{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Mantapkan perpaduan kaum

Posted: 12 May 2014 12:42 PM PDT

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

Antara prasyarat untuk memastikan perpaduan terus berkekalan adalah semua pihak harus menghormati kontrak sosial yang dipersetujui semua kaum sebelum ini. - Gambar Hiasan

HARI ini genap 45 tahun peristiwa hitam 13 Mei yang berlaku tiga hari selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 1969.

Tragedi berkenaan sudah tentu tidak perlu dikenang lagi ketika negara berbilang kaum ini sedang bergerak menjadi sebuah negara maju.

Cuma apa yang perlu diingat adalah semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh semua rakyat ketika kejadian itu sehingga menyebabkan niat golongan pelampau untuk menghancurkan negara telah gagal.

Dalam suasana kacau sebegitu rupa, masih ramai penduduk yang tidak hilang perhitungan dan perikemanusiaannya dan ia terbukti apabila pergaduhan kaum tidak merebak jauh.

Boleh dikatakan pergaduhan hanya terbatas di Kuala Lumpur khususnya kawasan Chow Kit dan Kampung Baru sahaja serta sedikit-sedikit melarat ke Ampang, Kampung Pandan dan Kampung Datuk Keramat.

Bagi mereka yang pernah membaca buku Memoir Seorang Pejuang yang ditulis oleh bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Allahyarham Tan Sri Aishah Ghani sudah pasti akan tersentuh dengan kisah-kisah yang diceritakan mengenai semangat perpaduan yang ditunjukkan penduduk berbilang kaum ketika itu.

Menurut Allahyarham, walaupun situasi mencemaskan, masih ada individu yang berfikiran rasional untuk menyelamatkan pihak lain walaupun daripada kaum berlainan.

Antara kisah-kisah itu, adalah seorang setiausaha di ibu pejabat UMNO telah diselamatkan seorang penjaga kedai Cina di Chow Kit dengan disorokkan di celah gulungan kain apabila beberapa orang yang memegang kayu mahu memukul wanita itu.

Aishah juga menceritakan bagaimana rumahnya di Jalan Daud, Kampung Baru, Kuala Lumpur dimasuki seorang pemuda Cina yang lari lintang-pukang dengan tidak berkasut.

Saya terus meminta pemuda Cina itu supaya jangan keluar rumah sehingga saya dapat menghubungi polis atau kenderaan askar yang boleh membawanya keluar dengan selamat.

Dalam pada itu, saudara mara yang datang berkumpul di rumah saya telah membawa beberapa orang kanak-kanak Cina, mereka disuruh memakai baju kurung supaya tidak dikenali sesiapa. Salah seorang dipanggil dengan nama Minah sahaja," tulisnya.

Dalam memoir itu, Aishah menegaskan, kejadian itu merupakan satu amaran besar kepada semua pihak supaya jangan lagi memarakkan api perkauman.

Rakyat tidak harus terpengaruh dengan dakyah kumpulan tertentu yang terus menerus menentang apa jua yang berbau Melayu.

Kita juga tidak harus menyokong mana-mana pihak yang membuat tuntutan tidak berpijak kepada realiti sejarah," tulisnya.

Mengulas kejadian berkenaan, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Samsuri Arshad berkata, perpaduan kaum yang dikecapi sejak sekian lama membolehkan negara ini membangun dari segi ekonomi yang dikongsi secara bersama oleh semua penduduk.

Antara rahsia kita boleh maju dari segi ekonomi kerana pelabur-pelabur berani datang untuk membuka kilang di Malaysia kerana negara kita aman.

Kita aman disebabkan tidak berlaku pertelingkahan sesama rakyat setelah penduduk berbilang kaum dan agama mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku ketika 13 Mei," ujarnya.

Beliau berkata, ekoran kejadian itu, semua pihak mengelak untuk membangkitkan isu-isu yang boleh menyentuh sensitiviti kaum lain dan mempunyai semangat toleransi yang tinggi.

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini, ada pihak tidak bertanggungjawab yang tidak pernah mengalami peristiwa pahit berkenaan telah cuba membangkitkan kembali isu-isu sensitif berkenaan.

Saya meminta mereka supaya tidak meneruskan niat berkenaan. Jika generasi sebelum ini boleh mengelak menyentuh isu sensitif terbabit, kenapa generasi sekarang tidak boleh melakukan perkara sama.

Elakkan untuk membangkitkan isu sensitif ini dalam media massa dan media sosial.

Sebarang rasa tidak berpuas hati hendaklah dibincang secara tertutup bagi membolehkan penyelesaian dicapai yang memuaskan hati kedua-dua belah pihak," katanya.

Menurut beliau, satu lagi prasyarat untuk memastikan perpaduan terus berkekalan adalah semua pihak harus menghormati kontrak sosial yang dipersetujui semua kaum sebelum ini.

Kontrak sosial merujuk kepada persetujuan untuk memberi kewarganegaraan kepada kaum-kaum lain dan sebagai ganti diberikan hak keistimewaan kepada orang Melayu.

Kontrak sosial ini adalah sesuatu yang telah terdapat dalam sejarah negara kita yang harus diterima bagi memastikan hubungan antara kaum terus terpelihara.

Pemimpin-pemimpin Melayu telah bertolak ansur dengan melonggarkan syarat-syarat kewarganegaraan untuk diberikan kepada kaum lain dan perkara ini tidak pernah dibuat oleh negara-negara lain.

Jika dilihat di Australia misalnya mereka yang berhijrah ke sana hanya diberikan status penduduk tetap dan bukannya kewarganegaraan secara terus," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali yakin kejadian hitam itu tidak akan berulang sekiranya semua pihak menghormati segala yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, antaranya Perkara 153 yang menyentuh mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa sama tidak menafikan kepentingan sah kaum-kaum lain.

Antara yang disentuh adalah hak istimewa Melayu untuk mendapat jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa, pendidikan, perniagaan dan kemudahan khas lain yang diberikan.

Perkara 153 tidak boleh dipinda, diubah atau dilucutkan tanpa mendapat persetujuan raja-raja Melayu.

Ini juga termasuk peruntukan Perkara 86 yang menyentuh mengenai langkah-langkah melindungi tanah rizab orang Melayu," ujarnya.

Beliau berkata, Perkasa sentiasa komited untuk memastikan perpaduan nasional di negara ini terus dimantapkan.

Dalam masa yang sama kita meminta kaum-kaum lain tidak mempersoalkan hak keistimewaan yang diberikan kerana orang Melayu kerana mereka masih ketinggalan di negara ini dalam segenap bidang," tegasnya.

Pengekalan ruangan kaum, wajar dan bijaksana

Posted: 12 May 2014 12:42 PM PDT

Dari Jendela Tok Ki

PENAFIAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghapuskan ruangan kaum dalam borang rasmi kerajaan adalah suatu kewajaran dan bijaksana.

Kata beliau, Kabinet tidak membuat sebarang perubahan mengenainya dan amalan itu dikekalkan.

Tambah Najib, tujuan kerajaan mengekalkan dasar sedia ada bukan mahu melebarkan jurang antara kaum dari segi sentimen atau perasaan.

Perkara ini, katanya, perlu dilihat secara positif kerana kerajaan mahu menentukan setiap kaum mendapat pertimbangan yang adil dengan tiada mana-mana pihak ketinggalan dari segi pembangunan.

Isu ini lebih banyak melibatkan prasangka. Isu merit umpamanya adalah penting tetapi faktor sosio-ekonomi dengan asas yang munasabah sering menjadi pertimbangan. Dalam iklim pengurusan di Malaysia ia adalah wajar dan adil kerana ketidakseimbangan masih wujud.

Melakukan diskriminasi adalah perbuatan yang tidak baik. Biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berasaskan kouta kaum umpamanya boleh diterima oleh banyak pihak kerana ia semakin baik untuk komponen kaum-kaum yang terdapat di Malaysia dan ia boleh diperbaiki lagi pada masa depan.

Fokus Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk memperkasa ekuiti orang Melayu dan bumiputera dalam pendidikan, keusahawanan dan ekonomi adalah wajar kerana ekuiti orang Melayu masih dalam paras 20%. Ketidakseimbangan dalam agihan ekuiti boleh menyebabkan rasa tidak puas hati terjadi. Ia boleh menyentuh hubungan ras dan etnik.

Sehingga kini contohnya konsep kebangsaan (national) ditanggapi secara negatif oleh setengah aktivis politik dengan menghubungkan sebagai konsep kaumiyyah atau rasis. Padahal konotasi kebangsaan" yang dalam istilah Inggerisnya nasional" adalah gambaran yang lebih makro terhadap struktur negara atau organisasi.

Lalu apa saja konsep kebangsaan dianggap bercanggah dengan Islam kerana ia memperjuangkan nasionalisme. Tidak semua aspek fahaman kebangsaan atau kewatanan bercanggah dengan Islam. Ahli sosiologi Islam, Ibn Khaldun ada menghubungkan kewatanan yang positif.

Rasulullah SAW merujuk kepada kepimpinan Quraish tidak bermakna ia bersifat diskriminatif atau menumpukan kepada suatu kaum.

Meletakkan nama kaum harus dilihat secara positif kerana sifat masyarakat Malaysia adalah majmuk. Mengapa dalam sistem pendidikan negara kita bersetuju mengkategorikan sekolah kepada Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil. Mengapa tidak hanya Sekolah Kebangsaan saja yang mencerminkan imej nasional?

Ia berlaku tentu ada rasionalnya. Apa yang penting bahasa Melayu dimartabatkan, bahasa ibunda dibenarkan untuk dipelajari dan dalam masa sama kurikulum kebangsaan harus dipelajari. Kalau tidak bahaya perkauman akan bertambah subur.

Isu hak istimewa orang Melayu dan bumiputera memang ada dalam peruntukan Perlembagaan. Ia disepakati sejak sebelum merdeka dulu. Menjadi suatu amanah kepada kerajaan yang memerintah supaya peruntukan ini dilaksanakan dan generasi muda bukan Melayu harus memahami ini kerana ketidakseimbangan antara kaum mesti diperbetulkan supaya akhirnya kelompok bukan Melayu juga harus disantuni dengan wajar.

Memahami dasar-dasar di Malaysia adalah memahami sejarah dan budaya masyarakatnya. Generasi hari ini tidak boleh melupakan sejarah silam negara.

Yang lalu, hari ini dan hari depan ibarat mata rantai yang menuntut persefahaman yang tinggi, toleransi dan kesabaran yang banyak supaya setiap kaum merasa puas hati bahawa keadilan sedang terjadi untuk memperbetulkan semula ketidakseimbangan yang menjadi ancaman kepada perpaduan negara.

Pelaksana dasar-dasar negara harus berlaku adil kerana bagi orang Islam berlaku adil itu adalah sebahagian dari iman. Orang Islam yang terlibat dalam pengurusan negara harus menginsafi meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya adalah zalim. Memilih orang dari kaum sendiri semata-mata untuk menjawat sesuatu jawatan atau orang dari negeri dan daerah sendiri saja adalah tidak Islamik.

Pengurusan negara lazimnya membuat sesuatu dasar pelantikan dan kedudukan berasaskan banyak pertimbangan. Pertimbangan itu untuk kebaikan semua. Ia harus diperbaiki dari semasa ke semasa sehingga jurang perbezaan dikecilkan sehingga asas merit dan kualiti akhirnya menjadi pedoman penting dalam membuat pilihan.

Tanpa ada keinsafan ini setiap orang mungkin berfikir dalam kotak kaumnya dan ia tidak baik bagi Malaysia yang menghargai pentingnya perpaduan dalam kalangan warga majmuknya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat