Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT Oleh OPAT RATTANACHOT SUNGAI PETANI 23 Mei - Jumlah kes demam denggi yang dilaporkan di daerah Kuala Muda didapati meningkat dengan ketara iaitu sebanyak 219 peratus dalam empat bulan pertama bulan ini berbanding tempoh sama tahun lalu. Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ismail Abu Taat berkata, sebanyak 182 kes demam denggi dilaporkan di daerah terbabit bermula Januari lalu hingga Sabtu lepas, berbanding hanya 52 kes dalam tempoh sama tahun lalu. Beliau berkata, secara keseluruhan di Kedah, dua kes kematian akibat denggi di daerah Kuala Muda manakala satu lagi di daerah lain dilaporkan sejak Januari lalu. "Kes-kes denggi didapati menunjukkan peningkatan ketara terutamanya di daerah Kuala Muda. Peningkatan ini ekoran kawasan tersebut mempunyai kepadatan penduduk tinggi selain faktor musim kemarau berpanjangan. "Bagi tujuan itu, kita memberikan perhatian lebih terhadap daerah ini dalam usaha mencegah wabak berkenaan. Sebanyak 10,744 premis telah diperiksa dengan 542 kompaun bernilai RM10,200 dikeluarkan kepada mereka yang cuai dan menyebabkan berlakunya pembiakan nyamuk aedes," katanya ketika meninjau beberapa kawasan yang dikesan berlakunya kekerapan kes denggi di sekitar Sungai Petani di sini semalam. Ismail berkata, antara kawasan tersebut adalah Taman Ria, Taman Ria Jaya, Taman Bandar Baru Sungai Lalang, Taman Keladi dan Taman Delima. "Selain itu, antara kawasan lain yang turut tersenarai adalah Taman Arked, Taman Sejati Indah, Taman Permai, Taman Sungai Lalang, Taman Sri Pinang, Taman Desa Aman dan Taman Patani Jaya," jelasnya. Katanya, sebanyak 50 pasukan khas operasi dibentuk Jabatan Kesihatan negeri bagi menjalankan pemeriksaan dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes. "Turut terlibat dalam operasi ini adalah Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Pejabat Kesihatan Daerah, Environment Idaman Sdn. Bhd. dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam. Beliau juga menasihati orang ramai agar memberikan kerjasama terhadap kakitangan jabatan untuk menjalankan pemeriksaan pada masa akan datang. "Selain itu, kerjasama amat diperlukan semasa kita menjalankan operasi penyemburan asap agar dapat membanteras pembiakan nyamuk secara menyeluruh dan berkesan," katanya. |
Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT SEKUMPULAN kakitangan pelbagai agensi bertungkus-lumus memindahkan tiga ekor buaya seberat 200 kilogram hingga satu tan ke sangkar baharu di Taman Hidupan Liar Langkawi , Kedah, kelmarin.- UTUSAN/Zarina Md. Hashim LANGKAWI 23 Mei - Tiga ekor buaya seberat 200 hingga 1,000 kilogram berjaya dipindahkan ke sangkar baharu oleh Taman Hidupan Liar Langkawi (THLL) kelmarin. Proses pemindahan yang membabitkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Veterinar serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Langkawi itu adalah yang pertama kali dilakukan sejak THLL beroperasi. Pengurus Besar THLL, Teoh Cheng Kung berkata, proses pemindahan reptilia itu dilakukan dengan penuh berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Katanya, pemindahan itu dilakukan bagi memenuhi piawaian yang ditetapkan Perhilitan selain menyediakan haiwan itu satu kandang baharu yang lebih selesa. "Kita memindahkan buaya-buaya berumur antara sembilan hingga 20 tahun ini ke kandang baru sejauh 150 meter sahaja dari kandang asal. "Dengan pembinaan pagar yang kukuh, para pekerja pembersihan akan lebih mudah masuk ke dalam kandang baru ini. "Buaya-buaya ini sangat berbahaya sekiranya tidak dikendalikan dengan baik dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak yang membantu. Semuanya berjalan dengan lancar," katanya ketika ditemui kelmarin. Cheng Kung berkata, pihaknya berbangga kerana menjadi antara lokasi lawatan terkenal di Pulau Langkawi kerana mempunyai lebih 50 spesis haiwan. Taman hidupan liar itu dibuka mulai pukul 9 pagi hingga 6 petang dan merupakan antara lokasi pelancongan di pulau itu yang semakin dikenali oleh pelancong dari dalam dan luar negara kerana kepelbagaian spesis di dalamnya. |
Posted: 23 May 2014 12:03 PM PDT ZAMZURI Mansor sambil diperhati oleh Che Rohaida Ramli (kiri) semasa menyampaikan sumbangan kepada Shukri Saad yang terlantar di rumahnya di Taman Sri Gedung, Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini. - UTUSAN/Abd. Razak Osman SUNGAI PETANI 23 Mei - Nasib yang menimpa seorang pengawal keselamatan kilang elektronik di Bakar Arang di sini, Shukri Saad, 52, yang lumpuh sebelah kanan anggota badan awal bulan lalu mendapat perhatian pihak pengurusan Econsave Jalan Bandar Puteri Jaya. Isterinya, Che Rohaida Ramli, 43, berkata, dia begitu gembira kerana ada pihak sanggup menghulurkan bantuan kepada mereka setelah suaminya tidak lagi boleh bekerja kerana diserang angin ahmar pada 7 April lalu. "Selepas lumpuh suami saya tidak boleh lagi bercakap seperti biasa dan saya bersyukur kerana pihak Econsave sudi menghulurkan bantuan kepada kami. "Selain lumpuh, suami saya juga menghidap penyakit kencing manis namun penyakitnya tidak begitu serius," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Gedung di sini. Che Rohaida berkata, sumber kewangan keluarganya terjejas kerana dia hanya mampu menjual kuih muih sahaja selepas suaminya tidak bekerja. "Hasil jualan kuih digunakan untuk menampung persekolahan anak-anak kami dan kegunaan harian sahaja. "Suami saya juga perlu dibawa menjalani fisioterapi di Klinik Kesihatan Bakar Arang dan ia memakan belanja yang agak tinggi," jelasnya. Sementara itu Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, pihaknya prihatin dengan masalah yang dialami oleh keluarga terbabit dan cuba membantu meringankan beban mereka. "Pihak Econsave menghulurkan bantuan seperti makanan, lampin pakai buang dan lain-lain bernilai RM1,000. "Inilah sumbangan yang dapat dihulurkan sebagai tanggungjawab sosial korporat terhadap golongan yang memerlukan sumbangan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |