Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
- Kedah Port di Pulau Bunting
- RM250 juta bina jalan hubungkan lebuh raya, Pulau Bunting
- Koperasi pekebun kecil jayakan tanaman padi aerob MARDI
Posted: 19 May 2014 11:54 AM PDT OPAT RATTANACHOT Tajul Urus Md. Zain (tiga dari kiri) dan Samsudin Bakar (dua dari kiri) mendengar penerangan berhubung projek pembinaan jalan baharu menghubungkan Lebuh Raya Utara-Selatan dengan Pulau Bunting di Yan, Kedah, semalam. JERAI 19 Mei - Kerajaan negeri bercadang untuk membangunkan sebuah pelabuhan baharu di Pulau Bunting, Yan, di sini sebagai alternatif kepada pelabuhan sedia ada di Pulau Pinang. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Md. Zain berkata, hasrat untuk membina pelabuhan berkenaan sememangnya telah lama tetapi tidak dapat direalisasikan. Bagaimanapun, katanya, kerajaan kini telah mengambil langkah serius bagi menjayakan projek yang dikenali sebagai Kedah Port itu. Kerajaan negeri serius ke arah usaha membina pelabuhan. Bagi tujuan itu, satu perbincangan akan dilakukan dengan Kementerian Pengangkutan dalam minggu ini. Kita mendapati Pulau Bunting sesuai untuk dijadikan pelabuhan baharu bagi mengatasi masalah kesesakan di pelabuhan Pulau Pinang, katanya ketika meninjau projek pembinaan jalan baharu menghubungkan Lebuh Raya Utara-Selatan dengan Pulau Bunting di sini hari ini. Yang hadir sama Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri, Samsudin Bakar. Tajul Urus memberitahu, Pulau Bunting dianggap lokasi sesuai ekoran telah mempunyai sebuah jambatan dan projek pembinaan jalan baharu dimulakan tidak lama lagi. Jambatan Pulau Bunting telah dibina pada tahun 2003 oleh pihak swasta, namun tidak dibuka untuk kegunaan umum. Dari segi infrastruktur memang kita sudah ada, katanya. Beliau berkata, pelabuhan baharu terbabit juga dijangka menampung projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) yang dimulakan kerajaan negeri dengan kerjasama sektor swasta tidak lama lagi. |
RM250 juta bina jalan hubungkan lebuh raya, Pulau Bunting Posted: 19 May 2014 11:54 AM PDT JERAI 19 Mei - Kerajaan akan membina jalan baharu menghubungkan Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Gurun, di sini dengan Pulau Bunting berharga RM250 juta dalam tempoh terdekat. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Md. Zain berkata, jalan baharu sepanjang 18.6 kilometer itu akan menjimatkan jarak dan masa perjalanan penduduk sekitar Gurun ke Yan. Selain memendekkan perjalanan dari Lebuh Raya Utara-Selatan, akan turut memberi manfaat secara langsung kepada ribuan penduduk berpuluh buah kampung sepanjang laluan tersebut untuk memasarkan hasil pertanian dan nelayan. Di samping itu, akan turut menjadi penyokong kepada projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) yang dijalankan kerajaan negeri dengan kerjasama sektor swasta di sini tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas meninjau projek tersebut di sini hari ini. Yang hadir sama Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Samsudin Bakar. Menurut Tajul Urus, projek pembinaan jalan terbabit akan disiapkan dalam tempoh tiga tahun dari sekarang dan proses pengambilan tanah akan bermula tidak lama lagi. Katanya, sebanyak 54.3 hektar tanah milik individu dan kerajaan akan diambil alih secara berperingkat. Kita berusaha meminimumkan pengambilan tanah terutamanya melibatkan sawah padi dan kawasan penempatan penduduk. Berdasarkan kajian yang dilakukan hanya 37 struktur bangunan seperti rumah dan gerai terlibat, katanya. Beliau memberitahu, jalan baharu tersebut juga akan menggunakan laluan ban padi sedia dan tidak memasuki kawasan penempatan penduduk. Kerajaan yakin dengan pembinaan rangkaian jalan raya yang baik dan selesa, ini bukan sahaja mempercepat perjalanan, tetapi turut akan meningkatkan ekonomi penduduk. Ini juga akan memudahkan kerajaan untuk menyalurkan lebih banyak pembangunan kepada penduduk setempat," kata beliau. |
Koperasi pekebun kecil jayakan tanaman padi aerob MARDI Posted: 19 May 2014 11:54 AM PDT BANDAR BAHARU 19 Mei - Inovasi penanaman padi tanpa perlu air bertakung yang dikenali sebagai varieti padi aerob diperkenalkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam usaha meningkat pengeluaran beras negara. Sebagai menyahut seruan kerajaan agar lebih ramai petani terlibat dengan tanaman varieti tersebut, Koperasi Pekebun Kecil Daerah Bandar Baharu (KPKDBB) turut mengusahakannya di tapak semaian tanah milik kerajaan negeri di kawasan sawah terbiar Kampung Bukit Apeng, Kampung Berjaya di sini. Projek penanaman benih padi aerob itu dilancarkan dengan jayanya di atas tanah seluas 18.3 hektar itu baru-baru ini setelah lawatan Pengarah MARDI, Dr. Sariam Othman ke kawasan tapak projek itu pada 16 April lalu. Kajian yang dijalankan oleh MARDI mendapati benih padi ini sesuai ditanam di kawasan tanah kering dan umur padi menjadi matang sekitar 79 hingga 88 hari sahaja manakala ketinggian pokok 92 hingga 99 sentimeter sahaja. Bagaimanapun, pokoknya tidak terkecuali daripada terkena penyakit karah daun, karah tangkai, hawar daun bakteria, hawar seludang, penyakit merah dan benah perang. Lantas bagi mengelak berlaku serangan penyakit itu, termasuk serangan ulat pengorek batang, langkah awal perlu dilakukan. Pegawai Penyelidikan MARDI Seberang Perai Utara, Shamsul Amri Saidon memberitahu, langkah diambil oleh KPKDBB untuk menjayakan tanaman padi aerob secara tabur berbaris menggunakan Aeroseeder yang dipasang pada sebuah traktor adalah baik sekali kerana ia mempercepatkan proses tanaman padi. Pengerusi koperasi itu, Mohd. Mukhtar Omar pula berkata, benih padi aerob yang dikeluarkan nanti akan turut dibekalkan kepada petani daerah lain pula. "Kita berharap projek tanaman benih padi aerob di kawasan ini boleh memberi pulangan lumayan dalam tempoh tiga bulan kepada peserta projek," katanya. Menurutnya, usaha dilakukan ini mendapat sambutan baik di kalangan ahli koperasi sendiri yang kini mencecah kira-kira 1,000 orang. "Kami mengucapkan terima kasih kepada MARDI Pulau Pinang kerana memberi benih padi aerob untuk ditanam di kawasan itu bagi keperluan di negeri Kedah nanti," katanya lagi. Setiausaha projek berkenaan, Idrus Hamzah berkata, jika ia dikendalikan dengan betul, satu hektar sawah boleh mengeluarkan hasil sebanyak empat tan padi. Peserta projek juga diajar sistem cara menanam, membaja, meracun dan jika semuanya berjalan lancar kita akan buat kenduri kesyukuran semasa majlis menuai nanti dengan memasak nasi beras Aerob yang dikatakan sedap itu," katanya. Seorang peserta projek, Hassan Puteh, 56, berkata, bagi memastikan projek itu berjaya, dia sanggup turun ke sawah membajak tanah dengan jentera di waktu malam. Inilah semangat yang dapat saya tunjukkan bagi menjayakan projek itu," katanya. Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu, Datuk Osman Mat Aji ketika melancarkan projek tanaman benih padi aerob itu berkata, masa depan penduduk di kawasan ini tentu menjadi bertambah baik kerana KPKDBB turut menjalankan pelbagai aktiviti untuk memajukan ahli-ahlinya sendiri. "Adalah memberi satu kebaikan jika penduduk yang terbabit dengan kerja-kerja menoreh getah selama ini dapat menyertai program-program begini kerana ia banyak memberi keuntungan untuk tempoh jangka panjang," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |