{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Harian Metro: Hati

Posted by Tanpa Nama

Harian Metro: Hati


Catat impian, harapan atas kertas

Posted: 26 Jun 2013 05:36 AM PDT

Wanita yang duduk di hadapan penulis bukan calang-calang orang. Mendengar kisah suka dan duka bergelar usahawan, sememangnya dia seorang yang tabah dan kuat semangat.

Pernah jatuh kemudian dia bangkit semula, kegagalan dalam perniagaan menjadi perkara biasa kerana bagi Ketua Pegawai Eksekutif Gaia Plas dan Gagasan Group of Companies, Rina Shahar, untuk berjaya seseorang itu harus berdepan cabaran.

Kemampuan untuk menghadapi apa juga rinta­ngan menjadi penentu kepada kejayaan.

Dilahirkan dalam keluarga sederhana dengan ayah bekerja sebagai pemandu jentera tolak, memberi inspirasi kepada Rina untuk mengubah nasib keluarga.

Foto

RINA bersama kakitangan syarikat Gaia Plas Sdn Bhd.


Dia berusaha mencari wang dengan berniaga kerepek dan nasi lemak di sekolah. Duit itu kemudiannya digunakan untuk perbelanjaan sekolah.


Tidak terhenti setakat itu, apabila ada masa terluang terutama ketika cuti sekolah, dia mencari kerja ­sambilan.

Tidak seperti remaja lain yang bercita-cita melanjut­kan pengajian di universiti, Rina mempunyai persepsi berbeza. Dengan hanya berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia percaya pada kebolehan diri dan yakin suatu hari nanti mampu membina empayar perniagaan.

"Memang niat saya mencari kerja selepas SPM kerana ingin membantu keluarga. Akhirnya saya diterima bekerja di syarikat perbankan. Walaupun menerima gaji bulanan, saya masih meneruskan kerja sambilan.

"Ketika itu, saya perhatikan ramai orang Cina menjual tayar dan besi buruk, tiada pula orang Melayu melakukannya. Saya mula terfikir inilah perniagaan yang akan saya lakukan. Biar pun ia kotor dan busuk kerana terpaksa mengangkat besi dan tayar buruk, saya sukakannya," katanya.

Berbekalkan sebuah van yang disewa, dia memulakan operasi pada Sabtu dan Ahad untuk mencari tayar terbuang terutama di kilang dan kawasan perumahan. Dia langsung tidak menyangka pekerjaan yang tidak pernah difikirkan itu memberikan hasil lumayan melebihi gaji bulanan.

"Bayangkan untuk 100 kilogram tayar pada bahagian tiub yang dikumpul, saya mampu mendapat ratusan ringgit sehari. Ia tentunya satu pendapatan yang tidak pernah dijangka," ujarnya.

Menyedari hasil yang semakin bertambah, akhirnya Rina berhenti kerja dan menubuhkan syarikat sendiri. Dari situ, dia mula belajar berurusan dengan syarikat besar untuk mendapatkan kontrak pembelian kabel. Untungnya, disebabkan tidak banyak syarikat Bumiputera menjalankan perniagaan ini, dia sentiasa mendapat kontrak.

"Ketika itu, perniagaan besi buruk dan kabel elek­trik mendatangkan hasil yang sangat lumayan. Saya sendiri tidak pernah terfikir mampu pergi sejauh itu membuka syarikat dan kilang pemprosesan besi buruk dan kabel elektrik sehingga mampu bergelar jutawan pada usia 22 tahun," ujarnya.

Menyedari terdapat sesuatu yang boleh dikembang­kan menerusi perniagaan besi dan tayar, Rina memperluaskannya kepada perusahaan plastik pada 2006 menerusi penghasilan botol ubat untuk hospital kerajaan. Ketika itu tidak ramai usahawan Bumiputera melakukannya dan ini memberi peluang kepada Rina mendapat kepercayaan daripada pihak kerajaan sehingga dia menambah kepada pembuatan botol minyak masak serta bahan kimia.

Namun benar kata pepatah, langit tidak selalunya cerah, mungkin ada silapnya, perniagaan yang dijalankan mula me­ngalami kerugian sehingga me­nyebabkan dua kilang terpaksa ditutup.

"Siapa yang tidak kecewa apabila hasil usaha selama ini terkubur begitu saja. Apatah lagi ketika itu saya gagal mempertahankan rumah tangga sehingga terpaksa berpisah dengan suami. Bagi mengubat kedukaan, saya melarikan diri ke Mesir dengan harapan mendapat ketenangan. Namun, sebaliknya berlaku apabila hati saya tidak pernah tenteram. Perasaan begitu kuat untuk kembali ke Malaysia," katanya.

Buka semula perniagaan

Sekembalinya ke Malaysia, dia yang pernah bergelar usahawan berjaya suatu ketika dulu ingin membuka semula perniagaan. Walaupun dihambat rasa takut pada kegagalan, Rina berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki kesilapan lalu.

"Perkara pertama yang saya lakukan adalah me­ngikuti program motivasi. Dari situ, saya memperoleh apa yang tidak pernah saya lakukan dan utamakan iaitu menjaga hubungan dengan Allah. Saya mula mengenali kekuatan dan kelemahan diri serta berusaha memperbaikinya.

"Dulu saya lupa, dalam perniagaan bukan hanya keuntungan semata-mata, tetapi menjaga hubungan dengan Allah adalah tanggungjawab paling besar dan utama. Saya mula mengeluarkan zakat perniagaan kerana ia hak Allah. Lama-kelamaan perniagaan saya semakin maju dan memperoleh keuntungan berganda," katanya.

Usaha Rina bukan setakat di situ saja, dia juga menubuhkan Gagasan Event bagi menjalankan program amal untuk anak yatim serta mereka yang memerlukan, selain menambah pembelian kenderaan jenazah untuk diberikan kepada kawasan tertentu.

Enggan berada di tahap lama dan sentiasa kreatif dalam mempelbagaikan hasil jualan, Rina tekad mencari cabang perniagaan yang jarang dilakukan peniaga Melayu. Menyedari anak­nya gemar rancangan kartun Boboiboy, dia berusaha mendapat lesen dan kelulusan me­ngeluarkan produk Boboiboy seperti anak patung, topi, alat tulis dan bekas air.

"Sebelum menghasilkan koleksi rangkaian anak patung Boboiboy, saya mendapatkan penjelasan daripada jabatan agama Islam mengenai status halal atau haram menyimpan anak patung di rumah.

"Saya difahamkan anak patung yang bersifat statik dan kekal dalam keadaan rupa bentuk asal haram disimpan. Jadi menerusi rekaan, saya cuba tampilkan anak patung yang boleh ditanggalkan dan dicantum semula bagi mengelak sebarang salah faham pada kemudian hari," katanya.

Menjadikan perjalanan kerjaya wanita ini lebih lancar, Petronas berminat melamar produk Boboiboy untuk diletakkan di hampir 800 Kedai Mesra Petronas di seluruh negara. Malah, ia turut dipasarkan di luar negara termasuk Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura, Brunei dan Dubai.

Dengan menempuh pelbagai cabaran, jatuh bangun dalam perniagaan, Rina percaya selain kekuatan diri, menjaga hubungan dengan Tuhan serta menghasilkan produk untuk masyarakat adalah satu perkara yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan di penghujungnya.

Selain itu, ­banyak bersedekah dan membantu mereka yang memerlukan sememangnya penting bagi mendapat keberkatan.

"Apa yang saya lalui dulu dan kini semuanya ditentukan oleh-Nya. Kita hanya merancang, tetapi perencana terbaik adalah Allah. Dia yang memberi rezeki dan bila-bila masa saja dia mampu menarik kembali apa saja yang menjadi milik kita. Oleh itu, kita harus sentiasa beringat," katanya.

Rina yang dicalonkan untuk anugerah SME Terbaik Asia 2013 di Singapura, baru-baru ini turut berkongsi rahsia kejayaan iaitu amalan menulis surat sejak 15 tahun lalu sehing­ga sekarang. Ini dilakukan dengan mencatat di atas sekeping kertas apa saja yang tersirat juga impian, harapan dan cita-cita pada setiap tahun.

"Saya menulis cita-cita dan impian pada setiap tahun dengan lebih spesifik kerana saya percaya apa yang saya fikir, harap, rasa dan sebut pada setiap hari adalah satu doa. Bayangkan sekiranya harapan ini sentiasa tersemat di hati, tidak mustahil ia akan menjadi satu kenyataan suatu hari nanti.

"Memang benar setiap kali membaca kembali surat itu saya merasakan ia bagaikan satu mimpi. Apa saja yang saya harapkan dan catatkan semuanya menjadi kenyataan, malah ia menjadi semangat kepada saya memberikan yang terbaik dalam apa juga yang saya lakukan pada masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/26

Hias kuku di jalanan

Posted: 26 Jun 2013 05:30 AM PDT

Secara logiknya, kita akan memilih salun yang cantik dan selesa untuk merias kuku tangan mahupun kaki, tetapi di Nigeria, perkhidmatan ini boleh dilihat di mana-mana terutama di tepi jalan bandar besar.

Perkhidmatan merias kuku di tepi jalan seolah-olah menjadi lambang kepada bandar Lagos. Inilah gaya hidup warga kota besar yang mempunyai kira-kira 15 juta penduduk mendapatkan rawatan merias kuku sebahagian daripada perkhidmatan menghias diri peribadi yang biasa di sini.

Biasanya penghantaran sut baju yang ditempah ke rumah atau pejabat hanya untuk golongan berada, tetapi di Lagos, sebahagian besar penduduk daripada kelas pertengahan juga mendapatkan perkhidmatan sama daripada tukang jahit mereka.

Jika di kebanyakan negara mendapatkan perkhidmatan merias kuku di mana kaki akan direndam, dicuci, kuku dipotong rapi dan disapu losen pelembap dianggap satu kemewahan, namun di Lagos, ia untuk semua orang daripada setiap latar belakang, kata Bashir Haruna, 52, yang kadangkala turut mengambil peluang memperlihatkan kemahirannya di luar Kelab Polo bagi menambah pendapatan.

Foto

SEBAHAGIAN daripada perias kuku jalanan tekun memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Foto

INDUSTRI penjagaan kuku tidak formal dikuasai penduduk dari Nigeria utara.


Ketika waktu puncak, Haruna duduk di tempat kerjanya di tepi jalan berdebu di tengah pusat komersial. Bau busuk sampah menemani pelanggannya ketika dia membersihkan kuku kaki dan tangan mereka.


"Minyak India akan membuatkan kuku anda lembut," kata Haruna ketika rakan perias kuku, Mustapha Abdulrahaman menyapukan losen ke kakinya.

Sapuan losen atau minyak itu adalah sebahagian daripada rawatan yang harganya cuma 0.24 euro atau RM1.20.

Sektor penjagaan kuku tidak formal di Lagos dikuasai warga Nigeria dari utara yang kebanyakannya terdiri daripada etnik Hausa dan beragama Islam seperti Mustapha.

Bahagian utara Nigeria diselubungi kemiskinan dan dianggap sebagai kelompok penduduk yang sangat teruk oleh penganut Kristian di bahagian selatan. Keadaan semakin buruk apabila timbul rusuhan yang diketuai kumpulan Boko Haram yang mengorbankan beratus-ratus nyawa sejak 2009. Ia secara tidak langsung menyekat perkembangan ekonomi di Nigeria.

Mustapha, 30, menceritakan bagaimana dia mengembara ke seluruh Nigeria, negara di Afrika yang paling padat penduduknya selama 12 tahun bersama-sama beberapa pengetip kuku yang dibungkus dalam sapu tangan dan mengunjungi kediaman pelanggan tetapnya.

"Saya tidak menetap di satu-satu tempat. Di tempat sekarang pun saya tidak duduk di satu tempat khas, sebaliknya berjalan mencari pelanggan. Orang yang kenal akan memanggil saya untuk memotong kuku mereka," kata Mustapha dalam dialek Hausa.

Merantau cari rezeki

Perkhidmatan yang ditawarkan Mustapha dengan pengalaman berpuluh-puluh tahun tentu tidak sama dengan pendatang baru dalam industri ini, Kabiru Garba, 16.

Dia berasal dari negeri Katsina, juga terletak di utara Nigeria. Pada usia semuda itu, sejak tahun lalu Garba mula merantau ke Lagos sendirian tanpa keluarga.

Dia menyewa sebuah katil di tanah besar yang menjadi tempat tinggal sebahagian besar warga kota Lagos, menggunakan perkhidmatan bas setiap pagi untuk ke Pulau Ikoyi dan memulakan kerjanya.

Sambil berjalan dia akan mengetuk dua keping besi, bunyinya cukup kuat untuk didengari pelanggan sebagai pemberitahuan kehadirannya.

Antara pelanggan tetapnya ialah pemandu teksi persendirian yang meletakkan kereta mereka di luar kawasan bangunan pejabat dan pekerja jeti di Kelab Perahu Lagos, di mana keahlian untuk kelab ini hanya dikhususkan kepada golongan mewah.

Menurut Mustapha, dia biasanya melakukan 35 rawatan merias kuku tangan dan kaki setiap hari. Garba pula mengakui hanya mempunyai 16 pelanggan sehari yang membolehkannya memperoleh kira-kira RM12.80 selepas seharian bekerja dalam cuaca yang kadangkala panas membakar.

"Saya sudah biasa kerja teruk," kata Garba yang memakai topi bola baling warna merah yang sudah agak uzur keadaannya.

Beberapa pelanggan yang ditemui berkata, mereka tidak kisah duduk di tepi jalan, di bangku di kawasan letak kenderaan atau di atas pembetung dipenuhi sampah.

Lucky Paul, 52, daripada kelab bot mewah berkata, dia biasanya memotong kukunya di rumah.

"Memang biasanya saya potong kuku di rumah, tetapi pemotong kuku saya kadang-kadang tidak tahu diletakkan di mana," katanya ringkas.

Bagi Haruna, pekerja di Kelab Polo berkata, ada masanya dia dipaksa untuk memotong kuku, tetapi bukan kuku sendiri.

"Saya potong kuku teman wanita saya. Dia suka dimanjakan begitu. Adakalanya saya upah orang untuk memotong dan merapikan kukunya, tetapi katanya, dia lebih suka kalau saya yang melakukannya," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/26

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat