Kosmo Online - Dunia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Dunia |
- Pakar kaji semula data penerbangan MH370
- Tentera Ukraine, kumpulan pro-Rusia bertempur
- Bina menara roti setinggi 15 meter
Pakar kaji semula data penerbangan MH370 Posted: Pakar kaji semula data penerbangan MH370
CANBERRA - Satu panel pakar antarabangsa akan meneliti semula semua data yang dikumpul sepanjang misi mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak dua bulan lalu, kata para pegawai semalam. Penelitian semula terhadap semua data termasuk laluan penerbangan pesawat itu dilakukan bagi memastikan pasukan mencari berada di lokasi carian yang betul. Pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pengangkutan China, Yang Chuantang berada di sini semalam untuk berjumpa dengan para pegawai Australia bagi merancang misi seterusnya pencarian pesawat berkenaan. Australia diwakili Menteri Pengangkutan, Warren Truss dan Ketua Pusat Penyelarasan Bersama Agensi (JACC), Angus Houston. Antara yang dibincangkan termasuklah meluaskan carian di dasar laut di satu kawasan terpencil di Lautan Hindi yang terletak di barat Australia. Lokasi tersebut menjadi tumpuan pasukan mencari selepas sekumpulan penganalisis meramalkan ia lokasi laluan pesawat berkenaan berdasarkan data satelit dan radar. Bagaimanapun, Houston berkata, bermula esok, data berkenaan akan dianalisis semula bersama semua maklumat yang dikumpul sepanjang operasi tersebut. Ketika ini tiada sebarang serpihan dijumpai sepanjang operasi mencari di satu lokasi di Lautan Hindi yang meliputi kawasan seluas 4.6 juta kilometer persegi. "Kami sampai di satu peringkat di mana sangat munasabah untuk melihat balik semua data yang dikumpul dan semua analisis yang dibuat bagi memastikan tiada sebarang kecacatan. "Kami mahu memastikan semua andaian adalah betul, semua analisis, kebarangkalian dan rumusan yang dibuat juga betul," katanya pada sidang akhbar di sini semalam. Ketika ini para penyiasat masih bercelaru kerana kekurangan data yang konkrit sejak pesawat jenis Boeing 777-200ER itu hilang pada 8 Mac lalu. Operasi mencari serpihan pesawat di permukaan laut dihentikan pada minggu lalu selepas para pegawai memutuskan bahawa sebarang serpihan yang terapung kemungkinan sudah tenggelam. Tambah Houston, operasi mencari pesawat itu yang kini ditumpukan di dasar laut mungkin mengambil masa hampir satu tahun. Pesawat Boeing 777-200ER itu hilang semasa membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ke Beijing, China selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Berdasarkan analisis radar tentera, pesawat itu berpatah balik dan dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi. - AP | |
Tentera Ukraine, kumpulan pro-Rusia bertempur Posted: Tentera Ukraine, kumpulan pro-Rusia bertempurSEKUMPULAN lelaki bersenjata pro-Rusia menaiki dua buah kereta perisai menuju ke bandar Slovyansk selepas berlaku pertempuran dengan tentera Ukraine di bandar itu semalam.- AP KIEV - Beberapa orang dilaporkan terbunuh dan cedera selepas askar Ukraine bertempur dengan kumpulan bersenjata pro-Rusia di beberapa lokasi di bandar Slovyansk timur negara itu. Kerajaan juga menghantar satu pasukan pengawal kebangsaan elit untuk memulihkan semula kawalan di bandar Odessa selepas berlaku kekacauan yang menyebabkan berpuluh orang terbunuh. Langkah itu dilihat sebagai usaha pihak berkuasa untuk mengembalikan semula kawalan di wilayah tersebut yang ditawan kumpulan bersenjata pro-Rusia sejak beberapa minggu lalu. Wartawan Associated Press melaporkan mereka terdengar bunyi tembakan dan beberapa siri letupan di sekitar bandar Slovyansk yang mempunyai seramai 125,000 orang penduduk. Bandar itu menjadi fokus kumpulan bersenjata pro-Rusia yang menentang kerajaan sementara di Ukraine. Menteri Dalam Negeri, Arsen Avakov dalam satu kenyataan memberitahu bahawa, kumpulan pro-Rusia membawa masuk senjata berat dan mortar ke wilayah itu. "Askar kerajaan berdepan dengan kira-kira 800 pemberontak dan ada yang cedera di kedua-dua pihak akibat pertempuran ini," katanya. Seorang jurucakap kumpulan pro-Rusia di Slovyansk berkata, terdapat beberapa orang terbunuh dan cedera dalam pertempuran tersebut termasuk seorang gadis berusia 20 tahun yang maut akibat terkena peluru sesat. Seorang wartawan Associated Press di Slovyansk melihat sekurang-kurangnya empat ambulans membawa mangsa yang cedera ke hospital dan seorang lelaki pro-Rusia cedera. - AP | |
Bina menara roti setinggi 15 meter Posted: Bina menara roti setinggi 15 meterBEBERAPA Bukit Roti kecil dipamerkan dalam Festival Roti di Hong Kong.- REUTERS HONG KONG - Penduduk beragama Buddha di sini membina beberapa buah menara daripada ribuan biji roti atau dipanggil Bukit Roti bagi meraikan sambutan Festival Roti yang disambut setiap tahun. Menara setinggi 15 meter itu diletakkan dengan ribuan roti berbentuk bulat yang ditulis dengan tulisan Cina, Ping An bermaksud ketenangan dan selamat. Sempena pesta itu, peserta pertandingan yang paling cepat naik ke puncak menara dikatakan akan mendapat kebahagiaan dan akan bernasib baik. Sambutan itu juga diadakan sebagai tanda memohon ketenangan kepada roh-roh yang tidak tenang termasuk semangat jahat. Perayaan itu turut diserikan dengan perarakan di mana para peserta akan mengenakan pakaian tradisi mereka termasuk persembahan tarian singa yang diiringi pukulan gong dan gendang. - REUTERS |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |