{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Admin

Utusan Online - Rencana


Menanti magis Dr. Mahathir

Posted: 27 May 2014 12:26 PM PDT

Oleh ROHAMI SHAFIE

DR. MAHATHIR Mohamad bersama-sama kakitangan Proton meraikan pelancaran kereta Proton Saga ke-300,000 pada 1991.

MAHATHIR Mohamad, satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Jasa beliau terhadap Malaysia cukup besar sekali. Mengambil kira jasa beliau yang tidak terhingga itu, sebuah institusi pemikiran yang dikenali sebagai Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM) telah ditubuhkan di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak cukup dengan dikenali sebagai negarawan, beliau juga tokoh peringkat antarabangsa yang sampai sekarang pun ideanya masih diperlukan terutama di negara-negara membangun. Sumbangan beliau memperjuangkan hak-hak negara membangun di samping membantu negara-negara membangun maju, secara tidak langsung mengubah paradigma masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia.

Beliau pernah menyebut perjuangan belum selesai. Benar, meskipun sudah tidak bergelar Perdana Menteri dan wakil rakyat, beliau masih berjuang untuk membantu negara. Beliau masih bekerja keras untuk negara tercinta pada usia hampir 90 tahun yang rata-ratanya orang lain seusia dengannya memilih untuk berehat di rumah sahaja.

Terbaharu, beliau menerima tawaran sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Proton. Kenapa beliau memilih untuk menerima tawaran Proton sedangkan banyak syarikat memerlukan kepakaran beliau dan hubungan baik beliau dengan kerajaan?

Dalam konteks ini, Dr. Mahathir cukup dekat dengan Proton. Beliaulah yang mengasaskan penubuhan Proton yang suatu ketika dahulu ada pihak memandang rendah keupayaan rakyat Malaysia untuk mengeluarkan produk kereta nasionalnya sendiri.

Sikap yang hanya suka mengkritik dan menghentam semberono sememangnya sudah menjadi lumrah alam. Cukup kurang golongan yang mengkritik secara positif dan membina dengan memberi cadangan balas yang segar lagi positif untuk kemajuan negara.

Dr. Mahathir telah membuktikan dalam banyak segi keputusan beliau untuk mengasaskan penubuhan Proton banyak memberi kebaikan kepada rakyat dan negara.

Jadi, atas faktor Proton sebagai 'produk' yang amat disayanginya, tidak menghairankanlah beliau menerima tawaran berkenaan.

Ada yang berpendapat penerimaan jawatan ini boleh memberi kesan yang tidak begitu baik kepada Proton. Hujahnya mudah sahaja, jawatan ini tidak sewajarnya diserahkan kepada ahli politik. Bagi mereka yang kurang bersetuju, jawatan ini perlu diserahkan kepada tokoh korporat yang tidak berada dalam lingkungan pemikiran politik.

Ya, mungkin ada kebenarannya bahawa sebaik mungkin jawatan pengerusi mana-mana syarikat diserahkan kepada mereka yang bukannya ahli politik. Namun, mereka yang berhujah sebegini perlu mengetahui bahawa terdapat juga ahli-ahli politik yang sememangnya mahir dalam bidang perniagaan. Khidmat golongan ini amatlah diperlukan bagi memacu kemajuan sesebuah syarikat.

Dr. Mahathir mengetahui apa yang beliau lakukan dan yakin dengan kemampuan rakyat Malaysia. Atas landasan itulah, Proton menjadi sebuah syarikat automotif nasional pertama yang berjaya mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa beliau merupakan arkitek yang memacu pertumbuhan Proton semasa masih bergelar Perdana Menteri Malaysia.

Malahan, jika ada pihak yang meragui keupayaan beliau dalam bidang perniagaan dan ekonomi, kajilah tindakan beliau yang berjaya menyelamatkan ekonomi Malaysia semasa krisis ekonomi 1998.

Bagi generasi Y mereka mungkin tidak begitu mengetahui apa yang telah berlaku ke atas ekonomi negara kita pada tahun tersebut. Tetapi bagi generasi X dan yang lebih berusia termasuklah pakar-pakar ekonomi dan kewangan dunia, tindakan yang diambil oleh Dr. Mahathir merupakan satu tindakan bijak bagi menyelamatkan ekonomi Malaysia.

Dengan kata lain, ia menjadi bukti dan testimoni bahawa beliau cukup memahami selok-belok ekonomi dan perniagaan meskipun berlatarbelakangkan pendidikan jurusan perubatan.

Mengambil kira hakikat ini, pelantikan beliau sebagai Pengerusi Proton adalah satu keputusan tepat oleh pemegang saham Proton dalam meningkatkan keupayaan syarikat automotif nasional bukan setakat dalam negara kita sahaja tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Sememangnya dalam tempoh 20 tahun pertama Proton ditubuhkan, prestasinya berada dalam kelas yang tersendiri. Penubuhan Proton telah membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Proton telah meraih keuntungan dan telah membantu anak-anak Malaysia mendapat kemahiran dalam bidang kejuruteraan automotif.

Namun, untuk melestarikan prestasi Proton terutamanya prestasi kewangan bukanlah satu tugas yang mudah. Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, persaingan dalam dunia automotif cukup kompetitif. Proton mengalami penurunan penguasaan pasaran automotif yang cukup ketara sejak akhir-akhir ini. Jadi, antara cabaran utama yang perlu ditangani oleh Dr. Mahathir sebaik sahaja menerajui ahli lembaga pengarah Proton sudah tentulah dalam aspek kemampanan Proton.

Apakah strategi yang akan diguna pakai oleh beliau untuk meningkatkan kembali penguasaan pasaran automotif? Adakah dengan cara bekerjasama dengan pesaing agar dapat menembusi pasaran antarabangsa dan mempelajari teknologi tinggi automotif atau dengan cara mengeluarkan model Proton baharu yang berdaya saing dan sebaris dengan model-model kereta antarabangsa?

Model kereta baharu yang akan dikeluarkan perlu juga berkualiti dan kos untuk mengeluarkannya pula perlu berada pada tahap yang paling cekap. Kecekapan operasi pemangkin untuk peningkatan keuntungan Proton.

Itu dalam aspek kecekapan Proton. Bagaimana pula dalam aspek dasar automotif yang tatkala ini tidak begitu memihak kepada Proton? Sebagai Pengerusi Proton, beliau menjadi penghubung di antara Proton dan kerajaan bagi menyuarakan dasar-dasar yang kurang memihak kepada Proton.

Beliau juga mempunyai tugasan yang cukup penting bagi memotivasikan tenaga kerja Proton untuk bekerja sebagai satu pasukan. Dalam aspek ini, keupayaan dan kebajikan model insan tidak boleh sesekali dipinggirkan.

Beliau memerlukan kerjasama daripada semua pihak dalam Proton itu sendiri. Kerjasama ini perlu diperkukuhkan lagi selepas Proton mengalami perubahan pengurusan tertinggi dan juga pemegang saham utama sebelum ini.

Ramai pihak ternanti-nantikan 'magis' yang akan dilakukan oleh beliau berpaksikan kebijaksanaan dan pengalaman sepanjang memimpin Malaysia selama 22 tahun.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

Manifesto berwawasan BN kembalikan seri Teluk Intan

Posted: 27 May 2014 12:26 PM PDT

Khabar Dari Ipoh
Bersama SAYED HESHAM IDRIS

CALON Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong mendahului parti lawan apabila melancarkan manifesto untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, kelmarin.

Antaranya, Presiden Gerakan itu mahu memperjuangkan pembinaan sebuah universiti di bandar itu selain berusaha menjadikan ikon Menara Condong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Dalam manifestonya, beliau juga berjanji menjadikan Teluk Intan sebagai hab pertanian moden, meningkatkan pelaburan dan mewujudkan lebih banyak zon WiFi dalam usahanya mentransformasikan bandar itu.

Manifesto BN itu pastinya bukan 'janji bulan bintang' sebaliknya realistik dan mampu dipenuhi jika BN kembali memenangi kerusi Parlimen Teluk Intan setelah dua penggal dimenangi oleh DAP.

Meneliti pembangunan keseluruhan di Perak, Teluk Intan yang suatu ketika dahulu pernah menjadi ibu negeri, sepatutnya lebih maju daripada apa yang dinikmatinya sekarang.

Namun pembangunannya tersekat akibat tidak selari dengan kerajaan Pusat setelah dua penggal dicengkam pembangkang.

Wawasan Siew Keong untuk menubuhkan sebuah universiti memang kena pada masanya, ketika bandar-bandar lain di negeri ini sudah pun memiliki pusat pengajian tinggi yang terkemuka.

Kampar, umpamanya yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Teluk Intan mempunyai Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR); Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi ikon Tanjung Malim; Tapah sudah mempunyai Universiti Teknologi Mara (UiTM); begitu juga Bandar Baru Seri Iskandar di daerah Perak Tengah sudah tersergam UiTM dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Ini bermakna 'bandar-bandar jiran' Teluk Intan masing-masing sudah memiliki pusat pengajian tinggi yang pastinya dicemburui oleh masyarakat di sini.

Penekanan ke arah pendidikan menerusi manifesto untuk menubuhkan sebuah universiti pastinya 'tawaran yang tidak boleh ditolak' oleh pengundi yang sekian lama mengimpikan bandar Teluk Intan berubah wajah.

Ketika calon BN mengumumkan manifestonya semalam, tumpuan kini 100 peratus kepada PRK Parlimen Teluk Intan setelah berakhirnya PRK Parlimen Bukit Gelugor, Ahad lalu.

Perkara yang menjadi perbualan adalah kemerosotan peratusan keluar mengundi pada hari pengundian PRK Parlimen Bukit Gelugor apabila 56.04 peratus sahaja yang menunaikan tanggungjawab mereka. Dan seperti dijangkakan persaingan empat penjuru di PRK berkenaan, calon DAP, Ramkarpal Singh Deo menang dengan majoriti 37,659 undi selepas memperoleh sebanyak 41,242 undi.

Mungkinkah PRK Parlimen Teluk Intan juga bakal menyaksikan fenomena yang sama iaitu peratusan yang keluar mengundi akan merosot? Hal ini kerana dikatakan pengundi Cina tidak berminat, tidak ghairah untuk mengundi dalam PRK berbanding Pilihan Raya Umum (PRU).

Tiada fakta konkrit yang mampu menyokong pendapat itu namun mungkin para pengundi merasakan walau parti mana yang menang sekali pun, ia tidak akan mengubah apa-apa, sama ada kerajaan negeri apatah lagi kerajaan Pusat.

Jika itu benar, ini pastinya bakal menjadi kelebihan buat BN yang sememangnya mengharapkan undi daripada kaum itu terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Bedamar yang majoritinya pengundi Cina merosot pada hari pengundian pada Sabtu ini.

Kemerosotan undi Cina itu mampu menjejaskan majoriti 7,313 undi yang diraih mendiang Seah Leong Peng, calon DAP dalam PRU yang lalu. Ini bermakna undi kira-kira 11,000 pengundi India mampu menjadi penentu siapa yang bakal memenangi PRK ini.

Berdasarkan PRU lalu, masyarakat India yang sebahagian besarnya berdaftar sebagai pengundi di DUN Changkat Jong, memihak kepada pembangkang. Namun hasil pembangunan dan bantuan yang dinikmati kaum ini, angin perubahan mula dilihat apabila mereka kini semakin yakin dengan BN.

Dalam usaha menarik mereka, BN perlu 'mencari' mereka yang sebahagian besarnya tinggal di estet-estet. Dekati mereka. Jangan beri ruang kepada pembangkang menyebarkan dakyah.

Jika 65 peratus daripada 11,000 pengundi India memihak BN, sudah pasti akan berlaku kejutan PRK ini seperti yang diramalkan.

Masyarakat India tidak meminta sesuatu yang luar biasa. Mereka cuma berharap tidak dipinggirkan, taraf ekonomi mereka ditingkatkan dan keperluan asas yang lebih selesa. Jika kena pada kempennya, tidak mustahil pengundi India akan kembali memilih BN.

Bagi pengundi Melayu pula terutama yang berusia atas 50 tahun, undi mereka diyakini masih kekal memihak kepada BN manakala golongan muda pula dilihat berbelah-bahagi sama ada mahu memangkah BN atau DAP.

Diakui strategi pembangkang meletakkan calon muda, Dyana Sofya Mohd. Daud, 27, memberikan impak kepada golongan muda, namun tidak bermakna mereka akan bulat-bulat mengundi beliau.

Malah sudah ada yang mengatakan pengundi muda Melayu lebih memikirkan siapa yang mampu membawa peluang pekerjaan ke bandar kelahiran mereka dengan mengharapkan calon BN, Siew Keong mengubah wajah bandar Teluk Intan yang telah berusia lebih 100 tahun ini.

Leave a Reply

Raja Alias

G. Musang

J. Bahru

Terengganu

A. Setar