Harian Metro: Hati
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Hati |
Posted: 24 Jun 2013 06:02 AM PDT Zurinah Hassan penyair yang dikenali ramai. Penyair yang menghasilkan antologi sajak antaranya bertajuk Sesayup Jalan, Di Sini Tiada Perhentian, Keberangkatan dan Pujangga Tidak Bernama. Insan bergelar penyair ini memang istimewa. Istimewa kerana mereka memerhati, merenung dan mendalami. Dari situ segala rasa dicerna dan dizahirkan dengan kata-kata indah menjadi puisi. Penyair ada gaya penyampaian yang membezakan mereka daripada penyair yang lain. Gaya itu juga yang membuatkan keistimewaan puisi mereka terserlah dan melekat di hati apabila membacanya. Penulis dan Zurinah belum pernah berkenalan. Walaupun mungkin kami pernah berselisih di majlis karyawan seni, takdir menentukan baru kini kami dapat berbicara. ANTARA karya penyair ini. ZURINAH Hassan
Lantas penulis menerangkan, pada pertemuan itu mahu mengenalinya dengan lebih mendalam. Dari situ barulah menyingkap dunia seninya pula dan seterusnya berbicara mengenai Anugerah Sunthorn Phu yang bakal diterimanya pada 26 Jun. Tidak lama kejanggalan itu berlangsung kerana selepas beberapa ketika, Zurinah tampak selesa dan kami mula bersembang mengenai banyak perkara. Wanita kelahiran negeri Jelapang Padi ini mempunyai enam cucu yang dipanggil Tok Nah oleh cucunya. Pengalaman hidupnya tentu berwarna-warni dan memberi inspirasi. Perbualan kami menyingkap pengalaman kerjayanya ketika di Kementerian Penerangan. Selama 16 tahun dia di situ, akhirnya berhenti kerana jemu dengan rutin hariannya ketika itu. Dengan kesesakan lalu lintas yang perlu diharungi saban hari dan pada masa sama menghadapi kesukaran mencari masa untuk menulis. Setelah itu rutinnya menjadi lebih bebas. Namun, dua tahun kebelakangan ini, Zurinah kembali ke dunia kerjaya sebagai Karyawan Tamu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Segalanya demi menyuntik pembaharuan dalam perjalanan hidupnya sebagai insan seni. "Dulu ketika anak masih kecil bukan mudah mencari masa untuk menulis. Menjadi ibu dan menjaga anak bukan boleh dibuat jadual. Banyak yang tidak dijangka. Apabila mereka sakit atau cedera, perkara itu membuatkan segala perancangan tergendala," cerita Zurinah, 64, menyingkap tugas hakikinya sebagai isteri dan ibu. Memang benar, dunia penulisan bagi wanita bergelar isteri dan ibu tidak semudah lelaki. Lelaki boleh saja memperuntukkan waktu untuk menulis tanpa diganggu cerita rumah tangga. Lelaki tidak akan dipersalahkan dan tampak manis saja kerana mereka lelaki. Wanita pula sebaliknya. Wanita perlu menjadi 'superwoman'. "Pada zaman kerjaya dulu saya menggunakan waktu di dalam kenderaan awam ketika pergi dan balik bekerja sebagai kesempatan untuk berfikir dan mencatat sesebuah penghasilan karya," katanya. Sebenarnya memang ramai penulis hebat seperti Zurinah yang membina idea penulisan mereka di dalam kenderaan awam. Sekarang mungkin semuanya mudah bagi menyenangkan lagi tugas sebagai penulis dengan adanya begitu banyak teknologi yang membantu. "Tahun 60-an dulu bukan ada komputer. Mesin taip pun susah hendak cari. Semuanya perlu ditulis tangan," kongsi Zurinah mengenai zaman sukarnya pada awal dia memulakan langkah. Kenangan zaman lalu di Kedah pasti masih ada di hati Zurinah, tetapi lazimnya bagi manusia biasa, apabila kita sudah bermastautin lama di sesuatu tempat, berkeluarga dan melalui kenangan baru yang tersendiri, Shah Alam sudah umpama kampung Zurinah kini. Ibu bapanya pun sudah tiada. Sama seperti penulis lain, Zurinah bersetuju, karyanya adalah sesuatu yang dekat dengan dirinya. "Karya ditulis atau diluahkan apabila ada sesuatu mengganggu perasaan. Walaupun waktu itu saya menulis mengenai Hang Tuah misalnya, kaitannya masih kena mengena dengan diri saya sendiri," katanya. Insan seni biasanya nampak sesuatu dari sudut yang lain, sekali gus menjadikan tulisan mereka istimewa. Mereka mungkin membangkit sesuatu isu, tetapi ia disentuh dari sudut yang kreatif. "Bagaimana bermula mendapat sentuhan untuk menulis itu? Mungkin sedang menonton televisyen, mungkin juga sedang melihat alam. Dari situ kita terfikir sesuatu lantas menulisnya. Jadi ia memang ada kaitan mengenai diri," katanya. Anak-anak Zurinah semuanya dekat dengan seni sama ada penulisan atau muzik terutama anak sulung, Raihani yang sangat mengikut jejaknya. "Saya ada membaca tulisannya seperti cerpen dan saya dapati hasilnya sangat bagus," kata Zurinah mengenai anak sulungnya, Siti Raihani Mohamed Saaid. Bangga seorang ibu terhadap anaknya sangat bermakna. Ia pengiktirafan yang sangat menyentuh hati. Raihani, lulusan ijazah sarjana muda sastera turut menulis puisi, skrip drama dan novel remaja. Puteri kedua Zurinah, Ainul Huda pula menjawat jawatan sebagai pegawai berita di Bernama, seterusnya Muhammad Taufiq sebagai pegawai di Lembaga Zakat Selangor yang turut boleh bermain gitar dan percussion. Anak keempat, Muhammad Faiz yang kini melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah, boleh bermain gitar, harmonika, keyboard dan biola. Anak bongsu pula, Aina Mastura, yang boleh bermain gitar kini masih menuntut di Universiti Teknologi Mara. Tahun ini, kehebatan Zurinah semakin menjadi sebutan apabila dia menerima Anugerah Sunthorn Phu yang diumumkan oleh Menteri Kebudayaan Thailand, Sonthaya Kunplome. Turut menerima anugerah sama ialah penerima dari Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Vietnam dan Thailand sendiri. Setiap negara Asean memilih penyair masing-masing bagi anugerah itu dan Malaysia memilih Zurinah Hassan. Jawatankuasa Pemilihan Malaysia untuk anugerah berkenaan diketuai Rektor Aswara, Prof Dr Hatta Azad Khan. Anugerah ini diwujudkan oleh Kementerian Kebudayaan Thailand yang mengabadikan nama penyair istana terkenal, Phra Sunthorn Vohara dalam era Rattanakosin yang dilahirkan pada 1786 dan meninggal dunia pada 1855. "Ini anugerah baru yang dicipta khas untuk penyair. Sebuah anugerah daripada pihak luar Malaysia. Saya antara penerima pertama anugerah ini mewakili Malaysia dan ia sememangnya satu sejarah. Sejarah bagi Malaysia dan sejarah bagi anugerah itu sendiri. Tentu saja rasa teruja sangat mendalam di hati saya," katanya. Sejarah yang manis bukan hanya buat Zurinah, tetapi wajarnya menjadi manis buat kita semua. Zurinah sangat menghargai anugerah ini kerana melihat pengiktirafan dari pihak luar terhadap penyair. "Pihak luar memperlihatkan kesungguhan mereka untuk menghargai insan seni dan mengambil berat mengenai sastera. Saya teruja dan gembira kerana usaha menghargai sasterawan ini," katanya. Masa sembang kami mungkin tidak begitu lama kerana kami baru pertama kali berkenalan. Namun, sembang bersama Zurinah bertambah relaks dan santai selepas kami sama-sama mencicah mangga dan sengkuang dengan kuah rojak yang dihidangkan sebagai menjamu kedatangan kami. "Acara puisi di negara lain sangat berlainan seperti yang biasa dilakukan di negara kita. Di luar negara, biasanya ia membabitkan keseluruhan penyair dan sekiranya ada tambahan hiburan pun sedikit saja. Di negara kita, tiga perempat acara puisi didominasi hiburan," katanya. Kita ada begitu ramai penyair hebat yang sudah cukup bagi meramai dan memeriahkan majlis. Majlis penyair sepatutnya memperkenalkan penyair yang mendeklamasikan puisi masing-masing, bukannya menjadikan mereka sebagai tempelan. Sebelum berpisah, Zurinah memberitahu sedang berusaha menyiapkan buku antologi puisi terbarunya dan dia sudah mula mengumpul puisi baru. Semoga Zurinah berjaya mencapai misinya. Tahniah Zurinah Hassan. PROFIL: Nama: Dr Zurinah Hassan Bentuk penulisan: Sajak, cerpen, novel dan rencana Antara anugerah: Pujangga Tidak Bernama, Hadiah Sastera Perdana(1994/1995) Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi, Hadiah Buku Perpustakaan Negara (2002/2004) Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi , Hadiah Sastera Perdana 2002/2003. Antara karya: (antologi cerpen) (antologi sajak) Puisi Melayu Tradisional (kajian puisi tradisional), Pekan Ilmu Publication , 2012 |
Posted: 24 Jun 2013 05:47 AM PDT Sebelum ini, dia jarang ke dapur untuk memasak juadah harian, apatah lagi menyediakan pemanis mulut. Bagaimanapun, segalanya berubah apabila tahun lalu dia bertindak berani berhenti kerja sebagai arkitek landskap untuk bergelar usahawan sepenuh masa di rumah.
Menjadikan dapur sebagai pejabat barunya, dia memilih untuk menjual coklat buatan tangan yang indah digubah dalam pelbagai bentuk cenderahati sempena majlis keraian, hari lahir, hantaran pertunangan dan pernikahan. Nor Asyikin Abdul Malek, 31, mengakui tidak timbul perasaan menyesal dalam kamus hidupnya apabila memilih jalan ini untuk membantu menambah pendapatan keluarga.
"Minat terhadap bidang perniagaan sudah tertanam di dalam diri sejak kecil, namun atas beberapa faktor saya memilih untuk makan gaji terlebih dulu. "Saya tidak menyesal sebaliknya berasa teruja dan yakin dengan keputusan ini kerana ia mampu mengubah masa depan ke arah lebih baik secara perlahan-lahan," katanya. Bagi Nor Asyikin, menjalankan perniagaan berasaskan coklat ini ibarat menghasilkan lukisan menarik yang tiada batasan kreativiti lalu membolehkannya berkarya mengikut kehendak hati. Selepas agak lama menjalankan perniagaan ini menerusi dalam talian, www.facebook.com/Mylovecokelat dan mylovecokelat.blogspot.com, dia melihat ia mempunyai prospek yang tinggi untuk diperluaskan. Apa yang perlu dilakukan adalah mengolah setiap produk yang dihasilkan menjadi lebih menarik dan menepati kehendak pelanggan. Namun, semua itu harus dilakukan dengan jujur dan ikhlas berbekalkan usaha keras. Suaminya, Arief Redzuan Ahmad dan ahli keluarga adalah penyokong di sebalik kejayaannya apabila selalu memberikan kata-kata semangat dan dorongan. "Sejak hari pertama menimba ilmu membuat coklat ini, suami sanggup menemani saya ke Kuala Lumpur untuk menghadiri kelas membuat coklat. "Pada saya, dengan keizinan suami saya mempunyai kekuatan yang kuat untuk meneruskan perniagaan ini. Jika ada kelapangan, keluarga terutama ibu saya sendiri turut membantu dalam menyiapkan tempahan. "Dari situ, saya yakin saya mendapat restu daripada semua pihak dan mudah-mudahan semuanya dipermudahkan," kata ibu kepada Sofea Inara, 6, Adam Irhami, 3, dan Luqman Ikrami, berusia setahun ini. Anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini menjelaskan, tidak pernah terdetik di fikirannya untuk menjadikan produk makanan sebagai asas perniagaan. Dengan hasrat ingin menjalankan perniagaan, dia hanya mencari maklumat di Internet. Nasibnya bertuah apabila dipertemukan dengan seorang tenaga pengajar yang juga ibu muda yang mahir menghasilkan coklat buatan tangan. Setiap coklat yang dibuat dihasilkan dengan penuh berhati-hati dan teliti untuk dijadikan contoh. Bermula daripada contoh coklat yang dibawa pulang dan dipaparkan di laman sosial, perniagaannya bermula hingga ke hari ini. "Saya yakin usaha dari bawah mampu membuatkan kita berada di atas jika dilakukan dengan baik. Pada masa depan, saya akan mempelbagaikan perkhidmatan saya seiring dengan kehendak semasa. "Saya banyak menerima tempahan daripada syarikat korporat dan persendirian. Kebanyakan pelanggan saya datang dari Perak, Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang," katanya yang turut menerima tempahan sempena Ramadan dan Syawal. Harapan Nor Asyikin, coklat buatan tangannya boleh melangkah ke peringkat lebih tinggi seperti dipasarkan ke luar negara. Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/24 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Hati To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |