Berita Harian: Ratu
Posted by Tanpa Nama
Berita Harian: Ratu |
Posted: 26 Apr 2013 05:14 PM PDT Tangan yang menggoncang buaian mampu menggegarkan dunia. Kekuatan dan keistimewaan wanita tidak pernah mampu disangkal biarpun ada segelintir pihak masih memandang rendah terhadap insan dianggap lemah ini. Siapa sangka di sebalik perwatakan lembut seorang wanita tersembunyi karakter kelakian dan kocakan emosi luar biasa. Ternyata, itulah kekuatan ditonjolkan lima wanita - All Star ketika mengharumkan nama negara bergelar juara pertandingan paintball, Arena Mascow Girls Cup 2013, di Moscow, baru-baru ini.
Rata-rata pemain tampak biasa seperti wanita kebanyakan, kurus, feminin dan lemah lembut. Namun, kepercayaan digarap jurulatih pasukan, Benjamin Seow dan pengurus, Raja Anor Shah Raja Shahar Shah menyerlahkan rahsia kehebatan wanita ini. Biarpun sejarah permainan lasak Paintball dikuasai gerakan lasak ala tentera, dilengkapi set pelindung badan dan topeng bertutup, strategi tempur, tembakan bertubi-tubi seperti permainan perang dan stamina untuk berlari ke setiap pelosok sudut gelanggang, tidak sedikit pun menggugat keyakinan All Star. Malah, menyaksikan lima wanita besi ini beraksi menentang saingan paintball dari seantero dunia baru-baru ini menimbulkan gerun dan kagum dek semangat, pergerakan dan kekuatan tenaga masing-masing menyamai lelaki. Bagi All Star, pandangan tipikal dan mengejek dilontarkan jauh-jauh malah, ia bukanlah kayu ukuran menentukan kecemerlangan emosi dan fizikal individu. Ikuti temubual Inspirasi mencungkil rahsia di sebalik keunikan lima wanita besi, All Star. Bekerjaya dan berjaya BERBICARA dengan kapten pasukan wanita - All Star dengan kerjaya akauntan di syarikat swasta, Norzawani Mohamed Zakaria, 29 agak menyeronokkan. Sepanjang pertemuan di lapang sasar Xtion Paintball, Bukit Jalil, mulutnya tidak henti-henti berceloteh pengalaman menceburi sukan lasak paintball hingga menyatukan jodohnya bersama suami, Saifullah Norhizat, 29. Baginya, status berkahwin bukan penghalang mengembangkan karier sukan paintball memandangkan suaminya penyokong tegar dan ketua pengadil, Malaysia Paintball Referee Organisation. Tidak pernah saya rasa jemu sebaliknya, menganggap ia karier dan hobi menyeronokkan. Tambah mengujakan apabila beraksi di padang, fizikal dan gaya berfikir berubah menjadi analitikal, kognitif dan agresif. Masa bermain, kadang-kadang terlupa akan fizikal atau jantina diri dek terlampau ghairah memikirkan strategi menumpaskan lawan. Penggunaan set lengkap bertutup makin menyukarkan audien membezakan identiti pemain. Ia kelebihan menunjukkan kemahiran dan bermain sepuas-puasnya, ujarnya menjelaskan kebanyakan wanita enggan bermain sukan lasak berikutan asyik menumpukan soal kesakitan berbanding kepuasan serta keseronokan bakal dialami. Pengasas kumpulan paintball baru, Serien itu menganggap peluang menjuarai kejohanan paintball di Moscow bukti kebolehan wanita tempatan, kepercayaan dan sokongan tidak berbelah bagi meskipun industri sukan paintball masih kurang diberi publisiti seperti industri bola sepak. Ketika pertandingan di Moscow, tiada yang berani meletak pertaruhan menang kerana ia kali pertama kali menyertai pertandingan peringkat di luar negara. Menyukarkan keadaan apabila beraksi di peringkat akhir, kami ketinggalan 2-0 sebelum berjaya mendahului 3-2, di saat akhir perlawanan, jelasnya bangga All Star menerima sorakan kuat dan sokongan moral tinggi daripada penonton biarpun fizikal kecil semasa berhempas pulas menyaingi lawan di peringkat akhir paintball. Ubah karakter Tengku Mahirah Tengku Ismail, 21 pernah bersikap pendiam dan takut mencuba sesuatu yang baru. Bagaimanapun, semua personaliti itu dilemparkan jauh-jauh selepas berkecimpung dalam industri permainan sukan lasak, Paintball.
Akhirnya, ayah mengambil alternatif menarik saya keluar dari kepompong personaliti pasif melalui sukan paintball di usia 14 tahun. Sejak itu, karakter diri berubah menjadi lebih positif, obses, berdaya saing dan kuat berceloteh, katanya. Mahirah, pelajar jurusan Kejuruteraan Komputer, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mula bergiat aktif dalam sukan paintball menerusi tunjuk ajar bapa saudara, Nino dan pengurus pasukan, Habibah. Biarpun masih muda dan bergelar pelajar, ia bukan halangan buat bongsu daripada tiga adik beradik ini menempa nama dalam industri sukan mahal ini. Tatkala disoal caranya membahagikan masa bermain, belajar dan berseronok, Mahirah mengakui perjalanan hidupnya agak sibuk memandangkan terpaksa berulang-alik setiap minggu jika ada latihan atau perlawanan di ibu kota. Komitmen membahagikan masa adalah komponen utama ketika bermain, belajar dan berseronok. Apatah pula, kawan-kawannya kurang berminat melakukan aktiviti lasak kerana belum bersedia. Ayahnya, Tengku Ismail Tengku Ahmad Syahrudin dan ibu, Zurina Abu Bakar pembakar semangatnya berjaya. Mereka banyak berkorban wang ringgit, masa dan komitmen menyokong pembabitannya dalam sukan lasak. Jatuh cinta sukan lasak Imej feminin Hani Zainuddin, 30 bukanlah ukuran memandang rendah keupayaan fizikal dan mental wanita bertubuh kecil ini. Penampilannya ke pejabat lebih selesa menggunakan pakaian lambang kewanitaan, kasut bertumit tinggi, potongan moden dan bersolek biarpun menjawat jawatan eksekutif jurutera di sebuah syarikat petroleum antarabangsa. Menceritakan detik pembabitan dalam sukan lasak tujuh tahun lalu, gadis mesra di sapa Hani berkata, tiada kemahiran bermain paintball menjadikannya mangsa serangan rakan sepejabat dalam perlawanan persahabatan anjuran syarikat. Saya tidak pernah menyertai sukan lasak kecuali tenis dan bola jaring sehinggalah syarikat menganjurkan sukan paintball. Pada awalnya, permainan bermula agak sempurna sehinggalah di akhir pertandingan, saya menangis kerana ditembak di kepala dan badan bertalu-talu. Sejak itu, saya menyimpan dendam mempelajari sukan paintball dek sakit ditembak dan tiada keupayaan melawan ketika itu. Kini, sukan paintball menjadi minat utama bahkan, saya jatuh hati terhadap sukan lasak, katanya. Jelasnya, sukan lasak membuktikan keupayaan wanita mendominasi keyakinan diri sendiri, cabaran, kesabaran, dan membentuk kemahiran diri. Keluarga terutama emaknya antara yang cuba menghalang minatnya dalam sukan lasak namun, akhirnya akur. Siapa tidak sayangkan anak. Mula-mula dia membantah namun, akhirnya mengalah. Emak, penyokong kuat saya sekarang, katanya enggan mengaitkan isu gender sebagai halangan mencipta kejayaan. Wakil negara jiran JANE Koh, 33, satu-satunya ahli All Star bermastautin di Singapura mengakui bangga dan gembira kerana bersama-sama mengharumkan legasi sukan paintball ke serata dunia. Beliau percaya masih ramai wanita mempunyai bakat terpendam jika diberi peluang, ruang dan kemahiran memajukan diri sendiri. Sukar mencungkil bakat terpendam sehinggalah kita diberi pendedahan mengenainya. Sukan paintball dijamin selamat berbanding bola sepak kerana dilindungi peralatan keselamatan lengkap , katanya mengakui kerap berulang alik antara dua negara sepanjang pembabitan dalam sukan paintball. |
Posted: 12 Apr 2013 07:57 AM PDT Usianya masih muda namun namanya gah berdiri sebaris syarikat antarabangsa hab ICT terkemuka dunia antaranya Google, Yahoo, Intel dan Facebook. Itulah kejayaan diraih syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan, Terato Tech Sdn Bhd (Terato) apabila berjaya mengembangkan sayap perniagaan menembusi Lembah Silikon, San Francisco, Amerika Syarikat, baru-baru ini. Bagaimanapun, akibat krisis ekonomi, Reza Fahmi memutuskan untuk kembali ke tanah air selepas dua tahun menimba pengalaman sepanjang bekerja di Lembah Silikon, San Francisco itu. Malangnya dia berasakan pengalaman, kepintaran dan kepakaran yang dimiliki seolah-olah tidak dihargai oleh syarikat IT tempatan. Hatinya bagaikan terguris apabila dibayar gaji RM1,500 sebulan. Melihat gajinya yang kecil dan jumlah keluarganya pula bertambah, membuatkan Reza Fahmi mengintai peluang untuk menjana pendapatan dalam bidang IT. Kepakaran dan pengalamannya dalam bidang IT mahu dipergunakan sepenuhnya untuk menjamin keselesaan kehidupan keluarganya. Ibarat bulan jatuh ke riba, pengumuman pemberian geran permulaan perniagaan bernilai RM150,000 menerusi Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) menjadi batu loncatan untuknya kembali menerokai bidang ICT. Pengalaman bersaing sehingga memaksanya bekerja lebih 16 jam sehari ketika bekerja di San Francisco, digunakan sepenuhnya untuk mengukuhkan Terato Tech. Dari sehari ke sehari, ternyata usaha gigih Reza Fahmi dan abangnya berhasil, sehingga berjaya menarik perhatian penerbit mainan video terkemuka dengan 16 juta pelanggan di seluruh dunia, Bulkypix. "Terato diambil sempena loghat Minang yang membawa maksud teratur. Projek terbaru kami adalah Amok, iaitu permainan maya ala kepahlawanan dengan pelancaran di pasaran Perancis. "Dibantu lebih 36 kakitangan berinovasi, Terato mula diintai dan ditawarkan kerjasama dengan syarikat perisian Jepun, Dena. Sebelum ini, kami pernah menghasilkan produk tempatan seperti aplikasi korporat dan maklumat, e-Parlimen Malaysia, CIMB, Yellow Pages, Malaysia Most Wanted, SolQib, Muslim Calculator, IslamKidsWudhu dan Halal," katanya memberitahu tumpuan Terato adalah membangunkan aplikasi telefon pintar dengan kapasiti tiga hingga enam hari untuk membangunkan satu-satu aplikasi. Ringkas, peramah Walaupun berjawatan Pengarah Urusan di Terato Tech, tetapi Reza Fahmi Razali ternyata membuka mata penulis dek sikapnya yang sempoi (ringkas), peramah, dan tidak sombong biarpun menjawat jawatan besar dalam syarikat ICT. Malah, paling mengejutkan apabila beliau bersahaja mengenakan baju T berkolar bulat lusuh dipadankan seluar khakis sambil tangan sesekali membetulkan kedudukan kaca matanya. Cekap memantau pergerakan anak buahnya melakukan kerja, tiada siapa menyangka di sebalik personaliti jejaka berusia 29 tahun ini terselit bakat, kemampuan dan idea luar biasa. "Saya ni orangnya sangat meminati bidang teknologi dan bermain komputer meskipun zaman kanak-kanak ketika itu masih taboo dengan permainan komputer. "Boleh dikatakan, usia kanak-kanak dan remaja saya berbeza dengan rakan sebaya lain kerana lebih banyak masa dihabiskan bermain komputer dan mencipta idea. Bayangkan, saya cipta aplikasi mainan dan pengaturcaraan Q Basic ketika usia tujuh tahun. "Atas dasar sokongan dan memahami minat, ibu (Zainab Idris, 56) dan bapa (Razali Hamzah, 61) sepakat menghantar saya mengikuti kelas 'programming' secara formal ketika berusia 10 tahun," katanya kerap menghabiskan masa bersama abangnya, Reza Hazri, 35. Perkara biasa jika dia menghadap komputer jenis IBM 286 milik ayahnya, jurutera nuklear bagi mencari idea dalam bidang teknologi sekali gus berusaha menjana kewangan daripada kepakarannya. Buat duit pada usia muda Pada usia 15 tahun, ketika rakan sebaya sibuk bermain di padang, Reza dan abangnya sudah membuat duit dengan menjual barangan di laman eBay dan Yahoo Option Store sekali gus mewujudkan peluang jaringan kewangan secara bersama. Pada usia 16 tahun, Reza mula dikenali ramai dan diundang mengisi slot rancangan televisyen selepas berjaya mencipta rekod peribadi memenangi pelbagai anugerah IT peringkat tempatan dan antarabangsa. Antara anugerah pernah disandang adalah Anugerah Koridor Raya Multimedia Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi Asia Asia Pasifik (APMITTA - 2000) serta Anugerah Pakatan ICT Antarabangsa Asia Pasifik (APICTA -2001). Tahun 2000 menyaksikan permulaan baru buat diri Reza apabila berjinak dengan pembinaan laman web permotoran. Bagaimanapun, hasrat mengembangkan karier dalam bidang IT ditangguhkan selepas memperoleh keputusan memberangsangkan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sentiasa berfikiran jauh dan bermatlamat tinggi, lelaki berasal dari Negeri Sembilan ini memilih bidang kewangan ketika menyambung pelajaran di University of Oklahoma, Amerika Syarikat. Jelasnya, tujuan memilih bidang kewangan kerana mahu menambah ilmu, mencabar diri dan mencuba sesuatu bidang yang baru. Justeru, keazaman dan sikap tidak membiarkan diri selesa pada satu-satu tahap berjaya mematangkan fikiran sekali gus mencipta satu jenama diri berkualiti. "Biarpun mempelajari bidang kewangan, saya masih mengikuti perkembangan dunia teknologi. Selepas tamat pengajian pada 2006, saya mengambil keputusan menetap di Amerika Syarikat bersama isteri, Siti Durathul Ain Ali kerana peluang pekerjaan dan tawaran gaji lumayan di sana. "Pelbagai pekerjaan dilakukan bagi memastikan kelangsungan hidup termasuk menjual buku di eBay dan kerjaya perunding jualan syarikat komputer terkenal, DELL," katanya menjelaskan sempat bermastautin di sana selama dua tahun sebelum kembali ke Malaysia, ekoran krisis ekonomi dunia. Jangan takut mencuba Keluarga adalah harapan dan pemberi semangat buat Reza. Masakan tidak, kehadiran isteri, Siti Duratul Ain dan tiga cahaya mata, Reza Eusoff (6), Zara Alia (5) dan Reza Haris (2) sentiasa membuatkan Reza bersemangat meneruskan kehidupan harian. "Saya tahu matlamat hidup saya dan sudah mencapai kejayaan diingini. Keluarga kami bahagia, sentiasa membantu dan menyokong daripada belakang," katanya mengakui tidak menyesal berkahwin muda sebaliknya, berbangga memiliki keluarga sempurna. Sentiasa mengendalikan komputer membuatkan individu berisiko menambah berat badan. Justeru, bagi mengatasi masalah berkenaan, beliau sering kali cuba mencari masa untuk bersama anak dan keluarga. Mahukan masa berkualiti bersama keluarga, Reza enggan memikirkan soal kerja sebaliknya, bergembira bermain permainan kegemaran Xbox Kinnect, keluar bersama-sama, melancong atau beriadah. Pesannya kepada gen Y, jangan takut mencuba dan keluar dari kepompong keselesaan kerana anda penentu masa depan diri sendiri. Ujarnya, rebut peluang yang hadir dengan bersungguh-sungguh dan aplikasi kemahiran fizikal dan emosi secara teratur bagi memastikan kelestarian, kelak. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Ratu To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |