{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Sektor pertanian ada masa depan

Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
pengarang@utusan.com.my

MENINGKATKAN taraf hidup petani, penternak dan nelayan merupakan matlamat utama perjuangan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaik sahaja dilantik sebagai menteri yang menerajui kementerian itu setahun yang lalu.

Beliau mahu mengubah persepsi terhadap golongan yang dilabelkan sebagai miskin dan tertindas. Biarpun agak sukar, Ahli Parlimen Bera ini tetap berazam untuk mengubah pandangan masyarakat ke atas petani, penternak dan nelayan.

Dalam tempoh genap setahun hari ini di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pelbagai perkara beliau telah lakukan, antaranya mengubah sektor pertanian itu sendiri supaya golongan muda melihat sektor tersebut sebagai jaminan masa depan yang menguntungkan.

"Kesan di sebalik persepsi negatif ke atas ketiga-tiga golongan itu menyebabkan orang muda kurang berminat menceburi sektor pertanian, mereka beranggapan ia tidak menjamin masa depan dan itulah realitinya, waima kalau kita baca novel dan tengok filem sekali pun soal kemiskinanlah yang digambarkan.

"Semua ini berpunca daripada peranan orang tengah dan inilah pentingnya kita perlu hapuskan orang tengah yang selama ini menindas golongan petani, penternak dan nelayan, produk mereka dibeli pada harga murah tetapi orang tengah mengaut keuntungan berganda menjualnya pada harga tinggi kepada pengguna," katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Justeru bagi membela nasib golongan tersebut, beliau mengumumkan untuk berjihad membanteras orang tengah serta berhasrat mengubah kesusahan hidup mereka supaya dapat menikmati kehidupan lebih sempurna sejajar dengan arus kemodenan.

Bagi membela nasib golongan itu, Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjadi orang tengah membeli hasil tangkapan laut, ternakan dan tanaman pada harga lebih munasabah.

Justeru lama kelamaan golongan yang menjadi nadi kepada kelangsungan hidup masyarakat desa dan bandar ini akan berubah sedikit demi sedikit, walaupun mungkin terpaksa memakan masa Ismail Sabri optimis bahawa matlamat perjuangan beliau pastinya akan membuahkan hasil satu hari nanti.

Jihad beliau itu mungkin dilihat sebagai sesuatu yang sukar kerana tidak mudah menyingkirkan orang tengah yang telah berakar umbi sejak sekian lama, namun Ismail Sabri melihatnya sebagai satu usaha yang mesti diteruskan walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai dugaan.

"Orang tengah ini selalunya dikaitkan dengan bangsa tertentu tapi saya tidak fokus kepada bukan Melayu atau bukan Islam semata-mata kerana apa-apa bangsa pun boleh jadi orang tengah, saya sebut jihad membanteras orang tengah kerana saya mahu tunjukkan bahawa kita serius dalam melaksanakannya.

"Orang tengah ini boleh jadi Melayu dan Islam, sesiapa pun boleh asalkan dia mengambil kesempatan menindas golongan penternak, petani dan nelayan. Angkara orang tengahlah kesannya turut dirasai oleh pengguna kerana harga di pasaran akan menjadi mahal," katanya.

Para petani dan nelayan tidak boleh lagi membiarkan hasil titik peluh mereka diratah oleh orang tengah, mereka tidak boleh membiarkan keringat mereka diperah sesuka hati, mereka perlu bangkit menjual sendiri hasil mereka dengan cara betul untuk keluar dari kepompong kemiskinan.

Tegas beliau, perjuangan untuk mengubah minda petani dan nelayan amat penting dan ia bukan hanya berlegar di peringkat kementerian sebaliknya harus dipikul oleh semua pihak.

Mengulas mengenai nasib para nelayan yang terpaksa berhutang dengan orang tengah ketika musim tengkujuh sehingga menyebabkan kudrat mereka diperah untuk melangsaikan hutang, beliau berkata, kerajaan telah menanganinya.

"Kini, hutang para nelayan sebanyak RM40 juta diambil alih oleh Tekun Nasional, Nekmat pula menyediakan tabung pinjaman tanpa faedah untuk kecemasan sebanyak RM50,000 kepada 87 persatuan nelayan kawasan serta mewujudkan 50 pasar nelayan baharu di seluruh negara bagi membolehkan hasil tangkapan dipasarkan terus.

"Nekmat juga membeli ikan dengan harga setanding ditawarkan orang tengah, FAMA pula menyediakan lebih banyak ruang di pasar tani bagi nelayan dan keluarga menjual hasil produk mereka kepada pengguna," katanya.

Matlamat meningkatkan taraf hidup tidak mungkin akan berjaya tanpa sokongan para petani, penternak dan nelayan sendiri, justeru kempen berterusan akan terus dilakukan bagi memastikan minda mereka dapat diubah.

"Saya sedar masih ramai petani kita yang selesa dengan cara lama atau cara tradisi, mereka sedar dari segi pengeluaran hasilnya rendah berbanding mengamalkan cara moden, jadi saya masih perlu bekerja keras untuk mengubah minda mereka.

"Para pemimpin persatuan nelayan dan petani juga perlu diberikan kursus untuk mengubah minda mereka, bagaimana petani hendak berubah kalau pemimpin persatuan sendiri kurang kesedaran, pegawai-pegawai di kementerian dan agensi-agensi di bawahnya juga perlu berubah supaya perubahan besar-besaran boleh dilakukan," katanya.

Beliau amat berharap agar kaedah lama dalam sektor pertanian dapat dimodenkan secara menyeluruh kerana negara memiliki tanah yang subur, kerajaan menyediakan bimbingan dan tunjuk ajar serta bantuan kewangan untuk melahirkan usahawan-usahawan tani muda yang berjaya.

Pesawah juga merupakan golongan sasar yang perlu diubah mindanya, tanaman cara lama tidak sesuai lagi diamalkan pada masa kini, sikap suka menggunakan khidmat orang tengah perlu dibuang, anjakan perlu dibuat jika mahu menambah pendapatan.

Bagi membantu pesawah, PPK akan diberi peranan dan kuasa membeli padi daripada petani manakala pengusaha kilang akan mendapatkan kuota keperluan kilang melalui PPK manakala NAFAS akan menyediakan Dana Bantuan Kebajikan sebanyak RM100,000 bagi setiap PPK yang melaksanakan skim belian padi bagi mengelakkan petani dan ahli meminjam dari broker.

Sejak setahun lalu, 17 dasar dilaksanakan oleh Ismail Sabri, antaranya mengharamkan penggunaan pukat tunda saiz anak mata 38mm, membatalkan lesen pengusaha laut dalam yang memajak bot kepada pengusaha Vietnam atau menggunakan sepenuhnya nelayan asing untuk beroperasi, meliberalisasikan permit import (AP), mewujudkan Unit Agroproneur Muda dan Majlis Perundingan Agroproneur Muda (dipengerusikan oleh beliau sendiri), Program Transformasi Pertanian dan meningkatkan pengetahuan Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan serta Nekmat.

"Harapan saya ialah ada perubahan minda di kalangan semua pihak agar transformasi pertanian dapat dilakukan secara mutlak, cara bekerja juga perlu berubah barulah ada perubahan. Jika tidak usaha ini tidak akan berjaya," katanya.

Israk Mikraj tingkatkan keimanan

Posted: 18 May 2014 12:36 PM PDT

Pandangan IKIM

MAHA Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Nabi Muhammad SAW ) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (Al-Isra: 1).

Peristiwa ini diperingati pada setiap 27 Rejab tahun hijrah sekalipun ulama berbeza pandangan mengenainya dengan tujuan mengukur keimanan kita sebagai umat Islam. Iaitu untuk beriman kepada perkara-perkara ghaib yang di luar fikiran logik manusia dengan meyakini tanda-tanda kekuasaan Allah.

Di antara peristiwa-peristiwa yang berlaku ialah Nabi Muhammad dibelah dadanya untuk dibersihkan, melewati tempat-tempat bersejarah seperti Kota Thaibah (Madinah), Bukit Thursina dan Baitul Laham, dipertemu dengan para nabi, dipertonton peristiwa-peristiwa ajaib dan dipertemu dengan Allah, yang akhirnya membawa kepada pensyariatan solat fardhu lima kali sehari semalam.

Hakikatnya hikmah bersejarah peristiwa Israk dan Mikraj ini bukan sekadar mengenai perjalanan ajaib Rasulullah dan peristiwa-peristiwa yang dialami dalam tempoh satu malam akan tetapi juga mengandungi iktibar yang besar kepada umat manusia.

Pertama, sentiasa berpegang teguh kepada kebenaran sekalipun kebenaran itu mungkin tidak difahami atau disenangi oleh orang lain. Kualiti inilah yang dipegang oleh Nabi Muhammad ketika baginda menyampaikan khabar "perjalanan malam" kepada kaumnya. Dikhabarkan bahawa terdapat umat Islam yang murtad setelah mendengar peristiwa yang disampaikan oleh Rasulullah ini.

Prinsip berpegang kepada kebenaran termasuklah dari segi percakapan, perbuatan, pemerhatian, persaudaraan dan ibadah. Berpegang kepada kebenaran bukanlah bermaksud bercerita mengenai aib orang kepada pihak yang tidak sepatutnya, masalah rumah tangga kepada kepada orang luar dan lain-lain yang boleh membawa kepada fitnah.

Justeru, misalnya mendiamkan perihal dosa yang pernah dilakukan terdahulu yang kemudiannya telah bertaubat nasuha bukanlah satu pembohongan. Sebaliknya ia adalah lebih baik didiamkan daripada diceritakan kepada orang yang berkemungkinan mencetuskan fitnah.

Kedua, sebuah persahabatan yang ikhlas sebagaimana yang ditunjukkan oleh Abu Bakar sehingga beliau mendapat gelaran As-Siddiq kerana terus membenarkan kata-kata Nabi Muhammad berkenaan peristiwa Israk Mikraj. Situasi ini mengajar kita bahawa kehidupan di dunia ini tidak semata-mata berpusat kepada diri sendiri dan keluarga. Bahkan kehidupan manusia di dunia ini juga adalah sebagai makhluk sosial dengan menjaga hubungan sesama jiran tetangga dan sahabat handai.

Jambatan persaudaraan dan persahabatan ini tidaklah bermakna segala-gala perkara harus dikongsi bersama seperti kisah rumah tangga masing-masing, pemilikan aset seperti wang tunai dan hartanah kerana ia bukan prasyarat dalam ukhuwah.

Sebaliknya silaturrahim dijaga atas dasar perjuangan agama, permuafakatan, saling membantu, berkasih sayang dan merentasi umat manusia tanpa mengira bangsa dan agama. Justeru, seandainya kita memilih untuk sentiasa bermusuhan dengan masyarakat, maka sesungguhnya kita telah membina kehidupan dalam kerugian.

Ketiga, sentiasa menginsafi hakikat adanya balasan terhadap setiap perbuatan baik dan perbuatan yang tidak baik yang dilakukan oleh umat manusia. Sekalipun tidak diterima di dunia, pasti ada bahagiannya di akhirat kelak. Dengan menyedari hakikat ini mudah-mudahan kita akan sentiasa berbuat baik tanpa mengharapkan balasan dan pengiktirafan manusia kerana Allah pasti akan membalasnya sekalipun bukan di dunia.

Begitu juga perbuatan yang tidak baik dilakukan oleh manusia seperti langgar lari, mencuri, mengumpat dan seumpamanya. Kita mungkin mampu menyembunyikan daripada manusia tetapi tidak mungkin kita boleh menyorokkannya daripada pengetahuan Allah. Justeru umat manusia diseru agar sentiasa bertaubat tanpa menangguh hingga penghujung usia.

Keempat adalah untuk menghargai setiap waktu yang kita ada semasa hayat di dunia. Sebagaimana Nabi Muhammad diperlihatkan dalam peristiwa Israk Mikraj akan seorang wanita tua yang bongkok sebagai simbolik hayat bagi dunia yang kita diami ini sebelum berlakunya kiamat pada bila-bila masa. Begitu juga dengan hayat kita sebagai manusia yang boleh dipanggil pulang oleh Allah pada bila-bila yang dikehendaki-Nya.

Justeru waktu yang kita ada di dunia ini hendaklah dipenuhi dengan perkara-perkara yang baik, yang membahagiakan diri kita dan orang lain, yang menguntungkan dan membuahkan kejayaan serta sentiasa membawa kita kepada mengingati Allah.

Permusuhan hendaklah dielakkan lebih-lebih lagi melibatkan perkara-perkara kecil dan remeh. Hal demikian kerana permusuhan akan mengambil sebahagian daripada hayat kita untuk melakukan perkara yang sia-sia yakni membenci seseorang.

Memperingati peristiwa Israk Mikraj pada setiap tahun hijrah seharusnya dapat mempertingkatkan keimanan kita kepada Allah. Hal demikian dengan memperakui adanya perkara-perkara ghaib yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar mahupun boleh diterima logik akal akan tetapi menjadi petunjuk kepada tanda-tanda kekuasaan-Nya.

Sebagai umat Islam yakinlah bahawa tiada yang mustahil kepada Allah dan sebagai hamba-Nya hendaklah kita menghargai kehidupan yang kita miliki hari ini.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat