Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT Norzie Mohd. Khasbi Chong Wei Feng meraikan kejayaannya menumpaskan Dionysius Rumbaka dalam perlawanan perseorangan kedua, sekali gus membawa Malaysia ke perlawanan akhir Piala Thomas di New Delhi semalam.- Ihsan The Star NEW DELHI - Malaysia hadir di New Delhi bersama pasukan yang dianggap paling lemah, namun pemain-pemain negara membuktikan semangat juang tinggi berjaya mengatasi segala keraguan dengan melangkah ke final Piala Thomas buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun selepas menundukkan juara 13 kali, Indonesia 3-0 malam tadi. Malah, beberapa jam sebelum perlawanan, keyakinan bahawa peluang untuk merampas kejuaraan Piala Thomas buat kali pertama selepas 22 tahun cukup cerah setelah melihat Jepun mengejutkan gergasi dunia, China 3-0 turut menjadi motivasi tambahan buat pasukan negara. Datuk Lee Chong Wei, Tan Boon Heong-Hoon Thien How dan Chong Wei Feng, semuanya memberi aksi terpuji biarpun terpaksa mengharungi perlawanan mendebarkan sebelum melakar kemenangan. Chong Wei dipaksa berhempas pulas di set pertama sebelum menjinakkan Tommy Sugiartro 21-19, 21-13 untuk menghadiahkan mata semangat buat pasukan negara. Selepas gagal menghadiahkan mata dalam pertemuan menentang Denmark di suku akhir, gandingan senior, Boon Heong-Thien How kembali menunjukkan taring dengan mengejutkan juara dunia dan pasangan No. 1 dunia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 8-21, 23-21. Daripada sekadar pemain simpanan pada penampilan sulung Piala Thomas di Wuhan, dua tahun lalu, Wei Feng sekali lagi menjadi wira dengan menghadiahkan mata kemenangan Malaysia selepas menumpaskan Dionysius Rumbaka 21-10, 21-17. Bagi Chong Wei dan Wei Feng, mereka adalah tonggak penting yang membawa kepada kejayaan Malaysia ke perlawanan akhir apabila memenangi semua lima perlawanan setakat ini. "Memang amat teruja apabila berjaya melangkah ke final sekali lagi. Saya tidak merasai pengalaman perlawanan akhir terakhir Malaysia dan gembira melihat pemain-pemain muda ini berjaya menunjukkan semangat juang yang tinggi. "Selepas tiba di sini, ramai yang memandang rendah kemampuan Malaysia, apatah lagi kami dikatakan hadir sebagai pasukan paling lemah, namun hari ini kami membuktikan mereka silap dengan berjaya melangkah ke final. "Saya tidak pernah anggap peluang Malaysia untuk merampas kejuaraan adalah cerah selepas Jepun menewaskan China dalam separuh akhir pada sebelah petang, pada saya berdepan Jepun juga bukan mudah dan mereka adalah lawan yang kental. "Yang paling penting buat semua pasukan adalah fokus kepada permainan sendiri. Kami sudah menyahut cabaran persatuan yang mahu pasukan melangkah ke final, sekarang terpulang kepada kami untuk mencari keputusan lebih baik," kata Chong Wei. Jika rekod pertemuan Malaysia dan Jepun menjadi ukuran, pasukan negara memegang kelebihan 3-1 ke atas negara Matahari Terbit itu. Namun Jepun, yang menunjukkan peningkatan sangat ketara di bawah bimbingan Park Joo Bong mengejutkan pasukan negara pada pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di Kuala Lumpur pada 2010. Kali terakhir Malaysia layak ke perlawanan akhir adalah di Guangzhou 2002, di mana kita tewas 2-3 kepada Indonesia manakala kejohanan 1992 di Kuala Lumpur adalah kali terakhir pasukan negara muncul juara. - UTUSAN |
'Tiada yang istimewa kalahkan China' Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT NEW DELHI - "Menewaskan China bukan sesuatu yang terlalu istimewa, namun jika kami berjaya merangkul kejuaraan Piala Thomas, pasti menggembirakan." Itu kenyataan jujur pemain berusia 20 tahun, Kento Momota yang tiba-tiba dijulang sebagai wira Jepun apabila membantu pasukannya melakar kejutan terbesar dalam sejarah Piala Thomas dengan membenam juara lima kali berturut-turut, China 3-0 pada separuh akhir, semalam. China tidak pernah kalah dalam mana-mana peringkat dalam lima kempen Piala Thomas sebelum ini. Kali terakhir mereka tumpas ialah 3-1 pada separuh akhir kepada Malaysia di gelanggang sendiri di Guangzhou pada 2002. Riak gembira terpancar di wajah Kento, juara remaja dunia 2012, sejurus menundukkan Du Pengyu 23-25, 21-18, 21-14 untuk menghadiahkan mata kemenangan pasukannya dan membawa Jepun ke perlawanan akhir Piala Thomas buat kali pertama sejak kejohanan diperkenalkan pada 1949. "Pada saya, mengalahkan China bukan sesuatu yang mengejutkan. Kami memang meletakkan sasaran untuk menewaskan mereka dan layak ke perlawanan akhir, jadi kami cuma memenuhi sasaran bukan melakukan perkara-perkara di luar jangkaan," katanya. Terdahulu pemain No. 4 dunia, Kenichi Tago membuka laluan buat Jepun apabila mengejutkan pemain No. 2 dunia, Chen Long 21-13, 21-11, sebelum pasangan Kenichi Hayakawa-Hiroyuki Endo memberi tekanan kepada China dengan melebarkan kedudukan 2-0 selepas menang 22-20, 21-19 ke atas Chai Biao-Hong Wei. Juara dunia lima kali, Lin Dan hanya mampu duduk di tepi gelanggang tanpa dapat melakukan apa-apa, sambil melihat pemain-pemain muda negaranya gagal menyerap tekanan beraksi sebagai pasukan pilihan. Ketika pemain-pemain muda China tampak amat tertekan, skuad muda Jepun sebaliknya lebih tenang, malah Momota juga menegaskan dia tidak peduli siapa lawan yang akan ditemui dalam perlawanan akhir dan bersedia untuk mencari satu lagi kemenangan selepas dipaksa bertarung selama 1 jam, 24 minit semalam. - UTUSAN |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |