Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Pemimpin PKR dicabar lepas jawatan jika bermaruah Posted: 05 May 2014 12:18 PM PDT Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA Zulkifli Nordin KUALA LUMPUR 5 Mei - Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sebelum ini sering melaung-laungkan tuntutan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibersihkan, dicabar meletak jawatan jika benar mereka bermaruah ekoran dakwaan wujud manipulasi undi sehingga mencetuskan kekecohan dalam pemilihan parti itu. Bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, pemimpin PKR bermula daripada Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rafizi Ramli, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, R. Sivarasa dan Tian Chua patut malu dengan apa yang berlaku tetapi sikap membisu membuktikan mereka cakap tidak serupa bikin. Katanya, beliau pelik bagaimana pemimpin-pemimpin PKR yang sebelum ini lantang bersuara di Dewan Rakyat, malah sanggup turun ke jalanan bagi menuntut pilihan raya bersih telah mengunci mulut apabila melibatkan parti sendiri, sedangkan dakwaan manipulasi undi didedahkan Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin. "Sebab itu saya tidak pelik sekiranya segala tohmahan yang dilemparkan PKR kepada SPR sebenarnya rancangan mereka sendiri bagi memburukkan institusi tersebut demi membangkitkan sentimen rakyat kerana dakwaan blackout berlaku dalam PKR ketika proses pengiraan undi di Cabang PKR Batang Sadong, Sarawak. "Jadi saya cabar Anwar, Rafizi, Saifuddin Nasution, Sivarasa dan Tian Chua letak jawatan kerana jika membisu, bererti mereka sebenarnya merestui manipulasi undi. Saya juga cabar Datuk S. Ambiga (Pengerusi Bersih) pergi buat bantahan kepada PKR," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Proses pemilihan PKR di seluruh negara kecoh dengan beberapa cabang diisytiharkan sebagai tidak sah dan perlu diadakan pengundian semula, antaranya di Pulau Pinang, melibatkan Cabang Nibong Tebal selepas timbul dakwaan wujud pengundi hantu dalam pertandingan tiga penjuru merebut jawatan pengerusi negeri. Insiden di Pulau Pinang tidak hanya terhenti di situ kerana di Cabang Balik Pulau pula, proses pengundian bertukar panas apabila perbuatan kempen dan 'mencuri pengundi' di bilik mengundi menimbulkan rasa tidak puas hati para penyokong sehingga menyebabkan berlaku pertengkaran yang hampir menjadi insiden tumbuk-menumbuk. Di Sabah pula , tiada persediaan rapi menyebabkan sesi mesyuarat dan pemilihan PKR Cabang Tenom yang berlangsung di sebuah hotel bertukar kecoh sehingga menjadi tidak terkawal menyebabkan Pengarah Jawatankuasa Pemilihan PKR Cabang Tenom, Nazri Udoi memutuskan mesyuarat serta pemilihan dibatalkan. Hal sama berlaku di Perak apabila Ahli Parlimen Lumut, Laksamana Pertama (B), Muhammad Imran Abdul Hamid tidak berpuas hati dengan perjalanan pengundian bagi jawatan Ketua Cabang Lumut, manakala di Kedah, calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Sungai Petani, S. Arvind Kumar mendesak pengundian semula. Dalam pada itu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari mendakwa, siri kekecohan yang berlaku dalam pemilihan PKR adalah kerana tidak wujud demokrasi tulen dalam parti tersebut kerana pemilihan pemimpin ditentukan Ketua Pembangkang menyebabkan calon bertanding tidak berpuas hati dengan perjalanan pengundian. "Sebab itu kita lihat keadaan pemilihan PKR tetap sama. Kekecohan tetap berlaku walaupun telah banyak aduan dibuat kerana Anwar tidak serius untuk membetulkan keadaan. Apa yang mereka laung-laungkan tidak ubah seperti ayam jantan sahaja yang hanya pandai berkokok tetapi ekor sendiri bergelumang najis," katanya. |
Tindakan Wan Azizah diselar, lari daripada tanggungjawab Posted: 05 May 2014 12:18 PM PDT PULAU PINANG 5 Mei - Tindakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang tidak mempertahankan jawatan Ketua Cabang Permatang Pauh dalam pemilihan parti itu kali ini menunjukkan beliau seolah-olah cuba melarikan diri daripada tanggungjawab. Bekas Ketua Wanita PKR negeri, Aminah Abdullah berkata, Wan Azizah yang juga isteri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya melepaskan jawatan itu kerana mempunyai banyak 'hutang yang belum dilunaskan terhadap penduduk kawasan tersebut. Beliau mendakwa, banyak masalah rakyat yang masih berbangkit di kawasan Permatang Pauh yang belum diselesaikan biarpun Wan Azizah mengetuai PKR dan pernah menjadi Ahli Parlimen kawasan terbabit. "Suatu ketika dahulu, Wan Azizah mengkhianati pengundi Permatang Pauh apabila dengan mudah melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen semata-mata mahu memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. "Kini sekali lagi orang Permatang Pauh seolah-olah dipermain-mainkan apabila Wan Azizah tidak mahu mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang setelah berjaya menawan Dewan Undang Negeri (DUN) Kajang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Dalam pemilihan semalam, jawatan Ketua Cabang Permatang Pauh menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Norlela Ariffin dan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri, Amir Md. Ghazali. Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Norlela tewas selepas hanya mendapat 70 undi berbanding Amir yang memperoleh 171 undi. Pemilihan Cabang PKR Permatang Pauh juga seolah-olah diboikot ahli-ahlinya sendiri selepas hanya 275 ahli keluar mengundi berbanding kira-kira 6,000 ahli berdaftar yang layak berbuat demikian. Aminah menambah, tindakan Wan Azizah juga menunjukkan beliau bimbang berlaku penolakan terhadapnya dalam kalangan ahli PKR Permatang Pauh. "PKR ini hanya gah disebabkan Anwar sahaja dan pemimpin lain termasuk Wan Azizah sendiri tidak ada tempat dalam parti termasuk dalam kalangan ahli PKR sendiri," katanya. Mengenai insiden kekecohan memalukan yang berlaku dalam pemilihan PKR kali ini, Aminah berkata, perkara itu bukan menghairankan kerana pemilihan tersebut berlangsung dalam keadaan parti tiada hala tuju. "Sepatutnya pada tahap ini PKR sudah matang mampu mengadakan pemilihan dengan sempurna dan lancar tetapi apa yang berlaku jelas menunjukkan parti ini lemah. "Kalau pemilihan parti pun tidak dapat dilaksanakan dengan baik, bagaimana untuk mentadbir negara?" katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |