Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- RM150j pulih jalan kampung
- Jaga kebersihan bazar Ramadan - Sultan Ibrahim
- PKMMNJ kecewa kontraktor tempatan kurang diberi peluang
Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED Asiah Md. Ariff (tengah) bergambar bersama pemenang Anugerah Desa Cemerlang di Parit Raja, Batu Pahat, Johor, kelmarin. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Asiah Md. Ariff berkata, jumlah perbelanjaan yang tinggi itu membuktikan komitmen kerajaan dalam membela penduduk luar bandar supaya mereka tidak ketinggalan dalam merasai kemudahan yang ada. Menurutnya, walaupun pelbagai pembangunan dilaksana di kawasan bandar terutama di Johor Bahru namun kerajaan sentiasa menyediakan peruntukan bagi membela kepentingan penduduk luar bandar atau kampung khususnya. "Bagi perbelanjaan jalan raya di kampung-kampung sahaja kerajaan membelanjakan sebanyak RM150 juta setahun, bukan sekadar membina jalan baharu, tetapi menurap semula dan melebarkan jalan. "Kadang-kadang, kerajaan terpaksa membaiki jalan kampung yang sama dalam tempoh hanya beberapa tahun demi melayan kehendak penduduk yang tidak selesa dengan keadaan jalan kampung mereka yang mungkin rosak atau sempit akibat penambahan pengguna," katanya ketika menemui penduduk di Parit Raja di sini semalam. Beliau berkata, selain itu, Kerajaan Pusat turut memberi perhatian serius membela penduduk luar bandar dengan menambah jumlah lampu jalan kampung daripada 10 batang setiap kampung kepada 30 batang. Katanya, penambahan 20 batang lampu di setiap kampung bukan perkara baharu kerana diputuskan Menteri Kabinet Mac tahun lalu dan perkara itu membuktikan komitmen sesebuah kerajaan. "Oleh itu, penduduk kampung perlu terus memberi kepercayaan dan sokongan kepada pucuk pimpinan negeri dan seluruh agensi kerajaan yang menjadi tenaga pelaksana dasar kerajaan agar pembangunan holistik dapat dilaksanakan demi mencapai Wawasan 2020. "Selain itu, penduduk kampung juga disarankan bersatu dalam membangunkan kampung masing- masing agar negeri ini dapat menempa kejayaan lebih besar hasil daripada perpaduan yang wujud," katanya. |
Jaga kebersihan bazar Ramadan - Sultan Ibrahim Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT JOHOR BAHRU 10 Julai - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar (gambar) menasihatkan pihak berkuasa tempatan dan para peniaga di negeri ini bersama-sama menjaga kebersihan di tapak jualan bazar Ramadan. Baginda yang mencemar duli meluangkan masa hampir setengah jam di bazar Ramadan di Larkin di sini hari ini memahami masalah penjagaan kebersihan namun berharap dapat dikawal secara bersama. "Bila ada majlis-majlis begini memang ada sampah sikit, saya harap pihak berkuasa dan peniaga dapat bersama-sama menjaga kebersihan. "Setiap tahun saya pergi ke bazar dan esok saya akan ke Kluang pula serta daerah-daerah lain," titah baginda. Sultan Ibrahim turut mencemar duli dengan melawat gerai-gerai jualan di bazar tersebut selain turut membeli pelbagai juadah berbuka puasa. Sementara itu, peniaga kuih, Raja Kalsum Raja Aziz, 56, berkata, dia tidak menyangka dapat bertemu Sultan Johor pada hari pertama puasa tahun ini. "Rasa gembira sangat kerana baginda turut berkenaan membeli juadah saya meskipun yang tinggal hanyalah kuih bakar pandan," katanya. |
PKMMNJ kecewa kontraktor tempatan kurang diberi peluang Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT JOHOR BAHRU 10 Julai - Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Johor (PKMMNJ) mendakwa kontraktor tempatan kurang diberi peluang dalam projek pembangunan mega yang sedang rancak dilaksanakan di negeri ini. Menurut Yang Dipertua PKMMNJ, Ir. Mahmood Amir, kebanyakan projek mega khususnya di Iskandar Malaysia lebih banyak memberi peluang kepada orang luar berbanding kontraktor tempatan. Beliau berkata, kebanyakan mereka hanya menjadi penyeri majlis apabila kerajaan melancarkan projek baharu bernilai berbilion ringgit sedangkan manfaat sebenar dinikmati oleh orang luar. "Semua mengetahui bahawa projek pembangunan Iskandar Malaysia bernilai berbilion ringgit, tetapi kami tidak mendapat sebarang manfaat daripadanya. Kalau ada pun kontraktor Melayu hanya mendapat kerja yang kecil nilainya dan bayaran yang diterima pula kadangkala lewat sehingga tujuh bulan. "Hasil perbincangan yang dijalankan, kami berharap dapat diberikan peluang yang lebih baik selain proses pembayaran bagi kerja-kerja dapat dilunaskan segera," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PKMMNJ di Taman Universiti, Skudai dekat sini semalam. Mahmood turut melahirkan kekesalan terhadap Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) bernilai RM60 bilion di Pengerang, Kota Tinggi kerana kontraktor Melayu di negeri ini tidak diberi peluang untuk terlibat. Beliau mendakwa, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) bersikap terlalu 'eksklusif' dalam merancang projek tersebut sehingga tidak memberikan sebarang maklumat yang membolehkan kontraktor tempatan untuk menyertainya. "Kita mungkin tidak mempunyai kepakaran untuk melakukan kerja- kerja berprofil tinggi seperti bidang petrokimia tetapi kami boleh melakukan kerja-kerja melibatkan penyediaan infrastruktur. "Sebagai sebuah syarikat milik kerajaan, mereka seharusnya sedar bahawa orang Melayu akan terus ketinggalan sekiranya berterusan begini. Kita pernah bangkitkan perkara ini kepada kerajaan negeri sebelum ini, tetapi tidak membuahkan sebarang hasil," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |