Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Iktibar daripada asap jerebuOleh Adlan Jaafar DAERAH Muar, Johor begitu sebati dengan Khatijah Atan, 58. Dia dilahirkan dan dibesarkan di daerah itu, harga makanan yang berpatutan di Muar menjadikan ia tempat yang sesuai untuk didiami. Hasil pemerhatian wanita itu yang mendiami Muar sejak kecil mendapati, terdapat perubahan pada kitaran musim, walaupun tidak ketara, tetapi masih boleh dirasai. Malah, musim buah-buahan yang sentiasa berbuah mengikut masa iaitu sekitar bulan Disember setiap tahun mula terganggu apabila buah yang tidak sepatutnya berbuah pada bulan Julai boleh dirasai pada waktu itu. Darurat jerebu yang diisytihar pada 23 Jun lalu benar-benar mengejutkannya, boleh dikatakan ia merupakan bencana paling teruk dirasai sepanjang menetap di Muar. Bayangkan, cabang-cabang jalan raya di pusat bandar Muar yang sentiasa sesak setiap hujung minggu sehingga mahu melintas jalan pun sudah menjadi lenggang sebaik bencana melanda, ceritanya. Ketika melalui Jambatan Sultan Ismail, suasana muara sungai di kiri dan kanan jambatan langsung tidak kelihatan. "Habuk-habuk yang tertinggal di lantai dan permukaan barang sangat tebal walaupun di dalam rumah. Mata dan tekak terasa pedih, makan pula terpaksa dalam keadaan berjerebu. "Habuk-habuk yang tinggal masuk dalam rumah biarpun tingkap dan pintu sudah ditutup," kata Khatijah yang terpaksa bekerja seperti biasa semasa musim jerebu. Sepanjang tempoh jerebu iaitu sekitar tujuh hari, banyak kedai ditutup. Namun, bagi Khatijah dia perlu bekerja seperti biasa dengan memakai topeng muka dan penutup mulut. Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh daerah Muar dan Ledang, Johor melebihi tahap kecemasan pada pukul 7 pagi pada 23 Jun 2013 sekali gus memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan darurat. Bacaan IPU di kedua-dua tempat itu melebihi paras kecemasan 500 iaitu masing-masing pada bacaan 746 dan 690. Namun, darurat ditarik semula pada keesokkan harinya. Kerosakan alam sekitar Bagi Khatijah pula, dia tiba-tiba teringat pesan Allahyarham ibunya, Habsah Sulaiman semasa dia kanak-kanak bahawa dunia ini semakin mengecil setiap hari antara langit dan bumi. Maka, keadaan dunia semakin sempit dan hampir sampai ke penghujung, manakala asap yang terhasil di dunia tidak dapat pergi jauh tinggi ke langit atas. "Jerebu begini menunjukkan ada benarnya kata-kata orang tua-tua mengenai alam sekitar walaupun kedengaran tidak masuk akal," luah Khatijah mengenang arwah ibunya. Kata-kata ibunya itu mengingatkan manusia supaya memelihara alam sekitar dan tidak melakukan kerosakan. Kerosakan berlaku di mana-mana kini, malah orang sekarang menanam sayur-sayuran pun menggunakan racun rumpai yang pelbagai jenis. Bencana jerebu menurut pandangan Islam dikaitkan dengan tanda-tanda kiamat. Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Azrina Sobian, 39, berkata, terdapat hadis riwayat Muslim yang mengatakan jerebu adalah salah satu tanda kiamat. Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: "Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya. "Asap, dajal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelam, turun Isa bin Maryam A.S, Yakjuj dan Makjuj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat serta yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali ialah api keluar dari negeri Yemen yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar." Asap terhasil daripada gas yang kelihatan akibat proses pembakaran dan kepulan partikel asap yang terapung lalu menyebabkan jerebu. "Dalam al-Quran surah ad-Dukhaan ayat 10 dan 11 yang menyebut tentang asap. Namun, dalam menentukan jerebu yang berlaku merupakan tanda-tanda kiamat memerlukan penafsiran ayat yang teliti. "Ia juga perlu dilihat pada konteks ayat dan waktu semasa diturunkan," ujar Azrina ketika ditemui di IKIM, Jalan Duta, Kuala Lumpur. Peringatan Allah Ayat itu menerangkan tentang peristiwa musim kemarau dan kebuluran yang telah menimpa kaum musyrik di Mekah sehingga memandang langit berasap kerana tersangat lapar. Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian dan direnungi manusia setiap kali musibah seperti jerebu berlaku. Bencana merupakan sebuah peringatan daripada Allah sesuai dengan fitrah manusia yang mudah lupa, akui Azrina. Malah, setiap yang berlaku yang muka bumi ini seperti terjadinya malam dan siang merupakan peringatan kepada insan mengenai kekuasaan Allah. "Bencana alam terjadi secara semula jadi atau berlaku campur tangan manusia. Letusan gunung berapi, musim panas dan angin bertiup kencang berlaku secara semula jadi. "Campur tangan manusia telah menyebabkan keadaan bencana menjadi lebih teruk lagi," kata Azrina yang mempunyai sarjana dalam bidang ekonomi alam sekitar dari Jepun. Menurut pensyarah Lincoln University College, Prof. Madya Dr. Zarihah Mohd. Zain, keadaan berjerebu terjadi apabila partikel yang pelbagai saiz terapung di ruang udara dan berkumpul dalam jumlah banyak. Partikel asap yang terapung di udara sememangnya ada dalam persekitaran akibat pencemaran daripada kenderaan dan rokok, tetapi campur tangan manusia yang malas serta rakus membakar hutan, maka terjadilah jerebu. Bencana alam yang berlaku disebabkan oleh perbuatan manusia sendiri telah pun disebut dalam al-Quran, Surah ar-Ruum, ayat 41. Ayat itu secara jelas menyatakan, bala bencana yang berlaku sama ada di darat atau laut sebagai balasan atas perbuatan buruk manusia sekali gus menginsafi diri. Kata Dr. Zarihah, jerebu yang terjadi bulan Jun lalu menunjukkan bahawa manusia tidak pernah belajar atau mengambil iktibar walaupun ia sudah berlaku berkali-kali. Kejadian jerebu yang berlaku melibatkan sempadan antarabangsa dan memerlukan persefahaman yang tinggi bagi kedua-dua belah pihak. Memang terdapat perbincangan yang berlaku sebelum ini, bagaimanapun seolah-olah seperti tiada kata putus dalam menangani isu itu. Selain itu, langkah alternatif untuk menggantikan teknik pertanian yang banyak digunakan di negara-negara membangun iaitu bakar dan tanam mungkin menjadi masalah, ujar Dr. Zarihah. "Jepun merupakan negara mampu diri dari segi penghasilan beras, tetapi para petani di sana tidak pernah membakar jerami. "Sebaliknya, jerami-jerami padi dijadikan produk lain seperti tikar tradisional, tatami," katanya yang menceritakan pengalaman hasil pemerhatian ketika dia belajar di sana. Berlakunya masalah alam sekitar menjadi petanda bahawa kita tidak mengikut prinsip agama Islam. Malah dalam surah Hud, ayat 61 menerangkan dengan jelas tentang tugas manusia dalam memakmurkan Bumi. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |