Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Faktor genetik bukan punca anak berbulu
- Curi kabel TNB aktif di Bachok
- Makanan tradisi jadi produk pelancongan
Faktor genetik bukan punca anak berbulu Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT Oleh TOREK SULONG NURUL Afida Batrisya Razi bersama Razi Mohd. Nor dan Asliza Omar di Kampung Changgong, Bachok, Kelantan, baru-baru. BACHOK 2 Jun - Bapa kepada kanak-kanak berbulu di Kampung Changgong dekat sini, tidak yakin penyakit ganjil yang menimpa anaknya, Nurul Afida Batrisya, 5, disebabkan genetik atau keturunan. Razi Mohd. Nor, 38, berkata, salasilah keturunannya dan isterinya mendapati tiada yang dilahirkan berbulu lebat sebagaimana yang dialami oleh anak ketiganya itu. Bapa kepada tiga anak itu sebaliknya menganggap apa yang berlaku ke atas Nurul Afida Batrisya mempunyai rahmat tersendiri yang terpaksa ditanggung oleh mereka suami isteri. Empat bulan lepas saya dan isteri, Aliza Omar, 31, dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk ujian darah bagi mengkaji punca kenapa anak saya menghadapi pertumbuhan bulu luar biasa. Namun begitu, sehingga kini belum ada sebarang keputusan dimaklumkan kepada kami," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini. Sebelum ini, pakar kulit klinik swasta di Klang, Selangor, Dr. Ko Chung Beng ketika mengulas penyakit itu berkata, kanak-kanak perempuan itu menghidap penyakit Hypertrichosis disebabkan keturunan atau genetik yang boleh dirawat dengan kaedah laser di hospital atau klinik. Katanya, kos rawatan bergantung kepada mesin yang digunakan dan sekitar RM1,000 hingga RM4,000 bagi setiap sesi rawatan. Sehubungan itu, Razi berkata, keluarganya yang hanya bergantung kepada hasil tangkapan ikan kira-kira RM500 sebulan tidak berkemampuan berbuat demikian. Katanya, tawaran sama turut diberikan pakar HRPZ II iaitu menggunakan kaedah laser namun ditolak kerana khuatir Nurul Afida Batrisya akan menerima kesan sampingan kerana masih lagi kanak-kanak. Menurutnya, kenyataan Dr. Chung Beng adalah sama dengan apa yang dicatatkan dalam surat sokongan pakar daripada Jabatan pediatrik HRPZ 11 yang dipohonnya bagi membolehkan Nurul Afida Batrisya ditempatkan di kelas Program Pendidikan Integrasi Khas (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Kemudi awal tahun ini. Apa pun saya masih berpegang perkara ini masih dalam proses kajian pakar serta adalah anugerah Allah. Nurul Afida Batrisya sehingga kini dalam keadaan sihat dan kali terakhir kami hantar ke wad HRPZ 11 pada November tahun lalu kerana penyakit lelah yang kronik," katanya. |
Curi kabel TNB aktif di Bachok Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT Oleh TOREK SULONG BACHOK 2 Jun - Kegiatan mencuri kabel elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) semakin berleluasa di daerah ini, meskipun pelbagai kempen kesedaran mengenai risiko kegiatan itu yang boleh membawa maut dilakukan. Sehubungan itu, Pengurus TNB Bachok, Ismail Hamzah menyeru orang ramai memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat jika terserempak dengan kegiatan tersebut atau mengesan aktiviti mencurigakan. "Maklumat ini penting bagi tindakan segera membanteras kegiatan kecurian harta milik TNB. "Maklumat awal adalah perlu bagi membolehkan kami meningkatkan kerjasama dan merancang strategi dengan pihak polis untuk mencekup penjenayah," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini. Menurut Ismail, TNB yakin kes kecurian kabel elektrik semakin meningkat disebabkan wujud pasaran tinggi terhadap logam tembaga. Beliau berkata, individu atau kumpulan terbabit yang menjalankan kegiatan itu sanggup mempertaruhkan nyawa mereka untuk mendapatkan logam berkenaan dan tidak menafikan kemungkinan penjenayah terbabit turut mempunyai kepakaran berkaitan elektrik. "Sindiket ini kebanyakannya mencuri dawai tembaga pembumian milik TNB di kawasan kampung sebagai sasaran baharu mereka selepas kabel telekom yang menjadi perhatian mereka untuk dicuri sebelum ini semakin susut. "Kegiatan ini dilihat semakin berleluasa sejak selesai Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan daerah ini antara lokasi yang menjadi tumpuan selain Pasir Mas dan Tumpat. "Lazimnya kecurian ini berlaku pada waktu siang," katanya. |
Makanan tradisi jadi produk pelancongan Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT KOTA BHARU 2 Jun - Hotel Grand River View (GRV) mahu menjadikan makanan tradisional negeri ini sebagai salah satu produk terbaharu mereka dalam usaha menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara berkunjung ke negeri ini. Pengarah Pemasaran GRV, Raja Rusmin Raja Mahmud berkata, masih banyak lagi makanan tradisonal di negeri ini yang kurang popular dalam kalangan pengunjung, namun mempunyai nilai pasaran sekiranya dipromosi dengan sebaiknya. "Kelantan sememangnya popular dengan makanan tradisonal antaranya nasi kerabu, puteri mandi, lompat tikam dan sebagainya. Namun begitu, masih terdapat makanan tradisional yang kurang popular seperti pinang tapai dan pulut ikan. "Jadi, pihak kami mengambil inisiatif dengan menjadikan makanan tradisional ini sebagai antara menu yang terdapat di GRV. "Terbaharu kami akan cuba mengetengahkan sejenis pencuci mulut yang masih belum popular dalam kalangan masyarakat iaitu pinang tapai," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Raja Rusmin berkata, pihak hotel juga sedang mengolah resipi tersebut untuk menjadikannya sebagai salah satu pencuci mulut yang mampu dipasarkan ke peringkat antarabangsa. Beliau memberitahu, pihaknya turut menyediakan demonstrasi memasak makanan tradisonal itu bagi membolehkan para pelancong menyaksikan sendiri bagaimana ia disediakan. "Secara tidak langsung, ia menarik minat para pelancong untuk melihat bahan-bahan yang digunakan selain mencuba sendiri memasak makanan tersebut," ujarnya. Dalam perkembangan lain, beliau berkata, GRV bersedia memberi kerjasama sepenuhnya dalam aspek mempromosikan Kelantan sebagai salah satu destinasi utama pelancongan di negara ini. Tegasnya, ini adalah salah satu inisiatif pihaknya dalam memajukan lagi sektor industri pelancongan tempatan. "Pihak kami bersedia menghulurkan kepakaran yang kami ada dalam menyemarakkan lagi industri pelancongan di negara ini," jelasnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |