Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Lesen sampan khas dibekukan
- PKNNS bangun projek Dataran Usahawan bernilai RM6.5 juta
- 'Azam Tani ubah nasib kami'
Posted: 05 Jul 2013 11:04 AM PDT Oleh AMRAN MULUP NELAYAN dan petani menunjukkan piala dan sijil masing-masing selepas menerima Anugerah Azam Tani Terbaik pada program penyerahan sijil kelulusan lesen sampan khas, pentauliahan ketua komuniti perikanan dan penyampaian Anugerah Peserta Azam Tani Terbaik Peringkat Negeri 2013 di Ayer Keroh, Melaka, semalam. MELAKA 5 Julai - Jabatan Perikanan membekukan permohonan baharu lesen sampan khas khusus untuk nelayan pesisir pantai, berkuat kuasa 1 Julai lalu. Ketua Pengarahnya, Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata, tindakan membekukan pengeluaran lesen itu bertujuan mengimbangi pertambahan nelayan pesisir pantai dengan sumber ikan di perairan negara yang semakin terhad. Menurutnya, jika pemberian lesen baharu itu tidak dikawal dan nelayan pesisir pantai semakin bertambah, secara tidak langsung akan menjejaskan sumber pendapatan nelayan itu sendiri. "Pemberian lesen sampan khas dibekukan buat sementara waktu kerana kita lihat jumlah nelayan pesisir pantai semakin bertambah sedangkan sumber ikan di perairan negara sangat terhad. "Justeru, kita perlu buat kajian semula dari segi pendapatan harian nelayan secara purata, spesies ikan yang didaratkan, hasil tangkapan setahun dan sebagainya sebelum pembekuan lesen ini ditarik balik. "Jika hasil kajian mendapati sumber ikan tidak mampu menampung jumlah nelayan, mungkin permohonan lesen ini akan ditutup terus," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan sijil kelulusan lesen sampan khas, pentauliahan Ketua Komuniti Perikanan (KKP) dan penyampaian Anugerah Peserta Azam Tani Terbaik peringkat negeri di sini hari ini. Majlis tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman yang turut dihadiri Pengarah Perikanan negeri, Rosmawati Ghazali. Ahamad Sabki berkata, pihaknya akan membuat kajian terperinci untuk menilai prestasi nelayan pesisir pantai dengan mengambil kira dari segi sumber pendapatan dan sumber ikan yang sedia ada. Beliau menambah, itu adalah satu kaedah bagi memastikan sumber ikan di perairan negara diuruskan dan diagihkan kepada nelayan. "Kita ingin pastikan nelayan memperoleh pendapatan melepasi garis kemiskinan dan oleh itu kita perlu kawal pertambahan nelayan dengan sumber ikan terhad," ujarnya. Menurutnya, permohonan lesen sampan khas diperkenalkan oleh Jabatan Perikanan sejak 2008 berikutan polisi kerajaan yang memberhentikan proses pengeluaran lesen tersebut sejak 1983. Beliau berkata, sejak 2008 hingga 31 Jun lalu, pihaknya meluluskan 4,000 lesen sampan khas kepada nelayan pesisir pantai seluruh negara dan bagi nelayan di Melaka, sebanyak 37 lesen telah diluluskan. |
PKNNS bangun projek Dataran Usahawan bernilai RM6.5 juta Posted: 05 Jul 2013 11:04 AM PDT Mohd. Yusof SEREMBAN 5 Julai - Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) bakal membangunkan projek pembinaan Dataran Usahawan dengan kos bernilai RM6.5 juta yang dijangka siap pada pertengahan tahun depan. Ketua Eksekutifnya, Datuk Mohd. Yusof Yunus berkata, pelaksanaan projek berkenaan bertujuan bagi menyediakan sebuah lokasi kondusif kepada orang ramai untuk membeli-belah barangan berjenama premium di negeri ini. "Dataran ini akan menempatkan ruang niaga kepada usahawan yang menawarkan barangan berjenama kepada pembeli yang kita sasarkan daripada golongan pertengahan sehingga berpendapatan tinggi. "Kita yakin dataran ini akan menjadi sebagai salah satu daya tarikan orang ramai ke negeri ini yang bakal dikunjungi bukan sahaja pengunjung dari dalam malah dari luar negeri ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Ibu Pejabat PKNNS di sini hari ini. Jelas Mohd. Yusof, pembinaan dataran tersebut akan menawarkan alternatif kepada penduduk negeri ini untuk mendapatkan barangan berjenama yang sebelum ini lebih gemar untuk membelinya di Lembah Klang. "Ini bermakna pusat ini mampu menawarkan kepelbagaian barangan jenama yang sememangnya diakui amat terhad penawarannya di sekitar negeri ini. "Sebelum ini mereka (penggemar barangan berjenama) di negeri ini terpaksa ke Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang bagi mendapatkannya terutama terhadap barangan berjenama keluaran terkini termasuk edisi terhad," ujarnya. Mengulas lanjut berhubung dataran berkenaan, beliau memberitahu, projek yang dibangunkan di atas tanah seluas 0.8 hektar itu bakal menempatkan sebanyak 22 ruang niaga kepada usahawan tempatan. "Projek yang dijalankan melalui peruntukan Kementerian Kewangan bermula bulan ini dan dijangkakan siap dalam tempoh 15 bulan. "Selain ruang niaga, dataran ini turut dilengkapi dengan ruang tempat letak kereta yang kondusif dan kawasan yang luas untuk pengunjung bersantai," katanya. Tambah beliau lagi, upacara perasmian pecah tanah tapak projek tersebut akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan di Seremban 2 esok. |
Posted: 05 Jul 2013 11:04 AM PDT A. RAHMAN, Mohd. Hanafi, Shamdiah Jaafar MELAKA 5 Julai - Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Itulah prinsip yang dipegang oleh 10 peserta yang menerima Anugerah Peserta Azam Tani Terbaik Melaka. Kegigihan mereka sejak menyertai program Azam Tani telah mengubah kehidupan menjadi usahawan berjaya, selain mampu memperoleh pendapatan melebihi RM2,000 sebulan. Bagi mereka, usaha kerajaan memperkenalkan program Azam Tani itu banyak membantu meningkatkan taraf hidup berbanding sebelum ini. Seorang peserta, A. Rahman Md. Nasir, 47, berkata, sejak menyertai program Azam Tani dengan mengusahakan tanaman serai di Ayer Molek, dia kini mampu memperoleh sekitar RM7,000 sebulan. Menurutnya, dia tidak menyangka program yang disertainya pada 2012 membawa perubahan kepada kehidupannya. Saya tidak pernah impi untuk memperoleh RM7,000 sebulan tetapi melalui bantuan Azam Tani, projek serai yang saya usahakan memberikan kehidupan lebih baik," katanya ketika ditemui di sini hari ini. A. Rahman adalah seorang daripada 10 peserta yang menerima Anugerah Peserta Azam Tani Terbaik Melaka disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman. Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood dan Pengarah Perikanan negeri, Rosmawati Ghazali. Bagi Mohd. Hanafi Nordin, 48, program itu banyak membantu mengubah kehidupannya sejak menceburi bidang ternakan ikan tilapia dan kambing boer di Kampung Brisu, Alor Gajah. Dulu pendapatan saya tidak seberapa tetapi melalui pelbagai bantuan yang diperoleh melalui Azam Tani, bidang yang saya usahakan berjaya menghasilkan pendapatan lebih baik," katanya. Menurut Mohd. Hanafi, tiga kolam ikan tilapia dan 70 ekor kambing boer membolehkannya memperoleh pendapatan melebihi RM2,000 sebulan. Seorang lagi peserta, Shamdiah Jaafar, 37, berkata, program Azam Tani tersebut telah banyak mengubah kehidupannya yang dahulu hanya sebagai pembantu kedai. Katanya, melalui bantuan daripada program Azam Tani, dia mendapat sebuah kiosk dan peralatan mesin membuat keropok lekor di Cheng. Sejak menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan dan dibantu oleh Azam Tani, keropok lekor yang saya hasilkan kini mendapat pasaran yang lebih baik," ujarnya. Katanya, kini dia mampu menarik nafas lega apabila memperoleh pendapatan melebihi RM3,000 sebulan berbanding hanya RM600 sewaktu bekerja sebagai pembantu kedai dahulu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |