Berita Harian: Ratu
Posted by Tanpa Nama
Berita Harian: Ratu |
Posted: 09 Jun 2013 03:53 PM PDT Mencari kosmetik dan dandanan halal bukan bersandar testimoni tetapi disahkan statusnya Tidak dinafikan, ramai pengguna mementingkan status halal dalam makanan. Bagaimana pula dalam memilih produk penjagaan tubuh dan rambut serta kosmetik untuk solekan wajah? Produk yang menyatakan 100 peratus berasal daripada bahan alam semula jadi pun tidak terjamin 'kehalalannya'. Ini kerana ekstrak haiwan juga termasuk dalam kategori 'semula jadi'. Malah, dalam banyak keadaan penggunaan perkataan juga boleh mengelirukan" Faisal Ahmad Fadzil, Pengusaha syarikat FA Herbs Sdn Bhd Jika ini menjadi amalan, seharusnya ia tidak dibiarkan berterusan sebaliknya konsep halal wajar diambil kira dan diguna pakai apabila ingin membeli atau mengguna barangan berkenaan. Apatah lagi, dalam Islam prinsip halal bukan sekadar tidak mengandungi babi atau bahan berkaitan serta haiwan yang tidak disembelih, tetapi juga kandungan lain seperti alkohol yang haram dan sebagainya. Malah, bukan mustahil kosmetik didakwa selamat dan halal digunakan seperti gincu, bedak, krim penjagaan wajah dan wangian bebas alkohol tanpa disedari mungkin mengandungi bahan 'terlarang' yang mencemarkan kesucian atau status produk berkenaan, sekali gus haram digunakan. Jika ada logo dan status halal, sekurang-kurangnya produk itu lebih diyakini untuk digunakan. Lagipun, di Malaysia sudah pun banyak produk kosmetik dan dandanan halal yang dipasarkan. Bahkan, produk kosmetik dan dandanan halal di negara ini adalah ketiga terbesar dalam industri halal selepas produk makanan halal dan perbankan Islam. Pengusaha produk kosmetik, menerusi syarikat FA Herbs Sdn Bhd, Mohamad Faisal Ahmad Fadzil, berpendapat kesedaran mengenai penggunaan produk kosmetik dan penjagaan tubuh badan, berstatus halal, belum cukup membanggakan. Beliau berkata, sungguhpun tiada kajian khusus menyokong pandangannya itu, tetapi pada dasarnya ia boleh dipercayai. "Contoh, cuba anda lihat pada produk gincu yang wanita pakai sekarang ini, adakah tanda halal di situ?" katanya. Menerusi pengalamannya terbabit dalam penghasilan produk kosmetik dan penjagaan tubuh badan berasaskan herba, yang diusahakan sejak 1994 lagi, Faisal berkata status halal pada produk sedemikian tidak begitu dititik beratkan oleh pengguna. Ia berpunca daripada sama ada pengguna 'MEMANG TIDAK TAHU' atau 'TIDAK AMBIL KISAH' kerana ia bukan produk makanan. Faisal berkata, sekiranya status halal dalam makanan terlihat jelas mengenai sumbernya seperti babi yang memang haram, produk kosmetik meliputi definisi lebih luas termasuk kebersihan serta keselamatannya kepada pengguna. "Walaupun pada dasarnya kosmetik dan produk penjagaan tubuh badan memiliki sifat berbeza dengan dengan makanan, iaitu tidak masuk (secara langsung) ke dalam tubuh, tetapi jawapannya tetap ada. Terutama produk perawatan kulit, misalnya serum atau pelembap, sekitar 60 peratus produk berkenaan berada pada kulit, lantas 'masuk' ke aliran darah. "Apabila produk berkenaan mengandung alkohol, bahan daripada haiwan, atau bahan kimia berbahaya seperti hydroquinone sudah pasti ia seharusnya haram kerana memudaratkan pengguna. Malah, ada juga jenis produk bersifat seperti lilin, tidak terserap ke dalam tubuh. Tetapi saya dapati pengguna masih menggunakannya, seolah-olah ia 'halal'," katanya. Pengguna boleh keliru Beliau yang kerap terbabit memberi penerangan mengenai status halal dalam produk kosmetik dan penjagaan tubuh badan, mengakui, sukar mengenali produk halal dengan mudah kerana bahan di dalamnya yang pelbagai jenis, namun meyakini bahan kosmetik dan penjagaan diri berasal daripada tumbuhan seperti herba, bungaan dan organik boleh dipercayai. Tetapi itu pun sekiranya tidak bercampur dengan enzim haiwan seperti plasenta haiwan yang banyak digunakan dalam industri kosmetik (bersumberkan babi). "Produk yang menyatakan 100 peratus berasal daripada bahan alam semula jadi pun tidak terjamin 'kehalalannya'. Ini kerana ekstrak haiwan juga termasuk dalam kategori 'semula jadi'. Malah, dalam banyak keadaan penggunaan perkataan juga boleh mengelirukan. Penggunaan istilah 'tersembunyi', seperti 'protein', turut digunakan untuk menggantikan perkataan 'plasenta'," katanya. Faisal berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dipertanggungjawabkan sebagai badan pengawal piawaian Halal sejak Ogos 2009. Bagaimanapun, untuk memperoleh status halal perlu dilakukan oleh pengusaha produk menerusi permohonan. Namun, disebabkan kesedaran dan keperluan pengguna mengenai halal dalam kosmetik dan produk penjagaan tubuh badan, tidak semua yang merasakan ia suatu keperluan. "Apa yang menjadi kerisauan saya ialah mengenai status penggunaan bahan berbahaya, termasuk merkuri, atau hydroquinon di dalam produk kosmetik. Dalam hal ini, pengguna harus meningkatkan pengetahuan mengenai status halal produk digunakan," katanya. Semakin banyak syarikat pohon sijil halal Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Muhammad Khalid Osman dalam reaksinya, berkata, hari ini pengguna khususnya dewasa, amat menitikberatkan soal halal atau haram sesuatu produk. "Kesedaran pengguna terhadap produk kosmetik dan penjagaan badan halal, semakin meningkat dan ia dinilai, berdasarkan kepada soalan yang diajukan kepada Jakim. Dari sudut pengeluar pula, kini sudah banyak syarikat, memohon pensijilan halal bagi produk kosmetik. Jakim juga sentiasa menjalankan pemantauan sama ada secara berkala atau aduan," katanya. Disebabkan kebanyakan produk kosmetik dan penjagaan badan diimport dari luar negara dan ada logo halal daripada negeri tertentu. Jakim ada memperakukan lebih 70 logo daripada lebih 30 negara dan diiktiraf. "Pengguna dengan mudah boleh menyemak status halal sesuatu produk melalui direktori halal di www.halal.gov.my," katanya. Mengenai status halal dalam produk kosmetik dan penjagaan tubuh badan, katanya, Jakim ingin menasihatkan kepada pengguna supaya bijak memilih produk yang diyakini halal kerana ia merangkumi jaminan kebersihan, keselamatan dan kesucian sesuatu produk. INFO : Cara memohon sijil Halal * Menurut standard dan prosedur yang ditetapkan di dalam MS1500:2009, Makanan Halal-Pengeluaran, Penyeliaan, Pengendalian dan Penyimpanan atau MS2200:2008, Barang Gunaan Islam-Bahagian 1 : Kosmetik dan Dandanan Diri dan manual prosedur halal. * Borang permohonan lengkap diisi secara online dengan mengemukakan butiran-butiran seperti yang dikehendaki di dalam borang dan menyertakan sijil-sijil yang berkaitan, seperti : Tip pilih produk halal dan selamat: Pendaftaran produk Bahan Lengkap Pastikan anda memilih produk kosmetik halal berdasarkan standard dan hukum syarak serta memenuhi keadaan seperti berikut: i. Tidak berkompromi atau mengandungi mana-mana bahagian manusia atau bahan yang berasal daripadanya. ii. Tidak mengandungi bahan diperoleh daripada haiwan yang dilarang kepada umat Islam oleh hukum syarak, atau daripada haiwan halal yang tidak disembelih mengikut hukum Syarak. iii. Tidak mengandungi sebarang bahan atau organisma yang diubahsuai genetik (GMO) yang telah diisytiharkan sebagai najis mengikut hukum syarak. iv. Tidak disediakan, diproses dikeluarkan atau disimpan dengan menggunakan apa-apa peralatan yang tercemar dengan perkara yang najis mengikut hukum syarak. v. Semasa kerja penyediaan, pemprosesan atau pembuatan produk, tiada sentuhan berlaku dan diasingkan secara fizikal daripada mana-mana bahan yang tidak memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan dalam perkara a), b), c) atau d). vii. Tidak memberi sebarang kemudaratan kepada pengguna. |
Tidak mudah bergelar Wanita Pertama Posted: 09 Jun 2013 03:49 PM PDT Isteri ketua negara, mereka menggalas tanggungjawab berat, khususnya terhadap kesejahteraan wanita, kanak-kanak Tugas Wanita Pertama mungkin dianggap mudah dan menyeronokkan seperti mengiringi suami ke majlis rasmi, diundang merasmikan sesuatu acara selain sentiasa menjadi perhatian. Saya pernah menyuarakan kepada suami mengenai rancangan pendidikan awal kanak-kanak yang menjadi agenda perjuangan saya, tetapi tidak diterima pakai suami kerana saya isterinya dan dia tidak akan mengambil kira pendapat isteri." Datin Seri Rosmah Mansor Forum Wanita Pertama sempena Sidang Kemuncak Wanita Global 2013 yang berlangsung di ibu kota, baru-baru ini membuka mata dan minda tanggapan ramai, sebagai isteri kepada pemimpin atau ketua negara, Wanita Pertama turut menggalas tanggungjawab berat dan mempunyai peranan tersendiri, khususnya terhadap kesejahteraan wanita seluruh negara. Wanita Pertama negara, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata beliau mempunyai kekangan tertentu apabila berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai perancangannya terhadap memartabatkan wanita dan kesejahteraan kanak-kanak di negara ini. "Saya pernah menyuarakan kepada suami mengenai rancangan pendidikan awal kanak-kanak yang menjadi agenda perjuangan saya, tetapi tidak diterima pakai suami kerana saya isterinya dan dia tidak akan mengambil kira pendapat isteri. "Justeru, saya memikirkan perancangan lain dengan meminta cendekiawan negara mengusulkan kepada Perdana Menteri mengenai pendidikan awal kanak-kanak di negara ini yang perlu diberi penekanan dan usul berkenaan diterima serta dilaksanakan," katanya pada forum yang dikendalikan Koresponden Berita dan TV Reuters, Cathy Yang. Penuhi harapan ramai Kata Rosmah, sebagai Wanita Pertama, beliau perlu mempunyai alternatif dalam usaha memajukan institusi keluarga negara selain membantu meningkatkan ekonomi wanita terutama ibu tunggal di negara ini. Tidak terkecuali katanya, harapan yang tinggi terhadap Wanita Pertama daripada wanita seluruh negara membuatkan beliau sentiasa memikirkan cara terbaik meningkatkan mutu kehidupan wanita yang juga menjadi tunggak utama dalam keluarga. "Negara mempunyai ramai cerdik pandai dan mereka yang berkebolehan, jadi gabungan tenaga dan ilham pemikiran mereka sangat diperlukan bagi menjayakan pelbagai program yang dirancang. "Saya mempunyai pegawai terbaik untuk merangka dan melaksana segala perancangan serta saya juga mengatur pertemuan mereka dengan Perdana Menteri untuk menjelaskan tujuan sesuatu program," katanya yang begitu teruja apabila membicarakan mengenai program pendidikan awal kanak-kanak, Program PERMATA Negara, yang juga menjadi legasi beliau sebagai Wanita Pertama. Masalah sumber kewangan Dr Christine pula berhadapan masalah mendapatkan sumber kewangan bagi membiayai projek untuk kepentingan wanita di Zambia walaupun banyak sektor korporat yang mampu membantu. Christine mengakui, beliau terpaksa berusaha meyakinkan pelbagai individu dari sektor korporat dan pembuat polisi supaya memasukkan kesihatan serta kesejahteraan wanita adalah antara agenda yang perlu diberi perhatian. "Dengan latar belakang perubatan yang dimiliki, menjadi tanggungjawab saya untuk menekankan mengenai kepentingan penjagaan kesihatan terhadap wanita di Zambia. "Ancaman barah mahupun wabak HIV, dua penyakit ini adalah yang sangat digeruni wanita dan di Zambia saya menggiatkan kesedaran dengan menggalakkan mereka membuat pemeriksaan," katanya. Turun padang Penehupifo pula berkata, setiap Wanita Pertama mempunyai perbezaan daripada aspek cabaran dihadapi di negara masing-masing dan ada yang mengambil langkah turun padang bagi memberi lebih kefahaman kepada ahli politik negara mereka mengenai isu wanita dan kanak-kanak terutama perlu diberi perhatian. "Ada antara ahli politik tidak begitu memahami permasalahan wanita, jadi saya mengambil inisiatif berjumpa dengan mereka dan menyatakan polisi pemerintah terhadap dua golongan ini. "Apabila mereka memahami isu dan agenda perjuangan Wanita Pertama terhadap kepentingan kanak-kanak dan wanita, mereka lebih terbuka dalam membicarakan mengenainya selain tidak keberatan untuk memberi sokongan dalam usaha membangunkan kesejahteraan wanita," katanya. Kenyataannya, Wanita Pertama juga mempunyai cabaran hebat dalam kerjaya kerana tidak semua pihak bersetuju menyokong perjuangan mereka. Bagaimanapun usaha kerana dilakukan sememangnya membuahkan hasil dan banyak pihak membuka mata bahawa Wanita Pertama juga adalah jentera penggerak penting kepada kesejahteraan negara. Lebihkan usia had persaraan Umur had persaraan wanita bekerjaya turut menjadi isu perbincangan pada sesi berkenaan. Wanita Pertama Laos, Keosaycha Sayasone, berkata pembuat polisi di negaranya mempunyai pandangan berbeza terhadap kakitangan di bawah kategori ketua dan pegawai. Katanya, kerajaan Laos sudah menjalankan dua polisi tertentu mengenai umur persaraan wanita selepas mengambil kira pelbagai aspek. "Kerajaan Laos menetapkan umur persaraan bagi wanita bekerja ialah pada usia 50 hingga 55 tapi kini mereka sudah mengubah polisi berkenaan kepada 60 hingga 65 tahun. "Bagaimanapun, bagi wanita yang memegang jawatan tinggi atau berada dalam kelompok ketua, umur persaraan mereka dilanjutkan kepada 65 manakala yang memegang jawatan dalam sektor perkhidmatan biasa, umur persaraan mereka adalah 60," katanya. Beliau memberitahu, keadaan kesihatan kakitangan juga diambil kira sebelum mereka dibenarkan bersara pada umur dihadkan. Ini bagi menjamin mutu perkhidmatan terhadap negara. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Ratu To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |