Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Piala FA: Peminat JDT cetus provokasi Posted: 05 May 2014 10:53 AM PDT JOHOR BAHRU 6 Mei - Suasana di Stadium Tan Sri Hassan Yunus di sini tegang apabila penyokong Johor Darul Takzim (JDT) mencetuskan provokasi terhadap penyokong Pahang sejurus tamat perlawanan separuh akhir Piala FA di sini malam tadi. Kira-kira 1,000 penyokong tuan rumah berkumpul di pekarangan stadium sejak pukul 11 malam dan enggan bersurai lebih sejam kemudian walaupun diarah pihak polis. Mereka menghamburkan kata-kata kesat sambil memaksa penyokong Pahang segera keluar meninggalkan stadium. Perkara itu menyebabkan pemain dan penyokong pasukan pelawat tidak dibenar keluar dari stadium oleh pihak berkuasa bagi mengelak kejadian buruk berlaku. Kira-Kira 500 anggota polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dilihat cuba menenangkan keadaan meskipun tidak diendah penyokong terbabit. Pada perlawanan itu, JDT1 seri 1-1 dengan Pahang. Difahamkan, tindakan segelintir penyokong JDT itu berpunca daripada rasa tidak puas hati ekoran insiden selepas perlawanan Liga Super membabitkan kedua-dua pasukan di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 7 Februari lepas. Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Abdul Samad Salleh berkata, pihaknya berjaya menyuraikan penyokong JDT hampir dua jam selepas tamat perlawanan. - BERNAMA |
Posted: 05 May 2014 12:19 PM PDT Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM Mohd. Amri Yahyah (kanan) cuba melepasi halangan pemain Pahang, R. Gopinathan pada separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, malam tadi. JOHOR BAHRU - Kelebihan beraksi di depan ribuan penyokong sendiri gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh Johor Darul Tazim (JDT) apabila membenarkan Pahang memperoleh kelebihan gol di tempat lawan dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA yang berkesudahan 1-1, semalam. Beraksi dengan sokongan 30,000 penonton di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, pasukan Harimau Selatan yang mengasak hebat sebaik sepak mula menguji benteng Tok Gajah yang kelihatan sedikit longlai dan kurang tersusun. Kealpaan pertahanan Tok Gajah akhirnya dihukum tuan rumah dengan gol pembukaan penyerang, Luciano Figueroa pada minit ke-12 yang merembat dari jarak dekat umpanan cantik sepakan percuma Safiq Rahim. Tersentak dengan gol tersebut, Pahang kembali bangkit mengatur permainan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-36 melalui penyerang Matias Conti. Gol penyamaan Pahang hadir menerusi sepakan Azidan Sarudin yang menemui Damion Stewart di bahagian kiri pintu gol JDT, sebelum pemain Jamaica itu melakukan tandukan yang disudahkan Conti untuk menewaskan Izham Tarmizi Roslan. Aksi separuh akhir pertama sedikit tegang di penghujung babak pertama setelah Damion melakukan terjahan keras ke atas Figueroa yang menyaksikan pemain kedua-dua pasukan bercakaran sesama sendiri sebelum pengadil melayangkan kad kuning kepada Norshahrul Idlan Talaha dan Saiful Nizam Miswan. Sebaik babak kedua bermula, JDT terus menggandakan asakan bagi menambah jaringan menerusi jentera serangan yang diketuai Figueroa, namun beberapa peluang yang diperolehi penyerang antarabangsa Argentina itu disia-siakan terutama seawal minit ke-47. Pahang mempamer corak bertahan di sepanjang babak kedua bagi menyekat kemaraan Harimau Selatan mendapatkan gol kedua. Gerakan terbaik Pahang untuk berada di depan hadir pada minit ke-63 melalui rembatan R. Gopinathan, namun sedikit tersasar ke arah sebelah kiri gawang JDT. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |