Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- 16 pemandu ditahan positif dadah
- 1,550 penduduk Ketereh terima cermin mata percuma
- 65 peserta jayakan Kayuhan Malam Mysihat kemaman
16 pemandu ditahan positif dadah Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT Oleh Adnan Mohamad LIZAN Che Mat (kanan) meninjau pemeriksaan yang dilakukan oleh pihah polis dalam sekatan jalan raya dalam Operasi Bersepadu melibatkan beberapa agensi kerajaan di Kampung Air Sejuk, Setiu, Terengganu, malam semalam. SETIU 7 Mei - Sebanyak 16 pemandu kenderaan persendirian serta kenderaan penumpang ditahan kerana positif dadah manakala 48 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan dalam operasi bersepadu di tiga lokasi di daerah ini semalam. Operasi kelolaan Pejabat Daerah bersama lapan jabatan dan agensi kerajaan bermula pukul 9.30 malam sehingga pukul 4 pagi melibatkan sekatan jalan raya di Kampung Air Sejuk, Kampung Penarik dan Kampung Sungai Tong. Antara agensi kerajaan terlibat adalah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Majlis Daerah Setiu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pejabat agama daerah, Rela daerah dan Jabatan Kerja Raya (JKR). Ketua Penolong Pegawai Daerah, Lizan Che Mat berkata, dalam operasi berkenaan, sebanyak 171 lelaki dan seorang wanita telah menjalani ujian saringan air kencing oleh AADK. Menurutnya daripada jumlah itu, pihaknya mendapati sebanyak enam dikesan positif dadah jenis methamphetamine di sekatan jalan raya Kampung Air Sejuk, Penarik (5 orang) dan Sungai Tong (5 orang) yang kesemuanya adalah lelaki. "Mereka akan didakwa di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya di sini hari ini. Beliau memberitahu, AADK daerah ini turut menahan dua lelaki di dua tempat berasingan iaitu di Kampung Binjai Manis di sini dan Kampung Merbau Menyusut di sini kerana positif dadah dalam serbuan pada kira-kira pukul tiga pagi semalam. Dalam pada itu Lizan berkata, JPJ telah mengeluarkan 31 saman dan PDRM pula sebanyak 17 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya. |
1,550 penduduk Ketereh terima cermin mata percuma Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT KOTA BHARU 7 Mei - Seramai 1,550 penduduk di Parlimen Ketereh telah menerima cermin mata percuma yang disumbangkan UMNO Bahagian Ketereh. Ketua Wanita UMNO bahagian, Sabariah Hamzah berkata, pengagihan cermin mata itu adalah antara usaha dalam menyediakan keperluan penduduk di kawasan tersebut. "Pengagihan cermin mata percuma ini tidak mengira peringkat umur sama ada warga emas, golongan dewasa serta kanak-kanak. "Sumbangan ini diberikan berdasar keperluan golongan kurang berkemampuan yang mengalami masalah penglihatan," katanya selepas Program Penyerahan Cermin Mata di Yayasan Kemiskinan Rakyat Kelantan (YKK) di sini hari ini. Sementara itu, seorang warga emas dari Kampung Kayu Rendang, Lijah Abdullah, 74, berkata, dia telah lama mengalami masalah rabun jauh dan dekat malah keadaan itu semakin buruk dari hari ke hari. "Disebabkan masalah penglihatan itu, sudah dua tahun saya tidak menoreh getah sehingga terpaksa mengupah orang lain. "Dengan bantuan ini, sudah tentu ia akan memudahkan saya membuat kerja-kerja rumah termasuk menjahit," katanya. Sementara itu, seorang lagi penerima dari Kampung Padang Raja, Hassan Mohamad, 69, berkata, sumbangan itu diharap membantu mengurangkan beban untuk membuat cermin mata yang memakan kos yang tinggi. "Saya sudah memiliki cermin mata sebelum ini tetapi tidak berkemampuan untuk membuat yang baharu apabila tahap rabun menjadi semakin buruk. Sumbangan ini, sedikit sebanyak telah membantu meringankan beban saya," katanya. Bagi penerima cermin mata percuma paling muda, Nor Farah Ilyana Ahmad Azam, 8, masalah penglihatan yang dialami sering mengganggu aktiviti hariannya. "Ibu membawa saya membuat pemeriksaan mata dua minggu lalu dan hari ini saya boleh pakai cermin mata baharu. "Saya harap, selepas ini saya dapat melihat dengan lebih jelas apabila cikgu mengajar di dalam kelas," kata murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Melor itu. |
65 peserta jayakan Kayuhan Malam Mysihat kemaman Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT SEBAHAGIAN daripada 65 peserta program Kayuhan Malam Mysihat di Kemaman, malam kelmarin. KEMAMAN 7 Mei - Sebanyak 65 peserta pelbagai peringkat usia menyertai Kayuhan Malam Mysihat sejauh 35 kilometer di sini malam tadi dalam program menggalakkan kegiatan berbasikal dan gaya hidup cergas. Program anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Daerah Kemaman dijayakan dengan kerjasama beberapa kelab berbasikal termasuk Kemaman Cops Cycling Team, Geng Gohek Kemaman, Low Gear Cycling Team, Heavy 66, Cukai Cycling Club dan Air Putih Cycling Club. Program bermula di Puteri Food Court, Bandar Baru Bukit Mentok pada pukul 9 malam dan melalui Kampung Tempurung, Kampung sehinggalah ke bandar Cukai dan Pantai Telok Mak Nik (Monica Bay) sebelum kembali ke tapak pelepasan. Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Daerah, Wan Mohd Rosmadi Wan Embong ketika ditemui memberitahu, program kali ini menarik penyertaan kalangan mereka yang berumur dari 9 hingga 65 tahun dan turut disertai Ketua Polis Daerah, Che Suza Che Hitam. "Program ini ada susulan kempen mengurangkan pelepasan karbon anjuran Lembaga Promosi Kesihatan (Mysihat) tahun lalu yang menggalakkan orang ramai berbasikal ke tempat kerja setiap hari Khamis minggu pertama dan ketiga setiap bulan. "Pada awal program, Kelab Sukan dan Rekreasi Daerah telah membeli 10 buah basikal sebagai permulaan dan telah mendapat sambutan begitu menggalakkan dari kelab kelab-kelab basikal daerah bagi menggerakkan pelbagai kegiatan," kata beliau. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |