{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Mahkamah

Posted by Admin

Utusan Online - Mahkamah


Kalimah Allah: Keputusan permohonan gereja 23 Jun

Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT

PUTRAJAYA 28 Mei - Mahkamah Persekutuan akan menyampaikan keputusannya pada 23 Jun ini, sama ada membenarkan atau tidak, permohonan kebenaran merayu oleh Gereja Katolik terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penerbitan mingguan "The Herald" daripada menggunakan kalimah "Allah", dalam versi bahasa Malaysia terbitannya.

Peguam S. Selvarajah, yang mewakili gereja itu, ketika dihubungi Bernama berkata, beliau menerima sepucuk surat daripada timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan, Nor Aziati Jaafar petang semalam untuk memaklumkan tentang penetapan tarikh pada 23 Jun itu.

Peguam Kanan Persekutuan, Andi Razalijaya A. Dadi yang mewakili kerajaan dalam kes itu, mengesahkan tarikh berkenaan dan berkata Jabatan Peguam Negara turut menerima surat daripada pendaftar mahkamah.

Pada 5 Mac, Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, mempengerusikan panel tujuh anggota terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Zainun Ali dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha mendengar penghujahan daripada kedua-dua pihak.

Gereja itu memohon kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 15 Oktober tahun lalu yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam versi bahasa Malaysia terbitannya.

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan The Herald untuk menggunakan kalimah Allah selepas Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang penerbitan itu daripada menggunakan kalimah Allah adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.

Pada 2009, gereja Roman Katolik diketuai Archbishop Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, antara lain memohon perisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.

Majalah mingguan itu, yang diterbitkan dalam empat bahasa, menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan dalam versi bahasa Malaysia, terutamanya bagi memenuhi keperluan penganut Katolik di Sabah dan Sarawak.

Mengikut Akta Mahkamah Kehakiman 1964, seseorang pemohon dalam kes sivil perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan dalam usaha membawa rayuan mereka ke Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi di Malaysia.

Mahkamah Persekutuan, perlu memuaskan Mahkamah Persekutuan bahawa terdapat persoalan undang-undang melibatkan kepentingan awam yang turut mengandungi persoalan tentang prinsip umum yang belum pernah diputuskan sebelum ini oleh Mahkamah Persekutuan.

Apabila Mahkamah Persekutuan berpuas hati bahawa persoalan undang-undang yang dikemukakan pemohon telah memenuhi keperluan perundangan, Mahkamah Persekutuan kemudiannya akan memberi kebenaran merayu.

Jika Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk tidak memberi kebenaran merayu kepada gereja, keputusan Mahkamah Rayuan tetap terpakai dan gereja tidak boleh lagi mengemukakan rayuan. - BERNAMA

Edar dadah: Wanita Mongolia dibebaskan

Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT

SHAH ALAM 28 Mei -Seorang wanita warga Mongolia mampu menarik nafas lega apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis heroin dan morfin seberat 363.6 gram, tahun lalu.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu terhadap pelajar kolej swasta, Zolzaya Natsagdorj, 26, setelah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, setelah meneliti keterangan saksi dan hujah pendakwaan serta pembelaan, mahkamah mendapati tertuduh tidak mempunyai pengetahuan terhadap satu beg kertas berisi dadah yang diberi kepadanya oleh seorang lelaki, justeru menganggap tiada pengedaran dadah berlaku.

Hakim Akhtar berkata, mahkamah turut mengambil kira faktor tertuduh yang mengikuti kursus pengurusan dan perniagaan antarabangsa itu telah mendapat didikan yang baik daripada keluarganya dan berasal daripada keluarga yang baik.

"Tidak wujud bukti yang menunjukkan tertuduh mengalami masalah kewangan selain dia pelajar yang cemerlang dan aktif dalam aktiviti sosial dan kebudayaan di negaranya dan Malaysia," katanya.

Oleh itu, beliau berpendapat, tertuduh tidak akan merosakkan masa depannya dengan melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.

Wanita itu didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 278.6 gram dan monoacetylmorphine seberat 85 gram di sebuah rumah di Subang Jaya dekat sini pada pukul 1.30 pagi, 26 Januari 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati.

Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Iswa Tonie telah mengemukakan empat saksi sementara pihak pembelaan yang diwakili peguam L. A. Gomes mengemukakan lima saksi termasuk bapa tertuduh dan teman lelakinya.

Pada 16 Mei lalu, Zolzaya diperintah membela diri atas tuduhan bersama-sama teman lelakinya yang juga warga Mongolia, Barsbaatar Ganbold, 22, mengedar dadah tersebut di rumah berkenaan.

Walau bagaimanapun, Barsbaatar dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu tanpa dipanggil membela diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Leave a Reply

Raja Alias

G. Musang

J. Bahru

Terengganu

A. Setar