Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Posted: 06 Jun 2013 02:00 AM PDT keceriaan jelas terpancar pada wajah P. Vasugi dan anak-anak angkatnya. PERSOALAN ini sengaja dilontarkan buat para pembaca berfikir sejenak sebelum meneruskan pembacaan yang dititipkan tulus dari Rumah Tunas Harapan (RTH), Tengku Ampuan Rahimah, Kuala Selangor ini. Enam buah unit kediaman berkembar dibina di atas 24 ekar tanah terletak di Kuala Selangor, Selangor ini, pada zahirnya kelihatan sama seperti kediaman di pinggir bandar yang biasa dilihat. Namun apa yang istimewanya ialah, setiap unit ini dihuni oleh pasangan suami isteri bersama anak-anak kandung dan anak angkat mereka. Mereka hidup sama seperti keluarga lain, menyulam kasih sayang dan erti tanggungjawab tanpa mengira latar belakang dan rupa paras anak-anak tersebut. Walau tiada sebarang pertalian darah, anak angkat yang merupakan anak-anak yatim dengan pelbagai latar belakang, berjaya dididik oleh ibu bapa angkat atau mengikut istilahnya ibu bapa pelihara. Mereka hidup harmoni dalam sebuah keluarga besar dengan jumlah 'adik-beradik' yang ada kalanya melebihi 15 orang. Bak kata seorang bapa pelihara, Ong Kok Leong, "Setiap kaki yang melangkah ke dalam rumah ini adalah anak saya, dengan panggilan ayah dan mak. Kami akan berikan mereka apa yang berhak diberikan pada setiap anak dalam sebuah keluarga yang normal penuh dengan nilai kasih sayang." Jauh daripada rutin asrama Konsep anak angkat tinggal serumah bersama ibu bapa angkat dalam suasana penuh kekeluargaan ini telah diilhamkan oleh Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), setelah mengambil kira kejayaan pembinaan sahsiah diri anak-anak yatim berbanding yang tinggal di asrama kebajikan. Kehidupan anak-anak ini sama sekali tidak sama dengan konsep rumah kebajikan kanak-kanak yang lebih menjurus kepada peraturan oleh warden, tadbiran pegawai dan kakitangan yang bekerja lapan jam atau syif. Jauh daripada sistem loceng untuk bangun pagi, makan dan solat - rutin yang tidak sama seperti keluarga biasa. RTH telah dibina pada tahun 1988 dan mula beroperasi pada tarikh 15 Disember 1988. Pembiayaan rumah sebanyak enam unit itu dibiaya oleh syarikat Amway (M) Sdn. Bhd. di atas tanah milik JKM. Tanah tersebut telah diberikan kerajaan Selangor atas daya usaha menteri besarnya ketika itu, Tan Sri Datuk Abu Hassan Omar yang kemudian telah dilantik menjadi penaung RTH hingga ke hari ini. Yayasan Kebajikan Negara (YKN) juga telah menyumbang RM60,000 untuk kelengkapan rumah. Kediaman tersebut telah dibina dengan tenaga buruh dalam kalangan warga banduan jenayah ringan seramai 40 orang. Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Selangor, Khairul Atha Annuar berkata, JKM bertanggung jawab menentukan jumlah kanak-kanak yang tinggal di RTH. Penghuni RTH mestilah dalam lingkungan usia dua hingga 18 tahun, terdiri daripada kanak-kanak yatim, miskin, teraniaya, terabai, bermasalah dan sebagainya. lee Sian Gu (depan) tidak kekok membantu ibu angkatnya di dapur. "JKM memberi bantuan berbentuk geran tahunan untuk menampung perbelanjaan asas kanak-kanak ini seperti makan dan minum, wang saku, elaun ibu pelihara dan juga utiliti. "Pemilihan ibu bapa pelihara juga dibuat oleh JKM dengan cermat daripada pasangan suami isteri yang berusia lingkungan 40 hingga 55 tahun dan tidak memiliki anak atau memiliki anak tidak lebih daripada tiga orang. "Syarat lain, suami atau bapa pelihara mestilah bekerja sepenuh masa dan mempunyai pendapatan sendiri. Manakala ibu pelihara pula tidak boleh bekerja dan mesti menjadi surirumah sepenuh masa. "Mereka perlu memberikan tumpuan kepada menguruskan keluarga dan anak-anak dan akan diberi elaun untuk tanggung jawab tersebut," jelas Khairul sambil memberitahu kediaman lima bilik yang disediakan untuk keluarga RTH cukup untuk menampung keperluan mereka. Jelas Khairul Atha lagi, cabaran yang dihadapi ibu bapa di sini adalah untuk mengaplikasikan pelbagai cara dalam teknik penjagaan. Mereka perlu bersabar dan memberikan kaunseling dan yang paling penting menerapkan ilmu agama serta nilai-nilai murni dalam diri anak-anak. "Keluarga pelihara ini juga perlu membawa anak-anak mereka pulang ke kampung halaman pada musim cuti bagi memberi peluang anak-anak merasa kehidupan berkeluarga besar. "Mereka turut dibimbing untuk melakukan kerja rumah, diasuh dengan budi bahasa, bersopan santun serta berjimat cermat dan menghargai apa yang diberikan. "Ibu bapa pelihara juga turut diberi kursus kemahiran keibubapaan, tentang perkembangan anak-anak, pengurusan rumah dan penjagaan kesihatan serta keselamatan anak-anak mereka," ujar Khairul Atha. Selain itu katanya, ibu bapa pelihara juga mesti mempunyai perasaan sayang pada anak-anak angkat, berpengetahuan, bertanggung jawab, kreatif dan bermotivasi tinggi serta boleh membuat keputusan yang bijak. Sehingga kini, RTH di Kuala Selangor telah menempatkan lebih 60 anak angkat. Daripada jumlah tersebut, seramai 16 penghuni RTH telah berjaya meneruskan pelajaran ke peringkat tinggi. "Ada yang belajar hingga ke Universiti Al-Azhar, di Mesir dan universiti di Jordan. "Salah seorang bekas penghuni, Sivakumar Karmegan kini menjadi tukang masak di sebuah hotel di Perancis , manakala yang lain ada yang menjadi penolong jurutera, pengurus restoran, eksekutif, guru dan sebagainya," katanya. - NOOR FAZRINA KAMAL |
Posted: 06 Jun 2013 02:00 AM PDT DARI kiri, Fam Chuk Ngi, Safiah Romly dan P. Vasugi, berkongsi pahit manis dan suka duka menjadi ibu pelihara di Rumah Tunas Harapan, di Kuala Selangor, Selangor. Selain Safiah Romly dan P. Vasugi, pasangan suami isteri, Ong Kok Leong dan Fam Chuk Ngi merupakan ibu bapa pelihara pertama yang sanggup memikul tanggung jawab ini sejak Rumah Tunas Harapan (RTH) mula ditubuhkan. Walaupun berlainan bangsa dan agama, mereka semua hidup dalam keadaan aman damai dan menghormati satu sama lain. "Anak-anak kami semua baik-baik, tiada masalah mendidik mereka. Masing-masing boleh mendisiplinkan diri. Kami tidak menggunakan pendekatan marah, malah kasih sayang saja yang menjadi sandaran," jelas Kok Leong yang mengakui semua anaknya memanggil dirinya 'ayah' dan isterinya 'mak'. Bukan itu sahaja, walaupun Kok Leong menjaga anak berketurunan Cina, masih ada anak angkatnya yang langsung tidak boleh bertutur bahasa Cina kerana sejak lahir tinggal di rumah kebajikan. "Saya mahu anak ini belajar bahasa Cina dan sejak dua tahun tinggal di sini dia sudah menguasai bahasa kami," jelasnya. Walaupun sembilan daripada 10 anak angkatnya adalah lelaki, mereka langsung tidak kekok melakukan tugasan di dapur. Mereka membantu isteri Kok Leong, memasak, mengemas rumah dan membasuh pakaian sendiri. Sementara itu, Safiah turut mengakui segala urusan menjaga anak-anak ini dipermudahkan. Pernah dalam satu masa rumahnya menempatkan kira-kira 15 anak angkat. Itu bukanlah satu masalah baginya malah rahmat. "Saya memang suka anak ramai walaupun anak saya sendiri cuma tiga orang. Suami sudah lama meninggal dunia, jadi rumah memang meriah dengan anak-anak angkat. "Tapi kebanyakan mereka sudah besar, malah tiga daripada anak angkat saya telah melanjutkan pelajaran ke universiti di luar negara. Saya memang berbangga dengan mereka dan sebagai hadiah saya bawa mereka menunaikan umrah," ujar Safiah yang dahulunya merupakan guru agama. "Walaupun anak-anak yang dijaga datang dari latar belakang berbeza, dia tidak pernah berhadapan dengan masalah anak degil atau melawan cakap. "Apa yang penting bagi saya ialah pendidikan agama kerana dengan adanya asas agama maka mudahlah untuk membentuk mereka," jelasnya. Perkara sama diakui Vasugi yang membela sembilan anak. Ketika sesi temu bual berlangsung, tiga anak angkat Vasugi ada di rumah kerana masing-masing hanya bersekolah sesi petang. "Anak-anak saya semuanya baik-baik. Mereka pergi ke sekolah, belajar dan mengikut disiplin yang saya aturkan. "Saya juga tidak pernah melenting dengan perangai mereka. Boleh saya katakan anak-anak ini semuanya boleh diasuh menjadi baik jika betul caranya," jelasnya. Vasugi juga prihatin terhadap segala keperluan mereka, walaupun dia sendiri hidup sederhana. Sebagai ibu pelihara, dia memastikan mampu mengadakan peralatan asas untuk anak menjalani kehidupan seperti anak dalam keluarga kandung masing-masing. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |