Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Hudud: Siapa yang perlu ikhlas? Posted: 04 May 2014 11:23 AM PDT Zulkiflee Bakar Sebahagian orang ramai melafazkan ikrar setia dengan pelaksanaan hudud selepas mendengar Ceramah Umum Pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 di perkarangan Stadium Muhamad V, di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini. - UTUSAN/Irwan Majid KESEPAKATAN yang dicapai antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Pas Kelantan untuk menubuhkan jawatankuasa teknikal khas peringkat kebangsaan bagi memastikan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 atau hudud dapat dilaksanakan di negeri itu seharusnya melegakan seluruh umat Islam. Justeru sekarang adalah masa untuk semua umat Islam tidak kira daripada UMNO atau Pas, atas pagar atau tidak untuk memberi ruang dan kesempatan kepada jawatankuasa itu melaksanakan tugasnya. Janganlah mempolitikkan usaha yang sedang dilakukan. Selama ini sudah cukup pelbagai tohmahan dilemparkan kepada UMNO dan Kerajaan Pusat kononnya menghalang pelaksanaan hukum hudud di Kelantan. Tetapi sekarang laluan sudah dibuka dan ia kini berada di tahap permulaan yang cukup baik bagi merealisasikan impian pemimpin dan penyokong Pas yang selama ini begitu mendambakan pelaksanaan hukum itu di negeri Cik Siti Wan Kembang. Bagi merealisasikan impian itu, semua pihak perlu ikhlas khususnya dalam kalangan sesetengah pemimpin Pas yang terus membuat kenyataan mengandungi sindiran kepada UMNO dan mempertikaikan keikhlasan UMNO. Pemimpin-pemimpin Pas seumpama itu perlu faham bahawa sebaik sahaja kerajaan Pas Kelantan melalui Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menyatakan hasrat kerajaan negeri itu untuk melaksanakan hukum hudud, tidak ada satu pun kenyataan daripada pemimpin-pemimpin UMNO menolak hasrat Pas. Atas kesediaan itulah Kerajaan Pas Kelantan melalui Timbalan Menteri Besarnya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah membuat persediaan untuk membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di negeri tersebut. Ia sekali gus membuktikan tuduhan kononnya UMNO konsisten menolak hudud adalah tidak benar sama sekali tetapi sebaliknya apa yang terserlah ialah penentangan secara konsisten, keras dan tegas daripada sekutu Pas sendiri iaitu PKR dan DAP. Bagaimanapun keadaan itu masih belum memuaskan hati sesetengah pemimpin Pas yang terus menonjolkan diri melalui kenyataan yang penuh dengan madah berhelah. Selain menegaskan Pas akan kekal bersama pakatan pembangkang, pemimpin tersebut juga secara berkias masih mahu mempertikaikan keikhlasan UMNO. Sepatutnya, bukan soal keikhlasan UMNO yang harus dipersoalkan. Kalau UMNO tidak ikhlas sudah pasti parti itu tidak akan membuka laluan untuk Pas membentang rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat dan kalau UMNO tidak ikhlas awal-awal lagi UMNO akan menolak keinginan Kerajaan Pas Kelantan. Tetapi apa yang kita saksikan, UMNO terus menyokong hasrat Pas dengan hanya meminta ia perlu diperincikan demi menjaga kesucian Islam memandangkan pelaksanaan hukum hudud tidak harus menimbulkan kekeliruan apatah lagi kebimbangan dalam kalangan bukan Islam. Jika benar sesetengah pemimpin Pas mahu bercakap soal keikhlasan, mereka sepatutnya bertanya kepada DAP dan PKR, apakah kedua-dua parti itu ikhlas menganggap Pas sebagai sekutu yang cukup bernilai dan berjasa? Ia memandangkan yang menunjukkan ketidak ikhlasan terhadap Pas bukan UMNO tetapi PKR dan DAP. Kalau kedua-dua parti itu ikhlas sudah tentulah mereka tidak akan bermati-matian menentang hasrat Pas melaksanakan hukum hudud. Kenapakah PKR dan DAP tidak memberi ruang dan peluang kepada Kerajaan Pas Kelantan untuk membuat penjelasan, taklimat atau penerangan sebelum menolak hasrat melaksanakan hukum hudud itu mentah-mentah? Bukankah selama ini pakatan pembangkang sering mendabik dada sebagai pejuang demokrasi? Apakah demokrasi ala pembangkang' ialah tidak memberi ruang kepada mana-mana pihak berunding atau berbincang terhadap sesuatu perkara yang PKR dan DAP tidak persetujui? Janganlah pula dalam kalangan pemimpin Pas mempersoalkan penentangan MCA, Gerakan dan MIC. Bagi penulis, soal itu tidak perlu diperdebatkan buat masa ini kerana apa yang lebih penting Pas perlu memberi pemahaman terlebih dahulu kepada PKR dan DAP. Sejak MCA, Gerakan dan MIC bergabung dalam Barisan Nasional (BN), UMNO tidak pernah bercakap soal melaksanakan hukum hudud, sebaliknya Pas yang memperjuangkan perkara itu dan meneruskannya ketika bergabung dalam pakatan pembangkang biar pun mereka memahami sentimen PKR dan DAP terhadap hukum tersebut. Justeru adalah tidak munasabah kalau ada pemimpin-pemimpin Pas mahu mencabar pemimpin UMNO supaya mentarbiahkan MCA, Gerakan dan MIC supaya menerima hukum hudud, sedangkan mereka sendiri tidak mampu mentarbiahkan' PKR dan DAP dalam soal tersebut. Atas sebab itulah, penulis berpendapat, dalam usaha merealisasikan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, umat Islam bukan sahaja perlu bersatu malah paling penting menunjukkan keikhlasan bagi menjayakannya. Janganlah pertimbangan politik dan kebencian akibat berbeza fahaman politik memungkinkan keikhlasan umat Islam lain khususnya daripada UMNO mahu dipertikaikan. Izinkanlah jawatankuasa teknikal khas peringkat kebangsaan yang ditubuhkan melaksanakan tugasnya terlebih dahulu dan kemudian barulah sama ada UMNO mahupun Pas memberi penjelasan kepada rakan-rakan komponen masing-masing. Tetapi masalah yang berlaku sekarang ialah dalam kalangan pemimpin Pas, mereka meletakkan kepentingan politik mengatasi keikhlasan untuk melihat hukum hudud dilaksanakan di Kelantan. Mereka berada dalam parti Islam dan mereka memahami hukum tersebut adalah perjuangan utama Pas, tetapi mereka sendiri berasa ragu-ragu kalau tindakan Kerajaan Pas Kelantan akan menyebabkan parti itu akan kehilangan undi dalam pilihan raya. Soalnya, adakah mereka terfikir kenapa majoriti rakyat Kelantan begitu taksub menyokong Pas sejak 1990? Pernahkah mereka bertanya apakah yang memungkinkan UMNO tidak mendapat tempat di negeri itu biar pun telah melakukan segala-galanya untuk kembali memerintah Kelantan? Jawapannya hanya satu iaitu majoriti rakyat Kelantan berbuat demikian kerana Pas menguar-uarkan perjuangan Islam, Pas menjanjikan untuk menegakkan syariat Allah sebaik sahaja matahari terbit di ufuk timur apabila parti itu menguasai Kelantan pada 1990. Penulis tidak mahu bersekongkol dengan sentimen sesetengah pihak yang masih mempertikaikan keikhlasan Pas dalam melaksanakan hukum hudud. Soal ikhlas atau tidak, biarlah itu urusan Allah SWT. Apa yang penting sekarang ialah berusaha untuk memastikan sejauh manakah impian Kerajaan Pas Kelantan akan terlaksana. Apa pun kita mendoakan yang terbaik berikutan kesepakatan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Pas Kelantan kerana sudah tiba masanya, umat Islam bersatu dalam soal ini supaya kita tidak perlu menyembah pihak lain demi mahu meraih kuasa politik. |
Posted: 04 May 2014 11:23 AM PDT Pena Orang ramai beratur untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi dalam PRU-13 di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Taman Koperasi Polis, Taman Koperasi, pada 5 Mei tahun lalu - UTUSAN/Abdul Razak Latif HARI ini sudah genap setahun sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 diadakan. PRU Ke-13 ditetapkan pada 5 Mei 2013 selepas pembubaran Parlimen pada 3 April 2013 dan diikuti dengan penamaan calon pada 20 April. Pada ketika itu, 84% dari 13,268,002 pengundi menjadi 'raja' di 222 kawasan Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri kecuali Sarawak dalam menentukan siapakah layak untuk mentadbir-urus negara ini yang tidak pernah terkecuali menjalankan PRU dalam tempoh masa ditetapkan dengan pengendalian di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagaimana yang termaktub di bawah Perkara 113 Perlembagaan. Mengimbas setahun pasca PRU Ke-13, jika PRU diadakan sekarang ketika merentasi tahun pertama, bagaimana kedudukannya. Apakah Barisan Nasional (BN) akan mempunyai bilangan kerusi yang sama, merosot atau meningkat? Bagaimana pula Pakatan Pembangkang (PR), adakah masih bertahan di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan atau dapat merealisasikan impian ke Putrajaya? Apakah BN akan dapat merampas kesemua negeri di bawah PR? PRU Ke-13 dinamakan sebagai 'ibu segala pilihan raya' kerana menunjukkan semangat dan motivasi luar biasa sehingga keputusannya juga bercampur-campur. Ia diangkat dengan nada kecewa dan sinis oleh sesetengah pihak walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ada menyatakan bahawa menerima keputusan PRU penting untuk proses memakmurkan negara tanpa ada gangguan ke atas kestabilan dan melahirkan keadaan tidak menentu. Keputusan PRU Ke-13 menunjukkan BN diberi mandat untuk terus mentadbir negara. Dengan kemenangan 133 kerusi, ia kekal dengan majoriti mudah yang kekurangan 15 kerusi untuk majoriti dua pertiga. Bagi barisan pembangkang, bilangan kerusinya bertambah kepada 89 dari 82 sebelumnya, kurang 23 kerusi untuk majoriti mudah. Selepas setahun, bagaimanakah kedudukannya? Adakah wujud perubahan? UMNO masih kekal popular di hampir 10 negeri, PKR di Selangor manakala DAP di Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan, Pas di Kelantan tetapi apakah perubahan yang sudah dilakukan sepanjang satu tahun lalu? Adakah perencanaan parti berjaya memobilisasi sokongan atau sebaliknya? Dengan rujukan kepada akujanji dan manifesto, apakah masing-masing dengan bangga dan yakin boleh menyatakan sebahagian besar sudah dipenuhi, sudah dimulakan perancangan atau ia masih belum menampakkan sebarang perubahan? Ini juga termasuk pola pengundian mengikut kaum, atau sektoral agensi kerajaan dan bukan kerajaan, apakah masing-masing menampakkan perubahan sokongan? Keputusan 505 PRU Ke-13 dipengaruhi oleh hampir 90% pengundi Cina mengundi parti DAP termasuk Pas. BN kehilangan 96% kerusi dengan lebih 40% majoriti pengundi Cina sehingga wujud sentimen yang dinamakan sebagai 'tsunami Cina', pendefinisian ke atas penolakan pengundi Cina kepada parti BN tetapi ia tidak berlaku hanya di kawasan bandar. Selepas setahun, sentimen ini masih berada di tahap sama walaupun ada perubahan kepimpinan dalam parti MCA dengan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengambil-alih dari Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek. Ujian di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang menunjukkan ada peningkatan sokongan tetapi tahap sokongan di PRK sukar dijadikan imaginasi sokongan sebenar. Malang lagi, SUPP di Sarawak masih bernyawa ikan dan dengan kedatangan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam jangkamasa yang tidak berapa jauh, apakah SUPP mampu bangkit dan menterjemahkan sokongan pengundi Cina kepada kepimpinan baru Sarawak, Tan Sri Adenan Satem? Walau apa sahaja diperkatakan tentang Pehin Seri Taib Mahmud, beliau berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga dalam PRN lalu dan mampukah ia diulangi di bawah kepimpinan baru merupakan cabaran yang perlu diteliti. Apakah parti berlatar belakang kaum Cina yang baru dengan kepimpinan yang menjiwai zaman kontemporari boleh lahir untuk melonjakkan sokongan beserta dengan kerjasama badan bukan kerajaan dan yang mesra kepada BN? Sepanjang setahun lalu, hampir semua parti berhadapan dengan pemilihan parti termasuk dalam UMNO, MCA, MIC dan Gerakan. Perubahan tidak berlaku dengan ketara di dalam UMNO namun MCA berwajah baru. Cabaran besar bagi MCA selepas ini adalah dilema untuk mengawal populariti berdasarkan kepada Formula 1952 yang kemudiannya Formula 1955 dengan kehadiran MIC dalam kerjasama tersebut. MIC pula diheret ke Pejabat Pendaftaran (ROS) kerana wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin yang merasakan wujudnya salah-laku pemilihan. Datuk S. Balakrishnan dan Datuk S. Sothinathan muncul dua Naib Presiden baru dalam parti melalui pemilihan ini. Parti-parti yang menjadi mesra BN dilihat turut memain peranan signifikan dan membantu parti induk BN, misalnya Makkal Sakti yang sentiasa bergerak menyelesaikan isu dan masalah yang timbul sebagaimana juga dengan Kimma dan IPF. Sudahkah tiba masanya pendekatan baru digunapakai untuk meningkatkan tahap komitmen mereka sebagai penghargaan ke atas sumbangan selama ini kerana komitmen ini jelas PRK. Sepanjang satu tahun pasca 505 PRU Ke-13, lima PRK diadakan, semuanya bersifat status quo. Ia bermula di Kuala Besut diikuti dengan Sungai Limau, Kajang, Balingan dan Bukit Gelugor serta Teluk Intan. Kesemuanya terpaksa diadakan akibat kematian kecuali di Kajang berpunca peletakan jawatan untuk mengukuhkan parti di Selangor manakala di Balingan, calon dilantik menjadi Yang Dipertua Negeri. Hakikatnya, kos mengadakan PRK tidak murah, misalnya kos di Kajang adalah RM1.605 juta manakala di Balingan, RM910,213. Barisan parti pembangkang juga berhadapan dengan pemilihan parti. DAP melihat pemilihan yang terpaksa diadakan kerana wujud salah laku dan diarah untuk mengadakan pemilihan baru tanpa ada perubahan besar. Begitu juga dengan Pas dengan pemilihan semula Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden. Bagi PKR, ia bakal berhadapan dengan pemilihan parti. Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kekal sebagai Presiden parti selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik diri tetapi pemilihan Timbalan Presiden dan Naib Presiden bakal melihat hala tuju dan masa depan parti tersebut. Beberapa isu dominan muncul sepanjang satu tahun pasca PRU Ke-13. Antaranya, isu kenaikan barang secara mendadak sehingga agensi terlibat bersifat defensif. Tidak ada yang sukakan barang naik dan ini boleh mempengaruhi pandangan umum kepada parti politik kerana parti sering diheret bersama dalam keputusan yang dibuat kerajaan. Begitu juga dengan harga petrol, tarif elektrik, GST, tambang bas, LRT, kalimah Allah, gula dan lain-lain. Saga PKNS, gaji wakil rakyat, penutupan GiatMara dan isu air menghantui kepimpinan PKR. Hukum hudud kini menjadi keutamaan Pas semula. Persepsi adalah realiti dan adakalanya realiti menjadi persepsi yang perlu dilawan dari bersifat defensif mengenainya. Begitu juga dengan kenaikan tarif air dan isu kereta Mercedez Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Isu kezaliman, keadilan, rasuah dan kroni sentiasa didendang ketika parti berhadapan dengan krisis keyakinan. Isu perpaduan dan agama tidak ketinggalan sepanjang satu tahun ini. Hudud menjadi perdebatan sedangkan ia merupakan perjuangan Pas sejak sekian lama manakala bagi DAP yang tahu ia antara agenda yang tidak boleh dikompromi, bagaimanakah akan meneruskan kerjasama jika ia berterusan adalah antara yang akan mewarnai tahun berikutnya di samping rayuan Anwar dari hukuman salah lakunya yang didapati bersalah baru-baru ini. Saya percaya Malaysia sedang melalui transisi literasi politik tetapi ia tidak bermakna kestabilan mesti diheret dengan keadaan tidak menentu. Biar peristiwa mahu merampas kuasa pada 16 September 2008 menjadi pengajaran. Ancaman mahu menggulingkan kerajaan sedia ada yang memiliki legitimasi politik melalui PRU perlu dihentikan kerana ia tidak akan menjamin masa depan yang baik untuk pertumbuhan dan pembangunan negara. Dalam isu tertentu, sewajarnya kedua-dua pihak bergabung untuk membangunkan negara tanpa perlu diberikan jawatan, pangkat dan kuasa tetapi ia akan mencerminkan kematangan dan kecerdikan politik baru iaitu politik berhemah. Barangkali, daripada mempolitikkan peristiwa MH370, masih belum terlewat untuk bergandingan bersama terutama bagi parti yang menggunakan ia sebagai modal politik di PRK Kajang baru-baru ini. Penilaian satu tahun merentasi di peringkat negara, negeri, kepimpinan pusat dan parti serta masa depan yang bagaimana mahu dilakar untuk negara ini. Penilaian secara jujur mesti melihat kepada adakah sokongan meningkat, terhakis atau statik; meneliti apakah dasar dan polisi yang baik, yang perlu diperbaiki atau perlu dihentikan; misalnya yang sering dikembangkan adalah berkaitan isu keetnikan dan agama kerana ada yang melihat seolah-olah agensi kerajaan tidak mengambil langkah sewajarnya. Benarkah begitu, apakah ini persepsi atau realiti? Pasca satu tahun 505 PRU Ke-13 mesti merungkai peluang, ancaman, kelemahan dan kekuatan dengan melihat di manakah parti pada 2018? Gambaran itu boleh membantu perjalanan parti politik merentasi pelbagai cabaran dalam kedudukan semasa dunia politik hari ini ketika menjejaki tahun kedua 505 PRU Ke-13. Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |