{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Berita Harian: Ratu

Posted by Tanpa Nama

Berita Harian: Ratu


Strok intai remaja

Posted: 10 Jun 2013 04:26 PM PDT

Penyakit kardio serang tanpa mengira usia

Mungkin ramai tidak terlintas dalam fikiran, strok boleh menyerang dalam kalangan kanak-kanak dan remaja remaja. Malah ramai tidak mengambil kisah dan sering menganggap, penyakit itu hanya dideritai orang tua atau individu berusia yang tidak aktif serta obes.

Persepsi itu meleset dan tidak tepat. Kini, masalah strok tidak hanya mensasarkan mereka berusia 50 tahun ke atas tetapi turut dihidapi golongan muda. Laporan menunjukkan, 30 peratus remaja di seluruh dunia menderita penyakit berkenaan.
Bukan saja individu berusia 45 tahun ke atas lebih terdedah kepada strok pendarahan, malah yang berusia muda ini juga jangan sesekali menangguh berjumpa doktor." Dr mak Choon Soon, Perunding Neurologi, Pusat Perubatan Gleneagles, Kuala Lumpur.

Kadar kematian disebabkan strok turut dilaporkan akan meningkat hampir dua kali ganda, menjelang 2020 dan ia menjadi penyakit keempat tertinggi di negara ini.

Di Amerika Syarikat pula, mendapati ada kesan peningkatan strok kalangan golongan muda. Laporan menunjukkan kanak-kanak seawal usia 8 tahun diberikan ubat statin jika mereka gemuk. Penggunaan ubat-ubatan statin merendahkan kolesterol dalam badan dan sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko lebih besar kepada strok.

Klasifikasi strok

Justeru, impak angin ahmar atau strok seharusnya digeruni. Ia berlaku disebabkan saluran darah membawa zat makanan (nutrien), oksigen ke otak tersumbat dan pecah, seterusnya menyebabkan anggota badan dikawal sel saraf tidak dapat berfungsi.
Bagaimanapun, disebabkan kurang fahaman, ada juga menyangkakan penyakit itu berpunca akibat serangan jantung.

Perunding Neurologi Pusat Perubatan Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Mak Choon Soon, berkata penyakit itu juga boleh berlaku akibat tekanan terlampau tinggi pada bahagian otak seterusnya menyebabkan salur darah dalam otak pecah.

"Penyakit ini dikategorikan kepada dua jenis iaitu pembuluh darah (trombus) tersumbat mengakibatkan oksigen dan darah terganggu serta adanya pembuluh darah pecah.

Biasanya strok pendarahan berlaku secara tiba-tiba tanpa isyarat. Ia lebih berbahaya berbanding strok bukan pendarahan kerana serangannya boleh menyebabkan ajal manakala peluang pemulihan sepenuhnya tipis," katanya.

Gejala serangan

Serangan penyakit itu, kata Dr Mak, tidak disedari dan mungkin dianggap sakit biasa. Pening, sakit kepala, sesak nafas, penglihatan kabur dan hidung berdarah antara gejala hipertensi atau tekanan darah tinggi.

Jelasnya, fungsi bahagian berlainan dalam badan dikawal oleh bahagian berbeza dalam otak. Gejala berbeza bergantung kepada bahagian otak terjejas dan pada saiz kerosakan. Gejala yang timbul biasanya termasuk satu atau lebih.

"Antara gejala strok ialah ia terjadi secara tiba-tiba, pesakit terasa kebas sebelah badan sama ada kaki atau tangan, butir percakapan tidak difahami dan sakit kepala teruk atau pening secara mendadak.

"Pesakit juga mungkin mengalami muntah dan tidak seimbang atau stabil ketika berjalan dan nampak keliru. Ia dilabel pembunuh senyap kerana boleh mengakibatkan beberapa komplikasi yang boleh membawa maut seperti serangan jantung dan strok.

"Kecederaan saraf otak serius boleh menjejaskan neurologi (sistem saraf), pergerakan, pertuturan, watak, penglihatan, pendengaran mahupun memori. ia juga mengakibatkan pesakitnya mengalami masalah dimentia iaitu kemerosotan dalam fungsi kognitif akibat kecederaan atau penyakit pada otak," jelasnya.

Risiko boleh dielakkan

Dr Mak berkata, kehidupan remaja yang tidak sihat berkecenderungan mengundang penyakit berbahaya ini dan menyerang secara senyap termasuk menerusi jangkitan virus. Oleh itu amalan pola sihat amat penting bagi mengelakkan serangan maut itu.

Bersenam boleh mengembalikan kesihatan dan cukup sekadar melakukan beberapa aktiviti fizikal sederhana pada hari biasa sekurang-kurangnya 30 minit.
Tidak mustahil juga risiko penyakit lain seperti diabetes. Jika mempunyai diabetes, rawatan untuk menyimpan gula dalam darah anda dengan seberapa normal yang mungkin adalah penting.

"Pastikan tekanan darah diperiksa sekurang-kurangnya sekali setahun. Jika tinggi, ia boleh dirawat. Tekanan darah tinggi biasanya tidak menyebabkan gejala, tetapi boleh merosakkan arteri," jelasnya.

Jangan tangguh

Katanya, individu diserang strok perlu dihantar ke bahagian kecemasan selewat-lewatnya empat jam jika ada tanda-tanda supaya doktor boleh membuat pemeriksaan. Satu daripada perkara penting pastinya tahap kesedaran pesakit untuk elak keadaan bertambah parah.

"Jika pesakit diserang strok dan jatuh koma peluang mungkin sukar. Bukan saja individu berusia 45 tahun ke atas lebih terdedah kepada strok pendarahan, malah yang berusia muda ini juga jangan sesekali menangguh berjumpa doktor.

"Doktor biasanya boleh mendiagnosis strok daripada gejala yang biasa dialami pesakit. Ujian biasa dilakukan termasuk imbasan otak. Ini bagi menentukan jenis strok dan menentukan menyebabkan strok atau mungkin menyerupai gejala sama.

"Remaja yang diserang juga akan menjalani proses seperti ujian darah untuk memeriksa paras gula di dalam darah dan kolesterol serta ujian X-ray pada dada dan ECG untuk mengesan jantung atau paru-paru," katanya.

INFO: Faktor penyebab strok:

* Trauma.

* Penyakit salur darah dalam otak:
a) Salur darah boleh rosak (aneurysm). Seperti belon, ia mengembang dan pecah.
b) Vasculitis (jangkitan pada salur darah).
c) Kongenital (sejak lahir).

* Masalah Arterio-Venous Malformation (AVM) iaitu gumpalan saluran darah yang tidak normal dan tidak mempunyai kapilari di antara arteri dan vena.

* Pesakit mengambil ubat pencair darah seperti pesakit jantung/ menagih kokain.

* Amylodysis - penyakit golongan yang biasanya berusia 75 tahun ke atas disebabkan salur darah mudah pecah.

* Kanser dalam otak menyebabkan pendarahan.

Masalah yang mungkin berlaku:

* Masalah dengan keseimbangan dan penyelarasan.

* Masalah untuk menelan makanan. Dalam kes tertentu, ia boleh membahayakan kerana makanan mungkin memasuki hujung salur udara dan tidak turun ke tekak apabila anda makan.

* Kesukaran dengan proses mental. Sebagai contoh, mengalami kesukaran dalam pembelajaran, tumpuan mahupun mengingat.

* Emosi terjejas. Berikutan strok, sesetengah orang mungkin menangis atau ketawa pada masa tertentu tanpa alasan jelas.

Jenis ujian yang diperlukan:

Tahap sedar pesakit akan menentukan rawatan susulan yang dijalankan selain usia dan jenis penyakit lain mungkin dihadapi pesakit. Ada dua jenis rawatan iaitu rawatan perubatan dan rawatan pembedahan.

* Untuk pesakit muda dengan tahap kesedaran kurang dan saiz pendarahan besar, pembedahan mungkin perlu dilakukan selain merawat punca.

* Pembedahan biasanya dilakukan untuk membuang darah beku dan mengurangkan tekanan di dalam otak.

* Serangan strok juga boleh dirawat secara perubatan seperti menjalani fisioterapi tapi mengambil masa lama untuk pulih kira-kira setahun.

* Bagaimanapun, pesakit tidak pulih 100 peratus kerana ketika berlaku pendarahan, bahagian otak terbabit mengalami kerosakan. Walaupun pembedahan dilakukan, bahagian mengandungi darah beku itu sudah terjejas.

* Tidak seperti organ lain, otak tidak mempunyai kemampuan sembuh sendiri. Terapi rehabilitasi penting bagi memulihkan pesakit yang mengalami strok.

Emosi kontang

Posted: 10 Jun 2013 04:22 PM PDT

Ibu bapa punca anak remaja mencari cinta

Cinta adalah fitrah semula jadi yang dikurniakan kepada setiap manusia. Malah ada mengatakan jiwa mendambakan cinta umpama jasad yang memerlukan makanan.

Persoalannya, adakah menjadi satu kesalahan jika remaja bercinta?
Ramai mengatakan, remaja suka memberontak. Sebenarnya mereka perlukan perhatian dan ibu bapa perlu menjenguk emosi mereka pada peringkat usia anak baligh." Dr Harlina Halizah Siraj, Pengerusi Pembangunan Sosial Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram)

Jika ditanya kepada orang dewasa, jawapan diberikan tentunya negatif kerana bagi mereka, selagi masih dalam tanggungan keluarga, usah terlalu leka bermain cinta.

Apatah lagi ketika masih di bangku persekolahan kerana fokus utama remaja di peringkat usia sebegitu adalah pelajaran.

Sedar atau tidak, cinta monyet berputik kerana dua insan yang sedang meniti usia remaja itu sedang menyalurkan kemahuan emosi yang sepatutnya dipenuhi individu lebih layak, iaitu ibu bapa.

Pengerusi Pembangunan Sosial Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, berkata ibu bapa perlu tahu, remaja bergantung kepada orang lain dari sudut emosi.
Tambah Dr Harlina, naluri seorang remaja ingin rasa dihargai dan disayangi. Jika ibu bapa 'jauh', mereka akan mencari seseorang di mana melalui hubungan itu, remaja dapat belajar mengenai emosi melalui interaksi.

"Bagaimanapun, jika ibu bapa bijak mengisi keperluan emosi anak remaja mereka, pastinya cinta monyet itu tidak akan berlaku.

"InsyaAllah, tidak akan ada yang terjebak, tidak ada sebab juga untuk mereka lari dari rumah jika ada teguran atau perselisihan faham," katanya.

Ibu bapa tiada kemahiran

Dr Harlina berkata, kanak-kanak berusia di bawah enam tahun memerlukan keperluan fizikal seperti makan dan pakai.

"Apabila masuk sekolah rendah, berikan pula mereka keperluan kognitif (pemikiran), didik dengan disiplin dan sebab di atas setiap perkara. Tapi apabila memasuki usia remaja, mereka perlukan sokongan emosi.

"Sebab itu ramai mengatakan, remaja ini suka memberontak. Sebenarnya mereka perlukan perhatian dan ibu bapa perlu sangat menjenguk emosi mereka di peringkat usia anak baligh iaitu bermula 10 hingga 19 tahun," katanya.

Bagaimanapun, Dr Harlina mengakui, masalah keruntuhan moral akibat pergaulan antara lelaki dan perempuan terjadi di kalangan anak remaja adalah berpunca daripada ibu bapa yang tidak berilmu.

"Pada saya, ibu bapa kena sediakan diri untuk menangani emosi anak kerana mereka adalah pasak emosi anak. Jadi, jika ada perkara yang menyebabkan anak remaja menjauhkan diri, ibu bapa perlu main peranan dan mengambil tahu kekecewaan mereka.

"Tapi, malangnya ramai ibu bapa tiada pengetahuan, tidak ambil tindakan untuk tingkatkan diri atau bagi tindak balas memenuhi kemahuan emosi anak dengan alasan, asyik aku saja yang perlu jaga hati mereka," katanya.

Kesannya juga pelbagai antaranya, anak perempuan mula memusuhi ibu sendiri sedangkan ketika usia begitu, mereka sewajarnya diasuh untuk mempercayai ibu bapa lebih daripada orang lain.

Selain itu, Dr Harlina tidak menolak kemungkinan, kepercayaan untuk berkongsi cerita emosi ada kaitan dengan keperluan anak yang tidak dipenuhi sebaiknya sejak kecil.

"Dulu-dulu, remaja sentiasa gembira dikelilingi kawan-kawan. Tidak kira lelaki atau perempuan, tidak banyak kes bercinta monyet yang akhirnya memakan diri.

"Tapi sekarang, jiwa remaja sarat memikirkan penerimaan orang terhadap dia, rasa kendiri rendah dan ia ada kaitan dengan kehendak emosi yang tidak dipenuhi.

"Berbeza jika kita lihat anak remaja yang rapat dengan ibu bapa, mereka tetap ada kekurangan tapi tetap kelihatan yakin diri kerana tahu, ibu bapa menerima mereka seadanya," katanya.

Anak perempuan rapat dengan bapa

Namun, Allah tidak kurniakan rasa cinta secara polos begitu saja. Dia juga mencipta peraturan cinta demi menjaga kemurnian anugerah itu. Peraturan itulah yang kerap dilanggar oleh remaja.

Kata Dr Harlina, apabila remaja sudah mula asyik dengan cinta, ada yang akan mengambil kesempatan kerana pada usia masih mentah, mereka senang sekali diperdaya.

"Dalam konteks begini, anak perempuan sebaiknya rapat dengan bapa dan menjadikan kisah Rasulullah mendidik anak perempuan baginda sebagai contoh.

"Ia perlu ditiru oleh bapa untuk selamatkan masa depan anak kerana jika remaja bertukar menjadi liar, ia memang sukar untuk diubah," katanya.

Namun begitu, Dr Harlina juga mengakui, remaja dididik dengan kemahuan kognitif sewajarnya akan tahu erti tanggungjawab dan seterusnya menjaga batasan sewajarnya demi menjaga kesucian agama serta air muka keluarga.

INFO: Empat tahap mendidik anak mengikut sunnah Rasulullah SAW

Umur anak-anak 0 hingga 6 tahun.

Pada masa ini, Rasulullah SAW menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih sayang yang tidak terbatas.

Berikan mereka kasih sayang tanpa mengira anak sulung mahupun bongsu dengan bersikap adil terhadap setiap anak-anak. Tidak boleh dirotan sekiranya mereka melakukan kesalahan walaupun atas dasar untuk mendidik.

Kesannya, anak-anak akan lebih dekat dengan kita dan merasakan kita sebahagian masa membesar mereka yang boleh dianggap sebagai rakan dan rujukan yang terbaik.

Anak-anak merasa aman dalam meniti usia kecil mereka kerana mereka tahu yang anda (ibu bapa) selalu ada di sisi mereka setiap masa.

Umur anak-anak 7 hingga 14 tahun.

Pada tahap ini mulakan menanamkan nilai disiplin dan tanggungjawab kepada anak-anak.

Menurut hadis Abu Daud, "Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukul mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkan tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan).

Pukul itu pula bukanlah untuk menyeksa, cuma sekadar untuk menggerunkan mereka. Janganlah dipukul bahagian muka kerana muka adalah tempat penghormatan seseorang. Allah SWT mencipta sendiri muka Nabi Adam.

Kesannya, anak akan lebih bertanggungjawab pada setiap suruhan terutama dalam mendirikan solat. Inilah masa terbaik bagi kita dalam memprogramkan sahsiah dan akhlak anak mengikut acuan Islam.

Umur anak-anak 15 hingga 21 tahun.

Inilah fasa remaja yang penuh sikap memberontak. Pada tahap ini, ibu bapa seeloknya mendekati anak-anak dengan berkawan dengan mereka.

Banyakkan berbual dan berbincang dengan mereka tentang perkara yang mereka hadapi.

Bagi anak remaja perempuan, berkongsilah dengan mereka tentang kisah kedatangan 'haid' mereka dan perasaan mereka ketika itu. Jadilah pendengar yang setia kepada mereka.

Sekiranya tidak bersetuju dengan sebarang tindakan mereka, elakkan mengherdik atau memarahi mereka terutama di hadapan adik-beradik yang lain tetapi banyakkan pendekatan secara diplomasi walaupun kita adalah orang tua mereka.

Kesannya, tiada orang ketiga atau 'asing' akan hadir dalam hidup mereka sebagai tempat rujukan dan pendengar masalah mereka.

Mereka tidak akan terpengaruh untuk keluar rumah untuk mencari keseronokan memandangkan semua kebahagiaan dan keseronokan telah ada di rumah bersama keluarga.

Umur anak 21 tahun dan ke atas.

Fasa ini adalah masa ibu bapa untuk memberikan sepenuh kepercayaan kepada anak-anak dengan memberi kebebasan dalam membuat keputusan mereka sendiri.

Ibu bapa hanya perlu pantau, nasihatkan dengan diiringi doa supaya setiap hala tuju yang diambil mereka adalah betul.

Berbekalkan ilmu dan disiplin yang diasah sebelum ini cukup menjadi benteng diri buat mereka.

Ibu bapa jangan penat untuk menasihati mereka, kerana mengikut kajian, nasihat yang diucap sebanyak 200 kali terhadap anak mampu membentuk tingkah laku yang baik.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat