Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Norish mahu bergelar profesorGENAP berumur 40 tahun Ahad lalu, pelakon versatil Norish Karman mengakui hidupnya kini disaluti bahagia biarpun tidak sempurna seperti orang lain. Dia ibu tunggal. Namun, hidupnya terisi dengan anak-anak iaitu Muhammad Haqiem Armany, 14, Muhammad Hardy Amieran, 10, Putri Hany Amanda, 9 dan Haq Lutfie Alexander, 2. Dia tinggal di rumah yang cukup selesa. Dia juga mempunyai sumber pendapatan yang tidak putus-putus berkat menjadi pelakon, penyanyi, penceramah motivasi di universiti-universiti, dan ahli bisnes katering. "Pada usia 40 tahun ini, hidup saya bahagia. Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut. Kalau boleh, saya tidak mahu orang tahu tempat tinggal saya. Bukan sebab takut kepada stalker (penghendap) tetapi orang selalu salah faham. Bila kita janda dan boleh hidup di tempat seperti ini (kediaman mewah), orang akan cakap bukan-bukan. Seperti orang yang ada suami sahaja boleh tinggal tempat macam ini. "Namun itu semua tidak benar. Saya boleh tinggal di tempat sebegini sebab saya buat pelbagai jenis kerja. Alhamdulillah, tidaklah jadi jutawan tetapi boleh beri anak makan dan tempat tinggal yang selesa," tutur Norish ketika ditemui di rumahnya yang terletak di kawasan Mont Kiara, Kuala Lumpur, bersempena sambutan hari jadinya yang ke-40 Ahad lalu. Memilih tema sukan (sporty) untuk hari jadinya kali ini, ujar Norish atau nama sebenarnya Nor'asikin Karman, dia tidak mahu mengambil kisah tentang angka umur yang kian bertambah. Katanya, walaupun lelaki atau perempuan jangan risau mengenai umur. "Hidup dengan seadanya. Tak perlu (hidup) diremehkan dengan (isu) umur dan bergembiralah," tegas Norish. BAHAGIA bersama anak-anak (dari kiri), Muhammad Haqiem Armany, Putri Hany Amanda dan Muhammad Hardy Amieran. Kahwin Tidak menutup pintu hatinya untuk berumah tangga, Norish bagaimanapun meletakkan syarat. Pelakon filem Sayang Salmah itu cuma akan berkahwin dengan lelaki yang benar-benar menyayangi anaknya. "Buat masa ini, saya belum ada lagi (teman lelaki). Anak-anak ada suruh pergi dating. Tetapi, saya sibuk dengan kerja. Menguruskan anak-anak lagi. Kalau boleh, saya tidak mahu berkahwin dengan membebankan suami untuk menjaga anak-anak saya. Bantu boleh tetapi tidak sehingga menyusahkan. Asalkan dia menyayangi anak-anak saya itu sudah memadai," luahnya yang tidak memilih bakal suami dari golongan kaya. Banyak lagi yang ingin dicapai dalam hidup, Norish berhasrat untuk menamatkan pelajarannya sehingga ke peringkat ijazah doktor falsafah PhD dalam bidang sains sosial dan psikologi. "Mungkin orang lihat saya sudah ada macam-macam. Tetapi, secara peribadinya kita tahu kekurangan diri sendiri dan apa yang kita mahukan. "Saya belum sempat habiskan pelajaran saya dalam PhD dalam bidang sains sosial dan psikologi, tetapi saya akan habiskan. Saya mulakan pengajian sejak dua tahun lalu tetapi berhenti dan kini saya sambung semula," ujarnya yang menyimpan impian untuk bergelar profesor suatu hari nanti, namun enggan mendedahkan nama universiti tempat dia menyambung pengajiannya itu. Kongsi Norish, hidup juga perlu ada jalinan dengan individu lain. "Saya rasa apa yang saya buat seperti menyanyi, berlakon dan memberi motivasi di universiti adalah sebagai platform untuk berhubung dengan orang lain. Jadi artis sahaja tidak mencukupi. Kena ada rasa tanggungjawab terhadap individu yang memerlukan bantuan," katanya.
Ibu tunggal Sebagai ibu tunggal dalam membesarkan anak-anak, Norish mendapat semangat daripada anak-anak. Bekerja keras dengan kelebihan yang dikurniakan Tuhan. Namun, hatinya tertanya-tanya bagaimana dengan nasib ibu tunggal yang tiada kelebihan dan tidak tahu berbuat apa-apa untuk meneruskan kelangsungan hidup. "Saya bekerja keras boleh duduk rumah macam ini. Boleh bernyawa. Menjadi ibu tunggal tidak ada kelebihan apa-apa. Golongan ini hanya dibantu masa bulan puasa dan hari raya sahaja. "Sebenarnya, kita boleh salur bantuan hari-hari tidak perlu menunggu sehingga puasa atau hari raya kepada golongan yang memerlukan," jelasnya yang jika ada kelapangan akan memasak dan hasil masakan itu disedekahkan kepada ibu tunggal, anak-anak yatim dan golongan gelandangan. Buat masa sekarang, Norish juga sedang sibuk menyiapkan buku masakan dan juga buku mengenai kisah hidupnya. "Insya-Allah, tahun ini juga saya akan keluar dengan buku masakan sendiri. Semua yang terkandung adalah resipi ciptaan saya sendiri. "Selain itu, saya juga akan keluarkan buku mengenai kisah hidup. Dari zaman menjadi model sehingga sekarang," luahnya yang tidak mahu lagi orang ramai salah faham mengenai dirinya dan akan menjelaskan semua mengenai dirinya di dalam buku tersebut. | |||
Posted: Tasha Shilla akui tertekanOleh KHAIRUL AMRI HASSAN
KECOH minggu lalu apabila pelakon muda Tasha Shilla memuat naik sekeping foto di laman sosial Facebook miliknya sambil memegang segelas produk kecantikan yang diamalkannya sejak dua bulan lalu. Apa yang menjadi hal apabila saiz payudara Tasha, 27, menjadi bahan perbualan di Internet malah ada yang mendakwa pelakon filem Ratu The Movie itu melakukan pembedahan membesarkan payudaranya. Tasha sebelum ini telah menafikan dakwaan berkenaan dan terbaharu Kosmo! bertemu sekali lagi dengan pemilik nama Natasha Sheila Abdul Razak ketika majlis pelancaran program H Live di Stadium Chin Woo, Kuala Lumpur baru-baru ini mendapatkan keterangan lanjut. Sambil merakamkan setiap detik perbualan bersama Kosmo!, Tasha menjelaskan lebih lanjut berkenaan isu berkenaan. Ikuti temu bual berikut. Kosmo!: Baru-baru ini selepas memuat naik foto bersama sebuah produk kecantikan, Tasha dikecam hingga mengaitkan perubahan saiz payudara dengan produk itu. Komen anda? TASHA SHILLA: Saya sudah menjelaskan kesemuanya sebelum ini menerusi laman sosial Instagram saya. Orang ramai yang mahu tahu lebih lanjut boleh ikuti keterangan di sana. Anda boleh mencuba sendiri, selebihnya saya tidak mahu komen. Bagaimanakah amalan dan cara pengambilan produk itu mampu memberi kesan kepada anda walaupun hanya menggunakannya dua bulan lepas? Saya cuma kongsikan hasil selepas meminum produk itu, segala amalan dan cara pengambilan produk itu boleh hubungi sendiri wakil penjual mereka. Saya cuma berkongsi produk itu untuk peminat. Rimas atau tidak apabila timbul perkara sampingan di sebalik sekeping foto dan adakah anda melihat situasi ini adalah sangat merepek? Memang tidak sangka dengan hanya sekeping foto dan niat untuk berkongsi bersama peminat dan perkara itu menjadi menular di media sosial. Ia di luar jangkaan saya dan agak tertekan sebab disalahertikan dengan sekeping gambar itu.
Apakah pengajaran yang anda simpulkan mengenai isu tersebut? Ada yang mana patut jadikan pengajaran saya ambil sebagai iktibar tapi setiap apa yang saya lakukan, saya buat dengan berhati-hati. Kadang-kadang kita tak tahu apa yang akan terjadi di kemudian hari walau kita rasa kita sudah cukup berhati-hati. Kesan yang akan datang kita tidak tahu. Adakah anda malu atau rasa terhina? Nak kata malu tidak juga cuma saya rasa kecewa dengan komen-komen yang agak negatif. Penting atau tidak saiz payudara yang besar untuk seseorang wanita? Bagi saya sebagai seorang wanita, penjagaan keseluruhan anggota badan kita penting. Boost up mungkin diperlukan bagi wanita yang tak tidak yakin pada diri sendiri. Perkara itu subjektif dan terpulang pada diri individu itu. Kalau sudah rasa yakin diri, pada hemat saya tidak memerlukan produk sedemikian. Tapi kalau rasa perlukan sesuatu untuk keyakinan diri mereka, perlu ambil produk tertentu. Bergantung pada inisiatif mereka untuk penjagaan dalaman sebagai seorang wanita. Bagaimana pula secara peribadinya? Saya sebagai figura umum dari dahulu lagi pun saya mengamalkan jamu. Memang saya suka amalan untuk kecantikan dan penjagaan dalaman wanita seluruh aspek. Adakah anda berpuas hati dengan fizikal sekarang? Ya, saya sangat puas hati dengan bentuk badan saya sekarang. Bukan sebab ambil produk tapi perlu seiring dengan senaman. Amalam meminum air yang cukup juga penting. Ambil produk saja tidak berhasil tanpa inisiatif lain.
Bagaimanakah pula dengan kesan sampingan terhadap produk kecantikan? Bergantung, setiap apa yang perlu kena baca arahan yang terkandung pada setiap label produk yang kita amalkan. Kalau rasa tak yakin dengan sesuatu produk perlu rujuk dengan pakar yang lebih tahu. Beralih kepada hubungan cinta anda, bagaimanakah hala tuju hubungan anda bersama jejaka Cina, Han Chen Wong sekarang? Biar kita merancang dan Tuhan menentukan. Apakah perkembangan karier seni sekarang? Saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri Maafkan Aku Tak Sempurna untuk slot Akasia, Kasih Berbisik dan beberapa buah drama untuk tayangan Hari Raya Aidilfitri. | |||
Posted: Tuah keberanian Erin, RedhaOleh MOHD. IZUAN ROSELI KERJASAMA dan persefahaman merupakan antara faktor utama di sebalik kejayaan Erin dan Redha menjuarai program Fear Factor Malaysia 2. TERPAKSA memakan daging kambing yang busuk dan bergayut di tempat tinggi merupakan antara cabaran yang tidak dapat dilupakan buat pasangan juara Fear Factor Malaysia musim kedua, Erin Malik dan Redha Rozlan sepanjang 12 minggu berkampung di CapeTown, Afrika Selatan. Erin dan Redha dinobatkan sebagai juara Fear Factor Malaysia 2 apabila berjaya menyaingi tiga lagi pasukan selebriti termasuk pasangan Nas T dan Khairul, Shuib Sepahtu dan Zakaria, serta Azura Zainal dan Rechel dalam pusingan terakhir. Mengakui tidak menyangka berjaya membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM200,000, ujar Erin, kerjasama dan persefahaman yang terjalin antara dirinya dan Redha merupakan kekuatan utama untuk terus berjuang ke peringkat akhir. "Saya akui banyak kelemahan dalam diri saya, namun dengan adanya Redha, dia banyak memberi saya motivasi untuk meneruskan perjuangan. Saya cuba melakukan yang terbaik dalam setiap cabaran yang diberikan. "Memandangkan kami pasukan campuran lelaki dan wanita, saya juga ingin membuktikan bahawa wanita juga mampu setanding dalam menerima setiap cabaran dan tindakan yang ditugaskan kepada kami," ujarnya yang ditemui selepas tamat majlis pratonton episod final Fear Factor Malaysia di PickNik @ Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini. Tambah Erin, cabaran, dugaan dan kesakitan fizikal yang dihadapi membuatkan mereka lebih yakin dan tahan lasak dari segi fizikal dan mental. "Jujurnya, saya merasakan akan tersingkir di peringkat awal tetapi apabila program itu memasuki fasa selanjutnya, kekuatan itu datang dan pasangan saya banyak memberikan sokongan dan dorongan sepanjang ujian yang kami lalui," katanya. Sementara itu, bagi Redha, tekanan pada pusingan akhir episod program tersebut sangat menguji daya ketahanan mental dan fizikalnya. Kekuatan kumpulannya bersama Erin adalah berasaskan persefahaman dan komunikasi antara ahli yang membuatkan mereka sentiasa fokus dalam pertandingan. "Semua cabaran yang diberikan nampak mudah tetapi sebenarnya susah. Meskipun Erin nampak lemah tetapi sebenarnya dia kuat semangat dan mampu melepasi semua cabaran," ujarnya yang memberitahu, dia dan Redha berhasrat menggunakan wang kemenangan itu bagi membantu keluarga masing-masing. NAS T (belakang, empat dari kanan) bergambar bersama kesemua peserta yang bersaing dalam program Fear Factor Malaysia 2. Tak bercinta Ditebak dengan soalan mengenai percintaannya, Erin kini mengakui bahawa dia sedang hangat menjalinkan hubungan dengan seorang jejaka yang berumur 10 tahun lebih tua daripadanya. Erin berkata, walaupun perkenalan mereka boleh dikatakan masih singkat iaitu selama empat bulan, jejaka yang dikenali sebagai F itu merupakan seorang yang sangat memahami kerjayanya sebagai seorang selebriti. "Saya kenal dia melalui laman sosial Instagram. Pada mulanya kami hanya berkawan biasa sahaja, namun setelah lama timbul perasaan cinta. Saya senang bersamanya kerana dia merupakan seorang yang sangat memahami. "Insya-Allah, kalau tidak ada aral melintang kami akan melangkah setapak lagi ke gerbang perkahwinan, namun ia masih dalam perancangan lagi. Buat masa sekarang biarlah saya tumpukan kepada kerjaya saya dahulu," katanya yang kini baru sahaja mencecah usia 20 tahun. Tambah Erin, F merupakan seorang yang sangat matang daripada segi tingkah laku dan perwatakan, hal tersebut telah membuatkan perhubungan mereka menjadi lebih matang. "Dia merupakan seorang usahawan yang membantu perniagaan keluarganya. Dia banyak membimbing dan memberi nasihat kepada saya, terutamanya melibatkan hal kehidupan. Saya mengakui perbezaan umur 10 tahun antara kami sangat ketara, tetapi hal itulah yang membuatkan saya lebih rasa selamat di sisinya," ujarnya. Penjelasan tersebut sekali gus menepis spekulasi kononnya dia dan Redha sedang bercinta selepas berganding sama dalam program tersebut. Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan terbaharunya, Erin berkata, dia kini baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama Misiku Kuza yang dijangka akan ditayangkan menjelang hujung Mei ini. "Jadual saya memang padat. Tambahan pula, saya akan menjalani penggambaran untuk slot Akasia pada pertengahan hujung bulan Jun ini," katanya. Nas T tidak Kecewa Dalam pada itu, Nas T dan pasangannya, Khairul berkongsi keterujaan mereka apabila memperoleh tempat kedua dalam Fear Factor Malaysia 2. Walaupun kalah dalam pusingan terakhir, mereka menganggap ia merupakan sebahagian daripada adat pertandingan. "Saya mengakui ada sedikit perasaan kecewa apabila gagal melakukan yang terbaik pada ujian yang terakhir iaitu Bumi, Langit dan Air. Ketinggian merupakan kelemahan saya. "Bagaimanapun, saya dan rakan sepasukan telah melakukan yang terbaik dalam setiap cabaran yang telah diberikan," ujar Nas T yang membawa pulang hadiah tempat kedua bersama Kairul hadiah wang tunai sebanyak RM20,000. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |