Utusan Online - Mahkamah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Mahkamah |
Perwaja Steel diperintah bayar tunggakan hutang RM146j kepada Petronas Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT KUALA LUMPUR 13 Jun - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Perwaja Steel Sdn. Bhd. menjelaskan bayaran tunggakan hutang bagi pembekalan gas lebih RM146 juta kepada Petroliam Nasional Bhd. (Petronas). Keputusan itu dibuat selepas Hakim P. Nallini membenarkan permohonan Petronas untuk mendapatkan penghakiman terus dalam tuntutan saman ekoran kegagalan syarikat pengeluar keluli itu menjelaskan bayaran bagi gas yang dibekalkan ke lojinya di Telok Kalong, Kemaman, Terengganu. Petronas pada 14 Januari lalu telah memfailkan writ saman terhadap Perwaja Steel antara lain untuk menuntut jumlah tunggakan hutang RM146.14 juta sehingga 31 Disember 2012 dan faedah berjumlah RM10.31 juta sehingga 10 Januari tahun ini. Dalam pernyataan tuntutannya, Petronas selaku pihak plaintif menamakan Perwaja Steel sebagai pihak defendan. Petronas menyatakan, pada 2002, pihaknya telah memeterai perjanjian penjualan gas kering dengan pihak defendan dan perjanjian itu telah tamat pada 31 Disember 2011. Pihak plaintif mengekalkan persetujuan yang telah dicapai dengan Perwaja Steel berkaitan formula untuk pengiraan kadar atau harga. Bagaimanapun pihak defendan tidak bersetuju dan menyatakan, walaupun perjanjian telah termeterai namun tidak ditandatangani pada halaman tandatangan dan harga tidak dipersetujui. Petronas menyatakan pihaknya masih terus membekalkan gas kering kepada Perwaja Steel namun syarikat terbabit gagal membuat pembayaran sehingga syarikat pengeluar minyak itu memfailkan saman terhadap defendan pada 27 April 2009. Pertikaian itu telah dirujuk untuk proses mediasi dan Petronas serta Perwaja berjaya menyelesaikan saman itu pada 2009 dan penyelesaian direkodkan melalui perintah persetujuan pada 14 Oktober 2011. Namun begitu, menurut Petronas, Perwaja Steel masih ingkar membuat pembayaran kepadanya untuk gas kering yang telah dibekalkan. Pada 8 November 2011, pihak plaintif telah mengeluarkan surat tuntutan pembayaran berjumlah RM57.3 juta kepada Perwaja Steel dan syarikat defendan telah mengeluarkan cek pembayaran yang tidak laku pada 30 November tahun yang sama. Kedua-dua pihak bagaimanapun telah mencapai persetujuan pada 12 Disember 2011 iaitu bekalan gas kering kepada Perwaja Steel tidak akan digantung jika defendan segera membuat bayaran sebanyak 10 peratus daripada jumlah tersebut dan bakinya hendaklah dilunaskan pada 24 Disember 2011. Pada 14 Disember 2011, pihak plaintif telah mengingatkan Perwaja Steel dan pihak defendan membuat bayaran 10 peratus tetapi bakinya masih gagal dijelaskan. Petronas sehubungan itu pada 30 Disember 2011 telah mengeluarkan surat kepada Perwaja Steel untuk memaklumkan pihak defendan bahawa cek bagi jumlah baki yang dituntut tidak dapat ditunaikan. Pihak plaintif menyatakan, pihaknya tidak lagi membekalkan gas kepada Perwaja Steel bermula 1 Januari tahun lalu dan menuntut jumlah baki tunggakan hutang daripada pihak defendan. Hakim Nallini dalam penghakiman bertulis setebal 47 muka surat memberitahu: ''Berdasarkan penghakiman saya berhubung permohonan plaintif bagi penghakiman terus adalah jelas, saya telah membuat kesimpulan bahawa tiada isu untuk dibicarakan.'' Beliau berpendapat, perkiraan tersebut masih sah dan berkuat kuasa sehingga 20 Januari 2012 dan masih terus diguna pakai. Menurut hakim itu, jika beliau melakukan kekhilafan dalam membuat kesimpulan, tiada isu-isu serius untuk dibicarakan, namun beliau tetap berpuas hati bahawa kerosakan yang diakibatkan oleh defendan, perlu dijelaskan dengan ganti rugi. |
Bekas pengurus PPK dijel 7 tahun, 4 sebatan, denda RM380,000 Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT ALOR SETAR 13 Jun - Seorang bekas pengurus Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sanglang dihukum penjara tujuh tahun, sebatan empat kali dan denda RM380,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan kes memalsukan dokumen dan tiga kes pecah amanah. Hakim Mohd. Rosli Osman menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd. Faizal Azmi Bazir (gambar), 36, dari Alor Janggus di sini setelah tertuduh mengaku bersalah ke atas kesemua pertuduhan tersebut. Mengikut pertuduhan pertama, Mohd. Faizal didakwa memalsukan dokumen berkaitan kerja-kerja membina gelanggang boling dan lot meletak kereta di Institut Aminuddin Baki (IAB), Jitra membabitkan kos berjumlah RM44,600. Mohd. Faizal dituduh melakukan perbuatan itu pada 1 Mac 2011 di Bangunan Menara Peladang di sini dengan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu mengenai kerja tersebut kepada seorang ejen yang juga pengurus PPK Jitra, Shahrul Said yang tidak pernah ditawarkan oleh IAB. Sementara bagi pertuduhan kedua, Mohd. Faizal didakwa melakukan kesalahan sama bagi kerja-kerja menaik taraf kemudahan blok sabitan dan bilik rawatan Penjara Alor Setar berjumlah RM24,700 dengan mengelirukan Shahrol pada tarikh dan tempat sama. Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bagi kedua-dua pertuduhan itu. Mohd. Rosli menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM250,000 bagi pertuduhan pertama dan bagi pertuduhan kedua, tertuduh dihukum penjara empat tahun serta denda RM130,000. Kedua-dua hukuman penjara diperintah berjalan serentak dari tarikh jatuh hukum. Hukuman penjara boleh ditambah setahun lagi sekiranya tertuduh gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan. Bagi pertuduhan ketiga, Mohd. Faizal didakwa melakukan pecah amanah dengan menunaikan cek bernilai RM3,718 di atas nama Che Muda Man di Maybank Bhd. Cawangan Kodiang pada 22 Mac 2012. Pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa mengulangi kesalahan sama dengan menunaikan cek bernilai RM26,998 atas nama Abu Hassan Jamal di bank sama pada 5 April 2012. Dalam pertuduhan kelima, Mohd. Faizal didakwa melakukan pecah amanah berjumlah RM2,000 ke atas wang panjar runcit PPK tersebut bagi tujuan pembelian komputer sedangkan tiada sebarang pembelian dibuat. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di pejabat PPK Kawasan B-11 Sanglang, Kubang Pasu pada 29 Mei 2012. Ketiga-tiga pertuduhan pecah amanah itu dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan denda serta sebatan. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dari tarikh jatuh hukum dan sebatan satu kali bagi pertuduhan ketiga manakala bagi pertuduhan keempat, Mohd. Faizal dihukum penjara tiga tahun serta sebatan dua kali. Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara bagi pertuduhan keempat berkuat kuasa selepas tertuduh menjalani hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua. Mohd. Faizal juga dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan sebatan sekali bagi pertuduhan kelima berkuat kuasa dari tarikh jatuh hukum. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fieza Fazlin Fandi dan Syahrul Khuzaini Amiruddin sementara tertuduh tidak diwakili peguam bela. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |