{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Sedia berubah sebelum diubah

Posted: 09 May 2014 12:00 PM PDT

USIA UMNO yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 genap 68 tahun, esok. Parti yang lahir di Istana Besar, Johor Bahru, Johor kini menghadapi pelbagai cabaran getir dalam menarik sokongan orang Melayu khususnya generasi muda yang bakal menjadi penentu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM dan jurugambar, SAIFUL BAHARI ASHARI baru-baru ini, Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), MOHD. SHAHAR ABDULLAH menegaskan, transformasi politik UMNO perlu ditambah baik bagi memastikan ia benar-benar berkesan dalam menarik sokongan padu orang muda.

UTUSAN: Sejauh manakah kejayaan transformasi politik UMNO?

MOHD. SHAHAR: Kita akui dan gembira dengan transformasi yang dilakukan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah berjaya menarik dan membuka peluang yang seluas-luasnya kepada golongan muda pelbagai peringkat untuk bergiat aktif dalam parti, termasuklah anak muda yang berpendidikan tinggi serta lulusan universiti yang turut berpeluang memberi sumbangan kepada parti.

Jika dahulu sistem UMNO agak menyukarkan anak-anak muda untuk menyertai dan memegang jawatan. Tetapi menerusi transformasi yang dilaksanakan, nampaknya sudah ada sedikit pencerahan.

Maknanya sudah ada ramai anak muda lulusan universiti yang memegang jawatan ketua Pemuda bahagian, jawatan-jawatan dalam Pemuda, Puteri dan pentadbiran bahagian. Situasi ini cukup baik sebagai latihan kepada peneraju UMNO di masa hadapan.

Terdapat juga transformasi dalam segmen-segmen lain. Perubahan oleh UMNO sudah ada, tetapi yang perlu kita semak kembali adakah perubahan ini dirasai, difahami dan berkesan sehingga ke akar umbi iaitu di peringkat bahagian dan cawangan?

Apakah transformasi lain yang perlu dilakukan?

Untuk menentukan apakah bentuk transformasi lain, kita perlu melihat sejauh mana kebenaran dakwaan sesetengah pihak bahawa hari ini anak muda jauh daripada UMNO, mereka tidak suka kepada parti ini dan anak muda agak sinis apabila disebut nama UMNO?

Saya akui ada kebenaran sebahagian daripada cerita-cerita ini disebabkan wujudnya sebilangan kecil anak muda yang sudah mula mempertikaikan siasah perjuangan UMNO kerana mereka melihat parti ini seperti sebuah kenderaan yang tidak bersifat sepanjang zaman.

Ia diburukkan lagi dengan pelbagai propaganda licik pembangkang yang saban hari menggunakan media sosial untuk mencipta persepsi yang telah mengaburi kebenaran akan kemampuan UMNO menjadi parti pembela orang Melayu.

Untuk menarik sokongan orang muda, kita perlu membuat mereka melihat UMNO ini seperti sebuah kenderaan yang mampu dan akan membawa mereka ke destinasi yang lebih baik, sesuai dengan perubahan zaman dan kehendak semasa.

Ketika mula-mula ditubuhkan, parti telah berjaya membawa rakyat termasuk anak muda ketika itu keluar daripada zaman penjajahan ke zaman kemerdekaan. Ketika itu sokongan anak muda sangat tinggi dan UMNO adalah segala-galanya.

Sekarang, walaupun UMNO masih sebuah kenderaan yang mempunyai empat tayar, satu enjin dan satu stereng, ia perlu mengubah nilai perjuangannya supaya bersifat relevan, kontemporari dan dikehendaki oleh orang Melayu.

Apakah nilai-nilai perjuangan kontemporari?

Untuk menentukan nilai-nilai ini, UMNO kena membuka pintu seluas-luasnya untuk menerima pandangan anak muda melalui pendekatan berbeza mengikut kepelbagaian latar belakang mereka. Kita kena sedar bahawa anak muda suka bercakap dan menyuarakan pendapat dalam apa sahaja lapangan dalam sebilang masa. Sebab itu, mereka menggunakan platform Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain untuk meluah dan berkongsi perasaan, idea dan pandangan.

Apa sahaja yang berlaku di depan mata, mereka cepat hendak menyatakan komen. Komen ini kadangkala agak kritikal, agresif dan ada juga yang hanya bersifat persepsi semata-mata. Jangan nampak agak kritikal sedikit, kita sisihkan dan tuduh mereka mempunyai pemikiran pembangkang. Walhal mereka menyokong kita, cuma mereka mahukan Malaysia menjadi lebih baik daripada hari semalam.

Selain itu, adakah ramai pemimpin UMNO sudah kerap kali turun secara tidak formal ke syarikat besar, syarikat milik kerajaan (GLC) dan universiti untuk mendekati, bertemu dengan golongan pekerja termasuklah kelompok tenaga profesional, pensyarah dan teknokrat bagi mendengar serta menyelami apa masalah mereka?

Pemimpin peringkat bahagian juga perlu memainkan peranan bertemu masyarakat termasuk pergi ke sekolah-sekolah setiap minggu bagi mendengar apa sebenarnya rungutan ibu bapa, guru dan pelajar. Setelah dapat menyenaraikan semua masalah dan rungutan berkenaan, kita kena jadikan langkah untuk menyelesaikannya sebagai satu siasah perjuangan UMNO dan barulah perjuangan kita bersifat kontemporari.

Apakah kehendak orang Melayu sekarang?

Orang Melayu hendak pendidikan yang lebih baik untuk anak-anak. Mereka juga mahukan pemimpin yang mengutamakan pendekatan agama.

Oleh itu, pemimpin UMNO perlulah terus memperkasakan nilai-nilai agama dalam gerak kerja masyarakatnya seperti mengimarahkan surau dan masjid serta berupaya membaca doa, mengimamkan solat dan memberi tazkirah selepas sembahyang.

Dari segi pembangunan ekonomi dan keperluan hidup, orang Melayu mahukan rumah dan tempat berniaga selesa. Janganlah apabila orang Melayu buka gerai tepi jalan, datang majlis perbandaran, roboh gerai berkenaan, sedangkan tiada arked perniagaan yang mencukupi untuk memenuhi keperluan setempat.

UMNO juga perlu membantu orang Melayu bersaing dan membuka perniagaan di kompleks beli-belah dan memperkasakan orang Melayu bagi meningkatkan keupayaan mereka untuk membuka kedai-kedai besar.

Kita kena fokus kepada industri kecil dan sederhana untuk diangkat ke pasaran terbuka. Perkasakan kedai-kedai, restoran dan kilang skala sederhana, sebagaimana kita berjaya mengangkat industri batik dan tenunan songket yang dahulunya diusahakan secara kecil-kecilan oleh orang Melayu. Kini industri tersebut berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Inilah yang kita kena angkat dan majukan, kerana ia adalah nadi sebenar kepada ekonomi orang Melayu.

Orang Melayu juga bimbang dengan masalah gejala sosial yang melanda remaja. Oleh itu, UMNO perlu mewujudkan makmal-makmal di peringkat bahagian bagi mencari penyelesaian terhadap masalah ini kerana permasalahan itu di setiap tempat adalah berbeza dan bersifat tempatan.

Bukankah usaha menyelesaikan masalah rakyat telah dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO?

Kita kena faham, UMNO itu bukan kerajaan. UMNO tidak boleh disamakan dengan kerajaan. UMNO adalah parti politik orang Melayu, yang siasah perjuangannya adalah untuk membela nasib kaum itu.

Adalah silap apabila kita mengaitkan kerajaan dengan UMNO, seolah-olah UMNO yang mendominasi kerajaan. Kita mesti memberi kefahaman kepada rakyat bahawa UMNO adalah parti politik yang sama seperti mana-mana parti politik termasuklah parti pembangkang. Kerajaan hari ini adalah kerajaan BN yang dibentuk daripada berlainan parti yang berada dalam komponen BN.

Sebagai kerajaan yang dibentuk berdasarkan konsep perkongsian kuasa, kerajaan BN harus memberi tumpuan kepada semua kaum secara menyeluruh dan bukan tertumpu kepada orang Melayu sahaja.

Pihak pembangkang sejak 1970-an lagi cuba sedaya upaya mengaitkan UMNO dengan kerajaan BN dengan harapan agar apabila disebut BN, dalam fikiran rakyat, BN adalah kerajaan UMNO. Inilah propaganda pembangkang untuk menjadikan kaum lain membenci UMNO dan BN.

Selain itu, jika UMNO mengharapkan jentera kerajaan BN menyelesaikan masalah kaum Melayu, orang tidak akan merasakan itu adalah perjuangan UMNO. Nanti timbul ungkapan seperti yang selalu disebut sebilangan kecil pegawai tinggi kerajaan iaitu kami sokong kerajaan yang memerintah, tetapi kami tidak sokong UMNO.

Apakah ciri pemimpin yang disukai orang Melayu?

Mereka mahukan pemimpin yang mempunyai imej begitu bersih dan dilihat sebagai seorang bijak pandai serta mampu membela kebajikan mereka ke arah kehidupan yang lebih baik.

Mereka tidak mahu pemimpin yang menggunakan parti untuk mencari makan sebaliknya sukakan pemimpin yang buat kerja dan boleh membawa suara rakyat akar umbi ke peringkat atasan. Mereka juga mahukan pemimpin merendah diri yang tidak malu untuk makan nasi bungkus bersama-sama dan boleh menumpang tidur di rumah penduduk serta sanggup menghadapi dugaan dan bencana bersama.

Satu lagi yang perlu ada adalah ciri 3M iaitu untuk mendengar dan merasai masalah rakyat serta berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu menyelesaikannya. Pemimpin juga mesti cepat bertindak memberi maklum balas dalam menyelesaikan masalah rakyat. Itu barulah, kita boleh katakan pemimpin sepanjang zaman dan juara rakyat! Kembali kepada asas!

UMNO tidak boleh terlalu bernostalgia

Posted: 09 May 2014 12:00 PM PDT

Oleh Zulkiflee Bakar

ESOK genaplah usia UMNO 68 tahun, satu usia yang cukup matang jika ia disamakan dengan tubuh manusia. Tetapi pemimpin dan ahli parti itu tidak boleh melayan UMNO seperti manusia kerana dalam golongan manusia yang berusia sedemikian ada yang sihat dan masih kuat, ada pula yang sakit dan kemudiannya meninggal dunia.

UMNO juga tidak harus dilayan seperti manusia yang berjasa. Mungkin jasanya harus diingati tetapi untuk terus bernostalgia dengan jasa-jasa yang ditaburkan oleh sebuah parti dalam senario politik yang semakin berubah dan pemikiran rakyat yang semakin berkembang, boleh diibaratkan tindakan untuk menempah tempat di kuburan politik.

Justeru apa yang harus dilakukan oleh UMNO dalam usia 68 tahun ialah melakukan tindakan yang terus relevan dengan perkembangan semasa khususnya sebagai benteng utama memperjuangkan nasib orang Melayu dan umat Islam.

Memang benar, kalau mahu dibandingkan pencapaian UMNO dengan parti-parti lain dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), UMNO masih mendapat sokongan rakyat apabila menguasai 89 kerusi Parlimen dan ia sekali gus menunjukkan parti induk orang Melayu tetap menjadi pilihan rakyat khususnya orang Melayu.

Tetapi UMNO tidak boleh selama-lamanya bernostalgia dengan kejayaan itu kerana jumlah kerusi tersebut masih memaksa UMNO meminta bantuan komponen Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan kerajaan. Malah apa yang perlu difahami, UMNO juga gagal mempertahankan beberapa kerusi sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tradisinya milik parti tersebut.

Mungkin jika kerusi tersebut tidak terlepas ke tangan pembangkang, UMNO mungkin sudah menawan Selangor dan BN boleh memerintah dalam kedudukan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun situasi itu tidak berlaku kerana dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO masih lagi tidak berubah sikap, biar pun mereka mengetahui betapa gigih pucuk pimpinan parti berusaha memastikan UMNO diterima rakyat.

Penulis yakin orang Melayu masih bergantung harap kepada UMNO untuk memperjuangkan hak mereka, orang Melayu masih melihat UMNO sebagai benteng mempertahankan Islam dan orang Melayu juga percaya UMNO biar pun menjadi tonggak utama dalam BN namun kesejahteraan kaum lain sentiasa terpelihara.

Keyakinan dan kepercayaan yang dinyatakan itu ada dalam kalangan orang Melayu tetapi ini tidak bermakna UMNO boleh berasa selesa dengan bergantung dengan nostalgia apatah lagi retorik politik untuk menarik dan mengekalkan sokongan orang Melayu kepada parti itu.

UMNO perlu dilihat yakin dan tegas dalam perjuangannya, tidak boleh bersikap apologetik apatah lagi mengamalkan politik bak kata, bangga tidak bertempat, seronok tidak tentu hala. Ini memandangkan senario politik sudah berbeza.

Pemimpin dan ahli UMNO tidak boleh bergantung segala-galanya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memastikan UMNO terus mendapat kepercayaan rakyat.

Kita harus akui, melalui dasar dan langkah yang dilakukan oleh kerajaan melalui gandingan dua pemimpin itu ia mampu memberikan manfaat politik yang besar kepada UMNO dan BN. Tetapi malangnya, ada ketikanya atau mungkin seringkali juga berlaku, harapan kedua-dua pemimpin itu tidak sampai ke akar umbi bagi membolehkan rakyat yakin dengan UMNO dan BN.

Sebaliknya sehingga ke hari ini, masih ramai pemimpin dan ahli UMNO di peringkat cawangan, bahagian mahupun negeri bertelagah sesama sendiri. Perbuatan berebut jawatan dan bertelagah sesama sendiri masih wujud sehingga melemahkan UMNO dalam pilihan raya.

Dalam bahasa mudahnya, masih ramai pemimpin dan ahli UMNO yang tidak sedar diri dengan mengamalkan perbuatan-perbuatan yang boleh menimbulkan perasaan muak rakyat kepada parti itu, biar pun mereka amat memahami ketelusan dan keikhlasan kerajaan yang dipimpin oleh Najib dalam membela nasib orang Melayu dan umat Islam.

Bagaimanapun, sama ada UMNO akan terus kukuh dan unggul seperti mana dihasratkan oleh Najib, bergantung kepada sejauh manakah pemimpin dan ahli UMNO bersedia bermuhasabah dan melakukan pembaharuan demi memastikan parti itu terus relevan pada setiap zaman.

UMNO harus mengakui bahawa cabaran politik terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) cukup getir. Atas sebab itulah mereka harus membuat persediaan dari sekarang untuk meranapkan impian pakatan pembangkang menawan Putrajaya.

Salah satunya memastikan tiada konflik dalaman yang kita harus akui sering menjadi duri dalam daging kepada usaha UMNO.

Selain itu, demi survival politik UMNO juga, parti itu harus memperkukuhkan lagi usaha menarik sokongan orang Melayu dan bukannya dilihat parti yang semakin meminggirkan mereka biarpun mengetahui orang Melayulah yang menjadi faktor kemenangan UMNO dalam pilihan raya.

Meneruskan dasar memperjuangkan hak orang Melayu tanpa rasa apologetik mampu menyakinkan orang Melayu bahawa UMNO sejak dulu, kini dan selamanya masih tidak berubah iaitu mendahulukan bangsa, agama dan negara.

Semoga ulang tahun ke-68 ini akan dijadikan momentum terbaik kepada UMNO di semua peringkat memperkukuhkan parti kerana UMNO sama sekali tidak boleh berada dalam kedudukan Pas yang diibaratkan seperti lebai malang, menang sorak kampung tergadai.

Oleh itu UMNO terus kekal menjadi tonggak perjuangan dan payung orang Melayu biar pun ia mungkin akan menyebabkan ada pihak yang tidak selesa. Tetapi pihak yang bersikap demikian perlu menerima hakikat bahawa apabila UMNO kuat dan kukuh semua kaum merasai nikmatnya, tidak seperti pakatan pembangkang, apabila ada parti di dalam pakatan itu berasa kuat dan memerintah sesebuah negeri, ada kaum berasa dipinggirkan.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat