{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Utara

Posted by Admin

Utusan Online - Utara


RM3.2 juta bantu bumiputera

Posted: 25 May 2014 12:51 PM PDT

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
utusanpenang@utusan.com.my

Muhamad Zumar Zainudin (kiri) mengatakan sesuatu kepada Abdullah Hashim (kanan) dan Pengarah Urusan Pekan Darat Tyre Battery Services Sdn. Bhd., Munirah Abdullah yang mengusahakan perniagaan servis kenderaan di Bandar Baru Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang, kelmarin. - UTUSAN/AZMAN ASMAYATIM

KEPALA BATAS 25 Mei - Dana bantuan perniagaan berjumlah RM3.2 juta disediakan SME Corporation Malaysia (SME Corp) sebagai komitmen untuk membantu syarikat-syarikat bumiputera di negeri ini mengembangkan perniagaan.

Pengarah SME Corp negeri, Muhammad Zumar Zainudin berkata, dana berkenaan yang disediakan kerajaan melalui Program Pembangunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang setakat ini telah memanfaatkan 20 buah syarikat milik bumiputera di negeri ini.

SME Corp akan terus komited memainkan peranan membantu syarikat-syarikat berkenaan dari segi kewangan dalam usaha mengembangkan lagi perniagaan dan membolehkan mereka terus bersaing," katanya.

Beliau berkata demikian sempena lawatan media ke Pekan Darat Tyre Battery Services Sdn. Bhd., di sini semalam.

Syarikat berkenaan yang menjalankan perniagaan menjual tayar kereta mula beroperasi sejak 2009 menerima bantuan RM230,000 untuk membuka beberapa cawangan baharu dalam masa terdekat.

Muhammad Zumar berkata, antara syarikat lain yang turut dibantu adalah RRM Foods Mutiara Sdn. Bhd., Syarikat Perniagaan Terang Bulan selain beberapa syarikat yang menjalankan perniagaan minuman berkarbonat dan syarikat memproses botol mineral.

Sementara itu, Pengasas Pekan Darat Tyre Battery Services Sdn. Bhd., Abdullah Hashim berkata, tiga lagi cawangan kedai tersebut akan dibuka tahun ini.

Cawangan terbaru akan mula beroperasi pada Julai ini di Bandar Putra Bertam sebelum disusuli pembukaan seterusnya di Pokok Sena dan Tasek Gelugor.

Melalui pembukaan tiga cawangan baharu itu, syarikat mensasarkan jualan sebanyak RM1.77 juta pada tahun ini," katanya.

Abdullah berkata, bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, prestasi jualan syarikatnya memberangsangkan selepas mencatat perolehan sebanyak RM500,000 sambil mengakui bantuan SME Cops akan mengukuhkan lagi portfolio syarikat berkenaan yang ketika ini mempunyai 20 orang kakitangan.

Mengenai perancangan masa hadapan, Abdullah berkata, pihaknya telah merangka beberapa strategi baharu untuk meningkatkan pendapatan.

Kami akan melancarkan kempen untuk mengukuhkan lagi jenama Pekan Darat Tyre Battery Services Sdn. Bhd. di samping mula mengorak langkah untuk meningkatkan bilangan pelanggan sektor korporat," katanya.

Mangsa kebakaran bakal dapat rumah baharu

Posted: 25 May 2014 12:51 PM PDT

BALING 25 Mei - Dua keluarga yang ditimpa musibah kebakaran rumah mereka baru-baru ini melahirkan rasa syukur kerana masalah yang menimpa mereka mendapat perhatian Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Abdul Azeez memaklumkan mereka bahawa peruntukan segera akan dikeluarkan bagi membina kediaman baharu yang menelan belanja RM60,000 untuk mangsa kejadian itu, Rozinah Hamzah,39 dan Jariah Omar,73.

Kita meluluskan segera peruntukkan supaya mangsa dapat tinggal dengan lebih selesa di kediaman baharu dan ia lengkap dengan sistem pendawaian yang lebih baik bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku.

Perbincangan akan dilakukan dengan semua pihak termasuk pemilik wakaf supaya kerja-kerja pembinaan rumah ini berjalan lancar," katanya ketika melawat tempat kebakaran di Parit Panjang semalam.

Rozinah dan Jariah yang tinggal di Madrasah Al-Zuhdiah, Charok Salang, Parit Panjang, tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka hangus dijilat api kira-kira pukul 5.40 pagi, 17 Mei lalu.

Kebakaran tersebut berlaku dengan pantas dan menyebabkan semua barangan tidak dapat diselamatkan namun tiada kemalangan jiwa berlaku.

Menurut Abdul Azeez, setiap rakyat yang ditimpa musibah akan cuba dibantu dengan segera oleh pihaknya melalui Biro Kebajikan UMNO Bahagian Baling.

Pihak kami akan cuba menyelesaikan masalah kehilangan dokumen penting mangsa seperti kad pengenalan, buku akaun Tabung Haji, pakaian sekolah dan lain-lain agar beban yang dialami mangsa akan berkurangan," katanya.

Lampu hiasan daripada tempurung kelapa jadi tarikan

Posted: 25 May 2014 12:51 PM PDT

KANGAR 25 Mei - Lampu hiasan berbentuk unik yang dihasilkan dari tempurung kelapa dan upih antara pelbagai produk kraf tempatan yang dihasilkan sempena Karnival Kraf oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis di Batu 5, Jalan Kuala Perlis di sini mulai semalam hingga 1 Jun depan.

Pengarahnya, Awang Ismail Othman berkata, pihaknya memang berusaha untuk menonjolkan produk yang baru supaya pengunjung dapat memiliki koleksi kraf yang berbeza daripada sebelumnya.

Sekaligus dengan penghasilan produk kraf yang pelbagai ini akan menarik minat rakyat di negara ini supaya memilih ia digunakan di dalam kehidupan seharian," katanya dalam sidang akhbar di sini petang semalam.

Sehubungan itu kata Awang Ismail, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak RM550,000 pada karnival kali ini.

Katanya, pada promosi Kraf Malaysia pada Januari lalu pihaknya berjaya mencatatkan jualan sebanyak RM726,932 di mana meningkat sebanyak 56 peratus berbanding dengan promosi Kraf Malaysia 2013 jualannya hanya RM317,413.

Beliau berkata, sempena dengan Sukan Malaysia (Sukma) yang diadakan di Perlis kali ini juga diharap akan dapat mencapai sasaran jualan.

Katanya, ini kerana pihaknya menyasarkan sebanyak 200,000 dijangka akan mengunjungi karnival kraf kali ini.

Ada juga gerai jualan yang boleh menyediakan khidmat yang menyediakan cenderamata yang berkaitan dengan Sukma ini bagi yang ingin mengabadikan ia sebagai kenangan," katanya.

Awang Ismail berkata, sebanyak 50 usahawan yang terlibat dalam Karnival Kraf kali ini.

Ia melibatkan pameran kraf tekstil dan perhiasan diri termasuk pakaian siap, hiasan dalaman, aksesori tekstil dan barangan perhiasan diri," katanya.

Awang Ismail berkata, juga diadakan demonstrasi kraf yang melibatkan produk filligree iaitu kerongsang yang dihasilkan dari perak dan juga cincin.

Katanya, juga diadakan pendidikan kraf yang melibatkan pelajar-pelajar tadika, sekolah menengah dan dewasa.

Selain itu juga katanya, disediakan persembahan kesenian seperti Wayang Kulit Seri Asun, Ghazal Parti dan Muzik Tradisional dari Kumpulan Wahana Indera, Perlis.

Leave a Reply

Raja Alias

G. Musang

J. Bahru

Terengganu

A. Setar