{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Selatan

Posted by Admin

Utusan Online - Selatan


Lengkapkan diri dengan ilmu baharu

Posted: 25 May 2014 12:51 PM PDT

MOHAMAD Hasan (kanan) bersalaman dengan warga pendidik dalam sambutan Hari Guru peringkat Negeri Sembilan di Dewan The Grand, Port Dickson, kelmarin.

TELOK KEMANG 25 Mei - Para guru digesa menambah diri mereka dengan pelbagai ilmu baharu yang tercetus daripada ledakan revolusi teknologi yang berlaku di dunia hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkembangan teknologi yang berlaku dengan pantas menyaksikan pelbagai perkara baharu muncul hampir setiap hari yang mendesak manusia bersikap lebih prihatin dan siap siaga.

Katanya, ada di antara kemunculan perkara baharu itu tidak pernah dilihat atau dijangka akan wujud sebelum ini.

Sebagai warga pendidik perkembangan ini amat penting untuk kita sama-sama berusaha melengkapkan diri dengan ilmu baharu ini kerana ilmu seorang guru perlu lebih tinggi untuk diturunkan kepada anak-anak murid mereka," katanya ketika berucap merasmikan Perayaan Hari Guru peringkat negeri di Lukut dekat sini semalam.

Yang turut hadir, isteri beliau, Raja Datin Seri Salbiah Tunku Nujumuddin; ahli-ahli Exco kerajaan negeri; Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Kalsom Khalid dan para pegawai kanan kerajaan.

Mohamad berkata, tugas seorang guru amat berat kerana mereka bertanggungjawab mendidik anak bangsa yang akan mengambil alih negara pada masa depan.

Ia ibarat menyemai anak benih di tapak semaian hingga kepada tumbuhnya sebatang pokok yang kuat dan mantap. Jika tersalah langkah dalam mana-mana peringkat semaian itu, kemungkinan ia akan menumbuhkan pokok yang rosak," ujarnya.

Pada majlis itu, pesara guru, Khuzaimah Sulaiman, 63, dinobatkan sebagai Tokoh Guru Negeri Sembilan 2014 manakala dua orang guru Amirahman Abas dan Noor Haslin Moksin telah diumumkan sebagai Ikon Guru negeri 2014.

Mohamad kemudian menyampaikan anugerah kepada Khuzaimah berupa piala, sijil dan wang tunai RM3,000 manakala Bank Simpanan Nasional dan Bank Rakyat turut memberikan sumbangan masing-masing sebanyak RM3,000 dan RM1,000.

Amirahman yang juga guru di Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Labu dan Noor Haslin, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Jelai (Felda) masing-masing menerima piala, sijil dan wang tunai RM1,000 dan RM500 daripada Bank Rakyat.

Empat sekeluarga diikat, disamun

Posted: 25 May 2014 12:51 PM PDT

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my

JEMPOL 25 Mei - Empat sekeluarga berdepan situasi mencemaskan apabila lima penjenayah bersenjatakan parang memecah masuk ke rumah kedai mereka dekat Felda Palong Tiga, dekat sini pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, kesemua ahli keluarga berkenaan yang terdiri dari pasangan suami isteri bersama dua orang anaknya sedang tidur di dalam dua bilik berasingan di dalam rumah kedai tersebut.

Ketua Polis daerah, Supritendan Hamzah Alias berkata, kejadian disedari oleh isteri mangsa berusia 53 tahun bersama dua anaknya berusia 19 dan 17 tahun yang nampak lima suspek bertopeng dan bersenjatakan parang masuk ke bilik mereka.

Suspek kemudiannya meminta kesemua mangsa diam dan menunjukkan parang untuk menakutkan mereka, katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Hamzah, seorang suspek mengikat kesemua mangsa menggunakan pakaian sebelum mengambil barang kemas yang dipakai oleh mangsa sementara rakannya yang lain menggeledah bilik tersebut.

Selepas itu suspek mengarahkan anak lelaki pasangan tersebut untuk menunjukkan bilik tidur bapanya. Apabila sampai di dalam bilik bapanya, mangsa segera menjerit dan memberitahu ayahnya bahawa kedai mereka telah dimasuki pencuri.

Suspek yang berang dengan tindakan remaja tersebut yang menjerit bertindak menendang remaja tersebut dan menumbuk bapanya sebelum kedua-duanya diikat," katanya.

Kata Hamzah, mangsa berjaya melepaskan diri lebih kurang pukul 5 pagi semalam dan telah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut dan memberitahu antara barang yang hilang adalah lapan telefon bimbit, beg komputer riba dan barang kemas.

Menurutnya, polis sedang mengesan kedua-dua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata dan berkumpulan.

Perwani Siswi dilancar usaha lahir pemimpin negara

Posted: 25 May 2014 12:51 PM PDT

MELAKA 25 Mei - Selepas kejayaan menubuhkan Komuniti Perwani 1Malaysia tahun lalu, sebuah lagi pertubuhan iaitu Perwani Siswi peringkat negeri dilancarkan hari ini sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2014 Purple Walk.

Perwani Siswi yang dilancarkan itu bakal melibatkan pelajar perempuan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, penubuhan pertubuhan dalam kalangan siswi amat penting memandangkan golongan tersebut wajar diberikan perhatian kerana mereka juga adalah bakal pemimpin negara.

Menurutnya, Perwani Siswi ditubuhkan ekoran kejayaan penubuhan Komuniti Perwani 1Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Mac tahun lalu.

Sejak Komuniti Perwani di negeri ini ditubuhkan sambutan begitu menggalakkan apabila daripada 250 kumpulan disasarkan tetapi sehingga hari ini meningkat kepada 400 kumpulan dengan keahlian seramai 5,454 wanita.

Jumlah kumpulan ini melebihi sasaran awal tahun lalu dan saya begitu kagum dengan wanita di Melaka kerana mereka benar-benar mewarisi semangat Tun Fatimah.

Saya harap angka ini dapat ditingkatkan agar objektif kita untuk mewujudkan agen transformasi wanita di peringkat komuniti tercapai dengan pelbagai pelaksanaan aktiviti pembangunan wanita yang memenuhi kehendak golongan sasaran, katanya.

Beliau berucap merasmikan sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2014 Purple Walk bertemakan Kesaksamaan Wanita, Kemajuan Untuk Semua dan pelancaran Perwani Siswi di Kampung Morten, Bandar Hilir di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Latiff Tamby dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar.

Mengulas lanjut Idris berkata, ekoran daripada kejayaan penubuhan Komuniti Perwani, Komuniti Siswi juga diharap dapat memainkan peranan sebagai agen transformasi negara.

Perwani adalah wadah baharu bagi kumpulan itu bergerak sebagai pertubuhan berasaskan masyarakat bagi memberi manfaat kepada sebuah komuniti dan negara.

Banyak yang boleh dilakukan oleh Perwani seperti kursus kemahiran, gotong-royong, aktiviti kebajikan, menangani isu keselamatan, penjagaan anak dan warga emas, katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

G. Musang

J. Bahru

Terengganu

A. Setar