Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
- Jangan politikkan KUISAS - Zambry
- Sasar kutip zakat gaji sehingga RM30 juta setahun
- Maksimumkan potensi kerja penjawat awam
Jangan politikkan KUISAS - Zambry Posted: 21 May 2014 12:55 PM PDT Oleh HASHIM P. MAMAT Zambry Abdul Kadir (berdiri, lima dari kiri) bersama mahasiswa yang mendaftar bagi kemasukan baharu sesi 2014 di KUISAS dalam Majlis Minggu Penghayatan Mahasiswa di Kuala Kangsar, Perak, kelmarin. KUALA KANGSAR 21 Mei - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir mengingatkan semua pihak agar tidak mencari keuntungan dengan mempolitikkan isu berkaitan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS). Menurutnya, ahli politik tidak seharusnya menjadikan KUISAS sebagai tempat mencari pengaruh, sekali gus akan menghancurkan masa depan institusi berkenaan. "Saya ingatkan semua pihak, jangan hancurkan sesebuah institusi dengan menjadikannya sebagai gelanggang kepentingan politik mereka. "Kerajaan negeri mempunyai matlamat besar bukan sahaja untuk menaik taraf KUISAS kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan pusat ilmuan terunggul, malah menjadi institusi dihormati, disegani dan berdaya saing," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Minggu Penghayatan Mahasiswa bagi sesi kemasukan mahasiswa baharu KUISAS, di sini semalam. Zambry berkata, KUISAS akan menjadi sebuah universiti pada tahun depan atau selewat-lewatnya pada tahun 2016 dan beliau telah mengemukakan permohonan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Menurutnya, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan besar bagi rancangan masa hadapan institusi berkenaan. "Bagi mahasiswa yang terpilih mengikuti pengajian di KUISAS, jangan jadikan institusi ini sebagai pilihan kedua dan ketiga selepas gagal mendapat tempat di IPTA. "Mahasiswa jangan beranggapan bahawa institusi ini hanya tempat cukup makan sahaja, tetapi hendaklah ingat bahawa pencarian ilmu itu yang bermula daripada buaian hingga ke liang lahat sebagai satu peluang transformasi hidup kita," katanya. Sementara itu, Rektor KUISAS, Profesor Dr. Jamil Hashim dalam ucapannya berkata, seramai 564 mahasiswa mendaftar masuk bagi sesi pertama 2014 manakala sesi kedua dan ketiga akan diadakan pada Jun dan September ini. Katanya, kemasukan mahasiswa ke KUISAS dari tahun ke tahun semakin bertambah iaitu pada tahun 2011 seramai 350 mahasiswa, 2012 (800) dan 2013 (900) manakala pada tahun ini, sebanyak 1,200 tempat ditawarkan. "Saya yakin dengan prasarana dan kemudahan lain yang terdapat di KUISAS, institusi ini pasti akan menjadi pilihan ramai suatu hari nanti," katanya. |
Sasar kutip zakat gaji sehingga RM30 juta setahun Posted: 21 May 2014 12:55 PM PDT Abdul Puhat Mat Nayan (tengah) merasmikan pelancaran sistem e-Potongan Zakat Berjadual sambil diperhatiakn oleh Amiruddin Muhamed (kiri) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, Perak, baru-baru ini. IPOH 21 Mei - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIP) menyasarkan peningkatan perolehan zakat menerusi potongan gaji kepada RM30 juta setahun berbanding jumlah semasa RM18 juta. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Amiruddin Muhamed berkata, pihaknya yakin mampu meningkatkan jumlah itu selepas melancarkan sistem e-Potongan Zakat Berjadual (e-PZB) yang memudahkan proses pembayaran zakat melalui potongan gaji. Katanya, punca ramai kakitangan sama ada kerajaan mahupun swasta tidak membuat pembayaran zakat menerusi potongan gaji adalah ke- rana prosedurnya yang sebelum ini leceh serta merumitkan. "Sebelum ini mereka perlu ambil borang di pejabat MAIP, kemudian isi dan perlu mendapatkan pengesahan majikan sebelum diserahkan semula kepada kami. Untuk proses urusan potongan itu sahaja sudah memakan masa tiga ke empat bulan. "Tetapi dengan pelancaran kaedah e-PZB ini, hanya memerlukan masa yang singkat untuk orang ramai yang bekerjaya mengisi borang secara dalam talian. Urusan dengan majikan akan dilakukan oleh pihak MAIP kerana kami telah melantik pegawai bertanggungjawab meluluskan potongan berkenaan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis pelancaran e-PZB di Bangunan Pe- rak Darul Ridzuan, di sini kelmarin. Majlis itu disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan. Mengulas tentang sasaran kutipan zakat untuk tahun ini, Amiruddin memberitahu bahawa MAIP menyasarkan perolehan sebanyak RM120 juta. Beliau berkata, sememangnya perolehan zakat akan meningkat antara RM9 juta hingga RM10 juta pada setiap tahun dan jumlah itu harus dikekalkan. "Kami perlu memastikan jumlah perolehan zakat meningkat setiap tahun kerana kos peruntukan untuk membantu golongan miskin serta asnaf turut meningkat. "Sebagai contoh, jika sebelum ini peruntukan untuk membina sebuah rumah dengan tiga bilik adalah RM40,000 tetapi pada tahun ini kosnya meningkat RM44,000. Begitu juga dengan barangan bantuan lain, jadi MAIP perlu menggalakkan pembayaran zakat bagi membolehkan bantuan disalurkan terus kepada golongan miskin serta asnaf," katanya. |
Maksimumkan potensi kerja penjawat awam Posted: 21 May 2014 12:55 PM PDT IPOH 21 Mei - Kakitangan awam di negeri ini perlu memaksimumkan potensi kerja dalam kalangan mereka bagi membolehkan golongan itu memberikan perkhidmatan terbaik dan berkesan kepada rakyat. Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Dr. Mazalan Kamis berkata, usaha tersebut bagi memastikan perubahan minda dan pendedahan baharu dapat diperkenalkan dalam jentera kerajaan itu. Malah katanya, langkah tersebut juga disifatkan mampu memberi impak tersendiri dimana memberi imej baharu kepada pihak kerajaan menerusi sistem dan perkhidmatan yang lebih bermutu pada masa depan. "Memaksimumkan potensi kerja merupakan usaha bagi mentransformasikan minda kakitangan awam. Proses ini adalah penting dalam usaha kita menyediakan perkhidmatan yang melangkaui jangkaan rakyat. "Ini kerana apabila seseorang itu memahami mengenai tanggungjawab besar yang digalas, mereka ini semestinya mampu melakukan sesuatu perkara tanpa pengawasan sekali gus boleh memaksimumkan mutu perkhidmatan golongan ini," katanya. Beliau berkata demikian dalam program wacana bertajuk Maximising Human Potential Through Human Governance di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini. Wacana anjuran IDR bersama kerajaan negeri yang disertai kira-kira 100 peserta itu menampilkan Presiden Putra Business School (PBS), Profesor Dr. Arfah Salleh selaku penceramah. Yang turut hadir, Pegawai Kewangan kerajaan negeri, Datuk Ghazali Jalal. Mengulas mengenai wacana tersebut, Mazalan berkata, program itu adalah usaha IDR dalam mentransformasikan minda warga kakitangan awam pelbagai peringkat di negeri ini. Bagi usaha itu, katanya, IDR cuba mendapatkan penceramah yang berkaliber agar ceramah yang diadakan dapat membuka fikiran golongan itu dengan memberi perspektif baru kepada pekerjaan mereka. "Selepas ini, kita akan memberi fokus program lebih besar kepada kakitangan pentadbiran dan pengurusan di peringkat pertengahan pula. Ini merupakan sebahagian fokus transformasi minda kerajaan negeri," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |