Utusan Online - Pendidikan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pendidikan |
Cabaran luar biasa guru mendidik anak bangsa Posted: 15 May 2014 12:08 PM PDT Oleh NORIZAN ABDUL MUHID GURU di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) di Chow Kit, Kuala Lumpur, perlu mengamalkan konsep santai dan fun learning bagi menarik minat anak gelandangan mengikuti pembelajaran. KUALA LUMPUR 15 Mei - Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) di Chow Kit tidak ubah seperti sekolah harian biasa. Sekolah ini lengkap dengan pelbagai kemudahan asas pembelajaran. Satu istimewanya sekolah ini, ia hanya dikhaskan kepada kanak-kanak dan remaja gelandangan. Di sebalik kehidupan sebagai gelandangan, impian untuk menimba ilmu, mengubah taraf diri dan me-nempa masa depan yang lebih baik sentiasa subur dalam diri mereka. Bagaimanapun Penolong Kanan Kokurikulumnya, Mohd. Aminudin Abu Bakar berkata, tugas yang menunggu bukan mudah dan salah satu misinya ialah menjadikan sekolah ini `luar biasa berbanding sekolah lain. Kita mahu menjadikan SBJK sebagai sekolah luar biasa kerana pelajar juga luar biasa. Mereka tidak boleh dididik seperti mana pelajar di sekolah harian biasa kerana modul pembelajaran dan kokurikulum agak berbeza. Lebih penting, anak-anak yang terbiar ini dapat hadir ke sekolah, seterusnya mengikuti pembelajaran sepatutnya mereka peroleh. Guru-guru yang berkhidmat (di sini) haruslah luar biasa dan bukan sekadar hanya mengajar mengikut masa. Guru seperti itu tidak boleh berkhidmat di SBJK dan sebab itu, sekolah ini harus menjadi luar biasa kerana murid-muridnya luar biasa, katanya ketika ditemui di sekolah itu baru-baru ini. SBJK kini mempunyai 147 pelajar berusia antara empat hingga 18 tahun dan 11 guru. Sekolah ini mempraktikkan konsep pembelajaran berbentuk santai atau fun learning. Guru-gurunya perlu kreatif dan bijak dalam mengenal pasti minat atau kebolehan pelajar untuk diberi bimbingan menyeluruh. Sekolah tersebut memulakan sesi persekolahan seawal 8.30 pagi hingga 4.30 petang, selain menyediakan kemudahan tujuh bilik darjah termasuk bilik muzik, bilik pergigian atau rawatan, bilik rehat dan kemudahan makanan tiga kali sehari serta kelengkapan peralatan belajar percuma. Menurut Mohd. Aminudin, 11 guru yang dipilih mengajar di SBJK dianggap sudah terbaik dan memenuhi kriteria luar biasa yang diharapkan dapat mendidik pelajar yang sebelum ini tidak pernah mengikuti pembelajaran asas serta memasuki sekolah tersebut tanpa mengenali abjad dan nombor asas pengiraan. Sewaktu proses temuduga guru-guru ini, melibatkan 200 permohonan, kami hanya pilih 40 calon untuk ditemuduga, tetapi apabila diberitahu tentang sekolah berkenaan, ada dalam kalangan mereka yang menarik diri dan akhirnya hanya 11 guru yang layak dan dipilih mengajar. Boleh dikatakan, 11 guru ini adalah yang terbaik dan memenuhi keperluan luar biasa sekolah. Guru-guru tersebut telah berjaya menyahut cabaran dan menarik minat kanak-kanak dan remaja terbiar ini untuk datang ke sekolah dan menimba ilmu pengetahuan, katanya. Katanya, guru-guru SBJK bukan sahaja menjadi pendidik kepada pelajar, malah pada masa sama menjadi ibu dan bapa yang sentiasa bersedia menghadapi gelagat mereka demi memastikan pelajar dapat menghadirkan diri ke sekolah setiap hari serta tidak bosan berada dalam bilik darjah. Peranan yang dimainkan bukan sesuatu yang mudah kerana mereka sudah terbiasa dengan kehidupan terbiar dan bebas membuat sesuatu. Oleh itu, jika minta mereka untuk duduk dalam bilik darjah dan menerima pendidikan, kita harus menyediakan sesuatu yang seronok tanpa membosankan. Pada mulanya, mereka ini datang ke sekolah disebabkan ada kemudahan makanan percuma, namun lama-kelamaan, melalui usaha kita menyediakan fun learning, mereka merasa seronok untuk datang setiap hari ke sekolah, katanya. Antara guru terbabit termasuklah Farah Idayu Ahmad dan Norabitah Zehari yang masing-masing mempunyai kelulusan pengajian perguruan di maktab perguruan dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta memiliki pengalaman selama lapan tahun mengajar di sekolah luar bandar. Menurut Farah Idayu, 35, kesukaran yang dihadapi sepanjang memikul tanggungjawab sebagai guru di SBJK walaupun satu cabaran besar telah mengubah beliau menjadi lebih baik dalam profesion tersebut. |
Empat bulan keliling kampung cari murid OKU Posted: 15 May 2014 12:08 PM PDT GURU Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Melaka, Abdul Rahman Mohd. Said (kiri, duduk) bersama guru-guru dan murid mengucapkan Selamat Hari Guru dan Terima Kasih menggunakan bahasa isyarat di Semabok, Melaka, baru-baru ini. MELAKA 15 Mei - Abdul Rahman Mohd. Said, terpaksa pergi keliling kampung selama empat bulan demi mencari sekurang-kurangnya dua murid orang kurang upaya (OKU). Beliau berbuat demikian supaya satu kelas pendidikan khas integrasi dapat di-buka bagi membantu golongan itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Utama Sungai Besar, di sini. Abdul Rahman, 58, menceritakan beliau bersama seorang rakan menjelajah beberapa kampung berhampiran dan berkat usahanya itu empat murid OKU ditemukan. Abdul Rahman yang kini bertugas sebagai Guru Besar SK Pendidikan Khas Melaka di Semabok berkata, selepas berjaya membuka kelas pendidikan khas itu, beliau tidak menoleh ke belakang lagi. Pembabitan awalnya dalam dunia pendidikan untuk OKU berterusan sehingga diberi kepercayaan menerajui aliran berkenaan sehingga sekarang. Tiada istilah tertekan dalam hidup saya ketika mengajar murid-murid pendidikan khas ini kerana saya tahu mereka tidak sama seperti murid normal yang lain. Mereka perlukan bantuan kita untuk berjaya, melihat kejayaan mereka adalah kegembiraan bagi kami guru-guru di sekolah pendidikan khas," katanya yang ketika ditemui baru-baru ini. Sementara itu di PULAU PINANG, Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan (SMPKP) Tanjung Bungah, Tjoeng Pit Chin tidak pernah menganggap ketiadaan komunikasi lisan dengan para pelajarnya sebagai satu kekangan dalam mencurahkan ilmu. Sudah berbakti di sekolah ini sejak tahun 1980, Pit Chin yang juga guru Matematik menganggap pelajar cacat pendengaran tidak berbeza dengan pelajar normal. Saya banyak belajar erti kesabaran dalam mendidik pelajar-pelajar ini kerana memahami kekurangan mereka. Kekurangan mereka itu jugalah mendorong saya untuk melakukan yang terbaik kerana tidak mahu mereka berasa terasing atau tersisih berbanding pelajar normal lain," katanya. Di KUALA LUMPUR kecacatan penglihatan yang dihadapi pelajar Sekolah Menengah (SM) Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Setapak, memberi motivasi dan penguat semangat buat guru sekolah itu, Muspirah Ahmad Salim dan Nurafini Assila Mohd. Rafi untuk terus menabur bakti mendidik murid yang dahagakan ilmu pengetahuan. Muspirah yang sudah sembilan tahun mengajar Kemahiran Hidup dan Ekonomi Asas di sekolah itu mengakui proses mengajar sedikit sukar di peringkat awal tetapi bertukar menjadi lebih mudah setelah menguasai Braille setahun selepas itu. Semangat saya menjadi kuat apabila melihat komitmen dan kesungguhan murid dalam menimba ilmu pengetahuan. Bukan mudah untuk belajar jika tidak nampak apa yang diajar oleh guru, katanya yang mengakui sudah jatuh cinta dengan kerjaya di sekolah pendidikan khas itu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pendidikan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |