Kosmo Online - Stailo
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Stailo |
Posted: Tukang masak bijak bergayaOleh ALIF ABU BAKAR LELAKI itu memeriksa secara teliti setiap jahitan pada sehelai pakaian berjenama mewah yang ingin dibelinya. Sebagai pembeli, dia mengharapkan kualiti terbaik daripada pakaian yang mencecah harga ribuan ringgit sehelai. "Jika saya terjumpa kecacatan kecil pada pakaian tersebut, saya tidak teragak-agak untuk meminta potongan harga. Saya juga pernah memulangkan kembali baju berjenama yang tidak kemas buatannya. "Jenama tersebut menawarkan penggantian baharu dan apabila diperiksa, kesemua baju tersebut juga mengalami masalah yang sama. Saya bertegas meminta semula wang pembelian meskipun mereka enggan. Bagi saya, pelanggan perlu diutamakan terutamanya apabila melibatkan kualiti barangan yang dibeli," kongsi Chef Adu Amran Hassan. Pendirian tegas Adu Amran yang mula dikenali menerusi rancangan realiti televisyen popular, Masterchef Malaysia yang disiarkan di Astro Ria menunjukkan betapa dia mengambil serius soal pemakaian hariannya. Meskipun bergelar seorang tukang masak, Adu Amran sering tampil bergaya dalam setiap episod Masterchef Malaysia yang menyaksikannya bertindak sebagai salah seorang juri tetap. Imbas Adu Amran: "Seorang peserta Masterchef Selebriti Malaysia musim pertama, Karl Shafek pernah menegur penampilan saya. Katanya, benarkah saya seorang tukang masak atau pereka fesyen? Saya anggap soalan itu sebagai satu pujian." Kebijaksanaan Adu Amran atau juga mesra dengan panggilan Chef Adu bergaya melahirkan kekaguman penonton. "Memasak merupakan cabang dalam fesyen dan saya rasa ia satu paduan yang menarik," tambah Adu Amran ketika ditemui Stailo baru-baru ini. Menggemari gaya kemas sut dan jaket, Adu Amran bagaimanapun bukan seorang yang patuh kepada kod formaliti sesuatu penampilan. Sut berunsur ceria menjadi pilihan lelaki berusia 43 tahun itu. Jika syarat pemakaian sut hitam menetapkan kemeja putih dijadikan pelengkap, Adu Amran akan tampil serba hitam lengkap dari atas hingga ke bawah. Peraturan warna padanya bukan alasan untuk menjadi kreatif dalam fesyen.
Trend blok warna juga dirasakan sering disalah tafsir masyarakat. Ramai beranggapan gaya popular itu merujuk kepada gabungan dua atau tiga warna yang bertentangan, namun bagi Adu Amran ia tidak semestinya percantuman rona berlainan. "Saya sering merujuk kepada majalah dan katalog fesyen bagi mendapatkan idea untuk gaya peribadi. Tidak semestinya kita mengikut bulat-bulat gaya yang dipaparkan majalah. "Contohnya, adakah pakaian yang ditonjolkan di atas pentas peragaan sesuai digayakan secara realiti? Jawapannya tentu tidak kerana tujuan peragaan tersebut adalah bagi memberi idea kepada orang ramai tentang trend baharu di pasaran," sarannya. Mungkin sikap cerewet Adu Amran ketika membeli-belah disifatkan agak leceh kepada sesetengah orang. Bagaimanapun, ia wajar dijadikan contoh sekiranya anda ingin memperoleh barangan terbaik sekali gus mengelakkan penyesalan dalam berbelanja. "Jika membeli-belah di luar negara terutamanya di negara-negara Eropah, saya akan menyarungkan pakaian yang ingin dibeli dan kemudian meminta pembantu kedai menemani saya ke pintu butik. "Pencahayaan dalam kedai memang berbeza dengan di bawah matahari. Mungkin di kedai kita nampak cantik tapi apabila dipakai di luar ia tidak kena dengan kita," kongsi anak kedua daripada lapan adik-beradik itu. Label fesyen peribadi Nilai celik fesyen kepunyaan Adu Amran membuahkan idea kepadanya untuk berkecimpung secara serius dalam bidang seni itu. Hasilnya, anak jati Kluang, Johor itu nekad mewujudkan label fesyen peribadi dengan nama Aduh! by Adu (Aduh!). Buat masa ini, baju Melayu teluk belanga menjadi pertaruhan awal Aduh!. Ia direka lebih kepada pembentukan stail berbanding mengikut perkembangan trend semasa. Formula itu diyakini Adu Amran kerana baginya, fesyen sering mengalami transisi dari semasa ke semasa manakala stail bersifat jangka panjang. Bukan sekadar baju Melayu biasa, item di bawah Aduh! mengutamakan keaslian dan kualiti. Atas faktor itu, hanya material terbaik dipilih bagi menghasilkan sepasang baju Melayu ciptaan Adu Amran. Kapas Mesir, sutera campur, tenun lama dari Chiang Mai, rona indigo dan fabrik berkualiti tinggi dari Eropah menjadi pilihan Adu Amran dalam menterjemahkan rekaan eksklusif yang menawan. CHEF ADU dikenali menerusi program Masterchef Malaysia. "Kenapa saya memilih baju Melayu? Sebabnya mudah! Saya seorang penggemar pakaian tradisi ini terutamanya hasil kerja pereka tempatan, Salikin Sidek. "Saya sangat teliti terhadap rekaan baju Melayu teluk belanga. Sebagai orang Johor, saya mahu pakaian kebanggaan negeri ini dihasilkan dengan penuh cermat. "Oleh yang demikian setiap kali saya menempah baju Melayu jenis ini, saya pastikan bahagian leher dijahit tangan. Namun, di bawah Aduh! saya tetapkan bahawa keseluruhan proses baju Melayu dijahit tangan," terang Adu Amran. Eksklusif buat kaum Hawa Selain baju Melayu, Aduh! juga menawarkan seleksi tudung dan selendang dengan pelbagai cetakan termasuk liberty yang dihasilkan menggunakan kapas mewah. Rekaan eksklusif buat kaum Hawa itu juga dicipta berasaskan fabrik sutera sifon, sutera satin dan sutera kapas yang didatangkan khas dari Itali, Perancis dan England. Sebagai pencinta barangan porselin, Adu Amran turut menyelitkan bahan yang diperbuat daripada campuran tanah liat dan kuarza itu dalam barisan aksesori Aduh! untuk kegunaan lelaki dan wanita. "Saya pernah menggunakan porselin kecil bentuk bunga sebagai lapel (kelepet di bahagian dada kot) jaket dalam salah satu episod Masterchef Malaysia. Sejak itu saya merasakan ia boleh dijadikan aksesori yang elegan kepada penampilan seseorang. "Selalunya orang gunakan hiasan porselin untuk dicantumkan pada lampu dan dijadikan barangan dekorasi rumah yang popular. "Eksperimen yang saya lakukan dengan menggabungkan porselin bersama fabrik amat mengujakan. Ia menjadi kombinasi menarik yang mampu menciptakan nilai eksklusif," jelas Adu Amran. | |
Busana Lebaran di Bazar Busainna Posted: Busana Lebaran di Bazar BusainnaOleh HAFIZ AHMAD
SEPERTI sudah menjadi satu amalan saban tahun apabila persediaan baju hari lebaran dibuat satu atau dua bulan lebih awal sebelum kedatangan bulan Ramadan. Ini kerana kebiasaannya menjelang Ramasan, tukang jahit sudah terpaksa tidak lagi menerima tempahan baju kerana pelanggan yang sudah terlalu ramai. Begitu juga dengan pengusaha butik yang adakalanya tidak menang tangan membuat ukuran baju eksklusif pelanggan. Usah risau jika tidak sempat menempah baju atau berkunjung ke butik kerana banyak bazar yang menjual pelbagai kelengkapan sempena Aidilfitri. Salah sebuahnya ialah Bazar Busainna yang dibuka mulai 7 Julai depan dan berlangsung sepanjang bulan Ramadan di pusat beli-belah Maju Junction, Kuala Lumpur. Antara butik yang turut serta ialah Julie Bridal House yang bakal menjual 10 rekaan istimewa sempena Aidilfitri akan datang. Menurut pemilik butik itu, Juliana Ahmad, rekaan busana hari lebaran tahun ini memberi fokus kepada busana muslimah elegan tetapi masih mengekalkan ciri- ciri sopan melalui gaun labuh dan percikan manik-manik minimalis. Jika ingin bergaya ringkas, pelanggan boleh memilih jubah dengan hiasan manik di beberapa bahagian. "Kami menampilkan rekaan yang sesuai untuk gadis dan wanita berhijab dengan pilihan rona-rona seperti biru firus, merah hati, merah jambu dan hijau," ujarnya ketika ditemui Stailo baru-baru ini. Fabrik likra Korea yang digunakan dalam kebanyakan rekaan memudahkan pergerakan si pemakai untuk menziarahi rumah teman dan sanak-saudara. Busana tersebut mempunyai empat pilihan saiz daripada S ke XL tetapi kerana sifat kain tersebut yang bergetah, ia melekap cantik mengikut bentuk tubuh. "Selain itu, pengguna juga boleh memilih padanan tudung hud dengan hanya tambahan serendah RM20 sahaja. Malah, kami akan terus menjahitnya ketika waktu pembelian," tambah Juliana. Harga berpatutan menjadi keutamaan kepada butik Juliana yang terletak di Prima Sri Gombak, Batu Caves. Setiap gaun dan jubah dijual pada harga antara RM150 hingga RM260. Pengarah Urusan Deeya Deco & Event, Noorhidayah Noordin berkata, bazar tersebut bakal disertai oleh 100 gerai jualan yang memberi fokus barangan persediaan hari lebaran. "Setakat ini sambutan daripada peniaga amat memberangsangkan apabila banyak gerai telah terjual. Bagaimanapun, kami masih lagi mempunyai beberapa tapak kosong yang terbuka kepada mereka yang berminat," katanya. Mereka yang berminat untuk membuka gerai di bazar tersebut, boleh menghubungi talian 012-924 6227 atau melayari laman web www.- ddeventco.com. | |
Posted: Sepatu mewah buat wanitaSEPATU dengan kemasan hitam diberi sentuhan emas pada tumitnya. KEGILAAN wanita terhadap sepatu membuatkan mereka sanggup melaburkan wang ringgit bagi mendapatkan rekaan yang menawan hati. Tidak hairanlah, jika almari kasut wanita melimpah-limpah dengan deretan koleksi pelbagai warna, jenama dan reka bentuk. Kasut bukan sahaja dijadikan pelindung untuk kaki tetapi menjadi perlambangan kepada gaya keseluruhan kaum Hawa. Ia merupakan pelengkap kepada busana yang dipakai dan mempunyai pelbagai fungsi bagi menampakkan lagi keanggunan mereka. Bak kata-kata ikon legenda, Marilyn Monroe, 'Berikan si gadis sepatu yang betul dan dia akan menawan dunia', ternyata kasut ibarat perhiasan utama dan wajib bagi seseorang wanita. Jenama kasut mewah buatan Malaysia, Xalf hadir dengan koleksi baharu yang dinamakan Metamorphosis sebagai manifestasi kepada kejituan dan kematangan seorang wanita. Terkenal dengan konsep Bespoke, Xalf memberi penghargaan kepada kaum wanita yang bersungguh-sungguh menjalani kehidupan seharian. Terdapat 11 koleksi pelbagai reka bentuk boleh menjadi pilihan kaum wanita yang diserikan dengan warna-warna memukau mata. Ia tidak terhad kepada kasut bertumit tinggi, Xalf turut menawarkan kasut balet leper untuk keselesaan si pemakai. Sepatu Acmon pula diperbuat daripada kulit paten dan dipadankan bersama alur emas. Ia nampak manis dipakai ketika dalam penerbangan jarak jauh atau sekadar bersantai pada hujung minggu. Tampil bergaya ke majlis makan malam dengan menyarungkan kasut Anise yang berkualiti kulit lembu kemasan hitam beralur. Tambah menarik apabila tumit kasut diberi sentuhan warna kontra. Inginkan rekaan berlainan, kasut Monarch bertepatan dengan cita rasa tinggi anda. Ia diliputi kain renda berkualiti bersama padanan warna merah bagi menampakkan gaya mewah dan anggun seorang wanita. Mengambil inspirasi ketangkasan harimau bintang, kasut Zilpa menyerlahkan sisi berani seorang wanita yang mahukan gaya ala sub-Sahara Afrika. Padankan ia bersama gaun pendek singkat bagi menonjolkan aura kejelitaan anda. Beranikan diri kala menyarungkan kasut tumit tinggi Indra yang mempunyai ukuran lima inci. Jika mahukan gaya elegan pilih sepatu Pima yang mempunyai kemasan renda jarang disokong dengan tumit emas. Sepatu Xalf berharga antara RM590 hingga RM1,150 sepasang. Kesemua koleksi baharu jenama ini boleh dilihat menerusi laman web www.xalfdesign.com. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Stailo To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |