Harian Metro: Hati
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Hati |
Posted: 25 Jun 2013 05:54 AM PDT Lenggok badannya dipersembahkan mengikut dendangan irama rancak. Ditambah dengan wajah comel dan masih cilik, tentunya gelagat penari kanak-kanak itu mencuri perhatian sesiapa saja yang menyaksikan persembahan mereka. Begitulah juga tatkala penulis diberi peluang melihat sendiri aksi penari cilik ini ketika berlatih di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Walaupun ketika itu sudah menunjukkan jam 9 malam, mereka masih bertenaga dan bersemangat untuk berlatih menari dengan wajah gembira. Di bawah satu nama, Artis Cilik Setiawangsa (Arcisa) menghimpunkan kanak-kanak yang mempunyai minat mendalam dan berbakat dalam dunia tarian. PENARI cilik menunjukkan bakat masing-masing.
"Untuk menjadikan otak lebih banyak berfikir dan digunakan dengan betul, aktiviti tarian antara cara yang baik. "Mereka banyak belajar mendengar, mengingat, melihat dan bekerja dalam kumpulan. Berbanding menghabiskan masa dengan bermain, ia ternyata satu kelebihan yang tidak diperoleh kanak-kanak sebaya lain," katanya. Tujuannya mengajar tarian kepada kanak-kanak perempuan juga mahu menjadikan mereka lebih bersikap sopan, lembut, berdisiplin dan matang. Baginya, bukan semua kanak-kanak mempunyai minat sama terhadap tarian. Justeru, Cikgu Nazri lebih gemar menggunakan teknik psikologi ketika mengajar tarian supaya mereka selesa dan tidak mudah bosan untuk mengasah bakat masing-masing. Mempunyai 27 penari cilik berusia antara lima hingga 12 tahun dan banyak membuat persembahan tarian di majlis perkahwinan mahupun korporat, Cikgu Nazri tidak pernah berasa susah mengajar mereka berbanding orang dewasa kerana kebanyakannya mendengar kata. "Saya banyak menggunakan rentak yang rancak sama ada tarian tradisional, Bollywood, Arab, Korea dan 60-an bagi menarik minat mereka. "Saya tidak mahu pengetahuan yang ada dibiarkan begitu saja. Saya mahu berkongsi pengalaman dan langkah tarian yang menyeronokkan kepada generasi ini sejak mereka masih muda lagi," katanya yang pernah menjadi penari Kumpulan Angkatan Seni Alor Setar (ASAS) dan Artis-Artis Negeri Kedah (ANIKA) ketika zaman mudanya. Bawa banyak perubahan Ibu penari cilik, Julaiqha Natasya Nazrul Hishan, 11, dan Julaiqha Nur Natrisha, 8, mengakui gembira apabila kedua-dua anaknya didaftarkan di kelas Cikgu Nazri. Malah Juriah Mohamed, 31, melihat banyak perubahan bukan saja kepada sikap anaknya, malah prestasi pelajaran mereka di sekolah juga semakin meningkat. Ia bermula daripada minat yang ditunjukkan anak sulungnya, Natasya sejak usianya tujuh tahun. Ketika itu, anaknya tidak terpilih memasuki kelab tarian di sekolahnya. "Apabila pulang dari sekolah, dia beritahu saya mengenainya dan terus menangis. Dari situ baru saya dapat kenal pasti minatnya yang lebih terarah kepada seni tarian. "Kemudian, ketika anak berusia sembilan tahun saya mendapat tahu mengenai kelas tarian ini. Selepas melihat sendiri kanak-kanak ini berlatih tarian, hati saya terdetik untuk membenarkan anak belajar menari. "Selepas setahun belajar menari, barulah anak saya sekali lagi memilih kelab tarian di sekolahnya dan akhirnya dia terpilih," jelasnya. Tambahnya, anak sulungnya itu mula aktif dengan menyertai pertandingan tarian di Thailand pada 2012 bagi mewakili sekolahnya dan memenangi tempat kedua. Tidak berhenti di situ, Natasya sekali lagi membuktikan minat dan bakatnya dengan menyertai pertandingan tarian pada awal 2013 di Cameron Highlands dan berjaya menyandang naib juara. Lebih menarik, dia kini menunggu masa untuk terbang ke Thailand sekali lagi bagi menyertai pertandingan sama bersama rakan kelab tarian di sekolahnya. "Apabila si adik melihat kejayaan kakaknya membuat persembahan tarian, dia turut meminati bidang yang sama. "Jika anak minat, saya beri sokongan dan menggalakkan mereka menari kerana dapat melihat kegembiraan di wajah masing-masing. "Bagi saya tidak salah untuk mereka belajar menari kerana bidang seni dan muzik juga penting bagi menggalakkan minda anak berkembang dan menjadikan mereka lebih berani apabila berhadapan dengan orang ramai," katanya. Jelasnya, pendedahan awal sebegini perlu bagi mengenal pasti minat dan bakat sebenar anak sejak kecil. Apa saja pilihan si kecil, dia akan memberi sokongan sama ada anaknya akan meneruskan minatnya dalam bidang seni atau memilih bidang lain, sesuai dengan bakat masing-masing. Baginya, mendedahkan dua orang anaknya dalam bidang tarian tradisional memberi kelebihan kepada diri mereka pada masa depan kerana melihat bidang berkenaan yang mempunyai prospek yang baik. "Tarian tradisional harus dipelihara malah bagi saya, ia perlu disemai dalam diri anak kecil sejak awal lagi. "Selain tarian, saya juga menghantar mereka ke kelas muzik seperti biola dan piano bagi membolehkan mereka mencuba pelbagai bidang seni dan mengutip pengalaman," katanya. Sementara itu, Murni Musa, 32, turut mempunyai alasan sendiri yang menyebabkan dia mengambil keputusan menghantar tiga anaknya menyertai kelas tarian berkenaan. Ia bermula pada cuti sekolah 2010 bagi memenuhi masa terluang anaknya dengan aktiviti berfaedah daripada menghabiskan waktu dengan bermain saja. Menyedari minat masing-masing, dia mengambil keputusan untuk menghantar tiga anaknya, Nur Adeela Batrisiya Muhamad Bahar, 8; Nur Ameera Batrisyia, 9, dan Nur Aleeya Batrisyia, 11, ke kelas tarian. "Saya mencari aktiviti yang sesuai dengan minat anak-anak, kemudian saya lihat di Internet dan mendapatkan maklumat mengenai kelas tarian ini. "Kelas yang diadakan setiap Jumaat bermula jam 8.30 malam hingga 10.30 malam itu saya rasakan tidak menjejaskan prestasi pelajaran dan tumpuan mereka di sekolah. "Malah pada hujung minggu sama ada Sabtu atau Ahad, kadangkala mereka membuat persembahan tarian. Saya lihat anak-anak tidak berasa tertekan dan mereka boleh berusaha sendiri untuk memastikan pelajaran tidak terjejas," katanya. Dia juga dapat melihat banyak perubahan sikap anaknya misalnya mereka lebih berdisiplin selepas menyertai kelas tarian berkenaan. Dalam bidang pelajaran pula, Murni pernah mengingatkan anak-anaknya dia tidak teragak-agak memberhentikan mereka daripada kelas tarian jika mereka tidak mampu menumpukan perhatian terhadap pelajaran di sekolah. Tidak mahu minat terhalang, anak-anak Murni sentiasa berusaha bagi memastikan pelajaran mereka sama meningkat dengan perkembangan tarian mereka. "Biasanya, saya menghantar anak-anak ke kelas tarian dan kadangkala melihat sejauh mana perkembangan mereka. Saya tidak pernah paksa mereka untuk melakukan aktiviti yang digemari malah memberi peluang kepada mereka untuk memilih. "Jika mereka serius untuk meneruskan minat dalam bidang tarian, tidak menjadi masalah pada saya kerana itu minat mereka. "Bagi saya, hobi ini merangsang minda anak untuk lebih berdisiplin, matang dan sopan walaupun di luar kelas. Malah, apabila mereka biasa membuat persembahan tarian di depan orang ramai, ini sekali gus akan memperbaiki kemahiran berkomunikasi dan lebih penting membantu meningkatkan keyakinan diri," katanya. Jelasnya, jika dulu anaknya mungkin pemalu, namun sejak menjadi penari, mereka lebih berani dan mempunyai keyakinan diri. Sentiasa aktif, tetap cemerlang Ramlah Osman, 50, begitu mengambil berat setiap aktiviti diminati anak perempuannya yang berusia sembilan tahun. Puteri tunggalnya itu mula menyertai kelas tarian berkenaan sejak berusia lima tahun. Intan Nurul Alissa Ibrahim dimasukkan ke dalam kelas tarian itu kerana Ramlah melihat dia seolah-olah keliru dan mencari sesuatu aktiviti yang digemarinya. Bagi membantu anaknya itu, Ramlah mengambil keputusan menghantarnya ke kelas tarian. Apabila dia menyedari anaknya semakin cergas selepas mengikuti kelas berkenaan, dia berasa tidak sia-sia menghantar anaknya belajar menari. "Pelajaran anak memang tidak pernah merudum sejak dulu lagi. Malah, prestasinya kekal baik walaupun sibuk dengan kelas dan persembahan tarian pada hujung minggu. "Fikirannya juga lebih matang berbanding rakan sebayanya yang lain dan tahu memilih perkara yang buruk atau baik sebelum membuat keputusan. "Berbanding kanak-kanak lain, anak saya lebih suka memilih buku dan bermain permainan menguji kecerdasan jika ada masa terluang," katanya. Sebagai ibu, pastinya ia begitu menggembirakan, apatah lagi guru di sekolah juga kerap memuji sikap anaknya yang rajin membantu selain berdisiplin. Tambahnya, bukan itu saja malah sikap anaknya yang lebih berani dan yakin membuatkan dia sering dipilih menyertai pertandingan bercerita di sekolah. Bagi Ramlah, tiada lain yang diinginkan melainkan anaknya itu mempunyai masa depan yang cerah. Pendedahan awal yang dilakukan dalam bidang tarian dengan harapan supaya pemikiran dan masa depan anak lebih berkembang pantas. Ia juga bagi memastikan anaknya itu terdedah dengan keadaan atau perkara yang berlaku di sekelilingnya supaya tidak berasa takut dan lebih berani untuk mencapai impian. Selain itu, dia juga mahukan anaknya itu mempunyai sikap berdikari menerusi pendedahan seperti itu sejak kecil lagi. Walaupun sibuk dengan tarian, apa yang membanggakan Ramlah, setiap tahun pasti anaknya akan menghadiahkan dirinya dengan anugerah cemerlang prestasi terbaik di sekolahnya. Menerusi galakan Ramlah terhadap anaknya untuk melakukan aktiviti lain seperti mewarna dan berenang selain menari, ia memberi peluang kepada diri si kecil menikmati keseronokan dalam hidup di samping mengurangkan tekanan selepas waktu persekolahan setiap hari. Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25 |
Posted: 25 Jun 2013 05:45 AM PDT Biarpun gaya hidup semakin moden, sirih junjung masih tidak dilupakan sebagai gubahan hantaran pelengkap bagi majlis pertunangan mahupun perkahwinan. Konsep ketinggian gubahan sirih junjung tidak lagi diambil kira, namun kehadirannya masih diutamakan sebagai simbol dan adat pada majlis meraikan bakal mempelai. Ini turut dipersetujui penggubah bunga dan hantaran perkahwinan June Florist, Roshafizah Shalan. Baginya, kebanyakan bakal pengantin hari ini tidak lagi mementingkan aspek tinggi atau rendah gubahan sirih junjung. "Asalkan ia tetap segar apabila sampai ke rumah pasangan mereka, itu sudah mencukupi. Justeru, jika mereka ingin menempah gubahan sirih junjung yang menggunakan bunga hidup, faktor jarak memang penting. SEDIAKAN daun sirih, bunga kekwa dan mawar merah, daun puding, lidi, pembalut warna hijau dan span basah. GUNAKAN belakang daun sirih dan gulung pada lidi. Kemudian ikat menggunakan pembalut warna hijau. CUCUK daun sirih dengan bahagian tengah lebih tinggi. AMBIL bunga mawar merah dan cucuk di celahan daun sirih. GUNAKAN bunga kekwa putih bersaiz kecil bagi menutup bahagian span yang terdedah. DAUN puding digunakan pada bahagian bawah gubahan sirih junjung untuk tampak lebih semula jadi. GUBAHAN sirih junjung ringkas sedia dihadiahkan kepada pihak lelaki atau perempuan. ROSHAFIZAH bersama gubahan hantaran perkahwinan dihasilkannya.
Jika mahukan bunga segar dalam tempoh lebih lama, gunakan lidi sebagai pengganti bahagian batang bunga kerana ia mudah rosak apabila terlalu lama terdedah dalam air. Bukan itu saja, pemilihan warna bunga juga tidak boleh melebihi daripada tiga warna (tidak termasuk putih) bagi memberi keseimbangan kepada gubahan dan mengelakkan gubahan tampak sarat. Roshafizah yang menerima tempahan gubahan bunga dan hantaran perkahwinan mula membuka perniagaan sejak akhir 2011. Minatnya dalam gubahan dipupuk sejak kecil apabila dia selalu menghabiskan masa menolong kakaknya yang juga menjalankan perniagaan membabitkan bunga selepas habis waktu sekolah. Menerusi kemahiran dipelajari daripada penggubah berpengalaman, akhirnya dia mampu membuka perniagaan sendiri. Bagi mereka yang ingin menghasilkan gubahan sirih junjung yang ringkas dan kemas, ikuti langkah mudah ditunjukkan Roshafizah. Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/25 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Hati To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |