Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- NS wujud segi 3 pembangunan
- Kerjasama UTeM, universiti luar negara bawa banyak faedah
- Kota Simpang 'lubuk' udang galah
Posted: 05 Jun 2013 11:45 AM PDT Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR MOHAMAD Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin (tengah) bersama sebahagian wakil media selepas Majlis Malam Apresiasi Media di Klana Resort, Seremban, Negeri Sembilan, kelmarin. SEREMBAN 5 Jun - Kerajaan negeri bercadang mewujudkan segi tiga kawasan pembangunan ke arah merancakkan lagi sektor pembangunan negeri secara holistik. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini selari dengan usaha untuk memperkukuhkan dasar kerajaan negeri dalam usaha menjadikan Negeri Sembilan sebagai bandar satelit Kuala Lumpur. ''Jarak kita dengan ibu negara tidak jauh, bahkan saya sudah berbincang dengan Perdana Menteri untuk bangunkan satu kawasan yang dipanggil Growth Triangle iaitu meliputi kawasan sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)-Seremban- Port Dickson. ''Saya yakin usaha ini akan dapat melonjakkan pembangunan negeri ini berikutan keadaan ibu negara yang terlampau sesak dan padat masa kini," katanya ketika berucap dalam Majlis Malam Apresiasi Media di Klana Resort, di sini semalam. Jelas Mohamad, kawasan Lembah Klang kini terlampau padat dan sesak sehingga menyukarkan mana-mana pihak khususnya membabitkan pelabur untuk terus beroperasi di ibu negara. ''Ibu negara dah melimpah ruah, maka kita perlu jadi satu kawasan tadahan bagi Kuala Lumpur. ''Kalau kita tidak ambil peluang ini dan masih leka serta alpa, maka kita tidak akan jumpa lagi peluang sebegini baik untuk kita bangunkan Negeri Sembilan," ujarnya. Apapun beliau berharap penduduk negeri ini dapat bekerjasama bagi menjayakan usaha terbabit walaupun dalam dasar Kerajaan Persekutuan, Negeri Sembilan tidak termasuk dalam mana-mana pembangunan koridor. ''Semua ini kita lakukan demi mensejahterakan rakyat, namun apa yang pasti saya tidak mahu kerana kita terlalu rancak mengejar pembangunan, rakyat dipinggirkan," ujarnya. |
Kerjasama UTeM, universiti luar negara bawa banyak faedah Posted: 05 Jun 2013 11:45 AM PDT MELAKA 5 Jun - Kerajaan negeri memuji usaha Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjalinkan kerjasama dengan universiti dari Perancis yang dilihat dapat memberi faedah bukan sahaja kepada bidang pendidikan, malah hubungan antara kedua-dua negara. Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin berkata, usaha bijak yang diambil UTeM juga mampu mengukuhkan kerjasama industri yang semakin penting pada masa kini. "Jalinan kerjasama yang diadakan amat bersesuaian dengan keperluan tenaga yang perlu disediakan pada masa kini iaitu untuk menghasilkan graduan yang bersesuaian dengan keperluan di semua sektor," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui di UTeM Kampus Industri, Ayer Keroh di sini, semalam. Menurut Md. Yunos, usaha jalinan kerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan, teknikal dan teknologi itu amat dialu-alukan oleh kerajaan negeri. "Saya percaya, sebagai universiti yang bergerak maju, UTeM akan dapat membantu memberi manfaat kepada masyarakat terutamanya kepada anak-anak muda di negara ini. "Saya percaya usaha ini yang melibatkan jalinan kerjasama, latihan industri, lawatan dan sebagainya akan dapat membuka minda anak-anak muda untuk menimba pengalaman luas di dalam dan luar negara seperti Perancis," ujarnya. Tambahnya, kerjasama dengan bidang industri yang turut dijalinkan pada masa sama bakal memberi faedah kepada pihak universiti terutamanya pelajar sebagai pendedahan kepada bidang yang bakal mereka ceburi kelak. "Kerjasama universiti dan industri ini dilihat dapat membuka peluang untuk para pelajar mendalami ilmu sebenar dalam bidang berkenaan selain membantu pihak industri itu sendiri mendapatkan tenaga kerja mahir dalam bidang yang diperlukan," jelasnya. |
Kota Simpang 'lubuk' udang galah Posted: 05 Jun 2013 11:45 AM PDT Oleh FADZLY IZAB ALOR GAJAH 5 Jun - Nama Kota Simpang di Sungai Rembau-Linggi mungkin sudah tidak asing bagi para penggemar serta kaki pancing udang di negeri ini termasuk jiran, Negeri Sembilan. Ini adalah kerana, perairan sungai yang menjadi punca rezeki kepada lebih 300 nelayan dari kawasan tersebut termasuk beberapa kawasan berhampiran mempunyai 'hasil' udang galah dan udang kertas yang banyak selain rasanya yang lebih enak. Maka tidak hairanlah 'lubuk' udang ini semakin mendapat perhatian dan digilai kaki pancing udang dari merata tempat termasuk dari Kuala Lumpur serta beberapa kawasan lain. Sungai itu merupakan pemisah kepada Melaka dengan Negeri Sembilan dan kawasan udang tersebut telah wujud sejak tahun 1950-an lagi di mana ia kini semakin popular disebabkan pengunjung yang datang tidak pulang tangan kosong. Lokasinya terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar Melaka dan hanya 25 kilometer dari Pekan Port Dickson, Negeri Sembilan yang menjadikannya kawasan paling strategik bagi aktiviti berkenaan. Dahulunya, kawasan ini hanyalah menjadi tempat menjana punca rezeki bagi para nelayan tempatan termasuk dari Kampung Sungai Timun, Pengkalan Kempas, Lubok Cina, Ramuan Cina Besar, Ramuan Cina Kecil dan Paya Lebar. Namun, fungsinya kini lebih meluas malah boleh dianggap sebagai daya tarikan baharu kepada para pengunjung terutamanya kaki pancing untuk ke Melaka. Malah jika dikomersialkan, kawasan ini mungkin boleh diangkat menjadi salah satu daya tarikan pelancong ke negeri bersejarah ini pada masa akan datang. Udang galah ini mempunyai potensi tinggi dalam pasaran kerana harganya yang tinggi malah boleh mencecah antara RM50 hingga RM70 sekilogram dan saiznya boleh mencecah seberat 500 gram seekor. Seorang nelayan tempatan, Zainal Md. Ali, 62, berkata, selain dua jenis udang tersebut yang banyak terdapat di Kota Simpang, terdapat tiga lagi jenis udang lain yang boleh ditemui ialah udang gantung, udang langgai dan udang geragau. "Nelayan di kawasan ini masih menggunakan cara tradisional iaitu menggunakan jala tebar untuk menangkap udang galah dan udang kertas selain boleh dipancing dan ditangkap melalui kaedah menikam. "Udang galah mudah untuk ditangkap kerana ia tinggal di kawasan air cetek iaitu antara kedalaman dua hingga tiga kaki. "Oleh itu, jala bersaiz sederhana sebesar lapan hingga 13 kaki diperlukan," jelasnya ketika ditemui di sini hari ini. Manakala bagi udang kertas pula katanya, haiwang berkenaan tinggal di kawasan yang lebih dalam antara 13 hingga 25 kaki dan memerlukan jalan yang lebih besar untuk menangkapnya. "Kedua-dua jenis udang yang hidup di kawasan air payau iaitu di antara air laut dan air sungai ini ditangkap menggunakan umpan hampas kelapa masam yang diletakkan di hujung sungai yang mempunyai laluan air tidak deras. "Masa paling sesuai untuk menangkap udang ini adalah semasa air surut iaitu antara pukul 10 pagi hingga 2 petang dan udang ini paling banyak didapati pada awal Jun," ujarnya. Tambahnya, kebanyakan hasil tangkapan udang ini adalah untuk dipasarkan di sekitar Melaka dan Negeri Sembilan selain menjadi makanan kepada para nelayan sendiri. "Keunikan udang galah dan udang kertas di Kota Simpang ini adalah disebabkan rasanya yang lebih manis dan enak berbanding udang di kawasan lain kerana mendapat lebih banyak air masin. "Keenakan rasa udang ini, ramai yang sering mencarinya dan mereka sanggup datang dari jauh semata-mata untuk mendapatkan udang tersebut dengan tangan mereka sendiri," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |