Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Amaran kompaun premis biar denggi
- Kerajaan negeri akan bina 100 rumah di Felda Perasu
- Jalan rosak akan dibaiki segera
Amaran kompaun premis biar denggi Posted: 10 May 2014 12:43 PM PDT Oleh MUKHATAR A. RAHMAN Mohd. Hairi Izwan Mohd. Anuar menunjukkan contoh air bertakung yang diambil dalam operasi memeriksa tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan perumahan awam Felcra Seri Bandi, Kemaman, Terengganu, semalam. KEMAMAN 10 Mei - Jabatan Kesihatan Daerah ini memberi amaran akan mengenakan kompaun ke atas pemilik premis yang membiarkan kawasan mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Penolong Pegawai Kesihatan daerah, Abdul Rahman Abdullah berkata, pada masa ini, pihaknya giat melakukan pemeriksaan berkala di kawasan-kawasan berisiko berlaku kes demam denggi. Beliau memberitahu, kawasan pembiakan aedes perlu dibanteras sepenuhnya, bertepatan dengan pendekatan mencegah pembiakan aedes lebih baik daripada mengubatinya. Khamis lalu, sebanyak 30 rumah di kawasan perumahan awam Felcra Seri Bandi dekat sini diperiksa oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Kemaman yang diketuai Pembantu Kesihatan, Mohd. Hairi Izwan Mohd. Anuar. Pihak kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang membiarkan kawasan premis kediaman dan perniagaan mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes," katanya di sini hari ini. Menurut Abdul Rahman, pihaknya akan terus melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa dan jika ada mana-mana pemilik premis yang degil dan enggan mematuhi arahan, kompaun maksimum RM500 akan dikenakan. Sementara itu, Mohd. Hairi Izwan pula berkata, kebanyakan rumah kediaman yang diperiksa berpotensi sebagai tempat pembiakan aedes dan mereka diberi notis amaran serta nasihat bagi memusnahkan tempat yang menjadi sarang serangga pembunuh itu. Melalui pemeriksaan itu juga, kami mengambil sampel air bertakung yang berpotensi sebagai tempat pembiakan aedes untuk diuji di makmal Jabatan Kesihatan Kemaman," katanya. |
Kerajaan negeri akan bina 100 rumah di Felda Perasu Posted: 10 May 2014 12:43 PM PDT GUA MUSANG 10 Mei - Kerajaan akan membina sebanyak 100 buah rumah di Felda Perasu di sini, bagi membantu penduduk di kawasan tersebut. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mat Yusoff Abdul Ghani berkata, projek berkenaan akan mula dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini. Inisiatif tersebut membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan kemudahan untuk generasi kedua Felda. Projek ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan rata-rata generasi kedua Felda menyambut baik usaha kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup mereka. Selain bantuan perumahan, kita juga menekankan aspek pendidikan serta meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat di perkampungan khususnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Warga Felda Bestari di Dewan Semai Bakti Felda Perasu, di sini hari ini. Yang turut hadir Timbalan Pengurus Besar Felda Wilayah Gua Musang, Kamaseri Mamat; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang, Sheikh Razali Sheikh Hamad dan Ketua Puteri UMNO Bahagian, Norfadzlete Aryani Mat Rosli. Program selama tiga jam itu diadakan bertujuan memperjelas kepada golongan belia di Felda tentang kemudahan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan. Sementara itu mengulas tentang program tersebut, Mat Yussof berkata, dialog dengan belia Felda adalah untuk membuka minda golongan tersebut supaya menilai sumbangan serta bakti pihak kerajaan kepada penduduk di kawasan pedalaman. Golongan muda di pedalaman jangan mudah terpengaruh dengan dakyah serta hasutan anasir-anasir luar yang bertindak memburukkan imej kerajaan. Sebelum bertindak keterlaluan, mereka perlu berfikir dan menilai sumbangan yang telah dibuat oleh kerajaan selama ini," katanya. |
Jalan rosak akan dibaiki segera Posted: 10 May 2014 12:43 PM PDT KEMAMAN 10 Mei - Kerajaan negeri memberi jaminan akan segera membaiki dua jalan yang rosak teruk di daerah ini dan mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya sehingga berlaku kemalangan. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Ir. Rosli Othman berkata, jalan tersebut adalah Jalan Bandar Seri Bandi-Padang Kubu dan Jalan Kampung Mak Lagam-Bandar Cheneh Baharu. Insya-Allah saya akan membawa perkara ini kepada pengetahuan jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengenal pasti punca kerosakan dua batang jalan ini," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kijal, di sini semalam. Bulan lalu, akhbar menyiarkan rungutan orang ramai mengenai Jalan Bandar Seri Bandi-Padang Kubu yang rosak teruk hingga menyebabkan sering berlaku kemalangan di kawasan tersebut. Jalan Bandar Seri Bandi Padang Kubu yang rosak itu sudah dibaik pulih tahun lalu namun ia rosak semula kerana sering dilalui kenderaan berat manakala di sesetengah tempat pula ada tanah mendap mungkin ada laluan air bawah tanah. Rosli berkata, kerajaan negeri akan menggunakan sebahagian daripada peruntukan yang sudah diluluskan sebanyak RM11 juta oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof ketika melawat Kemaman awal Januari lalu bagi membaik pulih jalan tersebut. Katanya, peruntukan itu diluluskan untuk membaik pulih jalan yang rosak di Terengganu akibat banjir baru-baru ini bagaimanapun, di daerah Kemaman terdapat paling banyak jalan rosak akibat banjir. Mengenai Jalan Kampung Mak Lagam pula beliau berkata, keadaan tanah terhakis akibat banjir menyebabkan kawasan bahu jalan menjadi tinggi dan boleh mengundang bahaya juga akan dibaik pulih. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |