Kosmo Online - Dunia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Dunia |
- Imej mangsa feri karam didedah
- 200 orang cedera nahas tren bawah tanah di Seoul
- Seorang anggota polis Mesir maut
Imej mangsa feri karam didedah Posted: Imej mangsa feri karam didedahSEOUL - Satu rakaman telefon bimbit berkamera yang memaparkan sekumpulan pelajar berada di atas feri Sewol beberapa minit sebelum ia terbalik dan karam menunjukkan mereka bergelak ketawa dan berjenaka tentang kapal Titanic yang karam di Lautan Atlantik. Klip video itu dirakam oleh seorang pelajar berusia 17 tahun yang mayatnya kemudian ditemui bersama telefon bimbitnya di dalam feri tersebut. "Tolong, selamatkan saya," kata seorang pelajar lelaki secara berjenaka manakala seorang pelajar lain menyatakan klip video tersebut menyeronokkan untuk dimuat naik ke laman perkongsian sosial Facebook. AP - RAKAMAN video itu juga menunjukkan seorang pelajar (dalam bulatan) berbual dengan rakannya. "Suasana kini seperti di atas kapal Titanic," kata seorang lagi rakan mereka ketika feri Sewol mula senget. Perakam waktu dalam telefon bimbitnya menunjukkan pelajar berkenaan, Park Su-Hyeon mula merakam klip video itu pada pukul 8.52 pagi pada 16 April lalu, beberapa minit sebelum kru Sewol menghantar isyarat kecemasan pertama. Rakaman itu diserahkan kepada media Korea Selatan oleh bapa mangsa. Wajah pelajar-pelajar terbabit pula dikaburkan untuk menyembunyikan identiti mereka. Ketika rakaman itu dilakukan, kedengaran arahan melalui pembesar suara yang meminta para penumpang supaya berada di lokasi mereka. Feri itu karam di luar pantai Jindo, Korea Selatan.
Dalam pada itu, kapten feri berkenaan, Lee joon-seok bersama 14 krunya telah ditangkap dengan mereka turut dikecam kerana menangguhkan arahan meninggalkan feri sehingga kenderaan laut itu terlampau senget yang menyebabkan hampir mustahil untuk para penumpang menyelamatkan diri. Feri itu membawa 476 orang dengan 325 daripada mereka terdiri daripada pelajar sebuah sekolah tinggi yang menganjurkan lawatan sambil belajar ke pulau peranginan Jeju, di selatan negara itu. Setakat semalam, angka kematian rasmi tragedi tersebut adalah seramai 226 orang manakala 76 mangsa masih hilang. - AFP | |
200 orang cedera nahas tren bawah tanah di Seoul Posted: 200 orang cedera nahas tren bawah tanah di Seoul AP SEOUL - Sebanyak 200 orang cedera selepas sebuah tren bawah tanah bertembung dengan tren lain di Seoul semalam. Kejadian itu menambah satu lagi episod malang yang berlaku ke atas Korea Selatan hanya dalam tempoh dua minggu. Bagaimanapun, tiada orang yang terbunuh apabila tren berkenaan merempuh tren lain di sebuah stesen bawah tanah. Korea Selatan pada masa ini masih berkabung ekoran kemalangan feri pada 16 April lalu yang menyebabkan 226 daripada 476 orang mati manakala 76 mangsa masih hilang. Dalam nahas tren pada waktu tengah hari semalam itu, kebanyakan penumpang mengalami luka ringan manakala seorang mengalami pendarahan otak. Seorang pegawai kecemasan di stesen Sangwangsimni di timur Seoul berkata, seorang lagi mangsa mengalami keretakan tulang. Menurut seorang pegawai Metro Seoul, Chung Soo-young, nahas itu disebabkan oleh kegagalan isyarat dikeluarkan menyebabkan tren tersebut merempuh sebuah tren lain. "Saya tercampak mungkin dua atau tiga meter. Ia seperti kita tiba-tiba tersadung ketika kita berlari terlalu laju," kata seorang pekerja yang menaiki tren itu , Lee Dong-hyeon, 26. Kira-kira 4.5 juta penumpang menggunakan tren di Seoul pada setiap hari. - Reuters | |
Seorang anggota polis Mesir maut Posted: Seorang anggota polis Mesir mautREUTERS KAHERAH - Seorang anggota polis dan tentera terbunuh dalam satu letupan bom di sini semalam, beberapa jam sebelum kempen pilihan raya Presiden bermula yang dijangka akan dimenangi oleh bekas ketua tentera Mesir, Abdel Fattah al-Sisi. Sejak kebelakangan ini, kumpulan militan melancarkan gelombang serangan dengan menjadikan pasukan keselamatan sebagai sasaran sejak Al-Sisi menumbangkan Presiden Mohammed Morsi pada Julai lalu. Pihak tentera Mesir menubuhkan sebuah kerajaan sementara yang menggunakan kekerasan untuk mematahkan penentangan yang dilancarkan para pengikut Morsi dan pergerakan Ikhwanul Muslimin yang menyokongnya. Dalam pada itu, jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Hany Abdel Latif berkata, sebutir bom itu meletup di pondok polis dekat sebuah bangunan mahkamah di daerah Heliopolis, utara bandar raya ini yang menyebabkan seorang anggota polis terbunuh manakala empat lagi cedera. Kementerian berkenaan kemudian memberitahu bahawa bom tersebut telah disembunyikan di dalam sebuah lampu isyarat di lokasi kejadian. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |