{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Hiburan

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Hiburan


Rahsiakan kehamilan kerana bimbang

Posted:

Rahsiakan kehamilan kerana bimbang

Rahsiakan kehamilan kerana bimbang

PELAKON dan pengacara jelita, Yasmin Hani muncul dengan wajah berseri-seri dalam majlis sambutan hari alam sekitar sedunia bersama selebriti di Damansara Perdana, Selangor baru-baru ini.

Kemunculan ceria Yasmin Hani itu diiringi pula suami tercinta, Shahrin atau nama sebenarnya, Sha'arin Mohammed Razali Wong.

Rupa-rupanya ada berita gembira. Yasmin Hani dan suaminya itu telah membuat satu pengumuman khas menerusi laman sosial Instagram.

Ia adalah mengenai kehamilan Yasmin Hani yang sudah mencecah empat bulan.

"Saya sangat teruja dan gembira, tidak sabar untuk melahirkan anak kami ini. Perasaan apabila bakal bergelar ibu ini sangat berbeza. Tidak dapat digambarkan bagaimana perasaan tersebut. Syukur, dengan rezeki yang Allah kurniakan kepada saya dan suami.

"Oleh kerana sibuk dengan pelbagai aktiviti seni, sebelum ini kami telah bersetuju menyekat hasrat untuk memiliki anak.

"Namun, akhirnya apabila masing-masing sudah bersedia, barulah kami fikirkan tentang anak," ujar Yasmin Hani.

Sebelum ini, dia pernah ditemu bual oleh media mengenai isu dirinya hamil. Namun ketika itu, dia merahsiakan tentang kehamilannya itu.

"Ada sebab kenapa sebelum ini saya merahsiakan tentang kehamilan diri ini. Sebelum kandungan saya ini mencecah usia empat bulan, saya bimbang ia tidak kuat dan berlaku sesuatu di luar jangkaan.

"Namun setelah usia kandungan mencecah empat bulan, baru saya berasa yakin untuk mengumumkannya ke pada pihak luar tentang kehamilan saya ini.

"Semua itu bukan semata-mata atas kehendak saya, malah ekoran nasihat daripada suami dan ibu saya sendiri. Saya berharap mereka di luar sana faham kenapa saya merahsiakan berita gembira ini," katanya lagi.

Jantina bayi

Setiap wanita yang hamil, pasti tidak dapat lari daripada bercakap tentang isu alahan. Namun, Yasmin Hani cukup bertuah kerana belum mengalami alahan impak kehamilan.

"Mengandung bukan menjadi penghalang untuk saya bergiat aktif bersama rakan-rakan. Malah, semasa sepanjang empat bulan hamil ini, saya tidak mengalami sebarang alahan seperti wanita mengandung yang lain. Cuma sekarang, posisi tidur saya berbeza berbanding dahulu.

"Bagi saya, setiap wanita mempunyai pengalaman yang berbeza dan saya ingin melalui pengalaman saya dengan sendiri.

"Saya banyak berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan baik yang pernah hamil seperti Dynas Mokhtar, Aishah Sinclair dan Daphne Iking," ujarnya.

YASMIN HANI dan Shahrin menerima dengan terbuka, jantina anak yang bakal dikurniakan kepada mereka kelak.


Dijadualkan melahirkan anak sulungnya di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur pada 12 November ini, Yasmin Hani bagaimanapun kini aktif dengan projek seni terbaharunya, Celebrity Reel!.

Ia membabitkan kolaborasi Yasmin Hani bersama Dynas, Aishah, Daphne serta rakan-rakan baiknya yang lain iaitu Sazzy Falak, Serena C dan Atilia Haron.

Celebrity Reel! menampilkan video-video terbaharu tentang Yasmin Hani dan kesemua rakan baiknya itu.

Menyentuh tentang jantina bakal bayi sulungnya, ujar Yasmin Hani: "Saya tidak kisah bayi saya nanti lelaki atau perempuan. Saya tetap sayang, janji bayi saya itu sihat.

"Namun, saya mahu tahu sama ada, dia bayi lelaki atau perempuan supaya senang untuk saya buat persiapan dan memilih nama yang sesuai."

Dalam pada itu, dia turut berkongsi pengalamannya apabila mengetahui dirinya sudah sah mengandung.

"Saya pelik pada bulan pertama, saya lambat datang bulan. Saya beli ujian kehamilan sendiri, saya tengok macam samar-samar. Saya beli sekali lagi, nampak positif.

"Untuk kepastian, saya cuba sekali lagi sebab saya tidak percaya dan yakin. Pada kali ketiga itulah baru saya yakin bahawa saya sudah mengandung dan terus berjumpa doktor."

Selain sibuk dengan aktiviti bersama rakan-rakan baiknya, demi menjaga kesihatan kandungannya Hani turut menyertai yoga pranatal di Bangsar Village, Kuala Lumpur.

"Saya terpaksa membatalkan banyak program sepanjang tahun ini kerana ada antara program tersebut lasak, jadi saya tidak mahu ambil risiko untuk kandungan sulung saya ini," katanya.

"Mengenai pantang, saya akan berpantang di rumah sendiri mengikut tradiis Melayu. Saya senang untuk berpantang di rumah sendiri. Simpati dengan Shahrin kerana dia pasti rindu anaknya nanti dan agak sukar buat saya ulang alik dari rumah mak saya."

Bade kalahkan isteri

Posted:

Bade kalahkan isteri

Bade kalahkan isteri

Oleh IZRINDA BADROLHISHAM


GELAGAT lucu Erma Fatimah sebagai reaksi terhadap kemenangan yang diraih suaminya, Bade.


NAMA seniman agung Tan Sri P. Ramlee cukup sinonim dalam kalangan rakyat Malaysia. Ia jelas impak filem-filem hasil kreativiti beliau yang sehingga kini masih menjadi bahan tontonan ramai.

Pemergian permata seni negara itu terus dikenang sampai ke hari ini. Namanya kekal dijulang ekoran karyanya yang menjadi inspirasi buat para penggiat seni tanah air yang lain.

Terbaharu, P. Ramlee terus diiktiraf dan dihargai melalui sebuah lagi majlis anugerah yang dikenali sebagai Anugerah Tribute P. Ramlee.

Sebanyak sembilan anugerah yang disenaraikan berdasarkan sepuluh telefilem yang ditayangkan melalui slot Tribute P. Ramlee - Pengarah Terbaik, Skrip Terbaik, Telefilem Terbaik, Videografi Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Anugerah Tribute P. Ramlee menyaksikan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersama Kumpulan Utusan dan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd.

Ia dianjurkan bagi memperingati perjuangan P. Ramlee bertujuan mengekalkan nama beliau sebagai seorang penghibur terbaik sepanjang zaman.

Telefilem arahan Badarudin Azmi berjudul Miang Buluh Keladi Birah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Telefilem Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Naskhah yang diilhamkan daripada lagu Tanya Sama Hati ciptaan P. Ramlee itu yang mengisahkan tentang percintaan golongan muda pada zaman moden yang penuh mencabar.

Menerusi setiap kategori yang dimenanginya itu, Bade berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 berserta trofi.

"Saya berasa sangat bangga kerana menjadi pemenang pertama Anugerah P. Ramlee ini. Bukan senang untuk membawa nama P. Ramlee bagi menghasilkan filem yang terbaik seperti diri beliau. Nama P. Ramlee sudah cukup besar buat saya.

"Kita perlu kekalkan tradisi ini. Bangkitkan semangat untuk menghasilkan karya terbaik untuk generasi akan datang," ujar Bade yang turut bersaing bersama isterinya, Erma Fatimah dalam kategori Pengarah Terbaik itu yang bersaing menerusi telefilem arahannya, Selagi Cinta Berzikir.

Miang Buluh Keladi Birah turut menang Anugerah Skrip Terbaik menerusi skrip hasil nukilan Marjan Hanani yang membawa pulang hadiah RM5,000 berserta trofi.

Acara pada malam itu turut menghargai dua seniman legenda iaitu Datuk Aziz Satar dan Allahyarham S. Shamsuddin menerusi anugerah khas iaitu Anugerah Tokoh Lakon Melayu.

"Saya bersyukur dan berbangga setelah penglibatan saya selama ini dalam dunia perfileman diiktiraf.

"Perasaan bercampur baur kerana hanya tinggal saya seorang dalam trio filem Bujang Lapok (yang masih hidup).

BETO menang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik.


"Saya akan meneruskan langkah untuk berkarya dan bercadang untuk menghasilkan sebuah buku serta ingin menubuhkan satu legasi anak Bujang Lapok untuk generasi akan datang," ujar Aziz dalam nada suara yang sebak.

Penghargaan itu diberikan bagi mengenang jasa karyawan seni yang turut sama merancakkan industri seni tanah air bersama P. Ramlee satu masa dulu.

Sementara itu, bagi kategori Pelakon Wanita dan Lelaki Terbaik masing-masing dimenangi oleh Sharifah Amani dan Beto hasil lakonan mantap mereka menerusi Selagi Cinta Berzikir.

Kedua-dua mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 berserta trofi.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dan tidak sangka akan meraih anugerah yang penuh bermakna ini. Bagi saya, ini adalah tanggujawab yang besar.

"Erma Fatimah dan Allahyarham Yasmin Ahmad selalu mengingatkan saya bahawa populariti itu tidak penting.

"Apa yang paling penting, kita ikhlas untuk berkarya dan berkerja," ulas Sharifah Amani yang kini sedang sibuk dengan pengambaran drama bersiri terbaharu arahan Bade, Sindiket.

Sementara, Mislina Mustafa menerusi lakonannya dalam telefilem Di Manakan Ku Cari Ganti dan Hanis Kamal Bakar (Miang Buluh Keladi Birah) masing-masing diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita dan Lelaki Terbaik.

Selain itu, pelakon veteran Datuk Ahmad Tarmimi Seregar dipilih sebagai pemenang menerusi kategori Penampilan Istimewa Dalam Drama (Selagi Cinta Berzikir).

Sementara itu, Pengarah Urusan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd., aktor Rosyam Nor melahirkan rasa syukur kerana majlis Anugerah Tribute P. Ramlee berjalan lancar.

"Saya amat berterima kasih kepada pihak RTM, Kumpulan Utusan dan Istana budaya kerana menerima idea saya (untuk menganjurkan majlis Anugerah Tribute P. Ramlee).

"Saya amat menghargai seniman dan seniwati yang sudah lama bertungkus lumus selama ini untuk menaikkan nama industri filem Malaysia sejak dahulu lagi.

"Telemovie Miang Buluh Keladi Birah dipilih oleh juri profesional dan mereka berpendapat bahawa telefilem ini sangat simple dan natural. Sebenarnya ia berlaku dalam kehidupan seharian kita.

"Saya bukanlah salah seorang daripada juri majlis anugerah ini. Tiada sikap pilih kasih walaupun Bade merupakan rakan saya," jelas Rosyam.

Majlis anugerah turut diserikan dengan persembahan daripada cucu P. Ramlee iaitu Najua P. Ramlee menerusi lagu Darah Muda.

Penyanyi Misha Omar pula menyampaikan lagu Dimanakan Ku Cari Ganti, manakala Musli Ramlee menghiburkan para tetamu dengan lagu Getaran Jiwa diiringi petikan piano oleh penyanyi Syafinaz Selamat.

Antara artis lain yang turut meraikan membuat persembahan pada acara itu ialah Shuib Sepahtu, Shiro, One Nation Emcee, Dayang Nurfaizah dan Azlan & The Typewriter.

Perginya Primadona filem Melayu

Posted:

Perginya Primadona filem Melayu

Perginya Primadona filem Melayu

Oleh HARYATI KARIM

ALLAHYARHAM bersara dari dunia lakonan untuk memberikan tumpuan kepada keluarga.


ENAM hari lalu, peminat filem Melayu kehilangan pelakon komedi legenda S. Shamsudin yang meninggal dunia di Hospital Universiti Nasional, Singapura akibat sakit tua dan paru-paru berair.

Petang semalam, seniwati legenda Latifah Omar yang popular pada era 50-an dan 60-an turut mengikut jejak langkah Allahyarham S. Shamsudin.

Aktres yang terkenal dengan kejelitaannya dan tahi lalat di bawah bibir kirinya itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.19 petang di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Ia adalah sejurus selepas beliau menjalani pembedahan ulser usus akibat ususnya membengkak dan tersumbat.

Mengimbas kembali perjalanan kerjaya seniwati Latifah Omar sebagai aktres, ia bermula pada usia yang terlalu muda iaitu 16 tahun.

Pada ketika itu, Allahyarham memenangi gelaran ratu cantik Singapura pada tahun 1953.

Tidak mengambil masa yang lama untuk menempah tiket bergelar seorang aktres, Allahyarham telah dilamar oleh pengarah S. Ramanatahan bagi membintangi filem Panggilan Pulau yang ditayangkan pada tahun 1954.

Pada tahun yang sama juga, Allahyarham diberi peluang untuk bergandingan dengan bintang legenda - tidak lain dan tidak bukan, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menerusi filem terbitan Malay Film Production, Merana.

Itu merupakan kali pertama dan terakhir mereka bergandingan di layar perak, sebelum Latifah kemudian berhijrah dari Malay Film Production ke syarikat perfileman Cathay Keris.

Populariti Allahyarham meningkat naik sejak bersama Cathay Keris apabila beliau berlakon dalam banyak filem genre bangsawan bersama Allahyarham Nordin Ahmad.

Beliau sempat membintangi 26 buah filem dengan Cathay Keris, yang mana 12 daripadanya merupakan gandingan bersama Nordin Ahmad.

LATIFAH OMAR, P. Ramlee dan Saloma akan berterusan dikenang sebagai figura legenda dunia perfileman Melayu.


Pasti ramai yang masih mengingati bait-bait lagu dalam filem Gurindam Jiwa yang berbunyi: "Tuai padi antara masak, esok jangan layu layuan, intai kami antara nampak, esok jangan rindu-rinduan."

Itu merupakan filem terakhir yang menggandingkan Latifah dan Nordin selepas mereka bergandingan menerusi beberapa buah filem seperti Laila Majnun, Cucu Datuk Merah dan Hang Jebat.

Selain Nordin Ahmad, Latifah juga pernah digandingkan dengan ramai pelakon lelaki ternama seperti Allahyarham Roomai Noor (Sumpitan Racun), Yusof Latiff (Jalak Lenteng) dan Tony Kassim (Rumah Itu Duniaku).

Dalam filem Bawang Putih Bawang Merah lakonannya bersama Datuk Mustapha Maarof, Allahyarham tampil cemerlang sebagai Merah, anak tiri yang teraniaya.

Menurut Mustapa yang turut digandingankan bersama Latifah dalam filem Kasih Ibu, Raden Mas dan Naga Tasik Chini, Allahyarham merupakan seorang rakan artis yang berbakat besar.

"Saya mengenali Allahyarham sejak tahun 1953. Melihat kesungguhannya pada waktu itu, saya tahu dia (Allahyarham) mempunyai potensi yang besar.

"Ternyata sangkaan saya benar apabila dia menjadi salah seorang primadona filem Melayu waktu itu bersaing dengan beberapa primadona lain seperti Sarimah, Saadiah, Normadiah, Zaiton, Maria Menado, Rosnani dan Roseyatimah.

"Kami pernah beberapa kali bergandingan, jadi memang kami menjadi rakan yang baik. Apabila mendapat berita tentang pemergiannya, saya sedih kerana ramai rakan-rakan seangkatan dengan saya pada waktu zaman filem hitam putih dahulu sudah tiada," tuturnya sedih.

Selepas meraih label ratu perfileman Melayu selama 20 tahun, pada tahun 1973, Allahyarham tekad meninggalkan dunia penuh glamor kerana studio di Jalan Ampas, Singapura ditutup dan kebetulan ketika itu dia melahirkan anak ketiganya.

Masih terkenang kata-kata Allahyarham dalam satu temu bual bersama Kosmo! semasa beliau dianugerahkan Bintang Legenda Perempuan pada Festival Filem Malaysia ke-22 pada tahun 2009.

Beliau menafikan berhenti berlakon kerana ditegah suaminya yang merupakan seorang usahawan.

"Saya berhenti berlakon kerana ingin memberi tumpuan kepada keluarga," tutur beliau.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 74 tahun, meninggalkan empat orang anak dan sembilan orang cucu. Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan pada pukul 11.25 pagi semalam di Tanah Perkuburan Islam AU4, Keramat, Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat