Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Pakej Kadok-Ketereh dibina 2015
- PNK Bachok desak segera dalamkan tiga muara sungai
- 100 rumah dibina di Felda Perasu
Pakej Kadok-Ketereh dibina 2015 Posted: 11 May 2014 12:25 PM PDT Oleh NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI KOTA BHARU 11 Mei - Pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai membabitkan Pakej 2B: Kadok-Ketereh, sejauh 6.4 kilometer akan mula dilaksanakan awal tahun depan. Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustapha berkata, pakej itu yang membabitkan kos sebanyak RM170 juta dijangka siap dalam tempoh tiga tahun. Tender akan diperoleh pada bulan Julai depan dan syarikat yang memenangi tender terbuka itu akan memasuki tapak dan membuat kerja-kerja pembinaan. Pelaksanaan projek tersebut dijalankan serentak dengan Pakej 1B dari Pasir Hor ke Kadok yang sudah dilaksanakan pada April lalu. Ini kerana kontraktor yang melaksanakan projek fasa 2B ini berlainan dengan fasa 1B," katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Mesra Belia Jom ke Putrajaya di Kompleks Belia dan Sukan negeri, Panji di sini semalam. Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (Pakej 1B: Pasir Hor ke Kadok). Lebuh raya tersebut merupakan salah satu daripada tujuh janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya mengambil alih pentadbiran negeri itu. Projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai sepanjang 73.5 kilometer dianggarkan melibatkan kos sebanyak RM1.8 bilion itu melalui tiga fasa pembinaan. Pakej 1B dari Pasir Hor ke Kadok sepanjang tujuh kilometer itu melibatkan kos RM168.5 juta dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun. Tambah Makhtar, beliau berharap projek terbabit akan dapat disiapkan mengikut jadual, sekali gus dapat merealisasikan impian rakyat Kelantan selama ini. |
PNK Bachok desak segera dalamkan tiga muara sungai Posted: 11 May 2014 12:25 PM PDT Nelayan muara Sungai Gali Kandis, di Bachok, Kelantan terpaksa menunggu air pasang bagi membolehkan mereka ke laut setiap hari. BACHOK 11 Mei - Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Bachok mendesak pihak berkuasa supaya mengambil tindakan segera mendalamkan muara Sungai Gali Kandis, Sungai Kemasin dan Sungai Pantai Senok. Pengerusinya, Mohd. Saripudin Ishak berkata, ketiga-tiga muara sungai itu semakin cetek dan menghalang laluan bot nelayan ketika air surut. Beliau berkata, masalah tersebut telah menjejaskan nasib 1,200 ahlinya yang bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan ikan di laut. Kita akan terus memperjuangkan nasib ahli-ahli persatuan dan masalah ini telah dibangkitkan sejak tahun 2010 melalui usul yang diluluskan dalam mesyuarat agung tahunan. Sejak daripada itu, setiap tahun kita mengemukakan masalah ini kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri malah kita juga telah menghantar surat kepada Persatuan Nelayan Negeri Kelantan (Peneka), namun tidak ada sebarang tindakan yang diambil," katanya ketika ditemui di Pantai Kemasin di sini hari ini. Mohd. Saripudin berkata, paling kritikal ialah muara Sungai Kemasin yang dipenuhi dengan timbunan beting pasir sehingga menyukarkan bot laut dalam masuk ke kawasan pendaratan ikan di sini. Sejak kebelakangan ini sudah banyak bot besar terkandas dan sebahagiannya tenggelam di muara berkenaan akibat merempuh beting pasir. Keadaan itu menyebabkan bot-bot besar terpaksa masuk ke pangkalan ikan Tok Bali," katanya. Katanya, masalah itu juga menyebabkan kawasan pendaratan ikan di jeti pantai Kemasin dan Pangkalan Petah menjadi lengang kerana hasil tangkapan ikan sudah tidak didaratkan di situ. Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Peneka berkata, kerajaan Pusat perlu memberi perhatian yang segera untuk membantu nelayan tanpa perlu bergantung kepada kerajaan negeri yang tidak mengambil tahu masalah mereka. Kita juga hairan apabila projek Kerajaan Pusat menerusi JPS bagi membangunkan semula muara Kemasin tertangguh sejak sekian lama walaupun peruntukan telah diluluskan. Hanya pembinaan benteng hakisan pantai sepanjang 800 meter sempat dibina dan usaha menyedut beting pasir hanya sekali sahaja dilakukan pada tahun 2008," katanya. |
100 rumah dibina di Felda Perasu Posted: 11 May 2014 12:25 PM PDT Mat Yusoff Abdul Ghani (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada anak peneroka di Felda Perasu, Gua Musang, Kelantan, kelmarin. - UTUSAN/Aimuni Tuan Lah GUA MUSANG 11 Mei - Kerajaan akan membina sebanyak 100 buah rumah di Felda Perasu di sini, bagi membantu penduduk di kawasan tersebut. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mat Yusoff Abdul Ghani berkata, projek berkenaan akan mula dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini. Inisiatif tersebut membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan kemudahan untuk generasi kedua Felda. Projek ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan rata-rata generasi kedua Felda menyambut baik usaha kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup mereka. Selain bantuan perumahan, kita juga menekankan aspek pendidikan serta meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat di perkampungan khususnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Warga Felda Bestari di Dewan Semai Bakti Felda Perasu, di sini semalam. Yang turut hadir Timbalan Pengurus Besar Felda Wilayah Gua Musang, Kamaseri Mamat; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gua Musang, Sheikh Razali Sheikh Hamad dan Ketua Puteri UMNO Bahagian, Norfadzlete Aryani Mat Rosli. Program selama tiga jam itu diadakan bertujuan memperjelas kepada golongan belia di Felda tentang kemudahan pembangunan yang telah dilaksanakan kerajaan. Sementara itu mengulas tentang program tersebut, Mat Yussof berkata, dialog bersama-sama dengan belia Felda adalah untuk membuka minda golongan tersebut supaya menilai sumbangan serta bakti pihak kerajaan kepada penduduk di kawasan pedalaman. Golongan muda di pedalaman jangan mudah terpengaruh dengan dakyah serta hasutan anasir-anasir luar yang bertindak memburukkan imej kerajaan. Sebelum bertindak keterlaluan, mereka perlu berfikir dan menilai sumbangan yang telah dibuat oleh kerajaan selama ini," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |