisan Nasional bagi Pilihan raya Kecil Parlimen Teluk Intan di Pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia Bahagian Teluk Intan, Perak, semalam. TELUK INTAN 26 Mei - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong hari ini melancarkan manifestonya yang antara lain berjanji untuk membina sebuah universiti di bandar itu dan berusaha menjadikan ikon kawasan berkenaan, Menara Jam Condong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Presiden Gerakan tersebut juga berjanji untuk menjadikan Teluk Intan sebagai hab pertanian moden, meningkatkan pelaburan, peluang pekerjaan untuk golongan muda serta mewujudkan lebih banyak zon WiFi dalam usaha mentransformasikan bandar tersebut. Selain itu, beliau berikrar untuk menjadikan bandar ini sebagai pusat makanan di Hilir Perak, membangunkan projek pembangunan bersepadu tepi sungai dan membina kompleks sukan bersepadu untuk golongan belia. Siew Keong menjelaskan, janji dan ikrar yang digariskan itu adalah keperluan penduduk berdasarkan pengalaman yang dilaluinya selama 20 tahun memberi khidmat kepada mereka. "Sepanjang enam tahun lepas, Teluk Intan telah banyak ketinggalan terutama dalam pembangunan infrastruktur berikutan kegagalan Ahli Parlimen DAP yang dipilih menjalan tanggungjawabnya dan kita akui ada 'jiran' kita yang telah jauh mendahului. "Melalui tiga teras utama iaitu pembangunan ekonomi, pelancongan dan komuniti, saya bertekad untuk menyambung kembali rancangan yang telah dirangka untuk membangunkan Teluk Intan, yang dulu terpaksa saya ketepikan selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) tahun 2008," katanya. Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran manisfestonya di Pejabat Gerakan Teluk Intan di sini hari ini. Dalam majlis itu, Siew Keong juga berikrar, jika dipilih menjadi Ahli Parlimen di sini, beliau akan terus berjuang dan bekerja bersungguh-sungguh untuk membangunkan Teluk Intan selain memastikan potensi yang ada di kawasan ini direalisasikan sepenuhnya. Jelas Siew Keong, beliau yakin mampu melaksanakan segala akujanji yang terkandung dalam manifestonya itu antara 70 dan 80 peratus. "Apa yang saya ikrarkan bukan direka-reka kerana semuanya saya rangka setelah membuat semakan dengan pihak-pihak terlibat mengenai bantuan yang boleh mereka salurkan untuk penduduk di kawasan sini. "Ada peluang untuk dapat, baru saya berani suarakan. Saya tidak berani buat janji sedangkan realitinya ia tidak akan dapat dilakukan seperti yang selalu dibuat pembangkang," katanya. Tambah Siew Keong, melalui pengalamannya sebagai bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Ahli Parlimen Teluk Intan dari tahun 1999 hingga 2008, beliau yakin mampu membawa perubahan yang lebih baik untuk Teluk Intan. "Saya memohon agar diberikan peluang untuk berkhidmat di kawasan ini sekali lagi. Saya berikrar akan melakukan yang terbaik untuk menjadikan Teluk Intan lebih maju dan membangun pada masa depan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |